Rabu, 5 Jun 2013

hudud

HUDUD BERMULA DARI RUMAH

Dari segi bahasa, HUDUD itu maksudnya HAD ataupun BATASAN. Maka hudud ini bukanlah cerita potong tangan semua tu Tetapi lebih kepada PENCEGAHAN. Tetapi apabila hudud diangkat menjadi satu perundangan, ia dipasangkan dengan qisas iaitu hukuman apabila hudud dilanggar (Orang Islam biasa pun boleh faham dan jelaskan perkara ini walaupun bukan ulama).

Status saya sebelum ini tentang "Snow White" mengundang rasa yang kurang senang sebahagian ibu bapa yang menjadikan fairy tales itu sebagai hidangan kepada anak mereka.

KITA IALAH APA YANG KITA DENGAR & PANDANG, Maka sebagai ibu bapa kita tak boleh tutup terus mata anak kita mahupun tutup terus tv tetapi sebaliknya kita tapis mengikut kesesuaian penerimaan mengikut umur.

Saya mudahkan sedikit penjelasan ini. Kenalkan batasan kepada anak-anak semenjak kecil. Apabila mereka kenal batasan itu baru kita kenalkan kepada hidangan terbuka dalam segala wacana dengar & pandang dan sertakan TAUSIAH kepada mereka. SELEPAS Baligh baru kita benarkan mereka melihat dan mendengar kemudian membuat keputusan terbimbing.

Jika anda rasa mengongkong menjadikan anak bodoh anda perlu fikir semula. Ibadat puasa juga adalah satu bentuk kongkongan. Kita dikongkong dengan benda yang halal pada hari biasa tetapi kita didisiplankan untuk tidak melakukannya. Itu juga satu kongkongan nafsu dan input jasmani.

Anak tak akan kenal batasan jika batasan tidak dibiasakan dari kecil. Kita tak boleh jaga mereka selama-lamanya tapi kita mampu untuk jadikan mereka orang yang berfikir. Jika masih bayi kita tak beri makan nasi kepal, bila dah ada gigi baru kita berikan makanan yang lebih keras. Itu semua proses mengikut kesesuaian umur.

Kenapa saya tak tayang cerita fairy tales kepada anak? Jawapannya bukanlah susah sangat, kerana kita ada input yang lebih banyak yang baik untuk dihidang pada mereka. Dengan input baik itu kita mampu menunjukkan mereka yang baik itu lebih indah. Sampai masa kita cuba tayangkan yang tidak baik walaupun di celah-celah yang baik, pasti kita mampu lihat anak-anak kita berfurqan kesan dari hudud yang kita kenalkan.

Jika anda rasa apa yang anak anda tonton dan dengar tidak perlu dikawal, anda sebenarnya tidak melaksanakan hudud kepada mereka sebelum mereka baligh yang membuatkan mereka mampu menghudud diri sendiri apabila aqil baligh.

Allah juga tidak berfirman "Jangan Berzina" tetapi Allah berfirman "JAUHI zina". Ada beza besar tu...JAUHI bermakna segala sesuatu yang menghampiri kepada perbuatan itu dari segala aspek perlukan hudud. Prejudis itu sebenarnya tidak salah sepanjang masa. Cemburu itu juga disebabkan oleh prejudis. Dan dayus lah seorang lelaki yang tidak cemburu akan isteri dan anak

هو الذي لا يغار على أهله

Dayus ertinya : "seseorang yang tidak ada perasaan cemburu (kerana iman) terhadap ahlinya (isteri dan anak-anaknya) (An-Nihayah,2/147 ; Lisan al-Arab, 2/150)

Jika hudud berlaku dari rumah, qisas mungkin tak berlaku lagi.

Hari ini parti politik jadikan isu hudud sebagai asas perjuangan sedangkan hudud boleh kita mulakan dari rumah sendiri. Jangan berbahas di sini sebaliknya anda tahu anda berada di mana. Saya tidak bercakap hanya atas pengalaman terhadap anak saya yang kecil lagi tetapi pengalaman membesar dan menjaga 95 orangWarga Prihatin yang pernah dari kecil dan ada yang akan mendirikan rumahtangga pada hujung tahun ini.

Jangan percaya kata saya, anda pergi sahaja lihat perlaksanaan dan HASIL yang telah ada di sana. 95 orang sekiranya seorang 1 masalah bermakna ada 95 masalah perlu kami selesaikan setiap hari dan pasti semuanya ada khazanah dalam quran dan sunnah yang boleh dipelajari. Kami hududkan mereka dari awal lagi sehingga kini mereka belajar di Universiti juga mampu untuk menghududkan diri sendiri.

Hudud itu mudah, cuma orang ingat ia susah sangat. Dan ada sebahagian orang dah laksana hudud lama dah cuma tak tahu itu namanya hudud.

Ramai orang ingat, hudud itu adalah qisas.

SAIFUL NANG
Menulis untuk mereka yang kritis.

Real

Realiti seorang banduan di penjara Sg Buloh - siri 1

Terlalu banyak cerita yang nak dikongsikan sepanjang aku di Sg Buloh. Patutlah bila ditanya kepada bekas tahanan ISA, setiap hari dalam tahanan pasti ada cerita baru..sedangkan aku hanya berada di sana selama 3 hari 2 malam. Cabaran aku sebenarnya telah bermula sebaik sahaja mengambil keputusan supaya tidak dijamin…lawyer cuba pujuk, tapi aku nekad untuk teruskan niat protes…Sudah kali keempat aku ditahan, tapi belum pernah bermalam di lokap mahupun penjara.

Setelah 4 orang diikat jamin, tinggal lah aku seorang diri di dalam lokap mahkamah Duta..kemudian dipindahkan bersama 35 banduan lain yang telah selesai perbicaraan dan akan dibawa kembali ke penjara Sg Buloh. Lokap cukup bising dan ditambah dengan bau yang meloyakan. Aku dilihat seperti orang asing, sorang-sorang datang berjumpa bertanyakan “ Kau ni kes apa? Seksyen berapa? ”.

Apa yang sudah menjadi kebiasaan banduan ni adalah menghafal seksyen-seksyen yang berkaitan dengan kes mereka. Sorang ni cakap aku 39 (B) (kes dadah), aku ni pulak seksyen 9 (kes senjata api), yang sorang ni pulak seksyen 302 (kes bunuh), seksyen 376 (kes rogol) dan seksyen bla bla bla. Sekali aku pun menjawab, “ Aku seksyen 4 Akta Hasutan ”. Hah??? Semuanya ternganga mulut bila aku sebut kes yang aku dituduh. Tak pernah dengar pun! Aku hanya mampu tersenyum, nanti lah aku cerita panjang.

Datang sorang brader ni duduk sebelah aku, kepala masih botak licin dan hanya sikit je rambut yang baru tumbuh. (seperti orang baru). Aku beranikan diri bertanyakan soalan kepadanya dulu sebelum dia mula bertanya. “Abang ni baru lagi ke duk lokap penjara? Dia jawab, baru jugak lah. Ni dah hari ke-90. Terkejut aku dibuatnya, hari ke-90 pun masih dikira baru. Tapi aku nak tanye kau satu soalan ni, “ Siapa ketua polis negara sekarang ni? Aku dengar-dengar dah tukar..Ya bang, dah tukar. Dulu Ismail Omar, sekarang Khalid Abu Bakar. Brader tu seolah-olah terkejut dan mengeluh, “Alamak, susah la aku macam ni..” (Agaknya brader tu tahu macam mana perangai KPN baru kot) Soalan kedua yang ditanya, PRU13 baru ni sape menang ye? lagi terkejut aku dibuatnya. (dan baru aku tahu betapa sengsaranya banduan, berita luar langsung tak tahu).

Datang pulak sorang brader terus menunjukkan lagak sebagai orang lama, dan kononnya niat hanya membantu. “ Kau ni masuk dalam penjara nanti, kau duduk la dengan kami..selamat sikit kau ni, kalau tak nanti kau kena buli..(dalam hati, boleh percaya ke mamat ni) Aku jawab, ok ok.. Kau ada duit tak? Nanti nak beli rokok ke, roti ke, air minuman ke, aku boleh tolong dapatkan..Nah, aku dah agak tu point sebenarnya. Aku hanya tersengih dan jawab, “ Mana ada duit bang, dalam dompet ni ada la dua ringgit..aku dah agak diorang ni memang nak “pau” duit.

Lepas aku kena, yang lain pun turut kena “pau”. Ada yang bagi dan ada yang tak bagi. Lepas diorang dapat duit tu, diorang gulung jadi kecik dan diorang bungkus ketat-ketat dalam cebisan plastik roti Gardenia supaya betul-betul mampat. Kemudian (aku terpaksa cerita realiti), salah seorang dari banduan memasukkan apa yang di istilahkan di penjara sebagai “roket” ke dalam dubur. Itulah yang dinamakan proses penyeludupan di penjara. Hanya mahkamah tempat mereka boleh seludup, kalau penjara terlalu sukar. Sebab itu ramai dari banduan ternanti-nanti sekiranya mereka akan dibawa ke mahkamah, ia boleh diibaratkan sebuah percutian setelah lama merengkok di Sg Buloh.

Dan mereka akan menggunakan duit tersebut untuk berurusan di penjara kelak. Aku dapat mengagak sebab pernah dengar cerita-cerita sebelum ni. Kali ni aku lihat dengan mata kepala sendiri! Apalah nasib aku nanti kat penjara, dalam lokap mahkamah pun dah jadi macam-macam. Hampir jam 4 petang, aku masih belum solat zohor dek kerana urusan yang terlampau birokrasi. Aku buat keputusan, biarlah aku solat dalam lokap ni sahaja walaupun berbau air kencing yang teramat sangat. Perangai banduan, faham saja lah bagaimana. Aku ambil wudhu dan terus ambil penjuru hujung lokap yang padat dengan banduan. Sejurus aku mengangkat takbir, seorang konstabel polis menjerit, “ Nanti !!. ni ambik sejadah ”. Mujurlah, aku ingatkan masih tak dibenarkan solat tadi.

Usai aku solat, rupanya 4 ke 5 orang sedang menantikan aku habis solat untuk bergilir-gilir menunaikan solat Zohor kerana waktu sudah hampir tamat. Dalam hati terdetik, alhamdulillah..satu dakwah aku buat mereka..aku mulakan, dan mereka terus mengikut…

Hampir jam 5 petang barulah selesai semua urusan di mahkamah..dan aku dengan 35 banduan disumbat-sumbat sehingga muat ke dalam black maria untuk dibawa ke penjara Sg Buloh. Semua terpaksa berhimpit-himpit dengan gari yang berantai. Kesian betul aku pada seorang banduan yang aku rasa sudah warga emas (kantoi kes dadah) terpaksa berhimpit dan kadang-kadang aku tengok sehingga sesak nafas. Inilah nasib banduan rupanya.

Kami diiringi dua kereta peronda polis dan aku agak hanya lebih kurang 30 minit kami sudah tiba di penjara Sg Buloh.(memandangkan aku selalu ulang-alik ke rumah isteriku di Sg Buloh) Mana tidaknya, kami semua dah macam ikan sardin disumbat dalam black maria dan di bawa pecut laju semahunya. Tak kira lubang jalan ke, selekoh ke redah saja. Nasib kami aku lah. Aku hanya mampu berzikir dalam hati “cukuplah Allah sebaik-baik pelindung”.

Sesampainya kami di Penjara Sg Buloh, semua bergegas turun. Kedengaran laungan dari jauh, “ Wei, cepatlah sikit ”. Brader sebelah aku cakap, “ Ha, cikgu sudah datang ”. Baru aku tahu. Oh itulah istilah mereka untuk pegawai penjara. Mereka semua dipanggil ‘Cikgu’. Dan ada yang satu lagi dipanggil U.K.P. (nanti aku cerita) Mereka ini lagi digeruni daripada cikgu-cikgu.

Kami semua diminta beratur dihadapan sebuah pintu besi yang berwarna hijau. Semua banduan baru termasuk aku hanya diam membisu menantikan apa yang ada di sebalik pintu besi ini. Kemudian kami diminta masuk dengan pantas setelah pintu dibuka. Aku agak pintu itu setebal 6 ke 7 inci tebalnya. Cukup kukuh dan menggerunkan! Bermulalah kehidupan aku di penjara Sg Buloh…

Bersambung…

Sabtu, 1 Jun 2013

Jin



Dunia semata

Gunung Merapi meledak pada 10 November 2010 dan mengakibatkan352 orang tekorban dan lebih 300 000 penduduk kehilangan tempat tinggal. Ledakan pada tahun 2010 adalah ledakan terkuat gunung berapi ini sejak direkodkan pada tahun 1872. Selepas ledakan, ketinggian Gunung Merapi berkurangan sebanyak 38 meter. Kebanyakkan kerosakan berlaku akibat aliran pyroklastik yang turun dari bukit. Akibatnya rumah penduduk hangus terbakar oleh aliran debu dan batuan yang panas ini. Seorang mangsa yang dikenali sebagai Wati membuka Musium Sisa Hartaku di bekas tapak rumah beliau. Muzium ini menempatkan segala harta benda beliau yang musnah akibat ledakan 2010. 




Jumaat, 31 Mei 2013

bayi ajaib Subhanallah :)

Di Jinhua, Provinsi Zheijiang berlaku insiden sadis dimana seorang bayi lelaki dibuang kedalam tandas awam oleh ibunya. Bayi ni bernasib baik kerana tidak dapat diflush sepenunya dan tangisan beliau didengari oleh orang ramai. Pihak bomba kemudian terpaksa memotong saluran tandas bagi menyelamatkan bayi yang terperangkap ini. Pihak media China melaporkan bayi ini selamat tetapi mengalami keretakan tengkorak kerana tersekat di dalam paip tandas. Paling mengejutkan ialah panggilan kecemasan memanggil bomba dilakukan sendiri oleh ibu yang membuang si bayi. Ibu tunggal berusia 22 tahun ini membuang bayi beliau kerana stigma masih belum berkahwin. Sungguhpun begitu beliau tidak sampai hati mendengar tangisan anak beliau yang tersekat. 







“Bayi berusia dua hari itu ditemui, selepas penduduk melaporkan mereka mendengar bunyi tangisan,” lapor stesen televisyen itu.

Selepas mengesan kedudukan bayi anggota bomba memotong saluran paip yang mempunyai ukur lilit 10 sentimeter menggunakan playar dan gergaji dengan berhati-hati.

Saluran paip yang sudah dipotong dengan bayi di dalamnya itu kemudian dibawa ke hospital selepas cubaan mereka untuk menariknya keluar tidak berjaya.
Ia kemudian diserahkan kepada doktor yang mengambil masa kira-kira sejam memotong saluran itu sedikit demi sedikit hingga berjaya mengeluarkan bayi seberat 2.3 kilogram dengan uri masih terlekat pada tubuhnya.

Akhbar milik kerajaan Zhejiang News melaporkan, keadaan bayi itu yang diberi nama Bayi No 59, berdasarkan nombor inkubatornya, kini stabil dan selamat.

Saksikan video di bawah:-


ting

TINGG!

Wang syiling itu jatuh di hadapan seorang lelaki yang sedang asyik membancuh simen. Melihat logam kecil itu,tangan lelaki itu terhenti melakukan kerja. Tidak menunggu lama, tangannya segera mengutip syiling itu dan dimasukkan ke dalam poketnya. Dia menyambung semula kerjanya.

TINGG!

Sekali lagi lelaki itu terpandang duit syiling tidak jauh dari sisinya. Lelaki itu menoleh ke kiri, kanan dan di sekelilingnya. Tiada siapa yang berdekatan dengannya. Sekali lagi dia terus mengambil syiling itu dan menyimpan dalam koceknya.Tidak lama kemudian, lelaki itu ternampak lagi duit syiling berdekatan dengannya. Pun sama, dia mengambil dan menyimpannya.“Rezeki aku!” kata lelaki itu dalam hati.

Lelaki itu tidak sedar, logam syiling itu sebenarnya dicampakkan oleh ketuanya daripada aras lapan bangunan separuh siap yang mereka bina itu. Sebenarnya, ketuanya mahu memanggilnya. Ada pesanan yg mahu disampaikan ketuanya itu.

Puas ketuanya menjerit daripada aras lapan, cuba memanggil lelaki itu yang berada pada aras paling bawah. Namun, jeritan itu tidak mampu mengalahkan pelbagai bunyian mesin pembinaan di kawasan tersebut. Dek kerana itulah, ketuanya itu mencampakkan syilingnya dengan harapan lelaki itu akan mendongak melihatnya di atas. Mudah-mudahan, dapatlah dia menyampaikan pesananya kepada pekerjanya itu.

Sayangnya, sehingga habis wang syilingnya dibaling ke bawah, lelaki itu masih belum juga mendongak ke atas.Lantas, ketuanya itu mengumpulkan serpihan batu kecil yg terdapat di lantai. Satu persatu batu kecil itu dibaling ke bawah.
Beberapa kali batu itu mengenai badan lelaki itu. Setelah merasa sakit dan terganggu, lelaki itu mendongak ke atas, melihat dari mana datangnya batu-batu kecil yang menyerangnya tadi. Barulah dia ternampak kelibat ketuanya yang sejak tadi cuba mencuri perhatiannya bagi menyampaikan pesanan.

P/s: Sahabat sekalian, kisah ini sekadar tamsilan antara kita dengan Yang Maha Pencipta. Tanpa sedar, Allah sering menjatuhkan ‘syiling’ lambang rezeki, rahmat atau kesenangan yg tidak terkira banyak kepada kita. Tuhan menjatuhkan ‘syiling’ itu sebagai satu panggilan agar kita sentiasa mendongak ke atas untuk mengingati dan bersyukur dengan kurniaan-Nya. Tetapi, kita acap kali lalai untuk ‘mendongak’ ke atas sebaliknya terus menikmati pemberian-Nya tanpa mengucapkan terima kasih.

Seperti kisah ketua dan pekerja tadi, apabila jatuhan syiling tidak berjaya menarik perhatian, lalu Dia jatuhkan pula ‘batu’ yang berupa musibah, kegagalan, keperitan dan pengalaman yang menyakitkan. Dan hanya setelah kita merasa kesakitan itu, barulah kita teringat untuk mendongak, menadah tangan bersyukur mengingati Yang Maha Pencipta kita