Rabu, 19 Jun 2013

WAnita

بسم الله الرحمن الرحيم

Daripada Abu Sa'id al-Khudri bahawa ia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Iblis berkata kepada Tuhannya: 'Demi keperkasaan-Mu & keagungan-Mu, aku akan selalu menyesatkan anak keturunan Adam selama roh maish berada dalam jasad mereka.'
Allah s.w.t menjawab: 'Demi keperkasaan-Ku & keagungan-Ku, Aku akan selalu mengampuni mereka selagi mana mereka meminta keampunan daripada-Ku."'
(Riwayat Imam Ahmad)


Pada zaman nabi s.a.w, telah berlaku gerhana matahari. Lalu, Baginda melaksanakan solat sunat gerhana bersama-sama para sahabat Baginda. Nabi berdiri sangat lama & rukuk ketika solat. Dalam rakaat kedua, baginda kembali berdiri dengan lama tetapi tidak selama rakaat pertama. Kemudian, Baginda rukuk, berdiri semula, rukuk & sujud.

Selesai solat, Baginda bersabda yang bermaksud:
"Diperlihatkan kepadaku neraka sebentar tadi.  Tidak pernah aku melihat keadaan yang sangat mengerikan seperti hari ini. Aku melihat kebanyakan ahlinya adalah wanita."

Para sahabat bertanya: "Apakah sebabnya wahai Rasul Allah?"
Jawab Baginda: "Kekufuran mereka."
Sahabat bertanya lagi: "Adakah mereka kufur kepada Allah?"

Baginda menjawab: "Mereka kufur (tidak berterima kasih) kepada suami & suka melupakan kebaikan. Andai engkau memperlakukan salah seorang daripada mereka dengan baik seumur hidupmu, lalu dia melihat sesuatu (yang dibenci) daripadamu, maka dia akan berkata: 'Aku tidak pernah melihat kebaikan sedikit pun daripadamu."'
(Riwayat al-Bukhari & Muslim daripada Ibn Abbas)


Hadis di atas bukan untuk merendah-rendahkan kaum wanita. Sekali-kali tidak, bahkan Rasulullah s.a.w terkenal sebagai seorang yang selalu membela & meninggikan martabat wanita.

Ramainya wanita kerana populasi yang besar di dunia. Wanita bukan sahaja paling ramai di neraka malah paling ramai juga di syurga. Berikut adalah pendapat al-Qadi 'Iyad & Imam al-Nawawi dalam Sharh Sahih Muslim.

Imam Ahmad meriwayatkan daripada Jabir, Rasulullah s.a.w bersabda:
"Kebanyakan wanita yang aku lihat di dalam neraka ialah orang yang jika dititipkan rahsia, mereka menyebarkannya. Jika diminta, dia bakhil. Jika meminta, mereka sangat memaksa. Dan jika diberi, mereka tidak berterima kasih."

Boleh disimpulkan, bukan semua yang namanya wanita akan masuk ke neraka tetapi hanya mereka yang mempunyai sifat-sifat buruk seperti yang dijelaskan oleh Rasulullah. Jika dipandang dari pandangan mata hati, Rasulullah hendak mengingatkan kaum wanita sifat-sifat yang boleh menjerumuskan seseorang ke dalam neraka iaitu sifat yang sangat halus & selalu di pandang enteng, remeh dan temeh.

Seorang suami yang selalu memenuhi keperluannya dilihat oleh si isteri seolah-olah tidak pernah memberikan apa-apa. Ramai yang menganggapnya ringan padahal disisi Allah cukup berat. Menafikan kebaikan walausekecil mana pun merupakan sifat yang kejam & kasar. bayangkan betapa hancurnya hati seseorang apabila kebaikannya tidak dihargai bahkan dilupakan.

Ibn Battal al-Maliki berkata dalam Sharh Sahih al-Bukhari: "Rasulullah s.a.w memerintahkan kita untuk selalu berterima kasih kepada orang yang berbuat baik kepada kita. Apalagi suami yang selalu memberi kebaikan sepanjang kehidupannya."


Dalam hadith riwayat al-Bukhari daripada Abu Said al- Khudri, apabila keluar untuk solat sunat hari raya, Rasulullah s.a.w lalu dihadapan sekumpulan wanita. Kemudian Baginda bersabda, mafhumnya: "Wahai kaum wanita, bersedekahlah. Sesungguhnya aku melihat kaum wanita kebanyakkannya menjadi ahli neraka."

Mereka bertanya: "Mengapa wahai Rasul Allah?"
Baginda menjelaskan: "Kamu banyak melaknat & menafikan kebaikan."

Laknat yang dimaksudkan adalah makian & celaan yang lahir akibat kekesalan sama ada ditujukan kepada manusia atau benda yang tidak bernyawa. Sifat seperti ini mencerminkan kekeruhan hati & kegelapan jiwa pelakunya.

Bak kata pepatah Arab:
"Cerek hanya mengeluarkan apa yang terdapat di dalamnya. Jika ianya susu, ia akan mengeluarkan susu. Jika ianya kopi, ia akan mengeluarkan kopi."

Malaysia pun ada pepatah juga untuk dipatah-patahkan menjadi sepatah dua kata:
Jika mamak bikin teh tarik, masakan teko akan mengeluarkan neslo tarik pula?

Imam al-Nawawi berkata: "Hadith ini mengandungi anjuran supaya memperbanyak sedekah, amalan baik, istighfar & pelbagai ketaatan yang lain. Sesungguhnya perbuatan yang baik dapat menghapuskan dosa-dosa.

Al-Muhaddith Sheikh Muhammad Na'im al-Areksusi berkata: "Pengajaran dalam hadith ini bukan sahaja khas untuk wanita malah turut ditujukan kepada sesiapa sahaja yang memiliki sifat seperti ini di dalam dirinya, termasuk juga lelaki."

Jangan bersedih..
Kelebihan wanita itu terletak pada kehalusan perasaannya. Jika kelebihan ini digunakan dengan baik, ia akan menjadi hamba Allah yang sangt dicintai. Rasulullah s.a.w bersabda: "Wanita terbaik yang pernah menunggang unta adalah wanita Quraisy. Mereka sangat sayang kepada anak pada masa kecilnya & sangat pandai menjaga suaminya."

Kalau dibelek-belek tema cerita, cerekarama, telenovela, panorama di Malaysia, kebanyakannya berkisar mengenai keluarga. Scene yang menggambarkan perihal si isteri, si suami & anak-anaknya. Kehidupan yang serba mewah & moden. Si isteri, mahukan sesuatu yang terbaik buat keluarganya tetapi kadang-kadang meminta lebih dari kemampuan si suami. Rasa tercabar bila melihat apa yang dimiliki si jiran sehingga terlupa untuk bersyukur atas pemberian si suami. Dihina si suami seolah-olah si suami tidak pernah berbakti.

Si suami pula, terlalu ikutkan permintaan si isteri. Diturutkan sahaja atas segala kemahuan sehingga pandangan gelap atas konsep dosa & pahala. Bukankah kau imam wahai si suami? Dimana terletak keegoaanmu sebagai seorang ketua yang sepatutnya menunjuk arah & bukan ketua yang melutut mengikut telunjuk. Wahai si suami, didik isterimu dengan agama. Bukan dengan harta & kemewahan.

Di sebuah sekolah keluarga, si suami adalah Pengetua manakala si isteri merangkap Guru Penolong Kanan, Guru Gisiplin & Guru Hal Ehwal Anak-Anak. Mereka sedang membina sebuah sekolah tarbiyyah. Baik didikannya, baik juga pelajar-pelajar mereka. Kemegahan bangunan sekolah bukan ukuran, tetapi tarbiyyah & ilmu di dalam sekolah perlu dititikberatkan.

Jika banyaknya movie di Malaysia ceritanya begini, adakah institusi keluarga di Malaysia...
Ooh, takut nak ulas lagi. Siapa yang makan tempoyak, dia yang rasa duriannya..

Semoga Allah menjauhkan kita semua & ahli keluarga daripada sifat-sifat ahli neraka serta menghiasi dengan sifat-sifat ahli syurga. Amiin Ya Rabbal 'Alamiin

Tiada ulasan:

Catat Ulasan