"Aduan Rakyat 25 Jun 2013 - Disebabkan kadar tambang murah daripada syarikat penerbangan sejak akhir-akhir ini, saya tertanya-tanya bagaimana syarikat perkhidmatan bas ekspress terus bertapak pada masa ini. Pada jangkaan saya, sudah tentu pihak perkhidmatan bas telah menaiktaraf servis mereka terhadap pelanggan dan juga meningkatkan ketepatan masa bertolak. Dalam minda saya juga, sudah tentu penumpang bas akan mendapat layanan mesra daripda pemandu selain kualiti dan ketepatan masa terjamin.
Disebabkan teka-teki yang bermain di sudut minda saya, setelah hampir 5 tahun tidak menaiki bas, saya mengambil keputusan untuk menaiki bas daripada Sungai Nibong, Pulau Pinang ke KL Central, jam 10.30 malam pada hari Rabu yang lalu bersamaan dengan 19 Jun 2013, saya telah memilih bas Mayang Sari Express.
Jangkaan saya meleset apabila mendengar pemandu bas tersebut En. Ali (bukan nama sebenar) tidak mahu menurunkan pelanggan ke KL Central, walaupun setelah dipujuk oleh penjual tiket tersebut, pemandu tersebut tetap berdegil dan mengatakan beliau hanya akan turunkan penumpang di Pudu dan menyatakan bahawa perkhidmatan bas tersebut ke KL Central telah lama ditamatkan.
Justeru itu, penjual tiket tersebut cuba untuk berbincang dengan pemandu bas yang lain, yang akan menurunkan penumpang mereka di KL Central. Akhirnya penjual tiket tersebut dapat meyakinkan Ali supaya menurunkan penumpang di Perhentian Simpang Pulai untuk menaiki bas lain ke KL Sentral.
Namun sebelum bertolak Ali menempik dengan penuh biadap sekali kepada penumpangnya di dalam bas “Jangan makan dalam bas! Nanti bau makanan masuk dalam air-cond, air-cond rosak! Bodoh sungguh lah manusia ni!!!” tempiknya.
Saya hanya mampu beristighfar melihat telatah beliau yang sungguh angkuh dan kurang ajar. Dalam hati hendak saja saya katakan, ‘jika tidak kerana ada penumpang yang bodoh ini, mungkin En. Ali tiada pekerjaan’. Namun disebabkan kelakar mendengar beliau menyatakan bau makanan akan merosakkan air-cond, saya senyum sendiri sahaja.
Walaupun bertolak 20 minit lambat, bas kami tiba di Pudu tepat jam 3.00 pagi. Sekali lagi apa yang dijanjikan oleh Ali kepada penjual tiket tersebut tidak dikotakan, beliau meneruskan perjalanan tanpa henti terus ke Stesen Pudu. Dengan hanya melaungkan “KL! Kuala Lumpur! KL!, bas ini akan gerak terus ke Johor dan tak singgah mana- mana hentian di KL lagi! Sapa tak turun, tinggai!”.
Dalam fikiran saya, bagaimanakah keadaan bas yang menunggu di Perhentian Simpang Pulai? Kedua, sepatunya beliau telah memaklumkan lebih awal kepada penumpang yang bas ini tidak akan singgah di mana-mana hentian dan tidak akan singgah di KL Central, hentian terakhir adalah di Pudu.
Saya turun dengan hati yang hampa kerana sayalah salah seorang penumpang yang sepatutnya turun di KL Central.
Hal ini menjadikan saya teringin untuk mengkaji keadaan di bas lain. Saya mengambil bas Seasons Express pada hari Sabtu (21 Jun 2013), jam 6.30 petang. Bas ini akan bertolak dari Pudu ke Sungai Nibong, Pulau Pinang dan dipandu oleh En. Mahmud (bukan nama sebenar).
Saya merasa lega apabila mendapati bas tersebut telah berada di Platform, 5 minit awal. Namun saya mula rasa tertekan apabila, setengah jam berikutnya bas masih tidak bertolak sehingga pelanggan yang duduk di sebelah saya mula merungut atas kelewatan tersebut.
Setelah menunggu hampir 45 minit, barulah bas tersebut bergerak, mungkin pihak syarikat cuba memenuhkan penumpang sehingga membiarkan pelanggan terpaksa menunggu sehingga hampir satu jam.
Tidak ada apa-apa layanan biadap daripada Mahmud selain mengingatkan penumpang- penumpang supaya tidak makan di dalam bas dengan nada sedikit tegas, namun masih menjaga adap beliau. Sehinggalah bas tersebut berhenti di Perhentian MYDIN Mall, pelanggan dikejutkan dengan suara Mahmud “Saya bagi masa setengah jam saja, lambat tinggai!” tempiknya.
Ada segelintir penumpang yang ketawa kecil mendengar kenyataan tersebut, memandangkan bas tersebut bertolak 45 minit lambat. “Saya cakap betul ni!, Lambat, Tinggal!!! Saya takkan kira orang dah! Saya jalan ja!!!” tempiknya sekali lagi.
Para penumpang mengiyakan sahaja. Saya teru ke Surau, dan sempat menjamah sedikit makanan. Belum sempat saya menghabiskan makanan alarm saya menunjukkan setengah jam sudah tamat. Saya terus berlari ke bas dan kemuadiannya melihat Mahmud juga menaiki bas dan meneruskan perjalanan kembali tanpa mengira dan melihat penumpangnya!
Astagfirullahala’zim. Tergamam saya. Apa yang saya tahu, Pakcik dan Makcik yang duduk di sebelah saya mungkin dalam lingkungan 60-an ke 70-an belum menaiki bas. Beg mereka juga masih di dalam bas. Betapa biadapnya Mahmud terhadap penumpangnya.
Terdetik dalam fikiran saya ‘Tidak ada makna beliau pergi meninggalkan penumpangnya begitu saja untuk menunjukkan beliau tepati masa kerana beliau telah membiarkan kami menunggu hampir 45 minit untuk bertolak!’
Setelah saya sampai di Juru, saya dapati bas ini akan singgah di Butterworth dahulu. Sekali lagi saya ditipu, Setahu saya, saya membeli tiket terus ke Sungai Nibong, Pulau Pinang. Nasib baiklah ada beberapa penumpang yang akan ke destinasi yang sama. Ada juga penumpang yang bangun untuk mengesahkan adakah bas ini akan singgah ke Pulau Pinang. Mungkin mereka risau melihat perangai Mahmud yang tidak bertanggungjawab itu. Namun, soalan penumpang tersebut yang ditanya dengan penuh sopan santun, dijawab dengan herdikan. Mahmud hanya menjerit “ Duduk diam-diam kat tempat sudah, sampai Penang aku panggil la!!!”
Sakit hati saya dengar tempikan beliau, namun tiada apa-apa yang kami dapat lakukan. Saya dapati semua pelanggan hanya mediamkan diri, termasuk saya. Mungkin kerana jam sudah menunjukkan pukul 1.30 pagi. Melihat Mahmud yang berperangai seperti orang sakit otak itu, saya juga bimbang aklan dihalau keluar dari bas walaupun kita yang membayar perkhidmatan tersebut. Betapa biadapnya pemandu bas sekarang.
Saya boleh katakan yang saya akan serik menaiki bas. Pada pendapat saya, pemandu bas lima tahun yang dahulu lebih berhemah daripada segelintir yang ada sekarang. Walaupun ada pemandu bas yang garang, namun mereka jarang mengeluarkan kata cacian kepada para penumpang. Mereka juga akan mengira setiap penumpang sebelum meneruskan perjalanan.
Seperti kes saya, Ali dan Mahmud sepatutnya berterima kasih kepada pelanggan yang masih ingin menaiki bas. Mereka mungkin akan hilang sumber rezeki jika pelanggan makin berkurangan. Dengan layanan yang diberikan oleh mereka, mungkin ada pelanggan lain yang akan melaporkan ketidakpuasan hati mereka terhadap kedua pemandu ini. Ingatlah bahawa setiap rezeki yang masuk itu, sebahagiannya adalah daripada hasil jualan tiket tersebut. Jika kamu tidak mampu menjalankan tanggungjawab yang diberikan, seeloknya berhentilah jadi pemandu dan carilah kerja lain yang tidak perlu berurusan dengan manusia.
Bagi saya, Ali dan Mahmud bernasib baik kerana semua penumpang hanya mendiamkan diri. Cuba bayangkan juka ada penumpang yang berada dalam keadaan tertekan, atau ada di kalangan penumpang yang membawa barangan merbahaya, mungkin kedua-dua pemandu ini akan ditikam, ditembak atau dicurahkan asid. Beringatlah sebelum terkena.
Saya mohon syarikat bas berkenaan untuk menasihati pemandu-pemandu ini kerana kedua-dua mereka amat biadap dan sangat tidak bertanggungjawab. Mungkis kes ini akan berlaku kepada orang lain pula, jadi saya mohon syarikat yang terlibat memberikan nasihat sewajarnya kepada kedua-dua pemandu ini.
Terima kasih.
DARWINA, Pulau Pinang
Tiada ulasan:
Catat Ulasan