Rabu, 19 Jun 2013

Warga Pendidik

SAYA terpanggil untuk memberikan reaksi terhadap laporan muka depan akhbar Utusan Malaysia Rabu 5 Jun, 2013 yang mendedahkan bahawa siswazah Melayu didiskriminasi.

Umum memang amat maklum terhadap fenomena tersebut di mana syarikat yang dimiliki oleh kaum Cina dan pihak asing lebih mengutamakan siswazah kaum Cina untuk bekerja dengan mereka.

Saya juga amat bersyukur kerana pihak kerajaan memandang serius akan hal tersebut. Harapan seluruh rakyat Malaysia khususnya orang Melayu agar perkara tersebut dapat ditangani dengan penuh hemah dan kebijaksanaan yang tinggi di bawah kepimpinan kerajaan Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak.

Namun pihak kerajaan, khasnya Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) wajar mengambil iktibar terhadap nasib yang dialami oleh siswazah Melayu mutakhir ini. Sememangnya siswazah Melayu berdepan dengan cabaran untuk mendapatkan pekerjaan. Malah siswazah pendidikan keluaran Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) sendiri pun mengalami nasib yang sama.

Realitinya, siswazah Melayu pemegang Ijazah Sarjana Muda Perguruan untuk sekolah kebangsaan (SK) juga telah 'didiskriminasikan' kerana sehingga kini belum lagi mendapat tawaran penempatan di mana-mana sekolah.

Rakan-rakan mereka yang seangkatan dalam kalangan siswazah Ijazah Sarjana Muda Perguruan untuk sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) telah bertugas di sekolah-sekolah berkenaan seawal Januari lalu. Mengapakah perkara sebegini berlaku?
Lebih malang lagi, para siswazah cemerlang yang telah ditemu duga pun masih menganggur. Apakah maknanya Guru Interim yang diwar-warkan dahulu?

Lebih malang lagi, kumpulan siswazah tersebut seperti telah digantung tidak bertali. Pihak SPA telah mengeluarkan surat pelantikan jawatan kepada mereka sebaik selesai ditemu duga pada April 2013 tetapi anehnya dalam surat tersebut tidak dinyatakan sekolah tempat bertugas dan tarikh melapor diri.

Ini bermakna siswazah tersebut masih menjadi penganggur terhormat dan dalam keadaan serba salah mengenai nasib masa depan masing-masing.
Sehubungan itu, saya merayu kerajaan memberi perhatian dan mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan permasalahan yang membelenggu siswazah tersebut.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Forum/20130619/fo_03/Bakal-guru-masih-menanti-tawaran-penempatan-tugas#ixzz2Wj8IkLoq
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan