Khamis, 27 Jun 2013

menurut

Mazelan Mansoor ,27 Jun 2013
By Hook or By Crook - Saya Yang Menurut Perintah

Sekian lama kita mewarisi budaya kerja dari barat kerana kita dilatih dan dijajah oleh mereka yang menggunakan Bendera Union Jack dan berketuakan Seorang raja Wanita bergelar Ratu. Ini adalah sejarah yang membuatkan kita hidup dengan pelbagai tuah walaupun tidak semewah negara-negara eropah dan banyak minyak seperti di timur tengah. Namun kita sebuah negara merdeka yang ditubuhkan hasil proses perundingan yang diplomatik serta penerimaan beberapa perkara yang semuanya memerlukan pengorbanan. Maka wujudlah sebuah negara bangsa yang mempunyai semangat keluhuran perlembagaan serta amalan perkongsian kuasa diantara raja, rakyat dan badan kehakiman.

Sejak itu kita mentadbir negara baru ini dengan semangat demokrasi dan hormat tidak berbelah bahagi kepada raja-raja dengan prinsip lima rukun negara dengan seadanya. Ia akan dijunjung dengan penuh setia terutamanya kepada mereka yang menjadi kakitangan atau lebih dikenali sebagai Anggota Perkhidmatan Awam. Di negara ini mereka ialah yang bernaung dibawah tiga perkhidmatan utama iaitu Perkhidmatan Awam, Polis dan Tentera. Mereka tertakluk kepada beberapa peraturan yang mengawal segala tingkah laku melalui perintah-perintah am atau beberapa prosedur yang menjadi piawai dalam menjalankan sebarang tugas.

Namun apa yang sebenarnya berlaku agak berbeza apabila budaya pada zaman kolonial diterapkan serta menjadi amalan yang melekat bagi setiap pemikiran dan cara tindakan dalam sesuatu perkara. Dua ayat seperti yang menjadi tajuk artikel ini adalah contoh apa yang sebenarnya terjadi bagi ketiga-tiga perkhidmatan ini. Mahu atau tidak jika kita berada dalam kumpulan ketiga-tiga perkhidmatan ini terpaksa akur dengan manual tidak rasmi ini. Buat kerja walau apapun jua selagi ia akan mencapai matlamat dan maksud bagi merialisasikan sesuatu perkara walaupun dengan fikiran yang waras atau menolak dengan naluri serta fikiran logik seseorang manusia. Saya akur dan menurut arahan pihak atasan tanpa perlu melawan atau sebarang alasan sebagai bantahan.

Matlamat menghalalkan cara menjadi simbol atau pedoman bagi setiap pekerja atau kakitangan yang berkhidmat dengan kerajaan walaupun terpaksa mengorbankan kepentingan ramai demi mengikut sesuatu arahan. Demi menjayakan sesuatu perintah dari seorang ketua atau pemerintah mereka akan lakukan atau cuba jalankan tanpa sebarang bantahan walaupun ia melanggar norma-norma kehidupan dan hubungan sesama manusia.

Pemerintah seolah-olah tahu setiap arahan tidak akan dilanggar atau diingkar kerana setiap bantahan akan dilayan dengan hukuman yang akan membebankan kumpulan pelaksana. Kumpulan sokongan atau pekerja bawahan hanya perlu ikut apa jua arahan demi mencapai maksud kepada mereka yang mengaku menjadi tuan kepada sesebuah perkhidmatan. Tambahan pula mereka yang berkerja dalam perkhidmatan ini lupa antara perintah si tuan atau larangan daripada Tuhan kerana yang penting tiada hukuman yang akan dikenakan bagi selesa dalam perkhidmatan.

Demikianlah budaya kerja negara ini terbina apabila sifat berani membantah dalam sesuatu perkara dianggap sesuatu yang lemah dan goyah serta takut seperti ia suatu jenayah. Hilang integriti yang patut diteladani kerana hilangnya jati diri akibat bacul dan dayus dengan arahan-arahan yang diberi yang perlu dikotai. Budaya inilah yang menyebabkan sistem pengurusan dan penyampaian bagi kebanyakan perkhidmatan kerajaan menjadi separuh jalan atau hanya syok sendiri tanpa betul-betul menjadi manfaat kepada rakyat jelata dan hanya akan menjadi bualan akibat daripada beberapa kegagalan yang memalukan.

Sifat ego bagi setiap ketua yang merasakan mereka adalah tuan walaupun hanya seorang ketua jabatan menjadikan setiap arahan yang diberikan perlu dikotakan walaupun ia selalunya akan membawa kemusnahan atau keburukan kepada negara atas nama ia kerajaan. Oleh itu, jika sesiapa yang ingin menjadi kerajaan atau mahu melakukan perubahan perlu memandang budaya patuh arahan secara melulu walau apa jua cara dan keadaan ini adalah mamat bersalahan. Maka jadilah apa yang berlaku pada hari ini bila mereka yang menjalankan tugas sebagai 'hamba kerajaan' menjadi tuan dan pesuruh bawahan dengan bersekongkol dengan segala penipuan, ketirisan, kezaliman, ketidakadilan, penindasan serta bayang lagi perkara yang memudaratkan yang sememangnya amat menyalahi perintah dan menyimpang jauh dari amanah dan hubungan diantara insan dengan insan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan