Selasa, 1 Oktober 2013

Tutor Berkualiti

TUTORAN YANG BERKUALITI

Tutoran merupakan sesi pembelajaran seorang atau sekumpulan pelajar dengan seorang tutor.  Dalam sesi tutoran, seseorang pelajar bermaksud ingin memantapkan pemahaman dan kemahirannya dalam sesuatu topik pembelajaran melalui bimbingan dan sokongan seseorang tutor. Dalam konteks Program Matrikulasi KPM, masa tutoran bagi, subjek sains, PST adalah 2 jam seminggu manakala bagi PDT adalah 1 jam seminggu bagi subjek sains dalam jadual waktu rasmi. Keberkesanan sesi tutoran amat penting kepada  pelajar dalam sesuatu subjek yang dipelajari dalam usaha mencapai tahap penguasaan yang cemerlang. Tutoran yang berkualiti seharusnya mempunyai ciri keberkesanan yang memacu pelajar mencapai hasratnya untuk cemerlang dalam akademik.

Faktor paling utama sesuatu tutoran yang berkualiti adalah jalinan hubungan yang rapat antara tutor dengan para pelajarnya agar pelajar menerimanya sebagai tutor dengan kepercayaan yang tinggi. Setelah itu barulah pelajar akan mendengar dengan berfokus kerana telah mempercayai kesungguhan tutor untuk membimbing mereka sehingga berjaya dalam subjek. Oleh itu tutor perlu ingatkan diri: bina hubungan dulu sebelum kandungan.
Beberapa langkah untuk seseorang tutor membina hubungan dengan pelajarnya adalah seperti berikut:

1. Berikan fokus sepenuhnya kepada para pelajar semasa anda berhadapan dengan mereka dalam kelas. Ini memberikan mesej bahawa mereka adalah penting kepada anda. 

2. Ketahui sedikit latar belakang setiap pelajar dengan melihat maklumat peribadi mereka dan berjumpa dan bercakap dengan beberapa orang pelajar yang anda sasarkan semasa sesi tutoran. Usaha ini akan memastikan anda telah sekurang-kurang menghubungi satu dengan satu dengan setiap pelajar dalam semester tersebut.

3. Kongsi maklumat peribadi anda sedikit sebanyak agar pelajar melihat anda sebagai seorang yang mudah didekati.

4. Rasai perasaan kumpulan dalam kelas anda setiap kali anda bersama mereka. Berikan rangsangan yang meningkatkan semangat pelajar jika mereka agak muram. Tenteramkan keadaan mereka dengan aktiviti atau kata-kata yang sesuai sebelum memulakan sesi tutoran.

5. Setiap pelajar dan setiap kelas adalah berbeza. Menghormati dan mengakui perbezaan ini diperlukan bagi menjalin hubungan membantu dengan pelajar anda.

Apabila anda menjalin hubungan dengan pelajar secara dua hala, mereka akan mempercayai anda dan komited dengan pembelajaran. Mereka akan mendengar kandungan pelajaran yang anda sampaikan kerana mereka tahu bahawa anda amat mementingkan dan mengharapkan kejayaan mereka.

Tutoran yang berkualiti dan berkesan mempunyai ciri-ciri yang membantu pelajar belajar. Faktor-faktor yang sering ditemui dalam situasi pengajaran dan tutoran berkualiti adalah: komunikasi, perkara-perkara yang membentuk iklim belajar yang baik, kaedah / teknik yang berkesan, dan kualiti peribadi tutor.

1. Dalam berkomunikasi, tutor seharusnya boleh mendengar kepada suara pelajar sebanyak mana atau lebih daripada apa yang ia cakapkan dalam kelas. Kurangkan masa anda bercakap melalui penyampaian secara terus kepada apa yang penting sahaja. Bukakan kelas kepada perbincangan antara tutor-pelajar dan pelajar-pelajar.

2. Iklim atau sekitaran pembelajaran mempunyai kesan yang signifikan ke atas kejayaan para pelajar. Selain sekitaran fizikal kelas yang selesa, suasana pembelajaran yang diwujudkan oleh tutor boleh memberi impak yang besar ke atas kejayaan pelajar. Sekitaran pembelajaran yang serius tetapi mesra dan terbuka dilihat sebagai yang paling berkesan.

3. Kaedah tutoran yang berkesan meliputi perkara-perkara seperti menyatakan objektif pembelajaran di permulaan  sesi tutoran, melayan soalan secara berkesan, penglibatan dan interaksi pelajar secara aktif, pembelajaran secara koperatif, pembelajaran berasaskan masalah dan kajian kes.

4. Kualiti peribadi tutor yang paling penting bagi keberkesanan tutoran adalah penguasaan ilmu mata pelajaran yang diajar dan kesungguhan berkongsi pengetahuan tersebut. Selain itu, ciri peribadi yang berkesan adalah mudah didekati dan bertemu, serta menghormati pelajar dan kecindanan, kebolehlenturan, keyakinan, kesabaran, konsisten, sedia memaafkan dan bersemangat ceria. Kesediaan mengambil peluang saat mengajar- daripada soalan pelajar atau kejadian di alam sekitar, dan mengaitkannya dengan pelajaran sedia ada - merupakan batu loncatan terbaik tutor yang berkesan.

Tujuh Ciri Tutor yang berkesan
1. Bijak (Intelligent)
Tahu kandungan dan tahu bagaimana pelajar belajar dan bagaimana membimbing mereka dalam sesuatu topik.

2. Pemupuk (Nurturant)
            Memupuk hubungan baik dengan pelajar dan berempati dengan cabaran mereka menghadapi pembelajaran dari sudut pandangan pelajar.

3. Penyoal (Socratic)
            Tidak memberitahu jawapan dengan segera. Pelajar diberi masa memikirkan penyelesaian, bertanya sesama pelajar dan tutor kerana ia mencambah pembelajaran. Tutor bertanya sekitar 90% daripada percakapannya.

4. Progresif
            Mendapatkan maklumat tahap pemahaman pelajar daripada kuiz, ujian pra, penilaian konsep. Setelah itu memberikan latihan dengan soalan berperingkat dan terarah.

5. Tidak langsung (Indirect)
            Membimbing penyelesaian masalah oleh pelajar secara membincangkan cadangan pelajar dan memantau pelajar semasa mereka meneruskan cubaan ke arah penyelesaian kepada jawapan.

6. Reflektif
            Bertanya  kepada pelajar secara berulang dan berkala  dalam proses pencarian jawapan oleh pelajar mengukuhkan kepentingan berfikir tentang proses pemikiran dalam  aktiviti pembelajaran.

7. Menggalak (Encouraging)
            Sentiasa  menunjukkan kepercayaan dan pengharapan kepada pelajar melalui sokongan moral,  dorongan, mengambil berat dan memaklum balas secara positif.

Cadangan Lima Langkah Tutoran yang Berkualiti
Berikut adalah cadangan lima langkah tutoran yang berkualiti sebagai panduan kepada tutor dalam melaksanakan kelas tutorannya:

1. Tahu apa yang dijangkakan terhadap anda sebagai seorang tutor
Tutoran bukanlah suatu sesi pengajaran. Tutor bekerja rapat dengan pelajar dan membina hubungan mesra pelajar dalam melayan isu dan soalan pelajar. Sesi tutoran bertujuan membentuk pelajar menjadi yakin diri, berdikari dan bertambah mahir dalam subjeknya.

2. Bersedia untuk sesi tutoran anda
Pelajar lebih bermotivasi untuk belajar apabila mereka menyukai tutornya. Tutor seharusnya membina perasaan positif terhadap dirinya dan subjeknya. Tutor mesti bertindak sebagai mesra-pelajar dan bukan mencuba menjadi rakan pelajar.

3. Hadapi keperluan pelajar
Dengar keluhan pelajar dan nilaikan kefahaman pelajar melalui pertanyaan.  Gunakan teknik penyoalan yang baik, penyelesaian masalah dan pemulihan yang positif.

4. Isi kandungan sesi tutoran yang baik
·         Ucap selamat datang dan beri tumpuan sepenuhnya kepada pelajar
·         Berempati dengan masalah pelajar
·         Ikhlas hati dengan pelajar
·         Bersifat kecindan dalam sesi bersama pelajar
·         Kurangkan ketegangan -  tenangkan diri anda dan juga pelajar
·         Ambil tahu kekuatan dan kelemahan pelajar
·         Gunakan kekuatan pelajar untuk mengatasi kelemahannya
·         Wujudkan rasa seronok pelajar terhadap dirinya dan pencapaiannya
·         Akhiri sesi dengan cara yang positif

5.  Mengakhiri sesi tutoran
·         Rumuskan apa yang pelajar dapat menguasai semasa sesi tutoran
·         Cadangkan aktiviti selanjutnya untuk pelajar selepas berbincang dengan 
          pelajar. Akhiri sesi dengan ulasan yang memberangsangkan pelajar

Contoh Pengendalian Tutoran Fizik
Pengendalian tutoran yang bijak dan berstrategi dapat menghasilkan pembelajaran yang berkesan bagi pelajar dalam usaha mereka menguasai sesuatu kemahiran dan pengetahuan dalam sesuatu subjek. Dalam konteks pembelajaran subjek fizik, antara langkah-langkah yang berkesan dalam pengendalian tutoran fizik adalah seperti  berikut:

1. Semasa membimbing pelajar, tutor tidak menyebut apa yang perlu ditulis oleh pelajar untuk langkah seterusnya dalam penyelesaian masalah fizik.

2. Menggalakkan pelajar bercakap tentang langkah seterusnya agar tutor dapat membimbing ke arah langkah yang sepatutnya dengan cepat.

3. Apabila bertemu miskonsepsi  atau jurang dalam kefahaman pelajar tentang prinsip dan konsep fizik  yang berkaitan, rujuklah kepada buku fizik dalam topik berkenaan bersama pelajar.

4. Pandu pelajar dalam memecahkan penyelesaian kepada langkah-langkah kecil dan pantau pelajar agar faham  setiap komponen berkaitan.

5. Biarkan pelajar membuat penyelasaian sendiri dengan memberi saranan dan panduan sahaja.

6. Tutor mesti sabar agar tidak membuat penyelesaian untuk pelajar apabila mereka tersekat sekerat jalan.

7. Tutor seharusnya ada menyediakan soalan dari aras senang ke susah yang beransur-ansur maju dalam satu-satu topik. Soalan-soalan jenis “lots” dan “hots” sepatutnya dapat menghasilkan kefahaman pelajar secara progresif. Ini dilakukan dalam kuiz pendek, ujian pra dan penilaian konsep untuk mengenal pasti tahap kefahaman pelajar sebelum menghadapi latihan menjawab soalan-soalan tipikal.

8. Soalan-soalan sesuatu topik seharusnya mempunyai kaedah penyelesaian yang sedikit berbeza daripada soalan sebelumnya akan tetapi merupakan kaedah alternatif / perlu / pelengkap untuk ciri –ciri tertentu masalah dalam topik yang sama.

9.  Pelajar dipandu dengan saranan / soalan penunjuk arah yang memberi celik akal kepada pelajar dalam penyelesaian soalan.

10. Pertanyaan kepada pelajar harus merupakan soalan terbuka yang bukan melibatkan jawapan ya/tidak semasa mencungkil kefahaman pelajar. Ini dapat membina kesedaran metakognitif apabila dikehendaki menjelaskan pemikiran mereka.

11. Tutor harus bertanya pelajar apakah langkah seterusnya pelajar hendak lakukan, sama ada betul atau tidak, agar tutor dapat membetulkan miskonsepsi pelajar yang timbul walaupun mereka melaksanakan langkah yang betul.

12. Perkara terpenting ialah agar pelajar akhirnya dapat membina kemahiran menyepadukan beberapa konsep dan / atau prinsip berkaitan dalam proses penyelesaian masalah fizik.

Dari semasa ke semasa, tutor perlu mengukur tahap keberkesanan pengendalian tutorannya (kekuatan dan kelemahan) untuk memperbaiki pengajarannya. Antara langkah-langkah mengukur tahap keberkesanan tutoran adalah:

1. Adakan pemerhatian tentang kaedah pengajaran, penglibatan pelajar dan tahap kesediaan pelajar dalam kelas. Dapatkan rakan tutor (team teaching) sebagai pemerhati dan penilai anda semasa melaksanakan sesi bersama pelajar. Anda akan mendapat celik akal tentang apa yang boleh diperbaiki setelah tersedar daripada teguran mesra rakan pemerhati anda. Rakan anda pula akan mendapat manfaat secara tidak langsung mempelajari sesuatu kaedah yang baik semasa memerhati anda.

2. Berikan peluang kepada pelajar kelas anda menilai pengajaran anda dari segi keberkesanan pengajaran, persediaan anda, dan perkara yang menarik penglibatan pelajar. Soalan terbuka juga diajukan seperti  apakah yang tutor lakukan yang terbaik, dan apakah yang boleh dilakukan untuk memperbaiki tutoran.

Usaha melaksanakan tutoran yang berkualiti dan berkesan memerlukan perancangan dan pengetahuan asas dalam mengendalikannya. Dalam pengajaran dan juga tutoran, strategi yang paling berkesan ialah usaha membina hubungan yang mesra dan rapat dengan pelajar. Tutoran yang berkualiti dan berkesan melibatkan faktor komunikasi, iklim belajar,kaedah dan kualiti peribadi tutor. 

Ciri tutor yang berkesan dikenal pasti dan langkah-langkah tutoran yang berkualiti melibatkan jangkaan, persediaan, menghadapi pelajar, isi kandungan sesi, mengakhiri sesi juga perlu dipertimbangkan dalam merancang dan melaksanakan tutoran yang berkualiti. Akhirnya mendapatkan maklum balas keberkesanan sesi tutoran anda membantu anda memperbaiki kekurangan dalam pelaksanaan tutoran ke tahap yang lebih baik dan berkualiti.
  
Rujukan
1. Maryellen Weimer. 2013. When Teaching large classes, think like a tutor. http://www.faculty focus.com/articles/effective-teaching-strategies/ [14 Julai 2013].
2. Mary Muroski. 2008. What Are the Most Effective Teaching Strategies? http:// EzineArticles.com/?expert=Mary_ Muroski . [29 Jun 2013].

3. Paula Swenson. t.th. Characteristics of Effective Teaching. http://www.ehow.com/about_ 5061110_ characteristics-effective-teaching.html. [29 Jun 2013].

4. Andrew Fontenot. t.th. Personal characteristics that will make an effective teacher. http://www.ehow.com/info_8345920_personal-characteristics-make-effective-teacher.html. [29 Jun 2013].

5. Eileen Baylus. t.th. Qualities and Characteristics of Effective Teachers. http://www.ehow.com/info_8655957_qualities-characteristics-effective-teachers.html. [29 Jun 2013].



 

 

 





Tiada ulasan:

Catat Ulasan