20 September 2011
KEPUTUSAN rayuan untuk kemasukan ke IPTA telah pun selesai diumumkan pada 16 September 2011 yang lalu. Seperti yang saya jangkakan dan terbukti apabila pihak Kementerian Pengajian Tinggi masih melagukan rentak lama dan skrip yang standard tentang kegagalan pelajar Matrikulasi mendapat tempat ke IPTA.
* Pelajar bersalah kerana tidak pandai pilih kursus dan hanya pilih kursus-kursus popular yang tempatnya terhad;
* Pemilihan adalah berdasarkan merit akademik dan kokurikulum;
* Nisbah pelajar wanita yang melebihi lelaki, maka harus diseimbangkan.
Namun begitu, persoalan saya seperti yang tersiar di ruangan ini pada bulan Julai lalu masih belum dijawab kementerian:
* Jika sekiranya pelajar-pelajar tidak pandai memilih kursus ikut kelayakan, kenapa pihak kementerian yang sedia arif itu tidak menawarkan kursus yang mereka layak mengikut budi bicara kementerian? Harus diingat, ketika permohonan awal dahulu, pelajar yang memilih "YA" untuk ditawarkan kursus selain pilihannya tetap tidak menerima tawaran dan disuruh membuat rayuan.
Ketika membuat rayuan pula, kementerian meletakkan penafian (disclaimer) yang pihak kementerian berhak menawarkan kursus selain yang dipohon pelajar.
* Apakah sebenarnya kelayakan masuk universiti benar-benar bersandarkan merit kerana pelajar aktif pun tidak mendapat tempat? Kalau bersandarkan merit, anak saudara saya ialah Presiden Kelab Kembara di Pusat Matrikulasi beliau dan aktif dalam pementasan drama selain mempunyai CGPA 3.09. Tinggi sungguhlah merit diletakkan kalau aktif sebegini pun masih dikira belum cukup layak.
* Ke mana hala tuju pelajar-pelajar Matrikulasi yang terpinggir ini? Adakah kementerian akan membantu mendapatkan tempat di IPTS sebagai alternatif? Saya tidak kisah kalau pelajar tersebut gagal (sememangnya tidak layak) malah jauh sekali mendapat keputusan sekadar 'cukup makan', tetapi pelajar-pelajar terpinggir ini ialah pelajar-pelajar cemerlang dan bertungkus lumus selama dua semester di Pusat Matrikulasi.
* Cuba kita lihat pengambilan Matrikulasi yang sebegitu banyak untuk tahun ini. Apa gunanya kementerian begitu ghairah mengambil ramai pelajar Matrikulasi sekiranya selepas tamat pengajian, tempat mereka di universiti tidak terjamin? Adalah lebih baik mereka ini menerima tawaran Diploma sekiranya mereka tahu kesudahan mereka adalah sebegini.
* Merujuk kepada nisbah pelajar lelaki dan wanita yang tidak seimbang. Ini bukan maklumat baru kerana kementerian sudah pun tahu semasa kemasukan pelajar-pelajar ke Matrikulasi mengenai berapakah jumlah pelajar wanita berbanding lelaki. Bukankah sesuatu yang tidak adil sekiranya ada di antara pelajar-pelajar perempuan Matrikulasi yang tidak mendapat tempat hanya kerana hendak diseimbangkan nisbah ini?
* Kerajaan telah membelanjakan duit yang banyak membina Pusat Matrikulasi di seluruh negara, malah memberi pembiayaan penuh kepada pelajar-pelajarnya sepanjang mereka menuntut ilmu di sana. Bukankah satu pembaziran jika mereka ini dipinggirkan di hujung jalan?
Sememangnya kementerian cuba berlaku adil dengan memberi peluang para lepasan STPM dan Diploma yang turut bertungkus lumus belajar untuk mendapat tempat di universiti.
Namun demikian, jangan dinafikan hak pelajar-pelajar Matrikulasi ini kerana beradanya mereka di Matrikulasi ialah sebagai habuan atas usaha keras mereka semasa di peringkat SPM dulu.
Jika melihat dari sudut lain pula, siapakan lebih teraniaya antara ketiga-tiga golongan ini sekiranya tidak mendapat tempat ke universiti? Para pelajar diploma sudah boleh selesa menjawat jawatan pegawai dengan diploma yang disandang. Pelajar-pelajar STPM sudah semestinya lebih bernasib baik berbanding pelajar-pelajar Matrikulasi yang terpaksa mencari kerja hanya berbekalkan sijil SPM.
Sekiranya hendak berbicara tentang prinsip adil pula, saya cadangkan tutuplah sahaja Pusat Matrikulasi dan biarkan semua pelajar bersaingan melalui STPM. Janganlah menganiaya pelajar-pelajar ini dengan membiarkan mereka menghabiskan dua semester untuk belajar tanpa mendapat apa-apa pulangan selain kerugian masa dan duit kerajaan.
PEDANG BERTUAH
Kuala Lumpur
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0920&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_01.htm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan