Sabtu, 5 Oktober 2013

zakat niaga

Soalan
Saya pernah terdengar jawapan oleh seorang penceramah, bahawa jika kita menyimpan wang di dalam bank, dan bank itu mengeluarkan zakatnya pada setiap tahun, maka sebagai penyimpan, saya tidak perlu lagi mengeluarkan zakat atas wang yang saya simpan di bank berkenaan. Adakah benar kenyataan berkenaan?

Jawapan
Terima kasih kerana mengajukan persoalan di atas dan semoga Allah SWT sentiasa memberkahi urusan kita dan menyelamatkan kita di akhirat, atas kesungguhan kita memahami dan melaksanakan tunutan ibadah zakat, amin.

Sememangnya benar, timbul persoalan yang agak meluas dalam kalangan umat Islam yang menyimpan wang mereka di dalam akaun di bank (sama ada akaun simpanan atau akaun semasa), iaitu adakah pihak bank telah pun mengeluarkan zakat atas wang simpanan mereka? Dan sekiranya pihak bank telah pun mengeluarkannya sebagai zakat, maka apakah mereka masih lagi perlu mengeluarkannya sebagai zakat?

Demi menjawab persoalan ini, pertama sekali harus kita fahami bahawa fiqh zakat menetapkan: “Tidak ada zakat yang sama atas harta yang sama sebanyak dua kali dalam tahun yang sama.”

Maka, para fuqaha menyatakan, andainya jelas wang yang kita simpan itu, katakan di dalam Bank ABC dan ia telah pun dikeluarkan zakatnya oleh pihak bank berkenaan bagi pihak kita, maka tidak perlulah lagi kita mengeluarkannya. Kerana, jika sekali lagi ia dikeluarkan, maka kita sudah menunaikan zakat yang sama atas wang yang sama dua kali pada tahun yang sama.

Namun begitu, perkara kedua yang saya fikir harus diteliti dengan lebih mendalam dalam isu zakat wang simpanan ini ialah, apakah benar pihak bank itu telah pun mengeluarkan zakat simpanan itu bagi pihak kita sebagai pendeposit atau penyimpan? Hal ini perlulah diperhatikan, kerana dibimbangi pihak bank hanya mengeluarkan zakat ke atas perniagaan yang mereka jalankan, dan bukannya atas wang yang disimpan.

Baiklah, apabila pihak bank hanya mengeluarkan zakat atas nama perniagaan, timbul persoalan seterusnya iaitu, siapakah yang berkewajipan atas zakat perniagaan berkenaan? Pastinya yang wajib mengeluarkan zakat perniagaan atas Bank ABC adalah pemilik bank berkenaan. Maka, adakah kita ini pemilik Bank ABC?

Jawapannya, pemilik Bank ABC adalah para pemegang saham bank berkenaan; manakala para pendeposit hanyalah merupakan entiti berasingan yang bersifat penyimpan, kita bukanlah pemilik Bank ABC. Maka, apabila Bank ABC mengeluarkan zakat atas perniagaan Bank ABC, yang sudah terlepas kewajipannya adalah para pemegang sahamnya, manakala para pendeposit masih lagi belum terlepas zakatnya.

Mungkin ada orang berhujah, bukankah wang yang disimpan itu jugalah yang diperniagakan? Jika wang itu diperniagakan, bukankah sudah memadai?

Baiklah, dalam hal ini kita kembali kepada niat awal seseorang itu, adakah semasa dia memasukkan wangnya maka ia dikira simpan atau melabur? Jawapannya, ia menyimpan. Jika melabur, maka ia hendaklah memasukkan wangnya ke dalam instrumen lain yang memang bersifat pelaburan.

Maka, di sini pun sudah jelas bahawa dia menyimpan, bukan memiliki Bank ABC berkenaan. Lagi satu, pelaburan ada untung dan rugi, jika dia menyimpan RM10 ribu, tiba-tiba bank berkenaan rugi, maka adakah memberi kesan kepada simpanannya? Tidak, kerana dia hanya menyimpan bukannya melabur, maka atas sebab itu dia wajib berzakat atas simpanannya, kerana niatnya menyimpan dan bukan untuk pelaburan (perniagaan).

Maka, andai pihak bank menyatakan mereka telah pun mengeluarkan zakat bagi bank mereka, para pendeposit atau penyimpan wang hendaklah bertanya kepada pihak bank, adakah mereka mengeluarkan zakat bagi pihak bank atas nama perniagaan atau penyimpan. Setakat yang saya maklumi, bank di Malaysia mengeluarkan zakat atas perniagaan mereka, dan bukannya atas pencarum mereka. Dalam konteks ini, pencarum masih wajib mengeluarkan zakat mereka biar pun zakat perniagaan sudah pun dijelaskan oleh pihak bank.

Ketiga, mungkin juga ada pihak yang berkata, bahawa bank-bank ini mengambil model pengurusan Tabung Haji bagi melunaskan zakat pendeposit mereka, kerana pihak Tabung Haji apabila sudah mengeluarkan zakat perniagaannya, maka semua pencarum atau pendepositnya tidak lagi perlu mengeluarkan zakat mereka secara berasingan.

Baiklah, suka saya nyatakan di sini bahawa, ada perbezaan yang ketara di antara Tabung Haji dan juga pihak-pihak bank. Apakah perbezaan itu? Perbezaannya adalah pada aspek pemilikan. Di Tabung Haji, apa yang kena kita tahu dan fahami ialah, Tabung Haji tidak dimiliki oleh pihak tertentu, sebaliknya semua pendeposit adalah pemilik Tabung Haji. Tiada pemegang saham yang memiliki Tabung Haji seperti mana bank; tetapi semua pihak yang menyimpan di Tabung Haji adalah pemegang saham, yakni pemilik Tabung Haji. Yang berbeza, semakin besar simpanan maka makin besar sahamnya dan makin besar keuntungannya.

Maka, atas sebab itulah di Tabung Haji, kita akan diberikan keuntungan saban tahun atas perniagaan yang mereka lakukan. Jika Tabung Haji untung, maka kita diberikan hasil keuntungan berkenaan dalam bentuk dividen. Ia menunjukkan, kita sebenarya bukanlah penyimpan; tetapi pelabur di Tabung Haji atau dalam erti kata mudah, kita adalah pemilik kepada Tabung Haji. Maka, apabila Tabung Haji sudah mengeluarkan zakat perniagaannya, bermakna wang yang disimpan (hakikatnya dilabur) di Tabung Haji itu, sudah pun dikeluarkan zakatnya oleh pihak Tabung Haji. Maka, tiadalah lagi zakat yang perlu kita keluarkan, kerana ia sememangnya sudah pun dizakatkan.

Kesimpulannya, selagi mana pihak bank mengeluarkan zakat atas nama zakat perniagaan, maka kita masih wajib mengeluarkan zakat simpanan di bank berkenaan. Kecuali Tabung Haji, kerana kita memang melabur di dalamnya dan apabila ia dikeluarkan atas nama zakat perniagaan, ia bermakna wang yang disimpan di Tabung Haji itu pun sudah dibersihkan dengan zakat berkenaan, wallahua’lam.

http://www.hamizul.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan