|
SEORANG lelaki dengan tenang membidik sasaran yang jelas berada di hadapan matanya.
Secara perlahan-lahan, tangan kanannya mengeluarkan sebatang anak panah yang kemudian ditarik ke arah belakang dengan menggunakan sebuah busur.
Menggunakan kudrat maksimum, dia melepaskan anak panah itu untuk menuju ke sasaran.
Uniknya, sasarannya mengena walaupun radius jarak ialah sepanjang 50 meter.
“Sebenarnya, untuk mahir dalam bidang memanah agak mudah. Syaratnya ialah melakukan latihan secara berterusan selama berbulan-bulan,” kata pengasas syarikat yang membekalkan set peralatan memanah, Bow Master, Shahrul Fadzly Mohd. Zainal.
Lelaki bertubuh kecil yang berumur 25 tahun itu sanggup melepaskan jawatannya sebagai seorang guru sekolah semata-mata ingin menceburi bidang menjual peralatan memanah.
Kediamannya yang terletak di Taman Harmoni, Kajang, Selangor menjadi lokasi buat Shahrul berkongsi pengalamannya bersama kru Jurnal pada Khamis lalu.
Shahrul memberitahu, dia ingin mengembalikan kegemilangan sukan memanah yang pernah dikuasai kaum Melayu.
Dia juga mahu mengembalikan kegemilangan ilmu persilatan yang menjadi kebanggaan kaum Melayu.
Lelaki muda itu yang dalam keadaan penuh keterujaan memberitahu, antara persenjataan utama pada zaman dahulu ialah set memanah.
Malah, umat Islam juga digalakkan untuk bergiat aktif dalam sukan memanah.
“Tiga sukan yang digalakkan oleh Rasulullah SAW ialah memanah, berkuda serta berenang.
“Set memanah digunakan sebagai senjata pasukan tentera pada zaman era kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka walaupun tiada dokumen sejarah yang menyokongnya,” katanya.
Shahrul berkata, berdasarkan penyelidikan yang beliau lakukan, kerajaan Kesultanan Melayu Melaka saling bertukar-tukar teknologi persenjataan dengan empayar Islam, Turki Uthmaniyah yang berpusat di Istanbul, Turki.
Dia yang memulakan bisnes itu sejak setahun yang lalu turut berkongsi tentang strategi peperangan yang menggunakan alat memanah.
“Jika peperangan berlaku pada waktu malam, hujung anak panah akan disalut dengan kain sebelum dibakar. Ia bertujuan untuk menerangkan kawasan musuh bagi memudahkan melakukan serangan.
|
“Selain itu, pasukan memanah mempunyai misi mahu membunuh ketua pasukan musuh sebagai cara untuk mengurangkan kekuatan mereka,” ujarnya.
Shahrul yang baru berkahwin pada April lalu sempat menceritakan tentang sambutan busur panah tradisional yang diusahakannya.
“Kini, banyak kumpulan persilatan Melayu yang mempunyai silibus memanah sambil menunggang kuda.
“Selain itu, ada individu yang menyimpannya untuk dijadikan koleksi peribadi,” jelasnya.
Medium internet seperti laman sosial Facebook dan blog menjadi wadah promosinya.
Set memanah lelaki kelahiran Batu Pahat, Johor ini turut dieksport ke Indonesia, Brunei dan Singapura.
Keuntungannya agak lumayan sehingga dia boleh memperoleh sebanyak RM5,000 sebulan yang menyamai gaji seorang pengurus syarikat swasta!
Proses pembuatan
Proses menghasilkan set memanah sebenarnya tidak sukar.
“Pada mulanya busur dihasilkan dengan memanaskan sebilah batang yang bahan-bahan asasnya ialah karbon, gentian fiber serta plastik selama 30 minit.
“Kemudian peralatan ini akan dilentur pada hujung dan pangkalnya bagi membentuk lengkuk menggunakan pistol haba selama 30 hingga 40 minit,” cerita Shahrul.
Selepas dikeringkan, busur itu akan dipotong pada bahagian hujung serta pangkal untuk proses menyarungkan tali sebelum lengkap sepenuhnya.
Proses seterusnya ialah kemasan iaitu busur akan digosok sehingga licin permukaannya menggunakan kertas pasir selain semburan warna.
Semasa kami sedang rancak berbual, ayah Shahrul iaitu Mohd. Zainal Rasman secara tiba-tiba mencelah perbualan kami untuk bercerita tentang cara membuat anak panah.
“Anak panah dihasilkan dengan menggunakan peralatan khas yang menggunakan material daripada aluminium serta gentian kaca.
“Kantung anak panah pula dijahit oleh Fadzly sendiri menggunakan kain baldu hitam atau songket,” tutur Mohd. Zainal.
|
Katanya, bagi lukisan sasaran (Bullseye Target) pula bahannya kain terpal yang kuat dan tahan lama.
“Busur panah boleh dibuat dengan kayu getah dan kayu nibung tetapi sukar untuk mencarinya di hutan belantara.
“Malah, untuk memprosesnya sukar jadi import sahaja bahan sedia ada dari China dan Korea Selatan lebih mudah bukan,” katanya sambil ketawa.
Walaupun tidak sepenuhnya tradisional, penggunaan kain baldu atau songket selain reka bentuk busur lama menyerlahkan ciri-ciri klasik set memanah Bow Master.
Set memanah ini berharga RM280 yang merangkumi sebuah busur, empat anak panah, sebuah kantung anak panah, satu set lukisan sasaran selain pelapik ibu jari.
Berat busur boleh mencapai 400 gram (g), panjangnya pula 122 sentimeter dengan lebar 3.5sm manakala anak panah panjangnya 60sm dengan purata berat 18g.
Sukan memanah
Shahrul dikemukakan soalan perihal kos untuk mempelajari sukan memanah yang agak mahal kerana set busur serta anak panah moden sahaja mencecah RM2,000.
“Itu merupakan perkara biasa kerana peralatan tersebut diimport dari Korea Selatan, China dan Jepun.
“Sebenarnya set memanah Bow Master setanding dengan buatan ketiga-tiga negara tersebut.
“Malah, jika kita bermain di pusat memanah sekali pun kosnya RM50 untuk tempoh sejam,” ujarnya.
Lupakan mengenai set memanah dan Bow Master.
Penulis sendiri berpeluang melakukan aktiviti memanah.
Dia sengaja menguji penulis dengan tidak memasang tali busur panah. Rupa-rupanya tali busur kurang 12.7 sentimeter berbanding busurnya.
“Ada cara untuk memasangnya iaitu dengan cara meletakkan busur di tengah kedua-dua kaki dalam bentuk bersilang sebelum dimampatkan. Barulah tali dapat disemat.
Semasa sesi memanah, penulis gagal menemui sasaran malah anak panah jauh tersasar.
“Itu pentingnya latihan tetapi lebih baik membeli set memanah Bow Master kerana ia jauh lebih murah berbanding set yang diimport,” kata Shahrul.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0616&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz2WKtYOfqD
Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan