Selasa, 1 Oktober 2013

sedey vs guyu

Wahai anakku,
Bacalah alkisah pertama ini… seorang budak sedang asyik bermain bola di satu padang yang kecil bersama rakan-rakannya. Akibat tersilap tendang, bola itu terkeluar ke jalan raya. 

Lantas budak itu keluar untuk menyelamatkan bolanya. Terdengar bunyi brek kereta. Bola diselamatkan, budak terjatuh sedikit kerana kegopohannya tapi tayar kereta keluar asap sempat berhenti daripada mengambil nyawa budak tersebut.

Budak tersebut berlari balik ke padang bola bermain seperti biasa. Kereta tadi tidak membunyikan hon lalu beredar dengan cepat. Ramai yang memerhatikan kejadian berasa budak itu bernasib baik dan pemandu kereta itu gopoh… sepatutnya lalu di kawasan tepi padang kena slow sedikit.
Cerita berakhir dengan nokhtah gembira seperti budak yang masih mengejar bola di atas padang.

Wahai anakku,
Baca pula alkisah kedua ini… pakcik Jamali, 50 tinggal seorang. Keluarganya termasuk anak-anaknya semua meninggal di satu kejadian tsunami hampir sedekad yang lalu. Ketika membersihkan ruang tamunya, pakcik Jamali berasa sakit dada yang amat tajam sekali sekala.
Pakcik Jamali merasakan dia bakal terkena angin ahmar mahupun sakit jantung. Bergegasnya mengambil kereta dan cuba memandu secepat hati ke hospital atau klinik berdekatan.

Tiba-tiba ada seorang budak yang meluru keluar dari tepi padang. Pakcik Jamali terkejut lalu menghentak brek sekuat hati dan memusing steringnya ke tepi untuk mengelak. Hampir sedikit terlanggar budak itu. Melihat budak itu berlari balik ke padang untuk bermain bola, pakcik Jamali yang terkejut dengan kejadian itu menekan minyak mencari hospital.

Setibanya di lampu trafik, pakcik Jamali diserang sakit jantung kerana kejutan tadi dan meninggal di tempat kejadian. Ramai yang lalu lalang melihat pakcik Jamali seperti tertidur di dalam kereta. Polis mengesahkan pakcik Jamali mati kerana sakit jantung. Cerita berakhir dengan noktah sedih.

Wahai anakku,
Kedua-dua cerita di atas walau nampak tak berkait tapi sebenarnya kaitannya amat besar. Tapi tiada seorang manusia yang akan mendapat cerita penuh. Yang melihat di cerita satu tidak tahu apa yang berlaku di cerita dua, dan begitu juga sebaliknya.

Oleh itu, wahai anak kesayanganku, jangan sesekali kamu menganggap kamu tahu segalanya dalam sesuatu hal atau peristiwa. Percayalah dan ingatlah sebagaimana kamu merasa hebatnya kamu, masih ada perkara yang engkau tidak tahu di sebaliknya.

Seperti cerita pertama, ia sebenarnya bukan satu cerita gembira kerana ada orang meninggal kerananya. Sebagaimana cerita kedua, ia sebenarnya bukan satu satu cerita sedih kerana ada orang yang diselamatkannya.

Aku sekadar menulis untuk kamu berfikir, wahai anakku, supaya kamu tidak mudah terlupa diri kerana kamu merasa diri hebat mengetahui segalanya walhal kamu hanya mempunyai dua biji mata seperti orang lain.

Senyum

Tiada ulasan:

Catat Ulasan