Ahad, 2 November 2025

Nigeria

 Selain Sudan, Nigeria pun salah satu negara Afrika yang tengah bergolak.


Malah daripada 53 negara Afrika, sekurang-kurangnya 10 tengah ada konflik bersenjata.


Sudan dan Ethiopia paling teruk, berpuluh ribu mat1, berjuta jadi pelarian. Mali, Burkina Faso, Niger, Nigeria, Cameroon, Republik Demokratik Congo, dan Sudan Selatan pun dalam keadaan kritikal.


Hari tu ada orang pertikaikan kenapa orang Islam Malaysia bising pasal Falastin, tapi senyap pasal Nigeria. Katanya sebab orang Islam ni pilih kasih sebab Nigeria ni orang Islam yang bunoh Kristian.


Trump pun masuk line semalam, ancam nak campur tangan ketenteraan kalau Nigeria tak hentikan "pembunohan Islam ke atas orang Kristian."


So, apa sebenarnya jadi kat Nigeria?


Sebelum tu, kita kena faham dulu negara Nigeria ni.


Nigeria ni negara yang dicipta oleh British (British lagi). Sebelum British datang, tak wujud pun negara nama Nigeria.


British datang, dia satukan beberapa kawasan sepanjang Sungai Niger jadi "Nigeria."


Negara Niger sebelah utara Nigeria pun namanya berasal daripada sungai tu, cuma dia jajahan Perancis.


Sebelum British, kawasan ni diduduki oleh kaum-kaum yang masing-masing ada kerajaan sendiri, termasuk Igbo, Yoruba dan Hausa-Fulani di utara (jauh sikit dari sungai).


Igbo dan Yoruba dulu animis. Ada juga Yoruba yang Islam. Bila British datang, hampir semua Igbo masuk Kristian. Yoruba pula jadi campur aduk, ada Islam, ada Kristian.


Hausa-Fulani pula dah lama Islam, bermazhab Maliki. Dua kaum ni berbeza, tapi sebab dah lama berkawan, orang panggil diorang Hausa-Fulani.


Diorang pernah dirikan empayar Islam bernama Kekhalifahan Sokoto (1804–1903). Pemimpin dia claim diri sebagai khalifah, walaupun Sultan Uthmaniyyah waktu tu diiktiraf sebagai khalifah kepada majoriti umat Islam.


Tapi kuasa Turki tak sampai Afrika Barat, jadi lantaklah diorang nak claim apa pun. 


Kerajaan Sudan waktu tu lagi dahsyat, dipimpin oleh orang yang claim diri sebagai Imam Mahdi.


Lepas British kalahkan Sokoto, Hausa-Fulani disatukan dengan Igbo, Yoruba dan kaum-kaum lain macam Ibibio, Kanuri, Tiv dan Ijaw di bawah kerajaan "Nigeria Protectorate" British.


Kaum Islam (Hausa-Fulani, Yoruba dan Kanuri) dan kaum Kristian (Igbo, Yoruba, Ibibio, Tiv dan Ijaw) masing-masing lebih kurang 50%. Tiada siapa yang betul-betul dominan, senang untuk British nak pecah dan perintah.


Pada tahun 1960, Nigeria diberi kemerdekaan, dan negara baharu ni pun mewarisi struktur masyarakat berbilang kaum daripada British.


Bagi jaga keharmonian kaum, pemimpin Nigeria buat "politik permuafakatan" versi diorang sendiri.


Nigeria pakai sistem persekutuan. Wilayah Hausa-Fulani, Igbo dan Yoruba ni ada autonomi besar dalam hal ehwal masing-masing. Tak perlu gaduh nak pakai undang-undang dan peraturan yang sama untuk semua.


Jawatan presiden pun digilir-gilir antara utara (Islam) dan selatan (Kristian/Islam).


Presiden sekarang, Bola Tinubu, seorang Islam Yoruba dari selatan. Presiden sebelum dia, Muhammad Buhari, Islam Fulani dari utara. Sebelum Buhari pula, Goodluck Jonathan, Kristian Ijaw dari selatan.


Politik permuafakatan ni jadikan Nigeria agak stabil. Satu-satunya perang saudara lepas merdeka ialah Perang Biafra (1967–1970) yang berpunca daripada percubaan Igbo nak merdeka.


Tapi kalau nak banding dengan Sudan dan Ethiopia yang berperang berpuluh tahun, Nigeria ni kira syurga di Afrika.


Hasil minyak juga jadikan Nigeria ekonomi paling besar di Afrika dari segi KDNK, setanding dengan Afrika Selatan.


Tapi masuk tahun 2010-an, semuanya mula berubah.


Pertama, sebab harga minyak mula jatuh. Nigeria dapat lebih 90% pendapatan daripada minyak. Bila harga jatuh, kerajaan tak ada duit, rakyat menganggur, mulalah orang nak berontak.


Kedua, masalah perubahan iklim. Kawasan utara Nigeria ni padang rumput, dan kaum Hausa-Fulani kebanyakannya nomad.


Bila cuaca makin kering, padang rumput susut. Fulani nomad terpaksa turun ke selatan cari air dan rumput.


Lembu diorang makan tanaman petani Kristian (Igbo, Tiv dan lain-lain) di selatan, petani marah, gaduh pun meletus. Maka bermulalah serang-menyerang antara satu sama lain.


Bukan Kristian saja jadi mangsa. Ada juga petani Islam yang kena serang. 


Sebab ni bukan konflik agama, tapi konflik antara dua kelompok sosioekonomi: nomad dan petani.


Nak keruhkan keadaan, muncul pula ekstremis yang pakai nama Islam macam Boko Haram dan ISWAP (Islamic State West African Province).


Diorang ni terpengaruh dengan ISIS, kononnya nak dirikan kerajaan Islam, tapi perangai macam haram.


Bukan saja diorang serang gereja Kristian, masjid pun diorang bom. Orang Islam yang tak sehaluan pun diorang bunoh.


Kerajaan gagal kawal keadaan. Tentera Nigeria korup. Suruh diorang lawan militan Fulani dan geng ekstremis, boleh pula diorang jual senjata.


Akhirnya, Nigeria daripada sebuah negara model pembangunan di Afrika jadi negara gagal.


Jadi, cerita Nigeria ni bukan "Muslim bunoh Kristian" semata-mata. Memang keganasan tu berlaku, tapi orang Islam pun ramai jadi mangsa.


Ini bukan perang agama, tapi konflik pelbagai pihak untuk rebut sumber dan kuasa. Kristian dan Muslim masing-masing hilang ribuan nyawa.


Bila orang Islam tak bersolidariti, bukan sebab dia double standard, tapi sebab dia tak tahu, dan tak ambil tahu.


Beza dengan Falastin. Sebab isu Falastin ni dah hampir 100 tahun kesedarannya. Sebelum merdeka lagi orang Tanah Melayu pun dah ambil tahu isu Falastin.


Bagi orang Islam, Falastin bukan sekadar konflik politik, tapi ada kaitan dengan akidah dan tuntutan mempertahankan masjid ketiga suci Islam. Wajib peka.


Kezaliman Isral pun clear cut. Sebab tu orang Barat pun ramai bersolidariti sekali.


Isu Nigeria pula rumit, bukan "Muslim lawan Kristian" semata-mata, dan bukan kerajaan Islam menindas rakyat Kristian.


Amerika sekarang baru nak menyibuk. Bukan sebab Trump sayang Kristian, tapi sebab Nigeria ni lubuk kekayaan.


Selain minyak, ada benda yang lagi penting daripada minyak: nadir bumi (rare earth).


Nadir bumi ni "minyak baharu" abad ke-21, bahan untuk kereta elektrik, telefon, senjata canggih. China pula kawal 70% pasaran nadir bumi dunia.


Amerika sekarang bersungguh-sungguh cari nadir bumi. Tu sebab Trump sekarang nak jadi terpaling Nigeria sebab Nigeria ada nadir bumi.


Jadi Nigeria ni isu yang rumit, melibatkan luka lama penjajahan dan juga perebutan tanah serta kuasa.


Nak bersolidariti dengan Nigeria pun tak ada masalah. Tapi kalau tak, janganlah kita kata orang lain hipokrit atau double standard, sebab konteks dia memang tak sama.


Sabtu, 1 November 2025

Baca

 𝗠𝗘𝗡𝗬𝗘𝗥𝗔𝗛 𝗞𝗘𝗠𝗘𝗥𝗗𝗘𝗞𝗔𝗔𝗡

(English translation at end of write-up)


1. Saya tak pernah fikir yang saya akan hidup untuk menyaksi bagaimana pemimpin Malaysia sanggup serah kemerdekaan kita hanya untuk nampak hebat buat beberapa minit dan di usap kepala oleh pemimpin asing.


2. Tapi ini yang berlaku, dan kini kita terpaksa tunduk pada kehendak Amerika Syarikat dalam hampir semua urusan perdagangan dan ekonomi kita. Ternampak yang kita telah serah kedaulatan kita.


3. Pada tahun 1957 ketika berjuang untuk kemerdekaan, kita berusaha untuk tentukan nasib kita dan di  tahun-tahun berikutnya, kita bekerja keras untuk menghapus segala bentuk pengaruh asing ke atas negara kita, terutama dalam perdagangan dan ekonomi.


4. Tentu rakyat Malaysia masih ingat Dawn Raid dan Buy British Last sebagai contoh keazaman kita pertahan kemerdekaan dan keengganan kita untuk ikut telunjuk kuasa asing kerana kita negara merdeka dan kita sangup mati untuk pertahankan kedaulatan kita.


5. Malangnya, dalam perdagangan timbal balik antara Amerika Syarikat dan Malaysia, kita telah korbankan kemerdekaan kita dengan membenarkan Amerika mengenakan kehendaknya ke atas kita.


6. Apa yang kita saksikan bukanlah satu perkongsian, jauh sekali timbal balik.


7. Ia penyerahan kebebasan ekonomi yang kita bina dan telah pertahankan dengan susah payah.


8. Kita setuju beli kapal terbang, gas dan mesin mereka, patuh pada peraturan digital mereka, benar mereka nikmati hasil mineral nadir bumi kita, buka pasaran kita ikut syarat mereka, dan patuh pada syarat mereka tentang dengan siapa kita boleh atau tidak boleh berniaga.


9. Semua ini hanya untuk secebis pelepasan tarif.


10. Benar ada  𝒆𝒙𝒊𝒕 𝒄𝒍𝒂𝒖𝒔𝒆, tapi dari awal lagi terdapat syarat yang jelas menjerut kemerdekaan Malaysia, kenapa mesti kita setuju perjanjian itu?


11. Dan walau ada 𝒆𝒙𝒊𝒕 𝒄𝒍𝒂𝒖𝒔𝒆, bolehkah kita percaya yang Amerika Syarikat akan mudah setuju untuk batal?


12. Jika kerajaan gunakan 𝒆𝒙𝒊𝒕 𝒄𝒍𝒂𝒖𝒔𝒆 untuk lepaskan diri dari perjanjian berat sebelah, jelas bahawa kerajaan ini tidak tahu bagaimana untuk berunding dengan baik sejak awal lagi.


13. Inilah penjajahan baru (neo-kolonialisme) yang pemimpin-pemimpin serantau sebut sejak dari zaman awal kemerdekaan dulu.


14. Berhentilah guna istilah perdagangan dan kerjasama, atau berdiplomasi — akuilah yang anda telah perdagangkan kemerdekaan negara kita kerana anda tidak berani dan terlalu ingin senangkan hati kuasa asing.


15. Dan kuasa itu pula ialah pihak yang menyokong dan melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin.


DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD

30 Oktober 2025

Selasa, 28 Oktober 2025

Pencen senja

 NASIHAT SI PENCEN KEPADA SI MUDA


Dulu aku sangka,

Bila tiba masa pencen,

Langit jadi lapang, waktu terbentang,

Akan kuisi dengan ayat-ayat Tuhan.


Aku rancang,

Akan kupeluk kitab,

Akan kucium mushaf tiap pagi,

Akan kuhadir kuliah tanpa henti.


Tapi kini,

Rupanya masa tua bukan sunyi,

Ia sibuk dengan tangis dan janji,

Dengan temu janji doktor,

Dengan menjaga suami yang sakit,

Dengan anak yang berpantang,

Dengan waris yang pulang ke rahmat Tuhan.


Setiap hari ada panggilan,

Ziarah, menjaga, menunggu,

Dan diri sendiri pun mula rapuh,

Nafas pendek, mata kabur, sendi lemah.


Wahai anak muda,

Jangan tunggu hari tua,

Jangan tunggu waktu pencen,

Baru mahu kenal Tuhanmu.


Ilmu itu bukan untuk masa lapang,

Ia cahaya di waktu sibuk,

Bekal sebelum malam panjang.


Kerana bila usia menginjak,

Bukan masa yang banyak datang,

Tapi ujian dan kesibukan yang mendatang.


Belajarlah sekarang —

Saat lututmu masih kuat sujud,

Saat matamu masih jernih membaca,

Saat hatimu masih segar mendengar.


Jangan kau ulang silap kami,

Yang menunggu senja untuk mencari fajar.


Kerana bila senja benar datang,

Kau akan tahu,

Masa muda yang kau sia-siakan,

Takkan kembali, walau setitis pun waktu.


Kredit : utk Tn Hj Nik Mat Nik Lib

Sabtu, 25 Oktober 2025

Bela lembu

 Tak Nak Percaya Sudah


Nasihat ikhlas buat anak muda yang nak masuk bisnes ternakan. Aku bukan nak cerita yang semua negatif, tapi inilah realiti kehidupan petani dan penternak. Sebab itu dipandang miskin dan kalah. 


1. Aku dah buat macam-macam cara. Dari menternak, trading lembu kambing hinggalah menjual daging segar. 


2. Aku dapat kesimpulan yang dunia penternakan di Malaysia ni tak ada masa depan. Betul le kot tu tariff yang trump buat untuk US. Dia kenakan tariff cukai pada barang import. Sebab yang dapat keuntungan import ni dari negara pengimport. Macam JUGA daging, kita boleh dapat harga yang murah dari seberang thailand. Sama ada masak secara sah atau laluan tikus secara seludup. Orang thailand suka bela lembu tapi mereka tak makan daging lembu. Penternak tempatan tak dapat apa. Kena buli dengan pemborong dan pembeli. 


3. Potensi bisnes makanan diwarkan sangat besar kat Malaysia. Barang sentiasa tak cukup. Tapi itu semua secara data sahaja. Daging banyak dari Australia dan India. Daging kotak dia jual cakap daging lembu frozen. Kalau dah murah sama je kalau dah masuk dalam periuk org kita cakap. Dalam ekonomi yang tak menantu mana mungkin rakyat mencari harga yang mahal untuk makanan asas mereka. Rakyat tak salah. 


4. Ternak lembu dan kambing bukan tak boleh untung. Tapi kena ada padang ragut beratus ekar. Kaya dari tiga keturunan atau dari agensai yang kerajaan yang suntik modal. Kalau setakat 30 ekor bela belakang rumah, pastinya makan pangkal. 


5. Kat kelantan dan kedah dapat kambing harga RM150 sekor. Orang ambil buat kambing golek. Penternak kena ketawa dan dipaksa jual kandang. Tak ada yang bersimpati. Lagi di perli “ kenapa tak boleh jadi penternak macam di Australia, thailand boleh jual harga murah?”. Hakikatnya mereka tak faham.


6. Kambing frozen dari Australia adalah kambing feral. Kambing feral adalah kambing lepas dari bukit-bukit. Bila dah banyak mengancam keselamatan dan orang kampung. Masuk pekan buat kerajaan suruh tangkap. Coboy tangkap kurung kejap dan proses sembelih hantar negara ke tiga. Mana ada modal makan macam fitlot. Tapi orang mereka pun tak makan daging frozen. 


7. Jual sekilo RM37 katanya mahal, jual RM30 katanya pun mahal. Kampung deorang jual RM25 sekilo katanya . Penternak Dah giveup jual je murah. Deorang ketawakan je sebab bukan deorang tak beli pun sebab deorang beli daging kotak je. 


8. Saya nasihatkan. Jangan masuk dalam bidang penternakan dan pertanian. Baik kerja gomen je. Ada pencen dan boleh buat lon beli rumah. Ko mati katak seorang diri jadi penternak. Penat sendiri. Memang ramai yang tepuk tangan tapi tak ada yang boleh bersama kau menanggis. Ingat. Bukan tak ada yang untung. Beli 100 ekor, simpan dan jual untuk korban. Itu boleh untung jual nyawa. Jual daging kelaut. 


9. Biarlah deorang import daging frozen. Biarlah … biarkan. Kau berkorban macam mana pun tak memberi impak besar. Biarlah deorang besarkan kartel import banyak-banyak. Kau mesti kalah. Bila kalah nanti deorang ketawakan kau. 


10. Bila tulis macam ni biasanya ada yang kata aku meraih simpati. Kata aku koyaklah. Sedangkan aku nak cerita yang cerita sebenar. Orang politik tetap akan meraikan kemenangan. Bekumpul-kumpul berkempen nak menang lagi. Lepas sehari manang. “ maaf saya tak boleh buat apa - apa bukan kuasa saya “. Tanpa memikirkan yang talaga dah kering. 


11. Aku?. Aku duduk kampung. Aku dah terlanjur dan tua. Tak berapa berguna. Aku dah memang menternak, aku dah memang seorang petani. Muka hitam, berpeluh dan samsing. Aku akan teruskan apa yang termampu. Mencari solusi bagaimana industri ini punya masa depan untuk anak bangsa ku.


Bukan tak ada jalan nak jadi kaya dengan menternak. Tapi dari 100 penternak, kurang 9.5% sahaja yang berjaya dan untung. Jika tidak perlu berketurunan menjadi pengembala. Sistem tidak menyokong mereka bukan sebab mereka tak bagus.

Spm 2025

 Kadang-kadang rasa penat bukan sebab mengajar,

tapi sebab hati ni letih menunggu kesedaran, perubahan  dan tindakan yang tak kunjung tiba.


Cikgu tak minta banyak pun. Cikgu bukan nak minta murid² cikgu semua cemerlang dan terbaik, tapi cikgu nak minta murid² cikgu ada doa dan usaha. lulus tu biar dengan doa dan usaha sendiri. Nampak usaha nak berjaya tu.


Cikgu bukan orang hebat mana pun masa sekolah dulu cikgu, biasa-biasa je tapi ada doa dan usaha sebab cikgu tahu betapa berharganya ilmu.

Sebab tu cikgu nak murid² rasa manisnya berjaya hasil titik peluh sendiri.


Bila difikirkan cikgu mungkin dah buat lebih daripada cukup, mengajar, menasihat, suntik semangat, kadang² sampai habis tenaga dan air mata. Tapi murid² ni, sebahagiannya masih belum nampak nilai pengorbanan tu lagi.


Cikgu bukan nak bangga dengan sijil murid², tapi nak murid² rasa nikmat berjaya tu.


Cikgu marah sebab sayang, cikgu tegur sebab peduli.

Cikgu doa setiap hari, biarlah satu hari nanti kamu sedar di sebalik bebelan dan kerja sekolah yang kamu tak suka, kamu benci, ada doa seorang cikgu yang mahu lihat kamu berjaya dalam hidup.


@norhaizatmokhtarrudin