Tender ini bukan untuk syarikat pembuat kapal angkasa untuk membantu manusia meneroka angkasa lepas atau membawa kita ke bulan dan bintang demi mencari dan menambah ilmu pengetahuan tamadun kita.
Konsesi ini juga bukan untuk syarikat yang membekalkan oksigen kepada semua manusia untuk terus hidup, atau mana-mana hasil kemajuan sains kesihatan yang mampu memanjangkan usia.
Hak istimewa syarikat lebuh raya
Keistimewaan ini sebaliknya hanyalah untuk syarikat pembuat dan pengurus jalan raya; suatu keperluan rakyat yang tidak boleh dielakkan dan perlu dilaksanakan.
Setakat yang kita tahu, hanya di Malaysia sahaja yang berlaku perkara seperti ini. Kerajaan seolah-olah memberi cek kosong kepada pihak swasta, yang biasanya mempunyai kaitan rapat dengan kerajaan, untuk mengorek untung menerusi jalan raya (keperluan awam).
Bukan sahaja rakyat tidak diberi banyak pilihan malah kerajaan sendiri, mengikut kata-kata bapak-bapak menteri, terpaksa mematuhi perjanjian yang telah dibuat dengan syarikat. Dengan kata lain kerajaan terpaksa menurut kehendak syarikat lebuh raya tersebut khususnya dalam soal pembiayaan, pampasan dan kenaikan harga tol.
Syarikat lebuh raya ini bagaikan dewa dan kerajaan pula adalah pesuruhnya manakala kita yang menggunakan lebuh raya adalah seperti hamba yang tidak boleh bertanya atau melawan, hanya mampu pasrah dan mengeluh dan membayar sahaja.
Jangka masa 50 tahun ini adalah setengah abad. Negara kita sudah merdeka 54 tahun. Bayangkalah betapa seronoknya pemilik syarikat lebuh raya.
Pendek kata, jika ia memegang saham syarikat itu pada usia 20 tahun, bermakna besar kemungkinan sepanjang hayatnya, manusia ini tidak perlu lagi bekerja. Mungkin sesekali boleh suruh budak-budaknya mengorek jalan dan menampung lubang.
Mereka yang memiliki syarikat ini tidak perlu bersaing seperti syarikat-syarikat lain. Keselesaan dan kekayaan ini ibarat bulan jatuh keriba, anugerah ke atas mereka yang terpilih.
Barangkali, mereka ini adalah insan istimewa dan mempunyai kebijaksanaan luar biasa. Sungguh indah menjadi salah seorang daripada mereka.
Purata kos pembinaan lebuh raya oleh syarikat PLUS sekitar RM6 bilion. Dan mula beroperasi pada tahun 1988. Jika menurut jawapan Menteri Kerja Raya pada 28 Jun 2011, tempoh konsesi untuk PLUS adalah selama 50 tahun, ini bermakna tempoh konsesi ini hanya akan tamat pada tahun 2038.
Dalam tempoh itu juga, kerajaan setakat ini telah memberi pampasan sebanyak RM735 juta dan jumlah kutipan tol sehingga kini sudah mencecah sekitar RM23 bilion. Bayangkanlah jumlah yang amat besar ini.
Syarikat untung, rakyat tertekan
Inilah satu-satunya syarikat swasta yang tidak pernah dan rasanya tidak akan rugi. Sebaliknya akan terus untung dan untung dengan jumlah yang amat besar. Barangkali amalan seperti inilah yang membusukkan nama pasaran bebas. Kerana ia sudah melanggar prinsip persaingan sihat serta meminggirkan yang lain.
Itu belum lagi konsesi dan jumlah kutipan syarikat-syarikat lebuh raya yang lain. Di Malaysia sahaja ada 27 buah syarikat lebuh raya. Kita pasti dapat membayangkan ke mana dan berapa banyak wang kita yang telah habis.
Dan sudah menjadi rahsia terbuka bahawa daripada banyaknya syarikat lebuhraya ini, hakikatnya ia hanya dimiliki oleh satu dua kumpulan orang yang amat intim hubungan dengan pucuk pimpinan kerajaan.
Alasan kerajaan atau syarikat lebuh raya tentang tol bagai adik dan abang. Harga tol harus terus naik kerana kos penyelengaraan lebuh raya juga akan senantiasa naik. Yang untung syarikat, yang terpaksa menambah perbelanjaan keluarga adalah kita.
Jika benarlah begitu ingin sekali kita memahami, bagaimana pula dengan pendapatan rakyat, bila nak naik? Harga kereta, bila nak turun? Harga petrol bila nak turun? Harga barangan keperluan harian bila nak stabil? Segala macam cukai bila nak turun? Bagaimana dengan IPP yang juga mendapat layanan istimewa kerajaan sedangkan bil elektrik di rumah dan pejabat kita melambung naik?
Dan yang paling utama, mengapa tempoh konsesi syarikat lebuh raya ini terlalu lama? Apakah tidak ada syarikat dari pengusaha tempatan yang mampu mengurus, menyelenggara dan menawar harga tol yang lebih munasabah?
Jawapan dan alasan akan menjadikan dasar ekonomi kerajaan UMNO-BN seperti sebuah mitos dan legenda. Mitos hanyalah sebuah misteri dan enigma yang tidak tahu hujung pangkalnya dan apa pula kesudahannya.
Begitulah dasar ekonomi kita. Selagi puak toghut memerintah, rakyat perlu tutup mulut, jangan disoal-soal lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan