Jumaat, 16 September 2011

TNB sila jawab bil elektrik RM6,647.50.


Aduan Rakyat Online, 13 Sep 2011. Bil elektrik meningkat sebanyak RM6,504.13 dalam masa 1 bulan - Saya adalah pengguna bekalan elektrik biasa. Saya sekeluarga tinggal di rumah teres 2 tingkat yang biasa. Kebiasaannya, bil elektrik bulanan saya adalah di dalam lingkungan RM100.00 – RM 175.00 sebulan. Namun, pada bil bulan Jun (17/06/2011) amaun yang tercatat adalah sebanyak RM 6,539.85.


Saya berasa amat terkejut dengan amaun yang dikenakan ini dan berasa amat teraniaya. Saya telah pergi ke Kedai Tenaga TNB di Seksyen 11 Shah Alam pada 17/06/2011 untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak TNB.  

Pegawai Kedai Tenaga TNB Shah Alam tersebut berjanji akan cuba menyelesaikan masalah pembilan yang melampau ini. Beliau juga menyatakan bahawa kes ini adalah ganjil kerana amaun pembilan meningkat secara mendadak dalam masa 1 bulan.
 
Alasan yang dikemukakan adalah mungkin kerana amaun tersebut adalah disebabkan pelarasan average bil bulanan saya. Mungkin pada pembilan seterusnya, amaun 6,539.85 akan lupus setelah bacaan sebenar meter dibuat.
 
Tindakan yang telah dijanjikan oleh pegawai Kedai Tenaga TNB Shah Alam ini sementara menanti bil elektrik rumah menjadi normal adalah beliau akan memaklumkan kepada pasukan teknikal untuk menahan notis pemotongan bekalan elektrik rumah saya daripada dihantar kepada saya.
 
Ini kerana, jika notis tersebut telah dihantar, saya perlulah membuat bayaran penuh amaun pembilan atau berhadapan dengan kemungkinan rumah saya akan bergelap serta merta kerana bekalan elektrik dipotong serta merta. Saya pun berasa lega dengan janji tersebut.
 
Seterusnya, pada 17/07/2011 saya telah menerima bil bekalan elektrik bulan Julai daripada TNB dan amaun yang tercatat adalah RM 6,691.60. Sekali lagi pada 28/07/2011 saya telah pergi menemui pegawai Kedai Tenaga TNB Shah Alam ini untuk mendapatkan penjelasan berhubung keganjilan bil elektrik saya.
 
Pegawai Kedai Tenaga TNB Shah Alam ini memberitahu bahawa pembilan bulan Julai adalah dibuat secara estimation atau anggaran. Itulah sebabnya, bil yang tercatat masih lagi tinggi. Beliau juga memberitahu bahawa bil pada bulan Ogos akan dibuat secara normal iaitu bacaan tenaga yang digunakan dibuat secara terus daripada meter pelanggan.
 
Seperti bulan sebelumnya, pegawai Kedai Tenaga TNB Shah Alam ini berjanji untuk menahan notis pemotongan bekalan elektrik rumah saya daripada dihantar kepada saya bagi mengelakkan sebarang pemotongan bekalan elektrik ke rumah saya daripada berlaku.
 
Namun, pada 19/08/2011 saya sekali lagi masih menerima bil bekalan elektrik dengan amaun yang sangat mengejutkan iaitu RM 6,647.50. Jadi, disebabkan saya sudah muak dengan jawapan yang telah saya terima sejak 17/06/2011, maka saya memajukan aduan ini kepada Aduan Rakyat agar masalah yang saya hadapi ini dipandang serius oleh pihak TNB terutamanya pihak TNB Shah Alam yang pada hemat saya bersikap dolak dalik dan tidak telus dalam tindakan menyelesaikan masalah pengguna.
 
Semoga kes saya ini menjadi iktibar kepada pengguna-pengguna lain yang menghadapi masalah serupa.
 
Saya pohon kepada pihak TNB untuk menyiasat kes amaun bil elektrik melampau yang dibilkan kepada saya SEGERA!
 
By: Rokhiza

Tiada ulasan:

Catat Ulasan