Khamis, 22 September 2011

UiTM timbang rayuan pelajar gagal sambung ijazah

SHAH ALAM - Universiti Teknologi Mara (UiTM) bersedia untuk menimbang rayuan pelajar bumiputera lepasan program asasi, matrikulasi dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi melanjutkan pengajian di universiti itu pada peringkat diploma.


Naib Canselornya, Prof. Datuk Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar berkata, tawaran itu adalah untuk memberi peluang kedua kepada pelajar terbabit kerana mereka merupakan golongan muda yang mendapat keputusan baik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Mungkin semasa mengikuti program asasi dan matrikulasi mereka lalai maka keputusan yang diperoleh tidak cemerlang sehingga gagal menyambung pelajaran ke peringkat ijazah," katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Sahol Hamid memberitahu, rayuan berkenaan akan dipertimbang jika didapati layak dan sesuai sebelum ditawar melanjutkan pelajaran di mana-mana kampus cawangan UiTM seluruh negara.
Katanya, pelajar yang berjaya dalam pemilihan tersebut dijangka mendaftar pada 16 November ini.
Sehubungan itu, pelajar yang berminat membuat rayuan boleh menghantar surat kepada Pejabat Naib Canselor, Aras 6, Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, UiTM di sini pada atau sebelum 15 Oktober 2011.
Surat tersebut mesti mempunyai butiran peribadi, bidang pengajian yang diminati, salinan keputusan peperiksaan seperti SPM, STPM, asasi atau matrikulasi.
Bagi memudahkan urusan, sila tulis 'Rayuan Ke Program Diploma' di sudut kiri sampul surat berkenaan.
sumber: kosmo 22 sept 2011

Tiada ulasan:

Catat Ulasan