Khamis, 20 Jun 2013

khas utk imam

Kepada:-

Imam (dirahsiakan)

Masjid (dirahsia)

Mukim (dirahiskan), Melaka.                                                              Tarikh:  _/ 7/2013

                                   

Tuan Imam Yang Di Hormati,



Surat  ini bukanlah saya tujukan khusus kepada tuan tetapi anggapkanlah sebagai satu salinan kepada tuan sekadar untuk tuan sudi membaca pandangan saya ini mengenai hal perkara tersebut di atas, sekiranya ada sedikit sebanyak berlaku di masjid/surau pihak tuan.



Tiadalah niat lain dalam menghantar surat ini melainkan atas rasa perlu dan ingin melakukannya, atas nama dakwah tanpa langsung terlintas hasad untuk memperkecil dan menghina sesiapapun apalagi sekelian Imam yang tugasnya tidaklah ada yang lain melainkan melakukan kebaikan di rumah-rumah Allah.  


Pun begitu, terlebih dahulu saya memohon maaf atas segala kesilapan dan kelemahan yang ada dalam surat ini dan atas kesan buruk yang tidak dihajati, jika timbul daripadanya. Terserahlah sepenuhnya kepada para Imam untuk menerima atau menolak, sebahagian atau semuanya. Saya hanya mengorbankan sedikit masa dari limpahan nikmat yang telah diberikan Allah Azza WaJalla, untuk menyampaikan apa yang saya yakini benar dari pemerhatian saya di beberapa masjid dan surau.


Benar, ikhlasnya sebahagian pemerhatian ini dibuat ketika mana saya bersolat di masjid atau surau tersebut, maka ia mungkin termasuk masjid atau surau pihak tuan.   


Tuan Imam,


Sejak beberapa masa terdahulu, saya berusaha menyahut seruan untuk mengerjakan solat jemaah bilamana azan dilaung sama ada di masjid-masjid dan surau-surau termasuklah di masjid tuan. Namun ada suatu perasaan terkilan yang saya alami di mana saya merasakan seperti sukar untuk mendapatkan satu jemaah solat fardu yang sempurna sama ada di masjid atau surau, atau  mungkin saya sendiri yang belum ketemu lagi. Dalam hati saya resah, mengapa tidak dilakukan sesuatu mengenainya sedangkan ia mungkin tidak sesukar mana.


Perubahan yang tidak sukar ini perlu dilakukan dan di sisi Allah, saya percaya besar ganjarannya.


Justeru, berikut inilah antara permasalahan-permasalahan yang diketengahkan beserta cadangan-cadangan untuk penyelesaian yang seadanya. 


Permasalahan 1: -


Imam Yang Pantas Bacaan dan Pergerakannya  Dalam Solat. Dalam solat zohor dan asar, terdapat Imam yang agak cepat bergerak dari berdiri tegak selepas takbir ke rukuk. Saya kekadang terfikir mungkin Imam membaca doa iftitah yang pendek, fatihah, dan surah pendek. Begitu juga dalam rakaat ke-2 dan ke-3, yang turut dirasa kesegeraannya. Saya perlu membaca fatihah dengan agak cepat supaya tidak ketinggalan walaupun lazimnya masih tertinggal. Saya yakin saya tidak silap kerana apabila imam rukuk, beberapa makmum tidak lagi rukuk. Kesannya pergerakkan jemaah menjadi tidak seragam, tidak sama. Begitu juga dalam solat secara jahar (baca kuat), kita dapati kelajuan bacaan fatihah dan surah adalah munasabah namun masalah timbul apabila tiba rakaat ketiga dan/atau keempat. Kenapa berlaku demikian, adakah bila baca secara senyap kita membaca fatihah secara bersambung (wasal) dan dengan cepat, jika begini takut timbul tanggapan bahawa kita semasa baca kuat orang dengar maka terlintas dihati kita terasa perlu menjaga kualiti bacaan, bila baca secara senyap, bacalah cepat dan sambung. Tiada siap dengar.  Saya pernah bertanya dengan seorang imam muda tahfiz selesai selesai solat asar, sebab saya tengok kadar masa qiyam pada rakaat pertama dan kedua sama lama dan agak cepat. Ramai makmum kelamkabut dibelakang. Dia mengatakan dia membaca doa iftitah yang lazim (mazhab syafie) tapi disingkat bermula dari wajjahtu…., fatihah yang diwasal (4 kali berhenti termasuk basmalah), dan surah pendek – iza ja (surah annasr). Begitu juga dalam hal rukuk dan sujud. Kadar tempoh masa yang di ambil bagi rukuk dan sujud, agak segera dan cepat. Sehingga saya dapati banyak kes makmum masbuk sebenarnya tidak sempat mendapat rukuk bersama imam walaupun patutnya boleh dapat (baca dengan sangka baik kerana perlukan perincian dan perbezaan pandangan).


Cadangan 1: Saya maklumi kefasihan hafazan imam. Namun saya pohon agar Imam dapat memberi masa sikit, agar mana bila sahaja Imam Rukuk, kesemua makmum telah bersedia untuk rukuk secara bersama dan seragam. Jika ada yang masih lambat, mungkin seorang dua yang mempunyai masalah (dalaman) tersendiri (special case). Fatihah diharap tidak diwasal. Bacalah satu persatu ayat.


Begitulah juga dalam perihal rukuk dan sujud, jika Imam memberikan sedikit masa, akan menyebabkan semua makmum bergerak serentak dan sama. Alangkah indahnya!. Bahkan banyak situasi makmum masbuq berkejar untuk mendapatkan rukuk bersama imam, tetapi baru sahaja hendak diletakkan tangan atas lutut, imam sudah bangun untuk iktidal. Makmum ini pula menganggap dirinya telah mendapat rakaat. Bukahkah kedudukannya bermasalah mengikut mazhab kita. 


Permasalahan 2:-


Saya di sini bukan membicarakan mengenai kesahan, tetapi kesempurnaan solat berjemaah. Kekadang saya merasakan bahawa solat fardu jemaah kita diselesaikan dalam masa yang agak cepat sehinggakan ada yang sekadar sekitar tidak sampai 5 minit (bagi solat 4 rakaat) sedangkan kemudiannya saya menyaksikan masa yang kelihatan lebih lama diberikan untuk berzikir bersama-sama dan berdoa.


Cadangan saya :- Saya hanya merasakan bahawa sewajarnya penunaian solat jemaah itu dilaksanakan semaksimum sunnah yang boleh, sesempurnanya kerana ia fardu, wajib dan lebih aula dan utama berbanding majlis zikir dan doa bersama yang bukan fardu dan wajib dan boleh dilakukan dalam banyak masa yang lain mahupun secara berasingan dan bersendirian. Untuk itu berikan sedikit masa untuk rukuk iktidal dan sujud. Bacalah fatihah secara tartil dan jangan disambung antara satu ayat dengan satu ayat. 1 rakaat pertama mengandungi satu doa iftitah sama ada jenis biasa atau pendek, satu fatihah dibaca secara kemas dan dan surah sederhana.


Permasalahan 3:-

Terdapat segolongan makmum yang tidak mematuhi peraturan menjadi makmum. Mereka merasakan ianya remeh lalu mencuaikannya. Antaranya (1)saf tidak betul-betul rapat (2) tumit belakang kaki tidak sebaris (3) tidak penuhkan sah pertama (4) tidak mengikut pergerakan imam secara betul dan tepat. (5) dan paling teruk ialah ‘berkejar-kejar’ dengan imam dalam pergerakan rukun sehingga boleh menyebabkan mendahului imam. Masalah ini mungkin telah lama wujud dan berterusan berlaku tanpa usaha mencukupi dilakukan mana-mana pihak termasuk pihak Imam, pihak masjid atau surau.    


Cadangan saya :- Imam, Jangan malu! Ingatkan makmum dengan kata-kata yang jelas agar berdiri secara lurus yang betul dan merapatkan saf. Sekali sekala? Bukan…, selalulah lihat dan periksa barisan makmum sehingga imam puashati. Jangan terus dimulakan solat. Jangan terus di mulakan takbir. Periksa dulu makmum hingga imam puashati. Periksa tumit-belakang kaki sama baris.


Gunalah keluasan kebijaksanaan budibicara imam dalam memberi nasihat yang menyejuk hati bukan menyakiti, dalam mempelbagaikan kata nasihat supaya tidak membosankan.


Bagi sesetengah masjid/surau, saya dapati faktor karpet tambahan berupa sejadah telah menimbulkan masalah apabila ia mewujudkan keadaan tidak rata dan tebal sehinggakan makmum-makmun berdiri mengikut keselesaanya bukan mengikut belakang kaki bilal. Ada yang merasa karpet itu tidak cukup panjang maka dia berdiri dibelakang karpet itu, ada yang berdiri atas separuh karpet dan ada yang berdiri sepenuhnya atas karpet sedangkan ketinggian mereka lebih kurang sama sahaja. Mungkin mereka terlupa asas kesamaan baris itu bukan diukur pada warna karpet atau kedudukan karpet tapi pada perapatan bahu atau ukuran belakang tumit kaki bilal. 


Ada setengah tempat itu, makmum-makmum memberatkan sebelah kanan sehingga pengkar dan pincang barisan saf makmum. Berat sebelah. Tak seimbang. Seorang datang lagi dan pergi sebelah kanan lagi sedangkan makmum semakin senget sebelah kanan. Imam tidak pula menegur dan memesan sebelum angkat takbir. Katakanlah kepada mereka, Imam, bahawa ini tidak betul. Walaupun kita mengutamakan kanan, tetapi bila kanan yang pertama telah dipenuhi orang, kita imbangkan yang kiri, biar orang lain ambil kanan kedua, maka yang datang berikutnya, berdirilah sebelah kiri. Ini sepatutnya, bukankah begitu imam?  


Masalah tawaruq.  Sebahagian ahli jemaah kita pula telah melonggarkan saf, mungkin dengan niat agar dapat tahiyat akhir secara duduk tawaruq. Sewajarnya saf yang rapat, jika tak dapat kaki merasa kerapatan kaki orang sebelah, bahu seharusnya merasa bahu orang sebelah. Sebahagian melonggarkan barisan sebab nak duduk tawaruq kerana merasa badan kurang langsing manakala yang lain sekadar mencuaikannya.


Katakanlah kepada mereka, bahawa pengorbanan mereka lakukan untuk merapatkan saf dengan cara yang betul lebih disukai Allah, biarpun mungkin mereka terpaksa duduk secara secara iftirasy. Bukankah begitu, duhai Imam? Duduk iftirasy adalah duduk yang diterima pada mazhab Ahlul sunnah kita.



Masalah berkejar-kejar dengan imam. Tahukah pihak tuan bahawa di masjid di sebuah universiti di Bangi, ada berlaku atau mungkin telah dijadikan praktis (wallahu alam) di mana Imam hanya menyebut takbir intiqalat hanya apabila telah atau hampir menyempurnakan pergerakan rukunnya sebagai contoh imam apabila bergerak dari iktidal ke sujud, beliau akan bergerak dulu sampai sujud atau hampir sujud barulah membaca takbir –Allahu Akbar. Saya yang berada di saf pertama bahagian belakang merasa agak pelik namun saya terfikir kenapa Imam membuat demikian di mana sebab yang utama mereka merasakan bahawa timbul alasan memaksa kerana kedapatan ramai makmum yang mengejar imam atau lebih teruk lagi mendahului imam dalam pergerakan solat.


Permasalahan 4:-


Duhai Makmum! Jangan Menyamai Atau Mendahului Pergerakan Imam.

Manusia kadangkala menghairankan. Saya menyaksi dan mendengar sendiri pesanan jelas seorang Imam (solat idulfitri) di surau agar makmum tunggu dan biarkan imam sempurnakan pergerakkannya barulah, bergerak. Namun masih kedapatan ahli jemaah yang agak kerap ke surau, masih berkejar dengan imam, sujudnya sama dengan imam, jika tidak sedikit mendahului.

Umurnya seumpama bapa, tampak garang, namun tiada siapa menegurnya walaupun pasti ramai menyedarinya. Saya masih ingat pesanan seorang ustaz pensyarah muda, penulis sebuah kitab tebal solat jemaah mengikut mazhab Shafie  bahawa katanya, “imam perlu sesekali sekala mengingatkan makmum sebelum solat bahawa menyamai imam itu makruh, mendahului imam-hukumnya haram, 2 kali berturut-turut  –batal, tidak menyamai –sunat, membiarkan imam menyempurnakan pergerakkan rukunnya, baru bergerak –itulah pahala sunat yang penuh. (secara teori).


Cadangan Penyelesaian. Terdapat huraian panjang dan berjela dengan penekanan yang sangat serius oleh Imam Ibnu Hanbal. kita ringkaskan di sini panduan penting:-


Bila Imam bertakbiratul ihram (takbir pertama), makmum pastikan imam habis sempurna dulu dengan kata-kata “bar” dan telah meletakkan tangan ke badan/dadanya. Barulah  makmum pun bertakbir. Jangan imam baru habis separuh atau tiga suku, hatta 99% pun, makmum dah mula bertakbir.  


Perkara kesempurnaan ini sangat sukar ditemui pada mana-mana jemaah solat. Kalau anda ada menemuinya, tolong bagitahu saya. Bila imam bergerak dari satu rukun ke satu rukun dan melafazkan takbir (intiqalat- perpindahan rukun), pastikan imam selesaikan pergerakan itu dengan sempurna, barulah makmum bergerak mengikut imam. Kalau makmum yang tidak dapat melihat imam seperti pada saf belakang dan tepi, maka makmum bergantung kepada selesainya ucapan takbir imam iaitu pada ayat “bar” – “Allahuakbar” 


Oleh itu, penting untuk imam memanjangkan dan menyamakan panjang ucapan selari atau selaras dengan pergerakannya sebagai  contoh imam bergerak daripada iktidal ke sujud atau dari sujud ke berdiri, maka lafaz Allahuakbar dipanjangkan sampai imam selesaikan pergerakkannya hingga sempurna. Sebagai contoh perkataan “..bar”  itu dilafaz sama masa dengan kepala imam diletakkan atas lantai untuk sujud atau imam telah dapat berdiri lurus dan meletakkan kedua tangan dengan sempurna atas dada/badannya, setelah bangkit dari sujud.


Jika imam tidak mampu memanjangkan ucapan kerana masalah pernafasan atau sebagainya, mungkin boleh bergerak sedikit dahulu sebelum melafazkan takbir bagi menyamakan pengakhirannya. Atau terlebih baik, berpesan kepada kesemua makmum khususnya di belakang akan masalahnya dan meminta makmum dibelakang bergerak bersama-sama dengan makmum di depan bergerak. Fikirkan.


Ala kuli hal, Perkara peraturan dalam pergerakkan solat ini mesti dijelaskan sejelas-jelasnya ….selalu. Jika tidak, ia akan terus berlaku, ditakuti makin berleluasa. Seorang tua yang disayangi pernah menyatakan bahawa salah satu sebab makmum mengejar Imam ialah kerana Imam juga ‘berlari’. Cepat pada rukuk dan cepat pada sujud.


[Saya  lampirkan beberapa dalil yang relevan walaupun imam –imam lebih arif.] -not attached here


Saya bagaimana pun tidaklah bermaksud membawa kepada keadaan solat fardu jemaah yang panjang sehingga menyebabkan kesukaran untuk orang ramai yang bekerja, tetapi janganlah terlalu pantas sehingga kelihatan ketidaksepaduan antara imam dan makmum. Imam wajar sekali sekala apabila tidak menjadi imam memerhatikan pergerakan keseluruhan makmum lalu meneliti apakah masalah yang berlaku, mengganggarkan tempoh lama masa setiap pergerakan yang munasabah dan sebagainya. Biarpun imam membaca doa iftitah yang pendek, surah yang pendek tetapi tetap perlu menimbangi suasana dan keadaan makmum. Tidak seperti mana makmum yang ramai dari pelbagai latarbelakang ilmu, imam adalah imam berilmu yang berkuasa menentukan perjalanan terbaik bagi jemaah solatnya. 


Setakat ini dahulu sebahagian daripada apa yang dibimbangkan. Semoga diterima dengan hati terbuka dan pemikiran yang tenang.  Surat ini khusus kepada Imam-imam sahaja. Tiada yang lain. Terserah kepada tuan-tuan yang lebih bijaksana. Sekian Terima kasih. 


Yang benar,
Abu Danial Dubeis 

[ Saya juga suka mencadangkan kepada pihak Mufti menubuhkan satu task force (pakar ilmuan dalam hal solat, pakar analisis, pakar kamera, computer dan sebagainya) untuk melakukan kajian melibatkan seluruh masjid (dan kebanyakan surau) di Melaka bagi memerhatikan bagaimana solat jemaah dilakukan bagi melihat kelebihan dan kelemahan dan kemudian mendatang rumusan penyelesaian terbaik, melaksanakan hasil kajian dan kemudiannya memantau secara terang dan diam-diam (spot check).   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan