Ahad, 27 Oktober 2013

Pemilik



Kisah seorang lelaki yang menghadapi masalah yang kronik iaitu sering diganggu oleh anjing semasa perjalanan ke tempat kerja dan ke pasar, memandangkan jalan yang dilalui si lelaki itu hanyalah satu maka beliau tiada pilihan lain melainkan menggunakan laluan tersebut dan mesti bersedia berhadapan dengan segala kemungkinan-kemungkinan. 

Peristiwa beliau digigit, dikejar, diterkam, terpijak najis dan terkena air kencing anjing hari-hari menghantui fikirannya apabila mulakan langkah melalui jalan itu. Pernah juga beliau memberanikan diri bertindak sebaliknya iaitu mengejar dan membaling objek ke arah anjing-anjing yang mengganggu tetapi umpama tiada kesudahan. Ada beberapa kali beliau cuba menyimpan wang dengan hasrat untuk membeli kenderaan beroda yang boleh membantu perjalanannya yang lebih pantas namun hasrat tersebut tidak kesampaian kerana pendapatannya ‘umpama kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang’. 

Masa berlalu begitu pantas, tibalah suatu hari beliau menceritakan pengalaman hitamnya itu kepada seorang kawan di tempat kerja, kawannya bertanya “apakah sudah awak berjumpa dengan tuan punya anjing-anjing itu?”.., lelaki itu tersentak, “ ahhh, kenapa aku tidak terfikir perkara itu selama ini”..
Tiba masa pulang dari tempat kerja, si lelaki itu mengambil waktu yang sesuai untuk melalui jalanan yang paling banyak anjing kerana fikirannya mungkin laluan itulah agaknya terdapat rumah tuan punya anjing-anjing itu. Kali ini beliau memang bersedia dengan apa sahaja kemungkinan berhadapan dengan serangan tiba-tiba, beliau berkata “kalau perlu aku gigit anjing itu, aku akan gigit, aku tak kira”. , itulah kata-kata motivasi yang menguatkan dirinya.
Hasratnya berjumpa dengan pemilik anjing-anjing itu tercapai dan beliau menceritakan peristiwa yang berlaku pada dirinya, beliau merayu agar anjing-anjing tidak mengganggunya lagi. Tuan pemilik anjing-anjing itu telah membayar pada lelaki berkenaan sejumlah wang sebagai pampasan di atas kecederaannya serta membayar kos perubatan. Sebahagian anjing-anjing di hantar ke Jabatan Haiwan dan sebahagian lagi dikurung di dalam sangkar besar.
Lelaki tersebut cukup gembira seolah-olah dunianya 100% terbalik dan umpama mati hidup semula.
Itulah kisah iktibar yang boleh disimpulkan bahawa memohon dan mengharapkan pertolongan daripada Tuan Pemilik diri kita iaitu Allah swt akan dapat menyelesaikan 100% masalah kita dan sebaliknya jika mengharapkan sesuatu kepada makhluk seperti kita, ianya tidak akan ke mana-mana.
Begitulah juga apabila kita mengharapkan undang-undang ciptaan sendiri untuk menyelesaikan masalah manusia maka harapan itu umpama meludah ke langit, beban yang berat akan ditanggung dan menzalimi diri sendiri. Jadikanlah orang yang sentiasa bersyukur dan rujuklah jalan penyelesaian kepada Allah Rabbul’alamin….

Coretan;
Ahmad Nazri Khamis
Batu Pahat, Johor.
21 Oktober 2013

Tiada ulasan:

Catat Ulasan