Khamis, 24 Oktober 2013

subuh berjemaah

"Sesungguhnya amal manusia yang pertama kali dihisab pada hari kiamat adalah solatnya." Jika solatnya baik, maka baik pula seluruh amalnya; dan kalau buruk, maka buruklah seluruh amalnya. Bagaimana mungkin seorang yang beriman mengharapkan kebaikan di akhirat, sedang pada hari kiamat bukunya kosong dari solat Subuh tepat pada masanya?

"Sesungguhnya solat yang paling berat bagi orang munafik adalah solat Isya 'dan solat Subuh. Sekiranya mereka mengetahui apa yang terkandung di dalamnya, nescaya mereka akan mendatangi kedua-duanya (berjemaah di masjid) sekalipun dengan merangkak."
 [HR Al-Bukhari dan Muslim]

Solat Subuh memang solat wajib yang paling sedikit jumlah rakaatnya, hanya dua rakaat saja. Namun, ia menjadi standard keimanan seseorang dan ujian terhadap kejujuran, kerana waktunya sangat sempit (sampai matahari terbit)

Ada hukuman khusus bagi yang meninggalkan solat Subuh. Rasulullah SAW telah menyebutkan hukuman berat bagi yang tidur dan meninggalkan solat wajib, rata-rata punca utama seorang muslim meninggalkan solat Subuh adalah tidur.

"Syaitan melilit leher seorang di antara kamu dengan tiga lilitan ketika dia tidur. Dengan setiap lilitan syaitan membisikkan, 'Nikmatilah malam yang panjang ini'. Apabila dia bangun lalu mengingat Allah, maka terlepaslah lilitan itu. Apabila dia berwuduk, lepaslah lilitan yang kedua. Kemudian apabila dia solat, lepaslah lilitan yang ketiga, sehingga ia menjadi bersemangat. Tetapi kalau tidak, dia akan terbawa-bawa perlahan dan malas."


"Berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang banyak berjalan dalam kegelapan (waktu Isyak dan Subuh) menuju masjid dengan cahaya yang sangat terang pada hari kiamat" [HR. Abu Daud, At-Tarmidzi dan Ibnu Majah]

Allah akan memberi cahaya yang sangat terang pada hari kiamat nantinya kepada mereka yang menjaga Solat Subuh berjemaah (bagi kaum lelaki di masjid), cahaya itu ada dimana sahaja, dan tidak mengambilnya ketika melewati Sirath Al-Mustaqim, dan akan tetap bersama mereka sampai mereka masuk syurga, Insya-Allah.

"Solat berjemaah (bagi kaum lelaki) lebih utama dari solat salah seorang kamu yang sendirian, berbanding 27 kali ganda. Malaikat penjaga malam dan siang berkumpul pada waktu solat Subuh." "Kemudian naiklah para Malaikat yang menyertai kamu, pada malam harinya, lalu Tuhan mereka bertanya kepada mereka padahal Dia lebih mengetahui keadaan mereka - 'Bagaimana hamba-hambaku ketika kamu tinggalkan?' Mereka menjawab, 'Kami tinggalkan mereka dalam keadaan solat dan kami dapati mereka dalam keadaan solat juga '."
 [HR Al-Bukhari]

Sedangkan bagi wanita walaupun solat di masjid dibenarkan, solat di rumah adalah lebih baik dan lebih banyak pahalanya, iaitu yang mengerjakan solat Subuh pada saat para lelaki sedang solat di masjid. Ujian yang membezakan antara wanita munafik dan wanita mukminah adalah solat pada permulaan waktu.

"Barang siapa yang menunaikan solat Subuh, maka dia berada dalam jaminan Allah. Solat Subuh menjadikan seluruh umat berada dalam jaminan, penjagaan, dan perlindungan Allah sepanjang hari. Barang siapa membunuh orang yang menunaikan solat Subuh, Allah akan menuntutnya, sehingga Dia akan membenamkan mukanya ke dalam neraka." [HR Muslim, At-Tarmidzi dan Ibnu Majah]

Banyak permasalahan, yang bila diselidiki, berpunca daripada pelaksanaan solat Subuh yang dipandang ringan. Banyak peristiwa petaka yang terjadi pada kaum penderhaka berlaku di waktu Subuh, yang menandakan berakhirnya dominasi jahiliyah dan munculnya cahaya tauhid. 

"Sesungguhnya saat jatuhnya azab kepada mereka ialah di waktu Subuh; bukankah Subuh itu sudah dekat?" (Surah Hud: 81)

Rutin harian permulaan bergantung pada pelaksanaan solat Subuh. Seluruh urusan dunia seiring dengan waktu solat, bukan waktu solat yang perlu mengikuti urusan dunia.

"Jika kamu menolong (agama) Allah, maka ia pasti akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu" (Surah Muhammad: 7)

"Sungguh Allah akan menolong orang yang menolong agamanya, sesungguhnya Allah Maha Kuat dan Maha Kuasa," (Surah Al-Hajj: 40)


http://detikislam.blogspot.com/

Rabu, 23 Oktober 2013

Halimaton Hamdan

Profesor Datuk Dr. Halimaton Hamdan menyuntik inspirasi dalam kalangan warga muda untuk mendalami bidang sains dengan meneroka teknologi nano dan menghasil Maerogel.
KECINTAAN beliau terhadap ilmu dan sains diteruskan dengan menerajui UniMy sebagai universiti butik pertama yang khusus dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi di Malaysia.


KEPAKARAN beliau dalam bidang teknologi nano di negara ini sememangnya diperakui. Penemuan Prof. Datuk Dr. Halimaton Hamdan berhubung M Maerogel (aerogel Malaysia) daripada ekstrak silika sekam padi mampu mengurangkan kos pengeluaran sebanyak 80 peratus.
Bahan itu mempunyai nilai komersial tinggi dan boleh diguna untuk mengurangkan suhu panas bangunan konkrit, menyerap tumpahan minyak dan pencemaran udara serta dijadikan panel kalis bom. Bagi membangunkan maerogel, ia mengambil masa sembilan tahun.
Kepada Halimaton, saiz nano yang sangat kecil menyebabkan banyak teknologi boleh diteroka.
Wanita bertubuh langsing dan tinggi lampai itu kelihatan elegan dalam persalinan kurung moden. Ketika ditemui di Universiti Malaysia of Computer Science and Engineering (UniMy) di Cyberjaya, Selangor beliau kelihatan sibuk berurusan dengan kakitangannya tetapi masih sudi meluangkan masa.
Selepas tiga dekad mencurah bakti sebagai pensyarah dan penyelidik di Jabatan Kimia Universiti Teknologi Malaysia (UTM), khidmat Halimaton tidak terhenti di situ saja. Kepakaran beliau diperlukan UniMy sebagai Naib Canselor UniMy sejak bulan Oktober 2012. Unimy merupakan sebuah universiti butik yang menekankan bidang sains komputer dan kejuruteraan. Apa yang lebih menarik, cabang pengajian itu agak berbeza dengan latar belakang pengajiannya iaitu kimia.
"Malaysia memerlukan lebih kurang 20,000 orang pekerja dalam bidang sains komputer pada tahun 2020. Bidang ini sangat penting terutamanya untuk penyelidikan dan pembangunan," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurut Halimaton, sains komputer seperti pembangunan perisian yang bersesuaian, membantu memberikan simulasi keputusan kajian jika suatu penyelidikan itu dibuat dalam bidang kimia. Secara tidak langsung, ia membantu menjimatkan masa sekali gus penyelidik dapat meramal hasil kajian.
"Kesepaduan antara sains komputer dan jurusan-jurusan sains lain membolehkan para saintis menerokai bidang baharu yang banyak melibatkan data-data yang besar selain penggunaan pengkomputeran awan.
"Dahulu tanpa teknologi sains komputer, para penyelidik perlu membuat pengiraan sendiri secara manual tanpa ada perisian-perisian yang membantu dalam mencepatkan kerja," akui saintis yang berpengalaman lebih 15 tahun dalam penyelidikan silika.
Latar belakang
Dilahirkan pada tahun 1956 di Ujung Pasir, Melaka, Halimaton merupakan anak kepada pegawai polis, Hamdan Ismail dan ibunya, Jamilah Jasmi, seorang suri rumah.
Sebenarnya, beliau berasal daripada sebuah keluarga yang sangat aktif dalam bidang politik, datuknya, Jasmi Mohd. merupakan ahli pemuda UMNO Melaka ketika zaman Tun Abdul Ghaffar.
Kata beliau, ibunya selalu bercerita mengenai keadaan di rumah yang sentiasa sesak dengan kedatangan orang ramai ke rumah datuknya.
Pada pertengahan 1980-an, Halimaton pernah diajak menyertai lapangan politik di tempat kelahiran tetapi beliau mengambil keputusan untuk memberi fokus kepada bidang sains dan teknologi.
Merupakan anak sulung daripada enam adik-beradik yang berjaya melanjutkan pengajian pada peringkat ijazah dan ijazah muda, Halimaton menceritakan beliau sering bersaing dengan adiknya ketika di bangku sekolah, sungguhpun di sekolah berbeza.
Halimaton belajar di sekolah rendah Melayu dan apabila melanjutkan pelajaran ke Sekolah Tun Fatimah (STF) yang beraliran Inggeris, beliau perlu memasuki kelas peralihan selama setahun manakala adiknya, yang setahun lebih muda daripadanya terus ke tingkatan satu.
Jadi, persaingan antara beliau dan adiknya, yang menuntut di Kolej Sultan Abdul Hamid berlaku apabila mereka sama-sama berada di peringkat yang sama.
Bagi Halimaton, persaingan sihat itu telah menyebabkan beliau sentiasa berusaha untuk menjadi terbaik dalam segala bidang yang diceburi.
Selepas tamat belajar dan kembali semula ke Malaysia pada tahun 1981 dengan tahap pendidikan ijazah sarjana muda sains kimia dari Universiti Indiana di Amerika Syarikat, Halimaton mencari kerja.
Walaupun banyak dipanggil oleh syarikat-syarikat besar terutamanya dalam bidang minyak dan gas, namun kelayakan beliau dirasakan tidak sesuai dengan jawatan yang ada.
Tidak berputus asa, Halimaton terus mencuba dan mendapat tawaran dari tiga buah universiti iaitu UTM, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya.
Barangkali sukar membuat keputusan dalam menerima tawaran, beliau meminta nasihat ayahnya yang mengalakkan beliau memilih UTM kerana tidak ramai bumiputera yang mengambil aliran kejuruteraan di institusi pengajian tinggi awam itu.

HALIMATON percaya sokongan keluarga juga merupakan teras kejayaannya pada hari ini.


Pada umur 40 tahun, Halimaton telah menerima gelaran profesor, sekali gus menjadi wanita pertama yang mendapat gelaran tertinggi di UTM.
Cabaran
Bidang sains dan teknologi bagi seorang wanita sangat mencabar tetapi Halimaton percaya kejayaan seseorang pensyarah itu di universiti adalah terletak pada kesarjanaan individu.
"Ia dapat dilihat dengan beberapa aspek seperti pembelajaran, penyelidikan, penulisan penerbitan dan sumbangan kepada masyarakat," ujarnya.
Tambah beliau, seseorang pensyarah itu seharusnya dikenali kerana ilmu yang dimiliki dan mahir dalam bidang masing-masing, bukan jawatan yang disandang di pusat pengajian terbabit.
"Seorang pemimpin institusi pengajian itu perlu tersohor dalam bidangnya terlebih dahulu. Sebagai contoh, di Universiti Cambridge, dekannya terkenal dalam bidang pengajian melalui aktiviti kesarjanaan yang dilakukannya.
"Malah, profesor-profesor yang terkenal dalam di dunia mempunyai paten penyelidikan dan memiliki kajian dalam bidang masing-masing," terangnya yang berpengalaman lebih 15 tahun dalam penyelidikan bahan berasaskan silika.
Ternyata kenyataan beliau bukan sekadar omong-omong kosong, laman web www.chem.utm.my menyatakan Halimaton telah memulakan 25 program penyelidikan dan 80 buah projek dalam bidangnya dengan geran terkumpul lebih RM13 juta selain lebih 100 buah jurnal penerbitan.
Kajiannya banyak memberi fokus mengenai kelestarian, teknologi hijau dengan manipulasi molekular sehingga sintesis bahan-bahan baharu dan sistem struktur nano.
Ciptaan yang terus mengangkat nama beliau, Maerogel, merupakan bahan pepejal paling ringan dan penebat terbaik telah dipilih sebagai produk pilihan pada tahun 2008 oleh International Clean Energy Circle, United Kingdom.
Bahan itu telah dipatenkan di Malaysia dan 22 buah negara lain di seluruh dunia selain sedang dikomersialkan oleh syarikat Gelanggang Kencana Sdn. Bhd.
Bidang pengkhususan Profesor Halimaton dalam kimia ialah zeolite teknologi bahan berstruktur nano, bahan pepejal resonans magnet nuklear (NMR), pemangkinan heterogen dan kimia permukaan.
Seorang saintis di Amerika Syarikat, Samuel Stephens Kistler telah mencipta aerogel pada tahun 1931. Penggunaan bahan itu untuk tujuan komersial telah diterhadkan kerana kos penghasilannya yang tinggi.
Dalam artikel profil sempena Anugerah Merdeka yang diterimanya pada tahun 2009, Halimaton berkongsi sisi peribadinya dan mengakui sangat cintakan seni, muzik dan tarian, di samping meminati bidang jahitan.
Menjahit merupakan hobi Profesor Halimaton. Pada awal kariernya, dia menjahit pakaiannya sendiri.
Beliau berkahwin dengan Prof. Madya Mohd. Nazlan Mohd. Muhid dan mempunyai dua cahaya mata.
"Jika saya bebas memilih bidang pengajian berdasarkan hobi pada waktu itu, sudah pasti saya memilih bidang arkitek atau komunikasi massa," ungkap wanita yang amat meminati lagu-lagu dendangan Anuar Zain ini.
Dalam pada itu, Halimaton berkata, sains memerlukan tiga perkara supaya seseorang itu berjaya dalam bidang tersebut.
"Minat terhadap bidang tersebut sangat penting dan jika tiada rasa tersebut pada peringkat awal, ia boleh dipupuk. Kemudian, komitmen yang terbaik perlu diberikan sepanjang menjalani pengajian.
"Paling penting, kemampuan akademik seseorang itu dalam sains dan matematik perlu dapat menyamai sesuatu bidang sains yang diceburi," tegasnya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1023&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz2iZFHZKZk 
Hakcipta terpelihara 

Selasa, 22 Oktober 2013

taqlid

soalan;
Ustaz, saya selalu mengalami kesukaran apabila terdapat pelbagai pendapat ulama tentang satu-satu masalah. Contohnya, saya seorang yang bermazhab Syafie, tetapi pada masa yang sama saya menggunakan pendapat Dr Yusuf Qardawi dalam sesetengah masalah (contohnya taharah). Adakah saya dikira talfiq? Dan andaikata terdapat banyak pendapat ulama dalam bab taharah (contohnya Yusuf Qaradawi, ulama A dan ulama B), adakah saya perlu melakukan tarjih terlebih dahulu untuk memilih pendapat mana yang lebih kuat pada penilaian saya? Bolehkah kita menggunakan pendapat ulama A untuk masalah 1 dan ulama B untuk masalah 2 kerana pendapat ulama itu lebih mudah dalam masalah itu. Tidakkah ia menyerupai talfiq?

Jawapan;
Untuk membicarakan topik ini, ia memerlukan masa yang agak lama. Bagi tujuan ini, kami cuba meringkaskannya.

Tidak dapat tidak, seseorang itu akan memulakan proses mempelajari dan mengamalkan sistem Islam dengan cara bertaqlid kepada satu Mazhab. Apabila seseorang itu melalui proses pembelajaran, dan melihat akan ada alternatif kepada padangan yang ada, dia dikatakan telah melalui proses Takhayyur. Takhayyur adalah proses memilih pendapat dari pelbagai pendapat atau Mazhab.

Proses Takhayyur ini selalunya terhasil tanpa seseorang itu mengetahui nas-nas atau dalil-dalil kenapa hukum itu terjadi. Hasil dari proses ini akan berlaku Talfiq. Seseorang itu akan dikatakan melakukan Talfiq apabila dia berpegang kepada satu Mazhab contohnya Syafie, dan ada beberapa hukum yang lain memilih pandangan Mazhab yang lain contohnya Hanafi. Contohnya seperti seorang bermazhab Syafie mengatakan tidak batal wuduk apabila besentuhan dengan wanita kerana berpegang kepada pandangan Mazhab Hanafi, walaupun tidak mengetahui dalilnya.

Seseorang yang melakukan Talfiq yang sedemikian, juga dikatakan melakukan Taqlid juga; iaitu berubah taqlid dari mazhab Syafie kepada bertaqlid kepada Mazhab Hanafi. Perkara perubahan ini, boleh diakibatkan oleh :

a. Pemerintah; misalnya membayar Zakat Fitrah menggunakan wang sebagaimana yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Negeri.

b. Darurat; disebabkan keadaan dan suasana, misalnya menggunakan kaedah batal wuduk menurut Mazhab Hanafi atau Hanbali, kerana kesukaran menjaga diri di Mekah dari disentuh wanita ajnabi.

Keadaan (a) menyebabkan seseorang itu melakukan Talfiq tanpa dia sendiri sedar atau mengetahui. Sebagaimana kata Syiekh Ibn Utsaimin, Mazhab orang Awam ialah Mazhab Pemerintahnya. Apa sahaja keketapan yang telah dibuat oleh pihak pemerintah, itulah mazhab mereka.

Ada juga proses pemilihan hukum dilakukan dengan ijtihad, dengan menurut dalil-dalil dan nas yang kuat atau yang lebih Rajih. Di sini kita melihat proses Tarjih atau saringan hukum dijalankan. Peringkat ini bukan dimiliki oleh orang-orang awam. Ini adalah proses yang dilakukan oleh Imam-Imam yang Mujtahid atau satu badan Fatwa yang melakukan Ijtihad.

Secara umum dan ringkasnya, bolehlah kitakan bahawa proses dihadapi oleh orang awam adalah proses Talfiq. Apabila memelihat (bukan memilh) nas atau dalil yang dipakai oleh Mujtahid tadi, kita dikatakan telah melakukan al-‘ittibaa’. Seseorang itu dikatakan telah memilih pandangan tersebut tanpa melihat akan Mazhab itu sendiri. Ketetapan nas dan dalil itu telah dilakukan oleh Mujtahid tersebut, dan kita Cuma al-‘ittibaa’ atau “menuruti” pendapat Imam tersebut.

Terdapat ulama yang melarang Talfiq atas beberapa syarat. Yang membenarkannya juga meletakkan beberapa syarat, dan diantaranya :-

a. Niat melakukan Talfiq; disebabkan keperluan, darurat, dan sebagainya. Tidak boleh dilakukan kerana mengikut nafsu.

b. Tidak bertujuan memilih keringanan dari pandangan Mazhab tersebut. Jumhur ulama melarang menghimpuan kesemua keringan di dalam setiap Mazhab. Ini dinamakan Tatabu’ Rukhas (mengambil pendapat-pendapat yang ringan).

c. Tidak membawa kepada perlanggaran ijmak.

c. Tidak boleh bertalfiq atas perkara yang bukan Ibadat badan; seperti nikah kahwin, hudud, penetapan awal bulan, dsb. Perkara ini memerlukan kuasa yang memerintah. Contohnya, berkahwin tanpa wali sebagaimana bertalfiq dengan Mazhab Hanafi. 

Berdasarkan syarat-syarat ini, dan dilakukan dengan penuh hati-hati, seseorang itu dibolehkan melakukan Talfiq. Perlu ingat, ini merupakan talfiq diantara Mazhab yang muktabar dan orang awam tidak dibenarkan melakukan tarjih oleh kerana ia adalah sebahagian dari proses Ijtihad yang hanya dilakukan oleh Imam Mujtahid.

http://solatjemaahjumaat.blogspot.com/

Tufail bin Amru

Tufail bin Amru adalah seorang penyair dan pemimpin Qabilah Ad Dausi di Yaman. Beliau datang ke Mekah pada tahun kesebelas kenabian. Ketibaannya disambut dengan penuh hormat oleh penduduk Mekah. Beliau sangat disegani oleh kaumnya dan disebabkan pengaruhnya itu, pihak Musyrikin Mekah bimbang seandainya beliau tertarik pada Islam. Oleh itu mereka telah merancang agar Tufail tidak mendengar apa-apa sahaja yang disampaikan oleh Rasulullah. Mereka berkata kepadanya:

“Engkau datang ke negeri kami, berwaspadalah terhadap seorang lelaki di kalangan kami. Dia menjadi masalah kepada kami. Dia telah memecah-belahkan masyarakat kami dan mengganggu urusan kami. Kata-katanya seperti sihir. Boleh memisahkan antara ayah dan anaknya. Memecah-belahkan sesama saudara-mara, suami dengan isteri. Kami bimbang kalau-kalau dia dapat mempengaruhimu dan kaummu seperti yang berlaku kepada kami. Jangan bercakap dengannya dan jangan mendengar cakapnya walau sedikit.”

Tufail mengikut sahaja kata-kata mereka.

Tufail menceritakan: “Demi Allah mereka terus menerus memperingatkanku dengan perkara itu sehingga aku mengambil keputusan tidak mahu mendengar dan bercakap dengannya. Bahkan aku menyediakan kapas penyumbat telinga supaya cakap-cakapnya tidak sampai kepadaku.

Sehinggalah suatu hari itu, apabila Tufail pergi ke masjid tiba-tiba beliau lihat Rasulullah bersembahyang di sisi Kaabah. Tufail berdiri berhampiran dengan Baginda. Dengan kuasa Allah Tufail mendengar sebahagian dari kata-kata Rasulullah.

Kata Tufail: "Aku mendengarnya dan aku dapati kata-kata yg baik. Aku pun berfikir sendiri, alangkah tidak baiknya kalau aku tidak membuat pertimbangan sendiri. Aku seorang penyair, aku boleh menilai baik dan buruk. Apakah yang menghalangku untuk mendengar dari lelaki ini apa yang diucap olehnya. Kalau baik, aku menerimanya dan kalau buruk aku menolaknya."

Lalu Tufail mengikut lelaki itu beredar pulang ke rumahnya dan masuk menemuinya. Tufail ceritakan kisah kedatangannya dan amaran penduduk Mekah. Tufail meminta Rasulullah menerangkan ajaran yang dibawa Rasulullah kepadanya. Rasulullah menerangkan tentang Islam dan membaca Al Quran.

Kata Tufail lagi, "Maka demi Allah, aku tidak pernah mendengar kata-kata yg lebih baik darinya serta perkara yg lebih adil darinya. Aku terus menganut Islam dan mengikrarkan syahadah yg sebenar.”

Tufail pulang ke Yaman dan menyeru kaumnya kepada Islam termasuk bapanya dan isterinya dan ahli qabilah Ad Dausi. Dengan kuasa Allah, keluarga Tufail dapat menerima Islam yang diajarkan beliau. Namun sayang kerana hanya keluarga beliau sahaja yang menerima Islam tetapi tidak masyarakat Ad Dausi. Walaupun Tufail berpengaruh dalam masyarakatnya, beliau gagal mengislamkn mereka. Ini ujian dari Allah untuk Tufail. Beliau sedih dan kembali berjumpa Rasulullah.

Tufail menceritakan kepada Rasulullah tentang masyarakat Ad-Dausi dan memohon agar turunkan bala kepada masyarakatnya yang degil tidak mahu menerima Islam. Tapi Rasulullah sebaliknya berdoa akan kebaikan kepada masyarakat Ad-Dausi. Rasulullah menyuruh Tufail pulang dan terus menyampaikan ajaran Islam. Dan Alhamdulillah ramai masyarakat Ad-Dausi menerima Islam selepas itu.

Sejak itu hingga Rasulullah hijrah, Thufail menetap di negerinya dan mengajak kaumnya masuk Islam. Sementara itu telah terjadi perang Badar, perang Uhud, dan perang Khandaq. Setelah itu Thufail berhijrah ke-Madinah bersama 80 keluarga kaum Daus, yang kesilamannya tidak disangsikan lagi.

Rasulullah menyambut gembira kedatangan Thufail dan kaumnya dan sejak itu bersama-sama Rasulullah dalam banyak peperangan sehinggalah kota Makkah dibebaskan daripada kekuasaan kaum kafir Quraisy.”

Setelah pembebasan kota Makkah, Thufail bermohon kepada Rasulullah untuk kembali kepada kaumnya dan memusnahkan berhala-hala yang ada di sana.

Rasulullah memberi izin kepada Thufail. Dia berangkat ke tempat berhala tersebut dengan sepasukan. Misinya berjaya dilakukan tanpa pertumpahan darah dan Seluruh kabilah Daus masuk Islam dan menjadi muslim sejati.

Thufail senantiasa mendamping Rasulullah SAW sehingga baginda wafat. Ketika Abu Bakar menjadi Khalifah, Thufail dan kaumnya patuh kepada pemerintahan Khalifah Abu Bakar. Tatkala berkecamuk peperangan membasmi orang murtad, Thufail turut sama pergi berperang bersama-sama tentera muslimin memerangi Musailamah Al-Kazab (Musailamah si pembohong). Begitu pula putera beliau, ‘Amr bin Thufail, yang selalu tidak mahu ketinggalan.

Ketika dalam perjalanan menuju Yamamah (kawasan tempat Musailamah), Thufail bermimpi

“Aku bermimpi kepalaku dicukur. Seekor burung keluar dari mulutku, kemudian seorang perempuan memasukankku ke dalam perutnya. Anakku ‘Amr berusaha mengikutiku. Tetapi dia tak dapat berbuat apa-apa kerana antaraku dan dia ada dinding.”

“Sebuah mimpi nan indah!” komen kawan-kawan nya.

Kata Thufail, “Sekarang, aku tafsirkan sendiri mimpi ini. Kepalaku dicukur, ertinya kepalaku dipotong orang. Burung keluar dari mulutku, ertinya nyawaku keluar dari jasadku. Seorang perempuan memasukkanku ke dalam perutnya, artinya tanah digali orang, lalu aku dikuburkan. Aku berharap semoga aku tewas sebagai syahid. Adapun tuntutan anakku, dia juga berharap supaya mati syahid seperti aku. Tetapi permintaannya dikabulkan kemudian.”

Benar, dalam pertempuran memerangi pasukan Musailamah Al-Kazab Thufail Ibnu ‘Amr Ad-Dausy, mendapat syahidnya.

Puteranya Amr, meneruskan peperangan hingga tangan kanannya terpotong. Amr kembali ke Madinah meninggalkan tangannya sebelah dan jenazah bapanya di medan tempur Yamamah.

Pada zaman Khalifah Umar bin Khattab memerintah, Amr bin Thufail (putera Thufail) pernah datang ke majlis khalifah. Ketika dia sedang berada dalam majlis, makanan pun dihidangkan. Orang-orang yang duduk dalam majlis mengajak Amr supaya turut makan bersama-sama. Tetapi Amr menolak dan menjauh.

“Mengapa…?” tanya Khalifah.
“Barangkali engkau lebih selesa makan di belakang. Mungkin engkau malu kerana tanganmu itu.”

“Betul, ya Amirul Mukminin!” jawab Amr.

Kata Khalifah, “Demi Allah! Aku tidak akan memakan makanan ini, sebelum ia kau sentuh dengan tanganmu yang kudung itu. Demi Allah! Tidak seorang jua pun yang sebahagian tubuhnya telah berada di surga, melainkan hanya engkau.”

Mimpi Thufail menjadi kenyataan semuanya. Tatkala terjadi perang Yarmuk, Amr bin Thufail turut berperang bersama-sama dengan tentara muslimin. Amr tewas dalam peperangan itu sebagai syuhada’, seperti yang diharapkan bapanya.

Semoga Allah memberi rahmat kepada Thufail dan kepada puteranya, Amr, syahid di medan tempur Yamamah dan Yarmuk.

http://dakwah.info/
dan
http://tarbiyah-dzatiyah.blogspot.com/

Isnin, 21 Oktober 2013

makruh solat


Perkara-Perkara Yang Makruh Dalam Solat | 

Makruh mengikut jumhur ulama’ bermaksud tanzihiyyah, iaitu sesuatu yang patut dielakkan. Jika seseorang melakukan sembahyang secara makruh, maka sebaiknya dia hendaklah melakukannya semula sekiranya waktu masih ada. Secara umumnya, ukuran dalam menentukan sesuatu perkara makruh ialah setiap perbuatan dan perkara yang bertentangan dengan As-Sunnah.

Antara perkara-perkara makruh dalam sembahyang ialah seperti berikut:

1. Meninggalkan sesuatu perkara sunat dalam sembahyang dengan sengaja.

2. Melakukan bacaan yang menyonsang dari susunan yang ada dalam Al-Qur’an.

3. Membaca dalam raka‘at kedua bacaan surah yang lebih panjang daripada yang dibaca dalam raka‘at pertama.

4. Mengulangi pembacaan surah yang sama dalam satu raka‘at yang sama atau dalam dua raka‘at.

5. Melakukan sesuatu yang tidak bermakna dengan tangannya tanpa ada sebab yang perlu.

6. Memejamkan kedua-dua mata semasa sembahyang tanpa keperluan.

7. Berpaling dengan dada masih menghadap qiblat ketika sembahyang tanpa sebarang sebab.

8. Berdiri sebelah kaki atau mengangkat sebelah kaki lalu disandarkan kepada kaki satu lagi.

9. Bersembahyang dalam keadaan menahan keinginan untuk membuang air kecil, air besar atau menahan daripada terkentut.

10. Mengerjakan sembahyang dalam keadaan bersandar ke dinding atau sebagainya.

11. Membaca surah atau ayat dalam dua raka‘at akhir sembahyang fardhu kecuali ma’mum yang masbuq yang ketinggalan raka‘at pertama dan kedua.

12. Membaca nyaring di tempat yang sepatutnya perlahan atau sebaliknya.

13. Menghamparkan kedua belah lengan semasa sujud seperti yang dilakukan oleh singa.

14. Mengerjakan sembahyang dengan menggunakan pakaian harian atau pakaian untuk bekerja sekiranya mempunyai pakaian yang lain.

15. Sembahyang tanpa berbaju sedangkan dia mampu memakainya.

16. Bersembahyang dengan pakaian yang terlukis dengan gambar binatang ataupun manusia.


17. Mengerjakan sembahyang di tempat-tempat seperti bilik mandi, pasar, tempat lalu lalang, kubur, gereja, tempat buangan sampah, tempat penyembelihan dan kandang binatang.