Pembaziran melampau dan ketidak-tirisan dalam Laporan Ketua Audit Negara setiap tahun seolah-olah menunjukkan negara kita terlalu mewah namun sejumlah rakyat terutama pemimpin yang diamanahkan untuk mentadbir dan mengurus kewangan negara adalah pengkhianat kepada agama, negara dan bangsa. ,
Bayangkan apa tidak membazirnya jika aktiviti lagha (kumpulan muzik K-pop Korea) dibayar jutaan ringgit untuk satu persembahan sedangkan masih ada rakyat di pedalaman terutama di Sabah dan Sarawak belum menikmati 'api dalam kaca' dan 'air dalam besi'!
Kini sesetengah pemimpin itu kerap kali mendabik dada dan dihebahkan secara-besaran oleh media massa tajaan mereka kononnya apa dinikmati sekarang ini (kekayaan dan kemewahan) adalah hasil kebijaksanaan mereka mentadbir negara termasuk mengurus ekonomi, pihak lain tidak pandai, justeru hanya mereka layak memerintah negara ini.
Tentunya jika dilihat secara zahir, seolah-olah benar apa yang direpekkan oleh pemimpin-pemimpin berkenaan. Benar sejumlah rakyat kelihatan hidup mewah tetapi persoalannya golongan manakah ini? Apakah 'golongan feudal' saja mahu kaya dulu, kini dan selamanya sedangkan rakyat bawahan hidupnya kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.
Allah SWT telah melempahkan sumber alam yang cukup kaya kepada negara ini – petroleum, kelapa sawit, getah dan sebagainya – tetapi apakah kekayaan ini mendasar kepada kehidupan majoriti rakyat terutama yang tinggal di desa dan pedalaman?
Jika dari segi ekonomi dan taraf hidup sesetengah rakyat ketinggalan terlalu jauh, kini masalah sosial pula menambah derita dan ketakutan rakyat kebanyakan. Jenayah seperti pembunuhan, perompakan, ragut, rogol, zina dan membuang bayi semakin menjadi-jadi. Daripada setinggi-tinggi jenayah berprofil tinggi termasuk pembunuhan warga asing termasuk dari Mongolia sehingga pembulian di sekolah, semuanya membimbangkan, membayangkan terlalu banyak perkara tidak beres dalam masyarakat kita.
Jenayah kejam yang tidak terfikirkan dulu seperti anak membunuh bapa dan anggota keluarga lain termasuk suami isteri, perlu dimuhasabah; apa sebenarnya sudah menimpa masyarakat kita? Apa sebenarnya sudah berlaku kepada generasi muda yang kita didik di sekolah-sekolah kita hari ini? *
Kita percaya ada kaitan antara jenayah yang semakin menjadi-jadi dan moral masyarakat yang semakin buruk ini dengan kemewahan dalam negara yang didakwa pemimpin berkenaan. Kita bimbang jika berlaku istidraj, iaitu adalah pemberian nikmat Allah kepada manusia yang mana pemberian itu tidak diredai-Nya.
Rasullulah s. a. w. bersabda: ”Apabila kamu melihat bahawa Allah Taala memberikan nikmat kepada hambanya yang selalu membuat maksiat(durhaka),ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah SWT.”(Diriwayatkan oleh At-Tabrani, Ahmad dan Al-Baihaqi)
Tetapi, manusia termasuk pemimpin yang durhaka dan sering berbuat maksiat yang terkeliru dengan pemikirannya merasakan bahawa nikmat yang telah datang kepadanya dan pengampunya adalah kerana Allah berserta dan kasih dengan perbuatan maksiat mereka.
Sekarang kita dapat saksikan betapa sejumlah pemimpin dan rakyat (pengampu) yang bermaksiat seperti terbabit dalam amalan rasuah, perjudian dan jenayah seksual, hidup mereka semakin senang dan masih berkuasa dan berkedudukan tinggi. Mereka masih memegang jawatan tinggi termasuk dalam parti politik.
Sebagai kebalikannya, orang taat dan baik termasuk pemimpin, ramai yang hidup sederhana saja malah ada yang susah. Manusia istidraj adalah orang yang lupa daratan. Walaupun berbuat maksiat, dia merasa Allah menyayanginya. Mereka memandang hina kepada orang yang beramal, mereka tidak tahu sebenarnya, Allah memberikan nikmat yang banyak dengan tujuan untuk menghancurkan mereka. Manusia, apabila mendapat nikmat, cuba hendak melawan Allah SWT, termasuk hukum-Nya. Hukum hudud diperlekehkannya, ingatlah Firaun yang ada segala-galanya itu pun akhirnya binasa, apalah sangat pemimpin dan rakyat takabur negara ini!
Buktinya, Firaun. Nikmatnya tak terkira, tidak pernah sakit, bersin pun tidak pernah kerana Allah berikannya nikmat kesihatan. Orang lain selalu sakit, tapi Firaun tidak, orang lain mati, namun dia masih belum mati-mati juga, sampai rasa angkuh dan besar diri lantas mengaku dirinya tuhan. Tapi dengan nikmat itulah Allah binasakan dia.
Namrud pula cuba membakar Nabi Ibrahim. Betapa besar pangkat Namrud? Dia begitu sombong dengan Allah, akhirnya menemui ajalnya hanya disebabkan seekor nyamuk masuk ke dalam lubang hidungnya.
Tidak ada manusia hari ini sekaya Qarun. Anak kunci gudang hartanya sahaja kena dibawa oleh 40 ekor unta. Akhirnya dia ditenggelamkan bersama-sama hartanya sekali akibat terlalu takbur. Jadi kalau kita kaya, jangan sangka Allah sayang, Qarun lagi kaya, akhirnya binasa juga.
Jadi, jika kita kaji dan fikir betul-betul, maka terjawablah segala keraguan yang mengganggu fikiran kita. Mengapa orang kafir kaya, dan orang yang berbuat maksiat hidup senang /mewah. Pemberian yang diberikan oleh Allah pada mereka bukanlah yang diredai-Nya. Rupa-rupanya ianya adalah bertujuan untuk menghancurkannya. Untuk apa hidup ini tanpa keredaan-Nya?
Tetapi jangan pula ada orang kaya beribadat, masuk masjid dengan kereta mewah kita katakan itu istidraj. Orang naik pangkat, istidraj. Orang-orang besar, istidraj. Jangan! Orang yang mengunakan nikmatnya untuk kebajikan untuk mengabdi kepada Allah bukan istidraj. Dan jangan pula kita tidak mahu kekayaan. Kalau hendak selamat, hidup kita mesti ada pegangan. Bukan kaya yang kita cari, juga bukan miskin yang kita cari.
Tujuan hidup kita adalah mencari keredaan Allah. Bagaimana cara untuk menentukan nikmat yang diredai Allah? Seseorang itu dapat menyedari hakikat yang sebenarnya tentang nikmat yang diterimanya itu ialah apabila dia bersyukur nikmatnya.
Dia akan mengunakan pemberian ke jalan kebaikan dan sentiasa redha dan ikhlas mengabdikan diri kepada Allah. Maka segala limpah kurnia yang diperolehi itu adalah nikmat pemberian yang diredai Allah. Apabila tujuan hidup kita untuk mencari keredaan Allah, niscaya selamatlah kita di dunia dan akhirat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan