HUDUD BERMULA DARI RUMAH
Dari segi bahasa, HUDUD itu maksudnya HAD ataupun BATASAN. Maka hudud ini bukanlah cerita potong tangan semua tu Tetapi lebih kepada PENCEGAHAN. Tetapi apabila hudud diangkat menjadi satu perundangan, ia dipasangkan dengan qisas iaitu hukuman apabila hudud dilanggar (Orang Islam biasa pun boleh faham dan jelaskan perkara ini walaupun bukan ulama).
Status saya sebelum ini tentang "Snow White" mengundang rasa yang kurang senang sebahagian ibu bapa yang menjadikan fairy tales itu sebagai hidangan kepada anak mereka.
KITA IALAH APA YANG KITA DENGAR & PANDANG, Maka sebagai ibu bapa kita tak boleh tutup terus mata anak kita mahupun tutup terus tv tetapi sebaliknya kita tapis mengikut kesesuaian penerimaan mengikut umur.
Saya mudahkan sedikit penjelasan ini. Kenalkan batasan kepada anak-anak semenjak kecil. Apabila mereka kenal batasan itu baru kita kenalkan kepada hidangan terbuka dalam segala wacana dengar & pandang dan sertakan TAUSIAH kepada mereka. SELEPAS Baligh baru kita benarkan mereka melihat dan mendengar kemudian membuat keputusan terbimbing.
Jika anda rasa mengongkong menjadikan anak bodoh anda perlu fikir semula. Ibadat puasa juga adalah satu bentuk kongkongan. Kita dikongkong dengan benda yang halal pada hari biasa tetapi kita didisiplankan untuk tidak melakukannya. Itu juga satu kongkongan nafsu dan input jasmani.
Anak tak akan kenal batasan jika batasan tidak dibiasakan dari kecil. Kita tak boleh jaga mereka selama-lamanya tapi kita mampu untuk jadikan mereka orang yang berfikir. Jika masih bayi kita tak beri makan nasi kepal, bila dah ada gigi baru kita berikan makanan yang lebih keras. Itu semua proses mengikut kesesuaian umur.
Kenapa saya tak tayang cerita fairy tales kepada anak? Jawapannya bukanlah susah sangat, kerana kita ada input yang lebih banyak yang baik untuk dihidang pada mereka. Dengan input baik itu kita mampu menunjukkan mereka yang baik itu lebih indah. Sampai masa kita cuba tayangkan yang tidak baik walaupun di celah-celah yang baik, pasti kita mampu lihat anak-anak kita berfurqan kesan dari hudud yang kita kenalkan.
Jika anda rasa apa yang anak anda tonton dan dengar tidak perlu dikawal, anda sebenarnya tidak melaksanakan hudud kepada mereka sebelum mereka baligh yang membuatkan mereka mampu menghudud diri sendiri apabila aqil baligh.
Allah juga tidak berfirman "Jangan Berzina" tetapi Allah berfirman "JAUHI zina". Ada beza besar tu...JAUHI bermakna segala sesuatu yang menghampiri kepada perbuatan itu dari segala aspek perlukan hudud. Prejudis itu sebenarnya tidak salah sepanjang masa. Cemburu itu juga disebabkan oleh prejudis. Dan dayus lah seorang lelaki yang tidak cemburu akan isteri dan anak
هو الذي لا يغار على أهله
Dayus ertinya : "seseorang yang tidak ada perasaan cemburu (kerana iman) terhadap ahlinya (isteri dan anak-anaknya) (An-Nihayah,2/147 ; Lisan al-Arab, 2/150)
Jika hudud berlaku dari rumah, qisas mungkin tak berlaku lagi.
Hari ini parti politik jadikan isu hudud sebagai asas perjuangan sedangkan hudud boleh kita mulakan dari rumah sendiri. Jangan berbahas di sini sebaliknya anda tahu anda berada di mana. Saya tidak bercakap hanya atas pengalaman terhadap anak saya yang kecil lagi tetapi pengalaman membesar dan menjaga 95 orangWarga Prihatin yang pernah dari kecil dan ada yang akan mendirikan rumahtangga pada hujung tahun ini.
Jangan percaya kata saya, anda pergi sahaja lihat perlaksanaan dan HASIL yang telah ada di sana. 95 orang sekiranya seorang 1 masalah bermakna ada 95 masalah perlu kami selesaikan setiap hari dan pasti semuanya ada khazanah dalam quran dan sunnah yang boleh dipelajari. Kami hududkan mereka dari awal lagi sehingga kini mereka belajar di Universiti juga mampu untuk menghududkan diri sendiri.
Hudud itu mudah, cuma orang ingat ia susah sangat. Dan ada sebahagian orang dah laksana hudud lama dah cuma tak tahu itu namanya hudud.
Ramai orang ingat, hudud itu adalah qisas.
SAIFUL NANG
Menulis untuk mereka yang kritis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan