AL-FATIHAH buat mereka yang telah berjuang bagi menyusahkan pentadbiran British di Malaya dengan matlamat terakhir menghalau penjajah berkenaan dari bumi Malaysia yang tercinta ini.
Sama ada kematian mereka adalah syahid atau sebaliknya, jasa dan sumbangan mereka dalam konteks perjuangan kemerdekaan adalah jauh lebih besar berbanding sumbangan perunding terakhir kemerdekaan yang kini semakin dilihat menepati peribahasa “lembu punya susu sapi dapat nama”
Hakikatnya, di sebalik pemaparan larger than life, peranan Umno yang cuma meletakkan sentuhan terakhir kepada segala usaha dan segala bentuk perjuangan kemerdekaan sebenarnya tidaklah begitu besar.
Rasanya, boleh dikatakan selamat untuk mengatakan betapa tidak ada ahli atau pemimpin Umno yang terkorban tatkala memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu daripada British atau memperta hankan bumi ini dari dijajah dan seterusnya diperintah oleh Parti Komunis Malaya (PKM) yang diharamkan.
Antara golongan mereka yang benar-benar memberikan makna kepada kebangkitan nasionalisme Melayu, perjuangan kemerdekaan serta mempertaruhkan nyawa untuk tujuan tersebut adalah tokoh pahlawan individu seperti Dato’ Maharaja Lela, Dato’ Kelana (Sungai Ujong), Dato’ Bahaman, Mat Kilau, Tok Janggut, sekadar menyebut beberapa nama; anggota pasukan keselamatan (polis dan tentera), sama ada yang diperguna dan diperalatkan rejim British Malaya dengan tujuan utama mempertahankan Tanah Melayu sebagai sumber ekonomi dan tukaran wang asing lalu sekali gus berperang menentang pasukan gerila PKM (yang melancarkan usaha militan bagi menghalau rejim berkenaan).
Begitu juga dengan anggota pasukan keselamatan pasca-kemerdekaan yang terus mempertaruhkan nyawa serta ada di antara me reka itu yang terkorban bagi mempertahankan dan menyelamatkan Malaysia dari jatuh ke tangan PKM, dan tidak ketinggalan segelintir orang Melayu yang menggunakan platform PKM (kerana tidak memahami hasrat parti haram itu sebenarnya dan tidak tahu apakah sebenarnya fahaman komunisme) tetapi menyerang ejen-ejen pertahanan kerajaan penjajah British.
Atas sebab ketara, walaupun istilah ‘rejim’ tidak pernah digunakan bagi merujuk kepada penjajah Inggeris yang telah merampas kuasa pemerintahan Malaysia secara halus dari Raja-Raja Melayu dan kemudiannya menggubal undang-undang secara suka hati mereka, namun istilah ‘pengganas’ yang diberikan kepada gerila PKM di zaman Darurat adalah tepat.
Istilah tersebut menjelaskan segala-galanya tentang anggota gerila PKM yang tidak berperikemanusian dan melakukan pembunuhan cold-blooded terhadap orang awam.
Kita memang simpati dengan anggota polis dan pasukan keselamatan Melayu yang sewenang-wenangnya diperdaya dan dipertaruhkan nyawa demi mempertahankan kepenti ngan British di Tanah Melayu.
Dan kita sudah tentu lebih bersimpati lagi dengan nasib serta pengorbanan anggota pasukan keselamatan selepas Merdeka yang terus gigih mempertahankan bumi Malaysia daripada ancaman PKM yang enggan mengiktiraf betapa British sudahpun menyerahkan semula kuasa pemerintahan yang dicuri mereka secara halus dari tangan Raja-Raja Melayu.
Tidak syak dalam peristiwa di Bukit Kepong, Muar pada 23 Februari 1950, gerila komunis menyerang dan membakar Balai Polis Bukit Kepong dan mengorbankan 17 orang anggota polis yang berpangkalan di situ. Kerajaan British seolaholah mahu dengan sengaja membiarkan anggota polis Melayu di situ mati katak agar generasi ketika itu dan akan datang dapat melihat betapa ganasnya anggota gerila PKM sedangkan mereka tahu kawasan sekeliling balai polis tersebut adalah sarang pengganas komunis.
Jika British ikhlas mempertahan Malaya dari gugur ke tangan komunis per se dan bukannya kerana kepentingan ekonomi mereka, sudah tentu mereka awal-awal lagi mengerah segala sumber polis dan askar untuk berkubu di balai polis berkenaan.
Laman Wikipedia menggambarkan Balai Polis Bukit Kepong ketika itu sebagai berikut: “Terletak di selekoh sungai Muar, sebuah perkampungan kecil yang terpencil dengan sekitar dua puluh buah rumah dan kedai. Menjelang awal 1950, ia merupakan tumpuan pergerakan pihak komunis di situ. Ketika itu balai polis itu diketuai Ketua Polis Balai (KPB) Sarjan Ray Dancey, yang pernah berkhid mat di Palestin.
“Ketika serangan ke atas balai tersebut, beliau telah lama ditukarkan dan jawatannya diambil alih Sarjan Jamil Mohd Shah, kemungkinannya perkara yang diketahui oleh penyerang komunis. Selain itu terdapat platun campuran 15 anggota polis Tugas Am dan Konstabel Polis Marin pimpinan Sarjan Jamil sendiri. Ketika itu pasukan ini turut diperkukuhkan oleh tiga konstabal polis khas dan empat Polis Tambahan bagi tugas mengawal dan lain-lain, yang menjadikan 22 orang anggota kesemuanya.”
Walaupun serangan ke atas balai polis itu diketuai Muhammad Indera tetapi kita perlu melihat beliau sebagai seorang pejuang kemerdekaan. Ketika itu beliau dan rakan-rakan lain yang dianggap sebagai komunis Melayu seperti Rashid Maidin, Abdullah CD dan bahkan semua rak yat Malaya tidak tahu apakah itu fahaman komunisme.
Mereka hanya menggunakan platform PKM bagi turut sama memperjuangkan pembebasan Tanah Melayu dari British dan sekali gus menganggap sesiapa sahaja yang bersekongkol dengan British adalah agen penjajah yang perlu dihapuskan.
Apabila Timbalan Presiden PAS, Mat Sabu menimbulkan isu betapa Mat Indera juga adalah seorang wira perjuangan kemerdekaan, ramai yang marah-marah dan menjadikannya satu isu politik. Turut serta menyemarakkan dan mempermodalkan isu ini ialah media milik Umno.
Utusan Malaysia, 5 Sept 2011 menyiarkan kenyataan bekas Panglima Latihan Tentera Darat Jeneral (B) Dato’ Amir Baharuddin, 66, yang mengatakan, “Dalam manamana negara sekali pun sama ada ketika negeri dijajah sekalipun, fungsi polis tetap sama iaitu menjaga keamanan penduduk setempat, jadi mengapa komunis perlu menyerang mereka, mengapa tidak serang askar British?”
Nampaknya Amir terlupa bahawa dalam menangkis serangan gerila komunis di Malaya, British menggunakan polis yang mana anggotanya berbangsa Melayu dan bukannya tentera mereka dari bangsa mereka sendiri.
Kita juga harus ingat Mat Indera hanyalah seorang tokoh agama sebagaimana yang tercatat dalam Pengukir Nama Johor terbitan Yayasan Warisan Johor. Penglibatan beliau dalam perang gerila menentang British dengan menggunakan platform PKM hanyalah satu kebetulan dan bukannya kerana beliau telah membaca seluruh buku Das Kapital, Kritik der politischen ekonomie (bermaksud Modal: Kritik Terhadap Ekonomi Politik).
Andai kata beliau dan rakan-rakan Melayu lain mengetahui segala isi kandungan buku yang ditulis oleh Karl Marx itu dan mengetahui pula buku seperti itu hanya boleh mempengaruhi pemimpin politik esentrik dan berjiwa militan seperti Vladimir Lenin (yang instrumental dalam pembunuhan Tsar Nicholas II dan mengakhiri kerajaan beraja Rusia) serta Chin Peng yang terlibat dalam mengusahakan PKM untuk dijadikan sebagai sistem pemerintahan Tanah Melayu, sudah tentu lagi beliau dan rakan-rakan lain tidak turut melibatkan diri dalam perjuangan komunis di Malaya.
Ada ketikanya kita perlu melihat sejarah bukan semata-mata dari urutan kronologi peristiwa dan dramatis personalnya, atau lebih-lebih lagi menelan sejarah sebagaimana yang disogokkan oleh sesebuah parti politik yang mahu mengambil seluruh kredit dari sesuatu peristiwa penting demi kepentingan politiknya, tetapi sebaliknya melihat sejarah dari sudut yang lebih luas dan lebih adil. Justeru, perihal keperwiraan Mat Indera yang ditimbulkan Mat Sabu ini adalah merupakan satu daripada ketika tersebut
Tiada ulasan:
Catat Ulasan