Selasa, 29 Oktober 2013

Ilmu

Ilmu pengetahuan sangat penting bagi manusia. Dengannya manusia beroleh kemajuan, kejayaan dan kesejahteraan. Oleh kerana itu, Nabi SAW bersabda mafhumnya: “Menuntut ilmu adalah wajib bagi setiap Muslim.”
Ilmu yang wajib ialah ilmu bermanfaat khususnya dalam hubungan manusia dengan Tuhannya yang membabitkan tauhid, ibadat zahir dan batin serta akhlak, seterusnya berkaitan hubungan kemasyarakatan seperti muamalat, munakahat dan hukum jenayah. 
Menurut Ibn Qayyim, ilmu yang wajib diketahui merangkumi empat bidang membabitkan rukun iman, hukum Islam, berkaitan yang haram dan ilmu muamalat. 

Bagi Imam al-Ghazali, ilmu diwajibkan ialah ilmu makrifat iaitu ilmu untuk mengenal Allah, ilmu tasawuf (berhubung dengan ibadat batin seperti ikhlas dan tawakal) serta ilmu syarak (masalah halal dan haram, muamalat, munakahat dan jenayah).

Islam memandang tinggi kepada orang berilmu seperti dijelaskan dalam surah Fathir, ayat 28 maksudnya: “...sebenarnya yang takut kepada Allah daripada kalangan hamba-Nya hanyalah orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.”

Kalangan ulama, orang soleh dan ahli zuhud memberi perhatian yang lebih kepada ilmu pengetahuan kerana ia adalah inti kepada ibadat dan asas ketaatan kepada Allah. 

Bagaimanapun dalam hal ini, kita janganlah sampai tergolong dalam kalangan mereka yang terpedaya. Menurut huraian al-Ghazali, mereka yang terpedaya terbahagi kepada beberapa golongan iaitu: 


Orang yang berasa dirinya memiliki ilmu makrifat dan mampu melihat Tuhan dengan hatinya, lalu mengganggap dirinya hampir dengan Allah. 

Padahal mereka hanya mengetahui nama-Nya, yang mereka dengar daripada lafaz yang boleh menjadikannya sesat dan keliru. 

Dengan semua itu, mereka beranggapan memiliki ilmu tertinggi daripada kalangan umat sejak awal hingga akhir. Mereka memandang rendah dan menghina ulama, faqih, ahli tafsir dan hadis, lebih-lebih lagi orang awam dianggap sebagai haiwan peliharaan. 


Orang yang hanya cenderung kepada ilmu zahir dan tidak memikirkan ilmu batin. Mereka berasa bangga dengannya dan berfikir berlebihan sehingga beranggapan dirinya mendapat tempat di sisi Allah. 

Mereka menganggap sudah bebas daripada seksaan Allah, malah mampu memberikan syafaat dan dosanya tidak akan dituntut. 


Orang yang tidak beramal dengan ilmunya. Mengetahui semuanya tidak membawa sebarang erti jika tidak diamalkan. Apa gunanya seseorang mengetahui sesuatu ilmu dan cara untuk beribadat jika tidak mengamalkannya. 

Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: “Sesungguhnya Allah tidak akan memandang rupa dan hartamu melainkan hati dan amalanmu.” 

Dalam Kitab Tanbihul Ghafilin, dinyatakan Nabi Isa bin Maryam berkata: “Sesiapa mengetahui (berilmu) lalu diamalkan dan diajarkan, maka itulah orang yang disebut besar di alam malaikat langit.” 

Sesungguhnya malaikat itu takut kepada tiga perkara: orang alim yang fasik, mengajarkan orang apa yang tidak dikerjakannya, tanah perkuburan orang derhaka yang dibangunkan bata dan simen serta mengukir nama pada kubur orang yang derhaka. 

Al-Auzai berkata: “Sesiapa mengamalkan apa yang diketahui, akan diberi taufik untuk mencapai apa yang belum diketahui.” 

Sufyan ats-Tsauri pula berkata: “Ilmu itu yang pertamanya diam, kedua mendengar (memerhati), ketiga mengingat, keempat mengamalkan dan kelima menyebarkannya.” 


Golongan yang menghabiskan waktunya untuk membersihkan diri daripada segala jenis hinaan, tetapi terlalu berlebihan sehingga berterusan mencari aib dirinya dan mengkaji tipu daya dilakukan, yang akhirnya menjadi urusan harian. 

Segala perbuatan mereka terlalu terperinci, sehingga ini aib, itu buruk dan seumpamanya. Orang seperti ini sama keadaannya yang selalu membayangkan dan menghitung bahaya dalam menunaikan ibadat haji dan akhirnya tidak jadi untuk melaksanakannya. 


Orang yang beranggapan sudah memenuhi kewajipan dengan menghadiri majlis ilmu. 

Mereka menjadikan ia sebagai suatu kebiasaan dan beranggapan bahawa mendengar tanpa beramal juga sudah melayakkan mereka untuk mendapat pahala daripada Allah SWT. 


Mereka yang menuntut ilmu hanya untuk menarik perhatian orang dan mengejar kekayaan. Ilmunya tidak akan memberi sebarang manfaat, manakala perniagaannya (pekerjaan) pula tidak akan berhasil, malah hanya menampakkan kerugian. 

Sabda Nabi SAW: “Sesiapa menuntut ilmu dengan maksud bersaing dengan kalangan ulama, untuk bermujahadah dengan orang jahil atau menarik perhatian orang, dia akan masuk neraka.” 

Justeru, berhati-hatilah ketika menuntut ilmu. Apalah gunanya mempelajari dan mempunyai ilmu yang tinggi, tetapi semata-mata dengan niat mengumpul kekayaan, pangkat dan darjat, sehingga menyombong diri. 

Demikian juga mereka yang belajar sehingga ke menara gading, sedangkan apabila berkhidmat tidak amanah, menipu dan mengambil rasuah. Malah, tiada yang boleh dibanggakan, andai khidmat bakti bukannya demi agama, nusa dan bangsa. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan