Jumaat, 16 September 2011

Luahan Anak Merdeka


Oleh AHMAD TAJDID

DARURAT yang diIsytiharkan penjajah British di Tanah Melayu pada Jun 1948 baghttp://img692.imageshack.us/img692/1228/pkmx.jpgi menghapuskan penentangan bersenjata Parti Komunis Malaya (PKM) adalah salah satu episod hitam dalam sejarah negara.

Dalam usaha mengekang penularan pengaruh komunis, penjajah British mengambil tiga langkah utama iaitu mengharamkan parti politik berhaluan kiri; menangkap sesiapa sahaja yang disyaki terlibat dengan kegiatan komunis serta dibuang negeri; juga menjatuhkan hukuman bunuh kepada sesiapa yang dianggap bersubahat dengan komunis.

Dalam usaha mengekang pengaruh gerakan komunis yang dipelopori Parti Komunis Malaya (PKM), ramai aktivis politik Melayu yang terlibat dalam Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) serta sayapnya, Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Angkatan Wanita Sedar (Awas) turut ditahan, dipenjara dan diseksa dalam tahanan atas dakwaan bersubahat dengan PKM.

Salah seorang anak bekas aktivis PKMM yang menjadi ‘saksi mata’ era tersebut, Shaukany Hamzah, 69, tampil mencerita pengalaman dialami ayahnya yang menjadi mangsa penjajah Inggeris sematamata kerana terlibat dalam PKMM.

Menurut Shaukany, ayahandanya, Hamzah Binu ialah aktivis PKMM (atau disebut Pekemam) di Hulu Beranang. Penglibatan Hamzah dalam PKMM juga menyebabkan beliau bergaul rapat dengan aktivis API dan Awas di daerah tersebut.

Perjuangan PKMM pimpinan Dr Burhanuddin Al-Helmy dan Ishak Muhammad (Pak Sako) dalam memupuk kesedaran orang Melayu bagi menuntut kemerdekaan pada waktu itu sampai ke kemuncak apabila slogan “Merdeka” sentiasa berkumandang dalam rapat umum dan pertemuan dianjurkan PKMM.

PKMM ditubuhkan pada 1946 dan menjadi parti Melayu paling awal dibentuk selepas era pemerintahan Jepun (1942-1945) di Tanah Melayu. Ketua API, Ahmad Boestamam, pada 21 Disember 1946 menghasilkan buku kecil Testament Politik API yang menggariskan tujuan-tujuan politik kewujudan API dengan slogan “Merdeka Dengan Darah.”

Sifat radikal PKMM, API dan Awas dalam menuntut kemerdekaan dilihat sebagai ancaman oleh penjajah British. Ekoran pembunuhan tiga pengurus ladang berbangsa Inggeris di Sungai Siput, Perak pada 1948 oleh gerila komunis, British mengisytiharkan darurat di seluruh Malaya. Sebulan kemudiannya, PKM dan parti-parti politik berhaluan kiri termasuk PKMM diharamkan British.

Ramai aktivis PKMM ditahan dan merengkok dalam penjara British atas dakwaan bersubahat dengan PKM.

Antara yang menjadi mangsa ialah Hamzah dan empat rakannya. Mengimbau kisah pada hari kejadian, Shaukany masih teringat bagaimana ayahnya bersama empat lagi rakan iaitu Ariffin Gunung, Mohamad Hashim, Salleh Ubi dan Haji Nukman diarahkan datang ke rumah pasong Broga oleh seorang mata-mata gelap British berbangsa Melayu dikenali sebagai Daimun. Lima orang aktivis PKMM itu kemudiannya ditahan tanpa sebarang pertuduhan dan dibawa ke Rumah Pasong Kajang.

Beliau yang ketika itu baru berusia enam tahun menceritakan bagaimana ketika melawat ayahnya di Kajang, satu kain rentang dipasang polis British di luar rumah pasong tersebut. Beliau dimaklumkan abangnya yang kain rentang itu bertulis Communist arrested (komunis ditangkap) dengan menyenaraikan nama ayahnya dan empat lagi penduduk kampung yang ditahan.

“Saya hairan bagaimana polis penjajah begitu mudah melabelkan ayah saya sebagai komunis sedangkan beliau ahli PKMM yang taat beragama. Beliau tidak pernah masuk hutan apatah lagi menyertai gerila komunis.

“Ayah saya bekerja kampung dengan mengusahakan sawah. Dia juga mendapat hasil daripada kebun getah yang dimilikinya. Dia sibuk dengan aktiviti hariannya untuk menyara kami empat beradik,” jelasnya

Hamzah dan empat rakannya kemudian dibawa pula ke Penjara Pudu dan ditahan selama 14 hari sebelum dipindahkan ke Kem Tahanan Tanjung Beruas, Melaka.

Beliau ditahan selama satu setengah tahun di kem tahanan tersebut. Apa yang mendukacitakan Shaukany adalah tekanan dan diskriminasi dihadapi keluarganya sepanjang ayahnya ditahan penjajah British.

“Tali barut penjajah British menakut-nakutkan orang kampung supaya jangan bergaul dengan kami, malah melarang penduduk daripada melintasi kawasan rumah kami. Alasannya kami sekeluarga menyokong komunis,” ujarnya mengingati saat getir itu.

Hasil propaganda talibarut penjajah British, abang sulung beliau tidak diterima masuk ke sekolah Inggeris manakala kakaknya gagal mendapat tempat di Malay Girl College, Melaka.

Nasib menyebelahi beliau apabila diterima masuk ke Sekolah King George V, Seremban setelah ayahnya dibebaskan daripada tahanan. Itu pun setelah lulus peperiksaan khas di peringkat daerah.

Shaukany bagaimanapun menerima biasiswa negeri walaupun meyakini Pengetua Sekolah King George V G Sucklif ialah seorang perisik British.
Beliau pernah terserempak dengan Sucklif di kampungnya ketika sedang menjual buah-buahan.

Beliau yakin pengetuanya itu membuat kerja-kerja risikan. Selepas menamatkan pengajian di King George V College, Shaukany diterima bekerja dengan Keretapi Tanah Melayu (KTM) sebagai juruteknik. Beliau kemudiannya mengikuti pengajian luar kampus di Institut Teknologi Mara (ITM) dan berkhidmat sebagai Pegawai Penguatkuasa Majuternak setelah lulus Diploma Pentadbiran Awam (DPA).

Shaukany kemudiannya melanjutkan pengajian di peringkat ijazah pertama dan sarjana di Amerika Syarikat dan menjawat Penolong Pengurus di Haulage Industry, Kontena National sekembalinya ke tanah air.

Ketua Pegawai Operasi (CEO) Yayasan Pengurusan Ilmu itu juga pernah berkhidmat di Inspen dan Unisel sebagai pensyarah. Sebagai anak aktivis PKMM, beliau menggesa agar perjuangan golongan kiri politik Melayu diiktiraf dalam sejarah negara.

“Ramai yang tidak mengetahui bahawa ada sebuah kampung bernama Jenderam di Sepang dibakar hangus tentera British hanya semata-mata kerana majoriti penduduknya menyokong PKMM.

Penduduk kampung itu dihalau keluar dari kampung dan terpaksa berhijrah ke tempat lain,” ujarnya.

Bagi Shaukany, kontroversi Mat Indera dan serangan komunis terhadap rumah pasong Bukit Kepong membabitkan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu perlu dijadikan iktibar untuk para sejarawan tanah air menilai kembali penulisan sejarah negara.

Menurutnya, dalam usaha British memerangi dan membanteras pengaruh komunis, ramai pejuang kemerdekaan Melayu yang terlibat dalam PKMM, API dan Awas dituduh sebagai komunis dan didakwa bersubahat dengan PKM.

“Propaganda British ini menyebabkan mereka dipandang serong dan dipinggirkan dalam pengkisahan sejarah kemerdekaan negara,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan