Jumaat, 23 September 2011

Culik di stesen minyak...

Peringatan kepada semua !!!!!!!!!!! TERUTAMA KAUM WANITA Ini adalah sangat menakutkan, serupa dengan kes Ms Canny Ong. Pada suatu hari, terdapat seorang wanita yang berhenti di stesen minyak untuk mengisi minyak. Setelah selesai memenuhkan tangki minyak selepas membayar menggunakan kad kredit di pam dan ingin meninggalkan stesen tersebut, atendan di dalam kedai lantas bercakap menerusi speaker dan memberitahu sesuatu yang berlaku dengan kad itu dan meminta wanita itu masuk ke dalam untuk membayar tunai. 


Wanita itu keliru kerana dia telah selesai mengisi minyak dan pembayaran menggunakan kad kredit telah diluluskan. Dia menunjukkan isyarat tangan kepada atendan tersebut dan bersiap sedia untuk meninggalkan tetapi atendan tersebut sekali lagi menggesa wanita tersebut masuk ke dalam kaunter kedai untuk membayar tunai. Dengan perasaan sedikit marah, wanita itu terus masuk ke dalam kedai dan mempertikaikan tindakan petugas tersebut dan menuduh dia menipu. Atendan tersebut memberitahu supaya wanita itu bertenang dan mendengar dengan teliti Atendan memberitahu ketika wanita tersebut sedang mengisi minyak, dia telah melihat seorang lelaki telah masuk ke dlm kereta dan bersembunyi dikerusi belakang . Dengan segera beliau telah menghubungi pihak polis.


 Wanita tersebut terus menjadi takut dan segera melihat pintu keretanya terbuka dan lelaki itu telah menyusup keluar dan meninggalkan kereta itu dengan tergesa-gesa. Kes baru-baru ini didapati mempunyai kaitan dengan ujian untuk permulaan geng jenayah terbaru dimana memerlukan seseorang untuk membawa balik bahagian badan seorang wanita .. Salah satu cara yang mereka lakukan adalah dengan merangkak perlahan-lahan dan menyusup masuk ke dalam kereta wanita manakala sasaran utamanya adalah stesen minyak atau di kedai runcit pada waktu malam. Kemudian, mereka akan potong kaki / buku lali mangsa menculik mereka dan kemudiannya membunuh dan mencerai-beraikan mereka. 


Kaedah lain adalah dengan memaksa wanita itu masuk ke dalam kereta kemudian menculik mereka, Sila sebarkan ini kepada wanita lain, orang muda dan tua. Pertama, wanita seharusnya lebih berhati-hati apabila ingin masuk ke dalam kereta pada waktu malam. Kedua, Jangan letakkan kereta di tempat sunyi atau terpencil semata-mata ingin mendapatkan tempat letak kereta percuma! Ketiga, Jika boleh, elakkan memandu seorang diri pada waktu malam! Ini adalah situasi sebenar! Penculikan! Pembunuhan! Putus dan anggota badan dicerai-ceraikan! Ini semua berlaku di Malaysia ! 


Jadikan amalan : 
1. Pastikan kereta berkunci setiap masa walaupun anda meninggalkan kereta sebentar. 
2. Periksa sekeliling kereta sebelum masuk ke dalam kereta. 
3. Sentiasa peka terhadap sebarang tanda-tanda pelik dari persekitaran anda dan individu lain di dalam sekitar umum, terutama pd waktu malam!!!

Khamis, 22 September 2011

UiTM timbang rayuan pelajar gagal sambung ijazah

SHAH ALAM - Universiti Teknologi Mara (UiTM) bersedia untuk menimbang rayuan pelajar bumiputera lepasan program asasi, matrikulasi dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi melanjutkan pengajian di universiti itu pada peringkat diploma.


Naib Canselornya, Prof. Datuk Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar berkata, tawaran itu adalah untuk memberi peluang kedua kepada pelajar terbabit kerana mereka merupakan golongan muda yang mendapat keputusan baik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Mungkin semasa mengikuti program asasi dan matrikulasi mereka lalai maka keputusan yang diperoleh tidak cemerlang sehingga gagal menyambung pelajaran ke peringkat ijazah," katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Sahol Hamid memberitahu, rayuan berkenaan akan dipertimbang jika didapati layak dan sesuai sebelum ditawar melanjutkan pelajaran di mana-mana kampus cawangan UiTM seluruh negara.
Katanya, pelajar yang berjaya dalam pemilihan tersebut dijangka mendaftar pada 16 November ini.
Sehubungan itu, pelajar yang berminat membuat rayuan boleh menghantar surat kepada Pejabat Naib Canselor, Aras 6, Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, UiTM di sini pada atau sebelum 15 Oktober 2011.
Surat tersebut mesti mempunyai butiran peribadi, bidang pengajian yang diminati, salinan keputusan peperiksaan seperti SPM, STPM, asasi atau matrikulasi.
Bagi memudahkan urusan, sila tulis 'Rayuan Ke Program Diploma' di sudut kiri sampul surat berkenaan.
sumber: kosmo 22 sept 2011

Rabu, 21 September 2011

Yahudi vs masjid

IMG_4748Bani Israel adalah satu kaum yang mempercayai Allah sebagai tuhan. Mereka tidak mengiktiraf Nabi Isa dan Muhammad sebagai Nabi. Mereka disebut sebagai ahli kitab.

Ada juga Bani Israel yang Islam setelah melihat kebenaran Islam itu.

Dari Bani Israel yang ingkar, itulah disebut sebagai Yahudi oleh al-Quran. Jadi, Bani Israel lebih luas, satu bangsa, ada yang Islam dan ada yang tidak, tapi yang ingkar itulah disebut sebagai Yahudi.

Di dalam syariat, orang lelaki muslim boleh menikahi ahli kitab dan   sembelihan ahli kitab juga boleh kita makan.
Ini kerana mereka menyembelih dengan cara yang sama iaitu mesti putus urat merih dan membaca Nabi Allah juga.
Kalau kita sembelih dengan menyebut “Bismillah” mereka menyembelih dengan menyebut “Shem Ha Shem..”
Dalam Islam ada Asmaul Husna, dalam Yahudi pun ada.
Dalam Asmaul Husna nama Allah ada Ar-Rahman, Ar-Rahim, al-Qudus dan sebagainya dalam Hebrew nama Allah mereka sebut sebagai Ilah, Shado, Shem dan sebagainya,
5 September 2011, ketika kami sampai di Masjid Khalil al-Rahman, masjid yang terletak makam Nabi Ibrahim, tiba-tiba terdapat sekumpulan askar Yahudi masuk ke masjid.
“Saya bertanya Walid, kenapa ada askar Yahudi?”
“Ada orang besar Yahudi ziarah Makam Nabi Ibrahim sekarang dan berdoa dalam masjid ini?” kata Walid.
“Dia berdoa dalam masjid?” tanya saya ingin tahu.
“Ya, sebab,dari sudut ibadah dan cara hidup, orang Yahudi lebih menghormati Islam dari Kristian, dia tahu masjid orang Islam suci dan bersih sebab itu dia boleh berdoa dalam masjid tapi tidak sekali-kali dalam gereja” terang Walid.
“Orang Yahudi tak makan babi,tak seperti kristian, orang yahudi bersunat, tidak seperti kristian dan dia juga ada soal kesucian dalam makanan, dia boleh makan makanan orang Islam tapi tidak orang kristian” terang Walid lagi.
Saya melihat askar Yahudi siap dengan senapang, dia memakai kasut di dalam masjid tetapi dibentangkan tikar plastik kerana dia tahu masjid itu suci dan bersih.
Kadang kala, orang Islam sendiri tidak tahu hormat masjid, ketika saya berada di Mekah, saya melihat pergolakan di Libya dan Syria di dalam berita, pasukan keselamatan masuk ke masjid dengan kasut dan tanpa alas.
IMG_4748
Hari ini, ada orang Yahudi menziarahi makam Nabi Ibrahim dan dia berdoa dalam masjid ini.
IMG_4749 
IMG_4750
Tentera mereka membentangkan tikar sebagai alas untuk tidak mengotori masjid ini.
Tapi ini dalam keadaan biasa dan aman, kalau sedang pertentangan hebat, sudah tidak ada lagi perasaan menghormati ini…
Bagi kita yang belum melihat perbahasan saya mengenai “Beriman dengan Rasul di al-Aqsa ini, boleh lihat di dalam program Usrah ini..
 
“Pengalaman Asas Hikmah”
al-Faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Jerusalem
Oleh Ust Amin

Guru vs SAPS


Guru merungut program SAPS lebih sukar dari manual
Berita Harian 21 Sep 2011
 
Sistem kumpul data murid guna komputer tidak semudah seperti diuar-uarkan
 
SISTEM Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS) diperkenalkan baru-baru ini bagi membolehkan tugas pengumpulan data dilakukan dengan secara lebih sistematik dan praktikal berkaitan data mata pelajaran, enrolmen murid, data guru mata pelajaran dan profil sekolah. Semua guru sekolah rendah dan menengah termasuk sekolah berasrama penuh perlu mengisi markah ujian Mac, peperiksaan pertengahan tahun, peperiksaan percubaan atau ujian Ogos dan peperiksaan akhir tahun di SAPS ini. Untuk menjadikan sistem ini lebih sistematik, tempoh masa ditetapkan dan guru perlu mematuhinya.
 
Kebaikan sistem ini ialah selepas guru memasukkan data dan markah pelajar, ia akan secara automatik membuat analisis dalam pelbagai aspek, sekali gus menjimatkan banyak masa guru yang mungkin pada sedekad dulu terpaksa membuat pengiraan analisis secara manual.
 
Tekan mesin pengira setiap kali mahu mencari peratusan dan purata. Berpinar mata mencari berapa jumlah A yang murid peroleh dan pelbagai lagi.
 
Malah, dulu guru kelas terpaksa meminta markah setiap mata pelajaran daripada guru yang mengajar dan mengisinya secara manual dalam borang khas. Semua perkiraan dilakukan secara manual dan diisi pula dalam buku laporan kemajuan murid. Sistem dalam talian diakui lebih memudahkan dan lebih sistematik serta menjimatkan banyak masa.
 
Namun, sistem yang sebenarnya dicipta untuk memudahkan mereka akhirnya menyebabkan lebih ramai yang terseksa. Ada guru terpaksa bersengkang mata sehingga jam 3 pagi semata-mata untuk mengisi markah pelajar dan ada pula yang menghadapi masalah kerana tidak mempunyai komputer atau talian internet di rumah.
Namun selepas menggunakan SAPS buat seketika, ramai guru merungut dan melepaskan kemarahan mereka dalam blog dan menulis surat kepada akhbar.
 
Antaranya, yang dipetik daripada blog adalah seperti berikut:
 
“Idea mewujudkan sistem ini memang baik tetapi program berkenaan susah untuk dicapai dan selalu terkeluar daripada talian dan ada banyak masalah lain.
 
“Sebagai guru yang terbabit dengan SAPS, saya sudah beberapa kali membuka sistem ini untuk memasukkan markah tetapi setiap kali markah mahu disimpan, sistem ini akan terkeluar daripada talian. Saya terpaksa mengisi semula markah dan ini ia berlaku beberapa kali.
 
“Kami terpaksa menunggu sehingga pagi semata-mata untuk mengisi markah ujian satu, peperiksaan pertengahan tahun, menentukan nilai letak kerja (TOV) dan jangkaan hasil sasaran akhiran (ETR) setiap pelajar. Bayangkan, jika ada enam kelas yang markah pelajarnya perlu diisi dan setiap satu kelas pula ada 40 pelajar.
 
“Yang peliknya dalam taklimat kami diberitahu ketika menggunakan SAPS, kami tidak boleh menekan butang ‘enter’ pada papan kekunci kerana akan mengganggu sistem. Ini adalah kali pertama saya mendengar satu sistem yang direka akan rosak jika tertekan butang ‘enter’.
 
“Masalah lain yang dihadapi ialah ada pelajar yang tiada dalam senarai kelas tetapi apabila didaftar, jawapan yang diterima ialah ‘pelajar telah didaftarkan’ tetapi jika telah didaftarkan kenapa nama pelajar tiada dalam senarai?”
 
Di mana silapnya? Apakah sengaja kementerian mencipta satu sistem untuk menyusahkan guru sedangkan perlu diakui guru sudah terlalu banyak dibebankan. Rasanya bukan itu alasannya kerana yang paling tepat ialah sistem itu masih terlalu mentah dan perancangan untuknya tidak mengambil kira banyak perkara.
 
Dekan Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Abdul Razak Hamdan, berkata kebanyakan sistem dalam talian (online) di negara ini tidak stabil pada peringkat permulaan dan menyebabkan masalah kepada pengguna, namun ia akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
 
“Kebanyakan sistem dibangunkan menggunakan teknologi sedia ada dan dirasakan memadai untuk kegunaan pada masa itu tetapi selepas digunakan secara meluas, ia tidak mampu menampung keperluan semasa dan perlu peningkatan.
Masalahnya, untuk mempertingkatkannya memerlukan kos tinggi dan itu yang menjadi halangan banyak pihak.
 
“Kita rujuk kepada sejarah Unit Pusat Universiti (UPU) pun pada mulanya ada masalah. Selalu tidak stabil tetapi selepas dipertingkatkan, ia sudah semakin baik dan stabil. Ia membabitkan sistem itu sendiri dan talian komunikasi. Jika salah satu tidak stabil atau lembab, ia akan menyusahkan pengguna.
 
“Kebanyakan sistem menggunakan talian terbuka (public). Jika ia sudah ditentukan untuk menerima sebanyak dua megabait (MB), tetapi yang menggunakannya melebihi jumlah itu, ia pasti akan menyebabkan sistem itu perlahan.
“Setiap sistem juga ada had penggunaan pada satu masa. Jika dihadkan sebanyak 1,000 pengguna tetapi pada satu masa pengguna melebihi jumlah itu, ia juga akan menyebabkan sistem menjadi lembab.
 
“Selalunya, pembangun sistem akan membuat anggaran berapa ramai pengguna akan gunakan sistem itu terutama pada waktu puncak dan menetapkan jumlah tertentu. Penetapan ini perlu kerana semakin besar ruang penggunaannya, semakin mahal sistem itu untuk dibangunkan. Malangnya, ada ketika berlaku, ramalan mereka tidak tepat dan pengguna melebihi anggaran,” katanya.
 
Beliau berkata, ada sistem yang menggunakan kaedah ‘server balancing’ iaitu membolehkan ia dipindahkan ke pelayan lain jika kuota dalam satu pelayan sudah penuh. Ia membolehkan sistem tidak perlahan jika melebihi kuota yang sudah ditetapkan tetapi membabitkan kos yang tinggi.
 
Masalahnya, katanya, kebanyakan pengguna akan menggunakan sistem itu secara maksimum pada waktu puncak terutama ketika tarikh tamat tempoh semakin dekat. Ia pasti menyebabkan sistem itu tidak mampu menampung penggunaannya yang banyak. Justeru, pemantauan pada waktu itu perlu dipertingkatkan.
 
“Selalunya, masalah utama bermula daripada sistem komunikasi. Jika talian internet yang digunakan perlahan, ia juga akan memberi kesan. Masalah lain ialah kebanyakan pembangun sistem salah membuat perkiraan jumlah pengguna. Mereka boleh tinggikan had pengguna asalkan mampu memperuntukkan kos yang tinggi.
 
“Dalam kes ini, sewajarnya mereka buat percubaan tekanan (stress test) sebelum dilancarkan. Pastikan ia mampu menangani seramai mungkin pengguna termasuk guru terutama ketika waktu puncak. Perlu buat perkiraan secara tepat berapa banyak had diperlukan untuk menangani seberapa ramai guru dan sekolah.
 
“Selain itu, tidak semua sistem sesuai digunakan bagi semua negeri dengan kapasiti yang sama. Sudah pasti tidak sama jumlah pengguna di Perlis dan Selangor. Pelayan yang digunakan perlu stabil.
 
“Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah adalah untuk memasukkan data. Ia sewajarnya gunakan sistem simpanan secara automatik (autosave). Maksudnya, setiap kali data dimasukkan, ia disimpan secara automatik dan tidak hilang jika tiba-tiba berlaku masalah talian. Kosnya tinggi tetapi perlu dalam kes pengendalian data,” katanya lagi.
 
“Kelemahan utama kebanyakan sistem di negara ini ialah ambil mudah dan jadikan pengguna sebagai bahan ujian. Asalkan ia nampak berkesan di sesetengah kementerian, ia secara mudah digunakan pula di kementerian yang lain. Cara ini salah kerana tidak semuanya sama,” katanya.
 
Justeru, adalah wajar kementerian lebih peka dalam hal ini dan memastikan apa saja sistem yang mahu dibangunkan tidak menjadi beban kepada pengguna, sekali gus menambahkan tekanan mereka.
 

 
 "

WikiLeaks Dedah Perangai Buruk

Oleh: setisab

"KERAJAAN RAKYAT l KUALA LUMPUR: Kajian Kementerian Kerja Raya Malaysia yang belum diterbitkan mendapati kontraktor bumiputera negara itu menjual kontrak-kontrak kerajaan yang diperoleh mereka untuk membeli kereta dan rumah mewah.

Mereka juga menyalahgunakan pembayaran yang diterima daripada perbendaharaan negara, dedah sebuah kabel diplomatik Amerika Syarikat.

Maklumat kabel itu, yang didedahkan laman web WikiLeaks, muncul selepas Putrajaya bersetuju mengagih kontrak bernilai RM8 bilion ($3.2 bilion) bagi pembangunan prasarana termahal di negara itu, Aliran Transit Massa (MRT) Lembah Klang, yang sejak awal meletakkan syarat ketat ke atas kontraktornya.

Kabel diplomatik Amerika itu memetik sumber Kementerian Kerja Raya sebagai berkata 'kajian ke atas kebocoran kontraktor bumiputera' itu adalah hasil maklum balas daripada pelbagai sumber industri mengenai projek yang gagal dan yang berjaya.


Laporan itu digunakan Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi, untuk menyelar peniaga bumiputera yang gagal pada Februari 2007.

'Sistem semasa dalam menganugerahkan kontrak mewah kerajaan kepada bumiputera menawarkan kepada mereka satu insentif ekonomi yang kukuh untuk bertindak sebagai ejen, mengambil kesempatan seberapa banyak projek yang mungkin dan mengambil potongan (bayaran) sebelum menyerahkan setiap satu (projek itu) kepada seorang pelaksana bukan bumiputera yang cekap.

'Sistem 'ejen bumiputera' ini sudah berakar umbi di Malaysia. Apa sahaja usaha membuat pembaharuan dijangka ditentang bukan sahaja oleh golongan bumiputera yang sudah mantap malah oleh pelaksana bukan bumiputera yang telah membina satu rangkaian perkongsian ejen yang kukuh,'
simpul Kedutaan Amerika dalam laporan di gerbang berita dalam talian Malaysia Today.


Amerika dan Kesatuan Eropah (EU) menggesa Malaysia supaya memastikan lebih banyak ketelusan dan keadilan dalam proses pemerolehan kerajaannya sebagai sebahagian daripada rundingan perjanjian dagangan bebas mereka, yang masih belum lagi diselesaikan.

Dalam kabel yang dibocorkan itu, kedutaan Amerika antara lain melaporkan, sumber kementerian berkenaan mendedahkan bahawa ramai kontraktor bumiputera menjual tender mereka bagi mendapatkan 'wang segera' demi membiayai kereta dan rumah mereka.

'Laporan itu juga mendapati kontraktor bumiputera menyalahgunakan bayaran yang diterima daripada kerajaan untuk membayar pemiutang dan mereka biasanya meminta tender kerajaan tambahan untuk menyelesaikan apa yang sudah diberikan kepada mereka,' tambahnya. -- Agensi

Zizan dan hantu Bonceng

Oleh Faethal

Menurut Ust Azhar Idrus, sebaik saja isu Zizan Raja Lawak mengucapkan  'Asyhaduanna Muhamadarr..Syaitan' di dalam satu babak filem Hantu Bonceng menjadi kecoh. Beliau menerima panggilan daripada Zizan yang menggunakan 'private number' untuk merujuk permasalahan ini.

"Saya ni baru kena marah dengan orang kerana filem Hantu Bonceng. Saya kata  'Asyhaduanna Muhammadarr' lepas tu nampak syaitan datang..saya kata SYAITAN" kata Zizan.

Jawab Ust Azhar Idrus. Dia boleh jadi dua hujah. Boleh jadi ada niat untuk mempersendakan Islam dan boleh jadi tidak berniat untuk mempersendakan Islam. Dalam kes ini dia mengucap ketika di dalam ketakutan, dalam cerita kelakar maka dia buat dialog mengucap "Asyhadu an la ilaha ill-Allah, wa asyhadu ana Muhammadarr.....Syaitan! Syaitan!."

Jadi boleh dikatakan bahawa penulis skrip ini untuk menghina nabi, dan boleh juga dikatakan penulis skrip berniat untuk menggambarkan seseorang yang di dalam ketakutan tidak sempat menghabiskan lafaz syahadahnya kerana ternampak syaitan. Ia boleh jadi ada niat untuk mempersenda.


Tetapi kesilapan ini tidak terletak kepada pelakon. Pelakon jahil dan tidak tahu apa-apa. Pelakon bukannya (perlu) belajar pondok untuk berlakon filem. Tetapi Penerbit, Penulis skrip dan Pengarah sepatutnya kena rujuk dahulu perkara ini kepada Pejabat Agama atau Jabatan Kuasa Fatwa. Skrip ini boleh jadi untuk mempersendakan Islam dan boleh juga bukan berniat untuk mempersendakan Islam.

"Walaupun ia bukan untuk mempersendakan Islam, ia tetap juga HARAM sebab mendatangkan FITNAH" tambah Ustaz Azhar Idrus lagi. Fitnah ini yang perlu di jaga dan kita perlu berhati-hati. Zizan sendiri telah mengakui bahawa beliau tidak pernah terniat untuk mempersendakan Islam.

"Jadi kita ambil secara baik, dia (Zizan) tidak berniat mempersenda Islam, tetapi kerana kejahilan punya fasal ia memberi fitnah." rumus Ust Azhar Idrus.




Fitnah Istikharah


“Ustaz, saya dan tunang saya sudah hampir ke tarikh pernikahan kami. Tetapi tunang saya telah secara mendadak memutuskan pertunangan kami. Beliau bermimpi melihat seorang perempuan lain dan setelah beristikharah, beliau yakin perempuan itu adalah pilihan sebenarnya kerana ia muncul dengan petunjuk Allah. Bagaimana pandangan ustaz? Saya dan keluarga saya serta keluarga tunang saya sangat terkilan. Apakah benar saya sudah dikeluarkan daripada petunjuk Allah? Di mana silap saya, ustaz?”
Sepucuk emel dihantar kepada saya.
Beristighfar dan mengurut dada.
Percaya atau tidak, gejala ini semakin menjadi-jadi.
Malah di kalangan pelajar universiti, Istikharah semakin popular di dalam trend yang tersendiri. Ia diamalkan bagi ‘memaksa’ Allah membuat pilihan untuk mereka. Berbekalkan kejadian persekitaran atau mimpi yang disangka petunjuk, kadang-kadang ‘pilihan Allah’ itu adalah tunang orang, suami orang, malah ada juga isteri orang. Bertindak atas nama ‘petunjuk Allah’, tercetus permusuhan sesama anak Adam.
Apakah Allah, atau Syaitan yang memberikan ‘petunjuk’ penuh mudarat dan zalim itu?
MEMBELAKANGKAN ILMU
Penyakit besar yang melanda anak-anak muda terbabit ialah beribadah tanpa ilmu. Mereka melaksanakan Solat Istikharah berdasarkan saranan rakan-rakan yang juga melakukannya atas saranan kawan-kawan yang lain. Berapa ramaikah yang membuka kitab Fiqh atau belajar mengenai Solat itu dan ibadah yang lain melalui para ustaz dan alim ulama’?
Keadaan ini menjadi lebih bermasalah apabila ada pula agamawan yang mengesyorkan panduan-panduan yang tidak berdasarkan keterangan al-Quran dan al-Sunnah malah diajar pula kaifiyat yang sangat membuka ruang manipulasi Syaitan dalam mengaburi pertimbangan anak Adam.
Mengira huruf tertentu di dalam Surah, menyelak secara rawak mushaf dan mencari petunjuk di muka surat yang terbuka, juga paling banyak meniti di minda ialah menanti mimpi yang menjawab permintaan.
Ia mengingatkan saya kepada pandangan Sheikh Saleem bin Eid al-Hilali di dalam kitab Bahjah al-Nadzireen syarah kepada Riyadh al-Sholiheen:
“Ada sesetengah orang berpendapat, “sesudah mengerjakan solat serta Doa Istikharah, akan muncullah nanti petunjuk dalam mimpinya, maka dia akan memilih sebagaimana yang ditunjukkan oleh mimpinya itu” Justeru ada sesetengah orang berwudhu’ dan kemudian melakukan Solat serta Doa Istikharah dan terus tidur (dengan meletakkan harapan  petunjuk datang melalui mimpi), malah ada juga mereka yang sengaja memakai pakaian berwarna putih kerana mengharapkan mimpi yang baik. Semua ini hakikatnya adalah prasangka manusia yang tidak berasas”
Menjadi satu keperluan yang sangat penting untuk kita kembali kepada maksud asal Solat Istikharah.
Istikharah itu bermaksud meminta bantuan daripada Allah untuk seseorang itu memilih di antara beberapa kemungkinan yang diharuskan oleh Syara’. Ada pun pilihan yang berada antara manfaat dan mudarat, apatah lagi Halal dan Haram hatta Makruh, maka tidak harus untuk Istikharah dilakukan kerana tindakan yang sepatutnya diambil sangat jelas iaitu pada meninggal dan menghindarkan pilihan yang tidak baik itu.
Sabda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:
“Hadith yang dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Sahihnya dengan sanadnya daripada Jabir radhiyallaahu ‘anhuma, beliau berkata:
Daripada Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam Baginda bersabda:
Apabila sesiapa daripada kalangan kamu diberatkan oleh sesuatu maka hendaklah dia Rukuk dengan dua Rukuk (mengerjakan Solat dua rakaat) yang selain daripada Solat yang Fardhu (yakni mengerjakan Solat dua Rakaat dengan niat Istikharah).
Kemudian hendaklah dia berdoa: Ya Allah, aku beristikharahkan Engkau dengan ilmu-Mu dan aku juga memohon ketetapan dengan ketetapan yang bersandarkan kurniaan-Mu yang Maha Agung. Engkaulah yang Maha Menetapkan sedangkan aku tidak mampu untuk menetapkan. Engkau Maha Mengetahui dan aku pula tidak mengetahui. Engkaulah yang Maha Mengetahui akan perkara-perkara yang tersembunyi. Ya Allah, jika pada ilmu-Mu sesungguhnya urusan ini – harus disebut hajat tersebut atau cukup sekadar meniatkannya kerana Allah Maha Mengetahui akan hajat itu – adalah baik untukku pada agama, kehidupan dan kesudahan urusanku (kini dan datang), maka tetapkanlah ia untukku dan mudahkanlah ia bagiku. Kemudian berkatilah bagiku di dalam pilihan ini. Dan andaikata pada ilmu-Mu sesungguhnya hal ini adalah buruk bagiku pada agama, kehidupan dan kesudahan urusanku (kini dan akan datang), maka hindarkanlah ia daripadaku dan hindarkanlah aku daripadanya. Tetapkanlah bagiku kebaikan dan jadikanlah aku redha dengannya.
ANTARA ISTIKHARAH DAN ISTISYARAH
Istikharah itu mempunyai gandingan yang memberi tambahan kemudahan. Ia dikenali sebagai Istisyarah.
Istisyarah ini bermaksud meminta pendapat mereka yang boleh dipercayai untuk membantu seseorang itu membuat keputusan.
Sheikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah pernah berkata:
“Tidak akan menyesal seorang yang beristikharah kepada al-Khaliq (Allah) serta bermesyuarat dengan para Makhluq, serta tetap pendirian dalam keputusannya”
Biar pun para Ulama berselisih pendapat tentang mana yang patut didahulukan antara Istisyarah dan Istikharah, ia tidak menjejaskan bahagian yang perlu dimainkan oleh seorang manusia dalam proses dirinya membuat keputusan. Sebelum sampai kepada pertimbangan memilih antara dua kebaikan, seseorang yang berhajat itu mestilah mempunyai asas dalam penilaiannya agar pilihan yang ada di depan matanya adalah antara dua perkara yang harus serta sama baik. Sudah tentu, hal ini juga memerlukan dirinya untuk mengambil bahagian dengan berusaha.
Setelah beristikharah, namun hati masih berada di dalam ketidak pastian, harus baginya untuk mengulangi Solat dan Doa Istikharah itu hingga beroleh ketetapan hati dalam membuat keputusan. Di samping itu juga, dia dianjurkan beristisyarah, yakni meminta pendapat individu-individu yang dipercayai integriti dan kemahirannya dalam urusan tersebut, agar keputusan boleh dibuat.
Titik pentingnya ialah, keputusan hendaklah kita yang berhajat itu melakukannya dan bukan menyerahkan kepada Allah untuk membuat keputusan itu dan menampakkanya melalui petanda-petanda yang dicari. Di sinilah ruang untuk fitnah berlaku apabila dalam suasana hidup kita yang dibelenggu oleh pelbagai maksiat serta Iman yang teruji, kita membuka suatu ruang kosong untuk dicelah oleh tipu helah Syaitan.
Tambahan pula dalam keadaan jiwa anak muda yang selalu lemah untuk menolak kehendak diri dan sering terdorong mengikut kemahuan. Jiwanya tidak bulat meminta kepada Allah, sebaliknya bermain helah untuk mengharapkan Allah menyokong kecenderungan dirinya sendiri.
Berhentilah mencari mimpi.
Berhentilah menunggu petanda.
Beristikharah memanggil kebersamaan Allah dalam keputusan yang kita buat. Kita yang membuat keputusan itu, dengan keyakinan hasil Istikharah, bahawa keputusan yang kita buat itu adalah dengan kebersamaan Allah. Jika di kemudian hari, pada pilihan yang dibuat itu, datang mehnah yang menguji kehidupan, kita tidak akan berfikiran negatif malah berusaha untuk mencari sisi-sisi positif pada apa yang berlaku kerana keputusan yang dibuat dahulu itu adalah dengan kelengkapan Syariatullah (Istikharah) serta Sunnatullah (Istisyarah – Ikhtiar Usaha).
Pertimbangkanlah… seandainya pilihan yang disangkakan petunjuk daripada Allah itu mencetuskan mudarat, permusuhan, meninggalkan yang afdhal dan mengambil yang mafdhul… berhati-hatilah.
Ia mungkin mainan Syaitan.
“Sebahagian (daripada umat manusia) diberi hidayah petunjuk oleh Allah (dengan diberi taufiq untuk beriman dan beramal soleh); dan sebahagian lagi (yang ingkar) berhaklah mereka ditimpa kesesatan (dengan pilihan mereka sendiri), kerana sesungguhnya mereka telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin (yang ditaati) selain Allah. serta mereka pula menyangka, bahawa mereka berada di dalam petunjuk hidayah” [Al-Aa'raaf 7: 30]
KESIMPULAN
  1. Hindarkan diri daripada kesukaran menetapkan pendirian dalam kehidupan. Was-was adalah permainan Syaitan dan penyakit jiwa yang mengundang bahaya.
  2. Dalam hal-hal yang tiada keraguan dalam membuat pilihan keputusan, ia tidak berhajatkan kepada Istikharah.
  3. Ketika berdepan dengan pilihan yang sukar ditentukan, gunakan pertimbangan diri untuk melihat buruk baiknya.
  4. Jika jelas mudarat atau sudah ditentukan Haram hukumnya, maka tidak harus beristikharah.
  5. Pada perkara yang sukar untuk dibuat keputusan, beristikharahlah kepada Allah mengikut kaifiyat Solat Istikharah dan Doa yang Ma’thur daripada Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
  6. Istikharah boleh diulang beberapa kali hingga beroleh ketetapan hati untuk membuat keputusan.
  7. Di samping itu juga beristisyarahlah dengan meminta pandangan pihak yang boleh dipercayai kewibawaannya.
  8. Petunjuk daripada Allah ialah kemampuan hati untuk tetap pendirian membuat keputusan.
  9. Hindarilah perbuatan menunggu mimpi atau petanda berbentuk isyarat kerana ia sangat terbuka kepada belitan Iblis.
  10. Jauhi Bid’ah dan Syirik.
  11. Setelah keputusan dibuat, bertawakkallah kepada Allah dan tenang dengan keputusan itu.
  12. Seandainya timbul cabaran atau muncul sisi kekurangan pada pilihan yang dipilih, tiada fikiran negatif muncul kerana yakin adanya hikmah dan kebaikan daripada Allah.
  13. Istikharah terbuka kepada apa sahaja urusan kehidupan yang berada di dalam ruang lingkup keharusan Syara’ dan salah jika hanya dilihat sebagai mekanisme jodoh.
  14. Rujuklah kitab-kitab Fiqh serta panduan Sunnah dalam urusan Istikharah serta ibadah-ibadah yang lain.
  15. Melakukan ibadah dengan hanya berpandukan hearsay adalah pintu kebinasaan dalam beragama.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG