Rabu, 26 Jun 2013

Khutbah Hajat

Khutbah al-Haajah
Khutbah al-Haajah
Diriwayatkan dari `Abdullah bin Mas`ud radhiAllahu `anhu bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam telah mengajar para sahabat akan Khutbah al-Haajah yang ucapannya adalah seperti berikut:

إنَّ الْحَمْدَ لِلَّهِ نَحْمَدُهُ ونَسْتَعِينُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ وَنَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ اللَّهُ فَلَا مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَا هَادِيَ لَهُ وَأشْهَدُ أنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ وَأشْهَدُ أنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ

Bermaksud:
“Sesungguhnya semua pujian adalah milik ALLAH.  Kita memujiNYA, memohon pertolonganNYA dan memohon keampunanNYA.  Dan kita memohon perlindungan ALLAH dari kejahatan diri kita dan juga dari keburukan amal perbuatan kita.  Barangsiapa yang diberikan ALLAH akan petunjuk, maka tiada siapa pun yang akan boleh menyesatkannya.  Dan barangsiapa yang disesatkan, maka tiada siapa yang boleh memberikannya petunjuk.  Dan aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan ALLAH, Tuhan Yang Esa, tiada sekutu bagiNYA.  Dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad adalah hambaNYA dan pesuruhNYA.”
Kemudian Baginda akan membaca 3 ayat dari Al-Quran:
(1)

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ

Bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman!  Bertaqwalah kamu kepada ALLAH dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.”
(Surah aali `Imran, 3:102)
(2)

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا

“Wahai sekalian manusia!  Bertaqwalah kepada TUHAN kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawwa’), dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai.  Dan bertaqwalah kepada ALLAH yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNYA, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya ALLAH sentiasa memerhati (mengawas) kamu.”
(Surah An-Nisa’, 4:1)
(3)

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَقُولُوا قَوْلًا سَدِيدًا

يُصْلِحْ لَكُمْ أَعْمَالَكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَمَن يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ فَازَ فَوْزًا عَظِيمًا

“Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada ALLAH, dan katakanlah perkataan yang tepat – benar (dalam segala perkara),
Supaya DIA memberi taufiq dengan menjayakan amal-amal kamu, dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang taat kepada ALLAH dan RasulNYA, maka sesungguhnya dia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan.”
(Surah al-Ahzab, 33:70-71)
Khutbah al-Haajah adalah suatu ucapan yang biasa diucapkan oleh Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam sebelum memulakan ucapan Baginda kepada para sahabatnya.  Moga-moga kita dapat mengikuti dan mengamalkannya, in shaa’ ALLAH.

Bus bas

"Aduan Rakyat 25 Jun 2013 - Disebabkan kadar tambang murah daripada syarikat penerbangan sejak akhir-akhir ini, saya tertanya-tanya bagaimana syarikat perkhidmatan bas ekspress terus bertapak pada masa ini. Pada jangkaan saya, sudah tentu pihak perkhidmatan bas telah menaiktaraf servis mereka terhadap pelanggan dan juga meningkatkan ketepatan masa bertolak. Dalam minda saya juga, sudah tentu penumpang bas akan mendapat layanan mesra daripda pemandu selain kualiti dan ketepatan masa terjamin.

Disebabkan teka-teki yang bermain di sudut minda saya, setelah hampir 5 tahun tidak menaiki bas, saya mengambil keputusan untuk menaiki bas daripada Sungai Nibong, Pulau Pinang ke KL Central, jam 10.30 malam pada hari Rabu yang lalu bersamaan dengan 19 Jun 2013, saya telah memilih bas Mayang Sari Express.

Jangkaan saya meleset apabila mendengar pemandu bas tersebut En. Ali (bukan nama sebenar) tidak mahu menurunkan pelanggan ke KL Central, walaupun setelah dipujuk oleh penjual tiket tersebut, pemandu tersebut tetap berdegil dan mengatakan beliau hanya akan turunkan penumpang di Pudu dan menyatakan bahawa perkhidmatan bas tersebut ke KL Central telah lama ditamatkan.

Justeru itu, penjual tiket tersebut cuba untuk berbincang dengan pemandu bas yang lain, yang akan menurunkan penumpang mereka di KL Central. Akhirnya penjual tiket tersebut dapat meyakinkan Ali supaya menurunkan penumpang di Perhentian Simpang Pulai untuk menaiki bas lain ke KL Sentral.

Namun sebelum bertolak Ali menempik dengan penuh biadap sekali kepada penumpangnya di dalam bas “Jangan makan dalam bas! Nanti bau makanan masuk dalam air-cond, air-cond rosak! Bodoh sungguh lah manusia ni!!!” tempiknya.

Saya hanya mampu beristighfar melihat telatah beliau yang sungguh angkuh dan kurang ajar. Dalam hati hendak saja saya katakan, ‘jika tidak kerana ada penumpang yang bodoh ini, mungkin En. Ali tiada pekerjaan’. Namun disebabkan kelakar mendengar beliau menyatakan bau makanan akan merosakkan air-cond, saya senyum sendiri sahaja.

Walaupun bertolak 20 minit lambat, bas kami tiba di Pudu tepat jam 3.00 pagi. Sekali lagi apa yang dijanjikan oleh Ali kepada penjual tiket tersebut tidak dikotakan, beliau meneruskan perjalanan tanpa henti terus ke Stesen Pudu. Dengan hanya melaungkan “KL! Kuala Lumpur! KL!, bas ini akan gerak terus ke Johor dan tak singgah mana- mana hentian di KL lagi! Sapa tak turun, tinggai!”.

Dalam fikiran saya, bagaimanakah keadaan bas yang menunggu di Perhentian Simpang Pulai? Kedua, sepatunya beliau telah memaklumkan lebih awal kepada penumpang yang bas ini tidak akan singgah di mana-mana hentian dan tidak akan singgah di KL Central, hentian terakhir adalah di Pudu.

Saya turun dengan hati yang hampa kerana sayalah salah seorang penumpang yang sepatutnya turun di KL Central.

Hal ini menjadikan saya teringin untuk mengkaji keadaan di bas lain. Saya mengambil bas Seasons Express pada hari Sabtu (21 Jun 2013), jam 6.30 petang. Bas ini akan bertolak dari Pudu ke Sungai Nibong, Pulau Pinang dan dipandu oleh En. Mahmud (bukan nama sebenar).

Saya merasa lega apabila mendapati bas tersebut telah berada di Platform, 5 minit awal. Namun saya mula rasa tertekan apabila, setengah jam berikutnya bas masih tidak bertolak sehingga pelanggan yang duduk di sebelah saya mula merungut atas kelewatan tersebut.

Setelah menunggu hampir 45 minit, barulah bas tersebut bergerak, mungkin pihak syarikat cuba memenuhkan penumpang sehingga membiarkan pelanggan terpaksa menunggu sehingga hampir satu jam.

Tidak ada apa-apa layanan biadap daripada Mahmud selain mengingatkan penumpang- penumpang supaya tidak makan di dalam bas dengan nada sedikit tegas, namun masih menjaga adap beliau. Sehinggalah bas tersebut berhenti di Perhentian MYDIN Mall, pelanggan dikejutkan dengan suara Mahmud “Saya bagi masa setengah jam saja, lambat tinggai!” tempiknya.

Ada segelintir penumpang yang ketawa kecil mendengar kenyataan tersebut, memandangkan bas tersebut bertolak 45 minit lambat. “Saya cakap betul ni!, Lambat, Tinggal!!! Saya takkan kira orang dah! Saya jalan ja!!!” tempiknya sekali lagi.

Para penumpang mengiyakan sahaja. Saya teru ke Surau, dan sempat menjamah sedikit makanan. Belum sempat saya menghabiskan makanan alarm saya menunjukkan setengah jam sudah tamat. Saya terus berlari ke bas dan kemuadiannya melihat Mahmud juga menaiki bas dan meneruskan perjalanan kembali tanpa mengira dan melihat penumpangnya!

Astagfirullahala’zim. Tergamam saya. Apa yang saya tahu, Pakcik dan Makcik yang duduk di sebelah saya mungkin dalam lingkungan 60-an ke 70-an belum menaiki bas. Beg mereka juga masih di dalam bas. Betapa biadapnya Mahmud terhadap penumpangnya.

Terdetik dalam fikiran saya ‘Tidak ada makna beliau pergi meninggalkan penumpangnya begitu saja untuk menunjukkan beliau tepati masa kerana beliau telah membiarkan kami menunggu hampir 45 minit untuk bertolak!’

Setelah saya sampai di Juru, saya dapati bas ini akan singgah di Butterworth dahulu. Sekali lagi saya ditipu, Setahu saya, saya membeli tiket terus ke Sungai Nibong, Pulau Pinang. Nasib baiklah ada beberapa penumpang yang akan ke destinasi yang sama. Ada juga penumpang yang bangun untuk mengesahkan adakah bas ini akan singgah ke Pulau Pinang. Mungkin mereka risau melihat perangai Mahmud yang tidak bertanggungjawab itu. Namun, soalan penumpang tersebut yang ditanya dengan penuh sopan santun, dijawab dengan herdikan. Mahmud hanya menjerit “ Duduk diam-diam kat tempat sudah, sampai Penang aku panggil la!!!”

Sakit hati saya dengar tempikan beliau, namun tiada apa-apa yang kami dapat lakukan. Saya dapati semua pelanggan hanya mediamkan diri, termasuk saya. Mungkin kerana jam sudah menunjukkan pukul 1.30 pagi. Melihat Mahmud yang berperangai seperti orang sakit otak itu, saya juga bimbang aklan dihalau keluar dari bas walaupun kita yang membayar perkhidmatan tersebut. Betapa biadapnya pemandu bas sekarang.

Saya boleh katakan yang saya akan serik menaiki bas. Pada pendapat saya, pemandu bas lima tahun yang dahulu lebih berhemah daripada segelintir yang ada sekarang. Walaupun ada pemandu bas yang garang, namun mereka jarang mengeluarkan kata cacian kepada para penumpang. Mereka juga akan mengira setiap penumpang sebelum meneruskan perjalanan.

Seperti kes saya, Ali dan Mahmud sepatutnya berterima kasih kepada pelanggan yang masih ingin menaiki bas. Mereka mungkin akan hilang sumber rezeki jika pelanggan makin berkurangan. Dengan layanan yang diberikan oleh mereka, mungkin ada pelanggan lain yang akan melaporkan ketidakpuasan hati mereka terhadap kedua pemandu ini. Ingatlah bahawa setiap rezeki yang masuk itu, sebahagiannya adalah daripada hasil jualan tiket tersebut. Jika kamu tidak mampu menjalankan tanggungjawab yang diberikan, seeloknya berhentilah jadi pemandu dan carilah kerja lain yang tidak perlu berurusan dengan manusia.

Bagi saya, Ali dan Mahmud bernasib baik kerana semua penumpang hanya mendiamkan diri. Cuba bayangkan juka ada penumpang yang berada dalam keadaan tertekan, atau ada di kalangan penumpang yang membawa barangan merbahaya, mungkin kedua-dua pemandu ini akan ditikam, ditembak atau dicurahkan asid. Beringatlah sebelum terkena.

Saya mohon syarikat bas berkenaan untuk menasihati pemandu-pemandu ini kerana kedua-dua mereka amat biadap dan sangat tidak bertanggungjawab. Mungkis kes ini akan berlaku kepada orang lain pula, jadi saya mohon syarikat yang terlibat memberikan nasihat sewajarnya kepada kedua-dua pemandu ini.

Terima kasih.
DARWINA, Pulau Pinang

Jerebu jelebu

dikatakan berkeadaan berjerebu.... Itu fakta... Tapi ada yang fakta yang cuba diselindungkan oleh ramai pihak... Antaranya ialah...

Jerebu nie semacam asap... Tak salah kalau nampak macam asap fogging kan... So... nyamuk sangat bencikan jerebu... Sebab jerebu...nyamuk makin banyak cuba mengambil kesempatan menetap di rumah sedara sedari sambil mencuri peluang nak hisap darah korang.... Darah yer... bukan dara...

Ramai marahkan jerebu... Tak suka jerebu.. sesak nafas... terpaksa sedut asap... Tapi tahukah anda... partikel jerebu sememangnya lebih kurang je dengan asap rokok? Malah lebih selamat untuk disedut berbanding asap rokok... Dah boleh jimat disitu bagi perokok... Tak payah dah merokok...sedut je jerebu...erkkk...

Sememangnya jerebu sebenarnya berasal dari satu tempat.... Tidak tahu kenapa dan bagaimana asal-usulnya berpunca dari situ... Dengar khabar dari Pak Pandir, jerebu berasal dari daerah Jelebu... Tetttt...

IPU digunakan sebagai pengukur tahap jerebu.... Sesungguhnya IPU berbeza daripada UPU atau OKU... Dan sangat berbeza berbanding IBU... Sayang IBU saya..hehe
Jerebu boleh menyebabkan sakit tekak dan asma.... Tapi tidak boleh menyebabkan sakit perut atau gastrik... 

Kerap bersin dan badan gatal-gatal adalah salah satu tanda-tanda anda alah dengan jerebu... Tapi bukannya cirit-birit atau gatal nak mengorat anak dara di taman-taman permainan.... 

Jerebu disukai budak-budak sekolah kerana dapat cuti tetapi tidak disukai orang-orang dewasa kerana terpaksa menjaga anak-anak yang tak pegi sekolah di ofis masing-masing...

Selasa, 25 Jun 2013

Pengarah, Pemarah & Pengimarah

“Kaedah pengurusan saya ‘simple’. Tegas dan jelas. Yang bekerja dengan baik berikan ganjaran dan yang buat masalah berikan hukuman. Hasilnya… awak tengok syarikat saya sekarang,” kata seorang pengurus sebuah syarikat pembekal makanan halal kepada saya sewaktu kami menghadiri kursus pengurusan dan kepimpinan.

Saya tersenyum, membuka laluan untuknya terus berkata-kata. Sejak dari awal perbualannya sehinggalah sekarang, dia sentiasa mendominasi perbualan.

“Lihat berapa banyak anugerah kecemerlangan yang saya berikan untuk staf. Mereka tentu berpuas hati dan akan memberi pulangan yang tinggi untuk syarikat nanti. Mereka untung dan saya sebagai pemilik syarikat untung. Sama-sama untung.”

“Yang buat masalah, mereka terima akibatnya!”
Saya terus diam. Mencari ruang untuk mencelah yang sejak tadi belum diberikan.

“Berapa ramai pekerja yang kekal sejak awal penubuhan syarikat?” tanya saya mengalih sedikit hala tuju perbualan.

“Bilangan jari. Ramai pekerja baru. Saya tidak bimbang… saya punya kemampuan kewangan untuk mendapat tenaga-tenaga baru. Yang berhenti atau diberhentikan mudah sahaja mencari gantinya.”
“Itu petanda yang tidak berapa elok, “ jolok saya tiba-tiba.
“Mengapa?”

“Jika pekerja kerap bertukar ganti… itu menunjukkan syarikat awak belum berjaya, “ kata saya berlapik.

“Tapi syarikat sentiasa buat keuntungan berganda setiap tahun!”
Saya senyum. Betapa dia hanya fokus kepada keuntungan. Pada hal ukuran pencapaian sesebuah berdasarkan ‘Balance Score Card’ syarikat ada empat – tercapai objektif kewangan, kepuasan pelanggan, proses kerja dalaman yang baik dan faktor pembelajaran dan perkembangan pada warga kerja.
“Awak hanya fokus kepada telur emas tetapi tidak menjaga angsanya,” kilas saya tiba-tiba.

“Maksud awak?”
“Tentu awak pernah dengan cerita angsa bertelur emas. Seekor angsa bertelur emas sebiji sehari. Tuan punya tidak sabar menunggu. Disangkanya dalam perut angsa ada banyak telur lalu angsa itu dibunuh dan dibelah perutnya…”
“Awak tahu apa hasilnya pada pemilik angsa? Telur emas tidak dapat dan angsanya mati. Rugi berganda. Begitulah akibatnya jika hanya fokus kepada produktiviti dan kualiti kerja tetapi menafikan perasaan, jiwa dan kebajikan pekerja,” tambah saya dengan cepat agar penjelasan saya tidak dipotong.
Dahinya berkerut. Nampaknya dia mula berfikir dan cuba memahami input yang saya cuba sampaikan.

“Tetapi saya masih mempunyai beberapa orang pekerja yang setia. Mereka sangat patuh dan sentiasa memberi kerjasama…”
“Awak perlu bijak membezakan antara pekerja yang setia dan pengampu. Di keliling awak kadangkala hanya seorang pengampu bukan  yang bijak dan kritis, ” celah saya agak tegas.

“Saya tidak suka orang yang kritis. Bagi saya mereka adalah duri dalam daging. Orang yang menikam kita dari belakang. Mereka seperti ini saya cantas dengan cepat.”

“Itu hak awak. Tetapi syarikat jangan dilihat sebagai organisasi membuat keuntungan sahaja tetapi perlu dijadikan sebagai institusi pendidikan. Kita perlu memberi ilmu, mendidik, mendengar, menghargai,  dan jika memimpin pekerja,” kata saya.

“Antara kebijaksanaan dan kesetiaan, saya memilih kesetiaan,” jawabnya.
“Tanpa perhubungan yang erat dan kasih sayang sejati awak akan hilang kedua-duanya…”
“Saya kira saya telah mendapatnya sekarang,” ucapnya sambil tersenyum. Dia kelihatan begitu yakin.

Saya menggelengkan kepala perlahan-lahan.
“Awak hanya akan dapat pengampu yang bekerja tanpa kreativiti dan inovasi. Mereka hanya hebat membuat kerja rutin.  Atau pekerja yang takut dan tertekan dalam diam yang  kreativitinya tersekat tetapi belum mendapat tempat lain untuk meninggalkan syarikat!” tusuk saya berani.
Dia menggelengkan kepala. Tidak bersetuju.

“Saya percaya kepada ketegasan. Kita perlu jelas bahawa syarikat bukan sekolah berteraskan pendidikan. Syarikat adalah sebuah organisasi bermatlamatkan keuntungan. Awak tidak faham!”

“Itu betul jika dilihat pada ukuran yang biasa. Tetapi awak juga yang menegaskan sejak awal tadi bahawa awak hendak mengurus dan mentadbir syarikat secara Islam. Islam melihat pekerja sebagai matlamat, keuntungan sebagai alat. Berbeza dengan ukuran biasa yang melihat pekerja sebagai alat untuk mendapat keuntungan.”

“Pekerja sebagai matlamat? Maaf, saya tidak faham.”
“Yang paling berharga dalam mana-mana institusi ialah manusianya. Itulah harta yang paling bernilai. Sama seperti sebuah famili… yang bernilai bukan rumah, kereta dan set perabotnya tetapi manusianya, yakni suami, isteri dan anak-anak. Begitulah dalam sebuah syarikat Islamik,  yang paling berharga ialah pekerja bukan yang lain.”

“Habis keuntungan tidak penting?”
“Awak jaga angsanya, insyaAllah ia akan bertelur emas setiap hari,” jawab saya pendek.

“Salahkah saya memberi hukuman?”
“Tidak salah. Mana-mana organisasi mesti ada peraturannya. Tetapi hukuman adalah jalan akhir setelah proses perhubungan, penerangan, perbincangan, penjelasan dan komunikasi yang telus dan tulus dilaksanakan.”
“Saya tidak masa untuk itu… saya sibuk mengurus hal yang lain.”

“Awak seorang pemimpin atau seorang pengurus?” tanya saya.
“Saya pemimpin syarikat ini!”

“Pemimpin perlu fokus kepada manusia. Hanya pengurus yang fokus kepada sistem. Pemimpin perlu mendekati, memberi ruang dan peluang untuk pekerja didengari, bermesra dan menyayangi pekerja. Paling penting, kasih sayang. Kita boleh menyayangi  tanpa memimpin tetapi kita tidak boleh memimpin tanpa menyayangi.”

“Jadi tak perlu hukuman?”
“Peraturan ditambah undang-undang tetapi tanpa kasih sayang hanya akan mencetuskan pemberontakan!” jawab saya jelas.
“Pemberontakan telah saya padamkan…”

“Yang nampak boleh awak padamkan. Tetapi bagaimana yang terpendam?”
“Yang terpendam biarkanlah. Itu hak mereka. Asal jangan buat tidak senonoh dalam syarikat…”

Saya senyum. Seronok berbincang dengan orang yang berbeza ‘school of thought’ begitu. Kita akan dapat corak fikiran yang berbeza.

“Yang terpendam sebenarnya lebih berbahaya. Mereka akan membatas daya  kreativiti dan produktiviti. Mereka akan bekerja di bawah batas kemampuan dan kebijaksanaan. Melaksanakan bekerja tanpa keghairahan dan semangat berpasukan yang tinggi. Nak mengampu mereka tak tega, nak memberi pandangan takut pula  jadi Hang Nadim.”

“Hang Nadim?”
“Hang Nadim adalah kanak-kanak bijak dalam cerita Singapura dilanggar todak. Dia boleh berfikir secara kreatif. Think outside the box, kata  orang sekarang. Daripada berkubukan betis baik berkubukan batang pisang. Itu pemikiran strategiknya. Akhirnya, Singapura selamat tetapi Hang Nadim tidak selamat.”

“ Apa terjadi kepada Hang Nadim?”
“Dibunuh raja. Kalau masih kanak-kanak sudah begitu bijak, apalagi kalau sudah dewasa nanti, fikir raja. Aku boleh dilawannya, lalu Hang Nadim dihukum bunuh!” kata saya.

Mahu sahaja saya menyoal, berapa ramai ‘Hang Nadim’ yang telah awak ‘bunuh’ dalam syarikat awak? Setelah habis manis, sepahnya dibuang. Namun, tidak tergamak saya bertanya demikian. Tidak berakhlak.
“Tetapi saya tidak begitu. Saya hanya menghukum yang salah, bukan yang bijak.”

“Tidak salah menghukum tetapi pemimpin perlu mendidik dahulu sebelum menghukum. Tanya dan dengarlah penjelasannya. Jangan dengar daripada pengampu. Jika kesalahan dalam bentuk fizikal dan material, dapat hujah nyata atau bukti-bukti yang tertulis. Jika kesalahan dalam bentuk kata-kata dan sikap datangkan saksi yang adil. Jangan bunuh Hang Nadim, nanti muncul Hang Jebat ”

“Wah macam mahkamah pula. Tadi macam sekolah.”
“Seorang pemimpin lebih rela disalahkan kerana tidak menghukum daripada tersalah menjatuhkan hukuman. Takutilah doa orang yang zalim. Orang yang bersalah sekalipun mesti diberi hak diadili dengan saksama sebelum dijatuhkan hukuman!”

“Saya bukan seorang pemimpin negara… saya hanya pemimpin syarikat perniagaan.”

“Sekalipun pemimpin di skala yang paling kecil, semua pemimpin akan ditanya tentang kepimpinannya. Hendak dengar cerita burung dan ulat?”
Dia memalingkan wajahnya. Tetapi saya terus berkata, “semasa burung hidup dia memakan ulat tetapi apabila burung mati, dia pula yang dimakan ulat. Kita tidak selamanya di atas… walaupun sekarang kita terus menaik ke atas. Mungkin itu hanya untuk meninggikan tempat kita jatuh. Lebih tinggi, lebih sakit nanti. Berhati-hatilah…”

Dia berlalu pergi. Tiba-tiba, tok, tok, tok, kedengaran ketukan di pintu. Saya terjaga. Isteri menyapa, “tertidur kerana baca cerita Hang Nadim?” Saya terjaga sambil merenung buku cerita lama di tangan. Subhanallah, saya berfikir atau tertidur. Atau berfikir dalam tidur tentang… Hang Nadim!

ritual vs spiritual

tamakTentu ada yang salah di mana-mana, jika ada orang yang rajin solat tetapi masih gemar mengumpat. Orang yang berpuasa tetapi masih tega menghina. Atau orang yang banyak berzikir dan berwirid tetapi sangat bakhil dan kedekut. Mengapa amal ibadah itu tidak membuahkan akhlak yang baik? Padahal ibadah itu umpama ‘pohon’ yang menghasilkan ‘buah’ akhlak.

Seorang lelaki bertemu seorang ahli sufi terkenal, Bisyr bin Harits untuk mengucapkan selamat berpisah kerana dia hendak mengerjakan ibadah haji buat kali kedua. Dia berkata, “Aku berniat pergi haji. Adakah sesuatu yang hendak engkau sampaikan kepada ku untuk aku lakukan?”
“Berapa banyak wang yang kau siapkan untuk bekalan?” tanya Bisyr.
“Dua ribu dirham.”

“Apa tujuan engkau mengerjakan haji kali ini? Apakah kerana zuhud terhadap dunia atau untuk melepaskan kerinduan kepada Baitullah atau untuk mencari keredaan Allah?”

“Demi mencari keredaan Allah,” jawab lelaki itu tegas.
“Sekiranya engkau dapat meraih keredaan Allah, sedangkan engkau tetap tinggal di rumah mu dengan menginfakkan dua ribu dirham  itu, apakah engkau bersedia untuk melakukannya?” tanya Bisyr.
“Ya.”

“Kalau begitu pergilah dan infakkan wang dua ribu dirham itu untuk menolong sepuluh golongan manusia; seorang yang terbeban oleh hutangnya, lalu engkau bayar hutangnya; seorang miskin, lalu engkau baiki tahap hidupnya; seorang mempunyai keluarga yang ramai anak; seorang penjaga anak yatim , lalu kau gembira anak yatim yang diasuhnya…”

Bisyr menyambung lagi, “Sekiranya hati engkau cukup kuat untuk memberi wang itu kepada seorang sahaja di kalangan mereka, maka berikanlah! Sesungguhnya, perbuatan engkau memberi kegembiraan di hati orang Muslim dengan menolongnya menghadapi penderitaan, membantunya keluar dari kesusahannya dan menolong orang yang lemah, adalah jauh lebih utama daripada ibadah haji seratus kali (setelah haji pertama yang diwajibkan seumur hidup.)”

Biyr bin Harits menambah lagi, “sekarang engkau pergilah dan infakkanlah wang dua ribu dirham itu sepertimana yang aku cadangkan. Atau jika tidak, luahkan sahaja isi hati mu sekarang…”

Lelaki itu termenung  sebentar lalu berkata, “Wahai Abu Nashr ( gelaran Bisyru Al Harit), niat untuk ku mengerjakan haji lebih kuat dalam hati daripada semua amalan yang kau ucapkan itu!”

Mendengar jawapan itu, Bisyr tersenyum dan berkata, “Memang, apabila harta diperoleh melalui perniagaan yang kotor atau syubhat, maka hati akan tertarik untuk memenuhi keinginan hawa nafsu dengan menampakkan dan menonjolkan amal-amal soleh (agar diketahui oleh orang ramai). Padahal Allah telah bersumpah demi dirinya sendiri, bahawa Dia tidak akan menerima selain amalan orang-orang yang bertakwa.”

Subhanallah, pengajaran daripada kisah ini sangat relevan sehingga kini. Kita lihat betapa ramai ahli ibadah tertipu dengan ‘menyembah’ kesenangan dan kepentingan dirinya atas nama agama. Mereka meminggirkan amalan yang menyuburkan kasih sayang sesama manusia kononnya untuk berbakti kepada Allah. Padahal kesan amal ibadah itu ialah akhlak dan akhlak itu terserlah melalui sifat kasih sayang kepada manusia lain. Tegasnya, kasih sesama manusia itu adalah kesan kasih kepada Allah. Firman Allah: ” Sesungguhnya orang-orang beriman dan beramal soleh kelak Allah Yang Maha Pemurah akan menanamkan dalam hati mereka rasa kasih sayang.” Maryam: 96

Ada orang yang riyak dengan rumah besar dan kereta mewahnya, tetapi ironinya ada juga orang riyak dengan amal ibadahnya. Cuba lihat betapa ramai orang yang pergi mengerjakan haji dan umrah sehingga berkali-kali. Setiap kali pulang ke Tanah Air, dia mula bercerita tentang tangisannya ketika mengucup Hajarul Aswad, hatinya yang tersentuh ketika berdoa penuh khusyuk di Pancur Emas,  atau rasa sayu dan sedih ketika tafakur di makam Rasulullah SAW.  Itulah yang jadi bahan ceritanya sekembali dari Makkah.

Seiring perkembangan teknologi terkini, segala apa yang telah dilaluinya akan jadi entri baru di  muka buku (FB). Terpampanglah gambarnya dengan pelbagai aksi syahdu di makam Ibrahim, di sisi Kaabah dan pelbagai lagi tempat suci… Sepatutnya, apabila berada di rumah Allah, yang kita besarkan adalah Allah, bukan diri kita yang berada di rumah Allah itu. Jika kita merintih, merintihlah dengan suara yang didengar oleh Allah, bukan yang kita tuliskan untuk tatapan orang lain.

Lebih malang lagi apabila dalam realitinya ada juga individu yang telah berkali-kali mengerjakan umrah atau haji ini tega  membiarkan saudara mara, anak yatim, orang miskin, janda terbiar,  bahkan sahabat terdekatnya dalam  keadaan yang melarat. Contohnya, ada majikan memburu pahala mengucup ‘hajarul aswad’ sedangkan dia punya peluang merebut pahala yang lebih besar dengan membela nasib pekerjanya yang sedang  hidup serba kekurangan. Atau orang kaya yang mengejar pahala berganda dengan bersolat di Masjid al Haram dan Nabawi, sedangkan jirannya meronta-ronta kelaparan. Ini ibadah Sang Kapitalis!

Para abid yang tertipu ini hanya  membina ‘ritual’ agama tetapi bukan roh atau ‘spiritual’ agama. Nilai amal itu bukan terletak kepada soal-soal lahiriah (walaupun itu juga dituntut) tetapi terletak pada tujuan dan roh amal ini.  Allah telah mengingatkan betapa perlunya kita menyantuni orang-orang yang melarat dalam masyarakat kerana itu tanda iman dan amal soleh.  Firman Allah:”Tahukah kamu orang yang mendustakan agama? Yakni mereka yang mengherdik anak-anak yatim, dan tidak menganjurkan memberi makan orang-orang miskin.”

Sering diungkapkan oleh orang yang bijaksana, “Kita perlu akrab dengan manusia untuk mengetahui masalahnya dan kita perlu akrab dengan Allah untuk membantu manusia menyelesaikan masalah tersebut.” Ertinya,  hubungan dengan Allah (‘habluminallah’) dan hubungan sesama manusia (‘habluminannas’) itu sangat erat keterkaitannya.  Seseorang tidak akan dapat menjalinkan hubungan baik dengan Allah sekiranya tidak menjalinkan hubungan baik sesama manusia.

Sesungguhnya keredaan Allah bukan sahaja ada di masjid atau surau tetapi di rumah anak-anak yatim, rumah orang miskin, rumah sakit, dan rumah kebajikan orang-orang tua. Jika kita bijak menilai keutamaan, banyak yang kita boleh buat untuk mendapat kecintaan Allah dengan berbuat baik sesama manusia!

Syiria


بِســمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْم
اللهم اِنا نَجْعَلُك فى نُحُورِ أعداءِنَا و نَعُوذُ بِك مِن شُرُورِهِم, اللهم بَدِّدْ شَمْلَهُم 
و فَرِّقْ جَمْعَهم و شَتِّتْ كَلِمَتَهم و زَلْزِلْ أَقْدَامَهم و سَلِّطْ عليهم كَلْبًا مِن كِلَابِك
يا قهَّار , يا جبَّار , يا مُنْتَقِم , يا الله , يا الله , يا الله
اللهم يا مُنْزِلَ الكتاب و يا مُجْرِىَ السَحاب و يا هَازِمَ الأحزاب  
اِهزِم الكفار من وَلَّا هُم , وانصُرْنا عليهم يا رب العالمين

sentapan taubat

Ustaz Hasrizal Abdul Jamil,25 Jun 2013
“Saya sangat kecewa. Mengapa seorang ustaz gagal solat berjemaah di masjid? Sedangkan saya bersusah payah…” keluh seorang lelaki.

Sedih.

Keluhan yang benar.

Kebenaran yang sukar untuk ditelan.

“Kalaulah dia tahu betapa deritanya hidup dalam kejahilan, tentu dia tidak akan bermain alasan untuk hadir ke majlis ilmu.” keresahannya berpanjangan.

Keluhan demi keluhan keluar daripada mulut lelaki tersebut. Dalam kesungguhannya memperbaiki diri, dia dirundung rasa duka kerana ‘dunia kebaikan’ yang baru dijenguk itu penuh dengan kekecewaan. Segalanya tidak mencapai jangkaan.

Keresahan ini sering melanda seorang insan yang baru bertaubat. Keinginannya terhadap kebaikan dan kekesalan terhadap masa silam menyebabkan harapannya begitu tinggi untuk melihat yang baik-baik mengelilingi hidupnya. Harapan itulah yang menyumbang kepada rasa kecewa, hingga kata-kata yang keluar dari mulutnya sentiasa berbau duka, murung dan adakalanya bernada kemarahan.

Mungkin dalam perbualan sehariannya.

Mungkin dalam ceramahnya.

Mungkin dalam penulisan.

Nasihat Sheikh Abd Al-Qadir Al-Jailani

“Jangan kamu mendakwa diri menjadi Tuhan. Jangan kamu mendakwa diri menjadi Nabi!” pesan Sheikh Abd al-Qadir al-Jailani kepada muridnya.

Tergamam.

Anak murid yang lama mengaji dengan sheikh itu terkejut dengan nasihat yang diterima.

“Bagaimana mungkin engkau mengandaikan aku boleh membuat dakwaan sebegitu rupa, setelah aku lama menuntut ilmu denganmu?” tanya anak murid itu kepada gurunya.

Lalu Sheikh menceritakan sebuah kisah yang berlaku kepada seorang lelaki soleh di Delhi. Beliau telah menimbulkan kontroversi tatkala mengungkapkan kata-kata yang sungguh luar biasa.

“Engkau bukan Allahku dan aku bukan hambamu!” kata lelaki soleh itu.

Setiap yang mendengar terkejut.

Kata-kata itu sungguh berbunyi kekufuran dan seluruh mereka yang mendengarnya menghukum beliau dengan kufur.

Namun seorang hadirin datang kepada lelaki soleh berkenaan dan bertanya, “Mengapakah engkau berkata demikian?”

Lelaki tersebut menjawab, “Nafsuku menyuruh aku berbuat maksiat. Aku berkata kepadanya bahawa engkau bukan Allahku dan aku tidak akan menurut kehendakmu kerana aku bukan hambamu!’

Lalu Sheikh Abd al-Qadir al-Jailani menyambung nasihatnya kepada si anak murid, “Jangan engkau mendakwa dirimu sebagai Allah, tatkala engkau mahukan semua kehendakmu berlaku. Engkau mahu semua yang engkau hajatkan menjadi kenyataan. Ketika engkau mempunyai harapan yang begitu, engkau seperti mendakwa dirimu Tuhan. Kerana hanya Tuhan yang berhak begitu!”

Harapan yang tinggi mesti disertakan dengan sifat kehambaan.

Jangan harapan itu menimbulkan rasa kecewa apabila tidak kesampaian, hingga kita terlupa kita hanyalah hamba. Hamba yang boleh berharap, namun segalanya pulang kepada kehendak Tuhan.

“Jangan pula engkau mendakwa dirimu seorang Nabi, yakni tidak kira setinggi mana engkau berusaha mencapai takwa dan pembaikan diri, jangan sesekali engkau merasakan dirimu tidak bersalah dan tidak berdosa. Sesungguhnya yang bersih dan terpelihara daripada dosa itu hanyalah seorang Nabi yang maksum."

"Oleh itu, tidak kiralah berapa lama engkau telah mendampingi gurumu, jangan sesekali engkau menyangka yang tiada kesilapan yang berlaku pada perjalanan hidupmu hingga engkau terjebak kepada apa yang telah aku nasihatkan kepadamu itu”

Demikianlah nasihat Sheikh Abd al-Qadir Jailani kepada anak muridnya.

Nasihat yang turut perlu dihayati oleh setiap kita yang sedang meniti jambatan taubat meninggalkan hitam semalam kepada kejernihan esok.

Kisah Penangkap Ular

Harus juga kita tidak lupa kepada kisah yang pernah dinukilkan oleh Maulana Jalaluddin al-Rumi tentang kisah seorang penangkap ular. Ketika suatu musim sejuk, penangkap ular itu memanjat gunung untuk mencari buruannya. Beliau terjumpa dengan banyak ular yang seperti mati dek cuaca yang sejuk. Ular-ular yang berhibernasi itu ditangkap dengan mudah, dimasukkan ke karung dan dibawa turun ke pasar.

Penangkap ular itu mahu menunjukkan kepada orang ramai kepakaran dirinya menangkap pelbagai jenis ular.

Semasa tiba di pasar, tatkala mentari yang bersinar dengan sedikit kepanasan haba yang datang, ular-ular yang tadinya beku seakan mati, hidup, liar dan bertempiaran lari meninggalkan penangkap ular dan menimbulkan ketakutan setiap mereka yang berada di situ.

“Demikianlah nafsu kita. Dengan didikan, ia menjadi jinak, lumpuh, malah membeku. Seperti ular itu tadi. Tetapi nantikan nafsu itu terkena sedikit tempias keenakan dosa dan nikmat dunia, bisa sahaja ia menjadi seperti ular berkenaan,” nasihat Maulana Jalaluddin al-Rumi.

Sesungguhnya taubat dan kesedaran kita hanya di satu peringkat kehidupan.

Kita masih berjuang mengejar Husn al-Khatimah.

Bersederhanalah dalam membina harapan.

Agar kecewa dan keluh kesah tidak menjadi bahasa harian.

(Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisi-Mu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya.” (Surah al-Imran : ayat 8)

Banyakkan berdoa, banyakkan berbicara yang positif, banyakkan memberi motivasi.

Bukan untuk sesiapa, lebih kepada diri sendiri.

http://saifulislam.com/