Ahad, 23 Jun 2013

berjiran

Aku melihat ke arah seorang lelaki di hadapan pintu wad. Lelaki tersebut baru bergelar ayah, dan bakal ditemukan dengan cahaya matanya buat kali pertama. 

Sesekali tangannya dipekup ke muka. Berdebar-debar. Nafas dihela panjang. Mungkin anak pertamanya. 

Akhirnya pintu dibuka, sebuah katil bayi disorong ke arahnya. Serta merta wajah gugup lelaki itu bertukar ceria. Surat dan dokumen ditandatangani. Kini beliau bertanggungjawab ke atas manusia kecil itu. Bertanggungjawab sepenuhnya.

Lelaki itu mengeluarkan sebuah telefon bimbit dari poketnya. Aku sangkakan dia hendak meng-instagram gambar anaknya. Maklumlah, that seems to be the current trend. Ataupun mungkin hendak menelefon saudara mara terdekat menyampaikan berita.

"Allahu akbar, allahu akbar." bisik lelaki tersebut perlahan.

Rupanya dia hendak mengazankan anaknya. Namun mungkin kerana tidak menghafal bacaan azan, beliau mencatatkannya didalam telefon bimbit.

Tersangkut-sangkut bisikan azan nya, dengan suara terketar-ketar. Tatkala sebelah tangan memegang telefon bimbit, tidak memungkinkannya untuk mendukung anaknya itu.

Aku sayu melihat suasana itu. Mungkin lelaki tersebut tidak berasal dari latarbelakang agama yang baik. Tetapi tetap dia mahukan yang terbaik untuk cahaya matanya. Alhamdulillah, tanggungjawab pertama yang beliau pikul, adalah memenuhi tuntutan agama anaknya.
Manusia, tidaklah diukur ketakwaannya berdasarkan tingginya serban atau labuhnya jubah, juga bukan berdasarkan rantaian-rantaian sanad mahupun timbunan-timbunan buku.

Apabila Nabi shalla Allahu alayhi wasallam menyebutkan didalam hadis mengenai kisah wanita jahat yang dimasukkan ke syurga kerana memberi minum anjing, maka ketahuilah kita bahawasanya nilai kita disisi Allah adalah berbeza dengan nilai kita pada pandangan kaca mata kita.

Jangan disangka manusia yang cetek pengetahuan agamanya, atau tampak sisi buruknya, bahawa tidak ada didalam hati mereka untuk mendambakan kebaikan Islam. Asalkan masih ada sekelumit didalam diri mereka inginkan kebaikan Islam, dapatkah kita menjamin bahawa kita lebih beriman daripadanya?

Aku mendoakan semoga anak kecil tersebut membesar menjadi anak soleh yang bertaqwa, memberi syafaat kepada lelaki itu dan isterinya, memayungi mereka ke syurga inshaAllah.

Semoga aku dan keluargaku diberi peluang berjiran dengan mereka di syurga kelak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan