Rabu, 23 Oktober 2013

Halimaton Hamdan

Profesor Datuk Dr. Halimaton Hamdan menyuntik inspirasi dalam kalangan warga muda untuk mendalami bidang sains dengan meneroka teknologi nano dan menghasil Maerogel.
KECINTAAN beliau terhadap ilmu dan sains diteruskan dengan menerajui UniMy sebagai universiti butik pertama yang khusus dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi di Malaysia.


KEPAKARAN beliau dalam bidang teknologi nano di negara ini sememangnya diperakui. Penemuan Prof. Datuk Dr. Halimaton Hamdan berhubung M Maerogel (aerogel Malaysia) daripada ekstrak silika sekam padi mampu mengurangkan kos pengeluaran sebanyak 80 peratus.
Bahan itu mempunyai nilai komersial tinggi dan boleh diguna untuk mengurangkan suhu panas bangunan konkrit, menyerap tumpahan minyak dan pencemaran udara serta dijadikan panel kalis bom. Bagi membangunkan maerogel, ia mengambil masa sembilan tahun.
Kepada Halimaton, saiz nano yang sangat kecil menyebabkan banyak teknologi boleh diteroka.
Wanita bertubuh langsing dan tinggi lampai itu kelihatan elegan dalam persalinan kurung moden. Ketika ditemui di Universiti Malaysia of Computer Science and Engineering (UniMy) di Cyberjaya, Selangor beliau kelihatan sibuk berurusan dengan kakitangannya tetapi masih sudi meluangkan masa.
Selepas tiga dekad mencurah bakti sebagai pensyarah dan penyelidik di Jabatan Kimia Universiti Teknologi Malaysia (UTM), khidmat Halimaton tidak terhenti di situ saja. Kepakaran beliau diperlukan UniMy sebagai Naib Canselor UniMy sejak bulan Oktober 2012. Unimy merupakan sebuah universiti butik yang menekankan bidang sains komputer dan kejuruteraan. Apa yang lebih menarik, cabang pengajian itu agak berbeza dengan latar belakang pengajiannya iaitu kimia.
"Malaysia memerlukan lebih kurang 20,000 orang pekerja dalam bidang sains komputer pada tahun 2020. Bidang ini sangat penting terutamanya untuk penyelidikan dan pembangunan," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurut Halimaton, sains komputer seperti pembangunan perisian yang bersesuaian, membantu memberikan simulasi keputusan kajian jika suatu penyelidikan itu dibuat dalam bidang kimia. Secara tidak langsung, ia membantu menjimatkan masa sekali gus penyelidik dapat meramal hasil kajian.
"Kesepaduan antara sains komputer dan jurusan-jurusan sains lain membolehkan para saintis menerokai bidang baharu yang banyak melibatkan data-data yang besar selain penggunaan pengkomputeran awan.
"Dahulu tanpa teknologi sains komputer, para penyelidik perlu membuat pengiraan sendiri secara manual tanpa ada perisian-perisian yang membantu dalam mencepatkan kerja," akui saintis yang berpengalaman lebih 15 tahun dalam penyelidikan silika.
Latar belakang
Dilahirkan pada tahun 1956 di Ujung Pasir, Melaka, Halimaton merupakan anak kepada pegawai polis, Hamdan Ismail dan ibunya, Jamilah Jasmi, seorang suri rumah.
Sebenarnya, beliau berasal daripada sebuah keluarga yang sangat aktif dalam bidang politik, datuknya, Jasmi Mohd. merupakan ahli pemuda UMNO Melaka ketika zaman Tun Abdul Ghaffar.
Kata beliau, ibunya selalu bercerita mengenai keadaan di rumah yang sentiasa sesak dengan kedatangan orang ramai ke rumah datuknya.
Pada pertengahan 1980-an, Halimaton pernah diajak menyertai lapangan politik di tempat kelahiran tetapi beliau mengambil keputusan untuk memberi fokus kepada bidang sains dan teknologi.
Merupakan anak sulung daripada enam adik-beradik yang berjaya melanjutkan pengajian pada peringkat ijazah dan ijazah muda, Halimaton menceritakan beliau sering bersaing dengan adiknya ketika di bangku sekolah, sungguhpun di sekolah berbeza.
Halimaton belajar di sekolah rendah Melayu dan apabila melanjutkan pelajaran ke Sekolah Tun Fatimah (STF) yang beraliran Inggeris, beliau perlu memasuki kelas peralihan selama setahun manakala adiknya, yang setahun lebih muda daripadanya terus ke tingkatan satu.
Jadi, persaingan antara beliau dan adiknya, yang menuntut di Kolej Sultan Abdul Hamid berlaku apabila mereka sama-sama berada di peringkat yang sama.
Bagi Halimaton, persaingan sihat itu telah menyebabkan beliau sentiasa berusaha untuk menjadi terbaik dalam segala bidang yang diceburi.
Selepas tamat belajar dan kembali semula ke Malaysia pada tahun 1981 dengan tahap pendidikan ijazah sarjana muda sains kimia dari Universiti Indiana di Amerika Syarikat, Halimaton mencari kerja.
Walaupun banyak dipanggil oleh syarikat-syarikat besar terutamanya dalam bidang minyak dan gas, namun kelayakan beliau dirasakan tidak sesuai dengan jawatan yang ada.
Tidak berputus asa, Halimaton terus mencuba dan mendapat tawaran dari tiga buah universiti iaitu UTM, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya.
Barangkali sukar membuat keputusan dalam menerima tawaran, beliau meminta nasihat ayahnya yang mengalakkan beliau memilih UTM kerana tidak ramai bumiputera yang mengambil aliran kejuruteraan di institusi pengajian tinggi awam itu.

HALIMATON percaya sokongan keluarga juga merupakan teras kejayaannya pada hari ini.


Pada umur 40 tahun, Halimaton telah menerima gelaran profesor, sekali gus menjadi wanita pertama yang mendapat gelaran tertinggi di UTM.
Cabaran
Bidang sains dan teknologi bagi seorang wanita sangat mencabar tetapi Halimaton percaya kejayaan seseorang pensyarah itu di universiti adalah terletak pada kesarjanaan individu.
"Ia dapat dilihat dengan beberapa aspek seperti pembelajaran, penyelidikan, penulisan penerbitan dan sumbangan kepada masyarakat," ujarnya.
Tambah beliau, seseorang pensyarah itu seharusnya dikenali kerana ilmu yang dimiliki dan mahir dalam bidang masing-masing, bukan jawatan yang disandang di pusat pengajian terbabit.
"Seorang pemimpin institusi pengajian itu perlu tersohor dalam bidangnya terlebih dahulu. Sebagai contoh, di Universiti Cambridge, dekannya terkenal dalam bidang pengajian melalui aktiviti kesarjanaan yang dilakukannya.
"Malah, profesor-profesor yang terkenal dalam di dunia mempunyai paten penyelidikan dan memiliki kajian dalam bidang masing-masing," terangnya yang berpengalaman lebih 15 tahun dalam penyelidikan bahan berasaskan silika.
Ternyata kenyataan beliau bukan sekadar omong-omong kosong, laman web www.chem.utm.my menyatakan Halimaton telah memulakan 25 program penyelidikan dan 80 buah projek dalam bidangnya dengan geran terkumpul lebih RM13 juta selain lebih 100 buah jurnal penerbitan.
Kajiannya banyak memberi fokus mengenai kelestarian, teknologi hijau dengan manipulasi molekular sehingga sintesis bahan-bahan baharu dan sistem struktur nano.
Ciptaan yang terus mengangkat nama beliau, Maerogel, merupakan bahan pepejal paling ringan dan penebat terbaik telah dipilih sebagai produk pilihan pada tahun 2008 oleh International Clean Energy Circle, United Kingdom.
Bahan itu telah dipatenkan di Malaysia dan 22 buah negara lain di seluruh dunia selain sedang dikomersialkan oleh syarikat Gelanggang Kencana Sdn. Bhd.
Bidang pengkhususan Profesor Halimaton dalam kimia ialah zeolite teknologi bahan berstruktur nano, bahan pepejal resonans magnet nuklear (NMR), pemangkinan heterogen dan kimia permukaan.
Seorang saintis di Amerika Syarikat, Samuel Stephens Kistler telah mencipta aerogel pada tahun 1931. Penggunaan bahan itu untuk tujuan komersial telah diterhadkan kerana kos penghasilannya yang tinggi.
Dalam artikel profil sempena Anugerah Merdeka yang diterimanya pada tahun 2009, Halimaton berkongsi sisi peribadinya dan mengakui sangat cintakan seni, muzik dan tarian, di samping meminati bidang jahitan.
Menjahit merupakan hobi Profesor Halimaton. Pada awal kariernya, dia menjahit pakaiannya sendiri.
Beliau berkahwin dengan Prof. Madya Mohd. Nazlan Mohd. Muhid dan mempunyai dua cahaya mata.
"Jika saya bebas memilih bidang pengajian berdasarkan hobi pada waktu itu, sudah pasti saya memilih bidang arkitek atau komunikasi massa," ungkap wanita yang amat meminati lagu-lagu dendangan Anuar Zain ini.
Dalam pada itu, Halimaton berkata, sains memerlukan tiga perkara supaya seseorang itu berjaya dalam bidang tersebut.
"Minat terhadap bidang tersebut sangat penting dan jika tiada rasa tersebut pada peringkat awal, ia boleh dipupuk. Kemudian, komitmen yang terbaik perlu diberikan sepanjang menjalani pengajian.
"Paling penting, kemampuan akademik seseorang itu dalam sains dan matematik perlu dapat menyamai sesuatu bidang sains yang diceburi," tegasnya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1023&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz2iZFHZKZk 
Hakcipta terpelihara 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan