Sabtu, 24 Februari 2024

PBD

 SISTEM PENTAKSIRAN BILIK DARJAH (PBD): IMPLIKASI DAN KESANNYA TERHADAP MASA DEPAN PENDIDIKAN


Hari ini tamatlah sesi temuduga untuk kemasukan ke Kolej Vokasional. Kali ini saya menjadi penemuduga untuk kursus Teknologi Automotif. Salah satu kursus paling 'HOT' dan 'laku keras'. Permohonan yang sangat tinggi, sedangkan kouta kemasukan yang sangat terhad.


Jadi, pemilihan fasa pertama saya tetapkan keputusan PBD Math, BM dan BI semasa di tingkatan 3 sekurang-kurangnya TP3. Kerana ramai calon yang memohon berada pada tahap TP4 dan TP5 (TP6 paling tinggi dan TP1 paling rendah). Perkara pertama yang melintas dalam otak saya ialah 'waa...hebat-hebat semua yang memohon kursus Teknologi Automotif'.


Tetapi sesuatu yang sangat memeranjatkan saya berlaku, 60% pelajar yang mempunyai keputusan Math TP3 dan keatas hanya memperolehi kurang daripada 40% markah Ujian Saringan Math (hanya soalan asas matematik). Pelajar pertama yang saya temuduga mempunyai keputusan PBD TP4 untuk subjek Math tetapi hanya memperolehi 20% Ujian Saringn Math. Pelajar ini mengakui memang bermasalah dalam subjek Math, dia sendiri pun tak tahu macam mana dapat TP4. 


Untuk kepastian, saya mengemukakan soalan 5/2 (5 bahagi 2). percaya atau tidak...pelajar ini gagal menjawab. Semua jari tangan dia sudah guna untuk membuat kiraan, tetapi tetap gagal menjawab. Pening, panik dan bengong kejap....saya macam tidak percaya apa yang berlaku depan mata.


Saya memutuskan untuk menjalankan kajian ringkas untuk calon yang memperolehi markah Ujian Saringan Math kurang daripada 50%. Saya mengemukakan cuma TIGA soalan asas. Soalan pertama 5/2 (5 bahagi 2), soalan kedua 7/2 (7 bahagi 2) dan soalan ketiga 9/3 (9 bahagi 3). Percaya atau tidak, 80% pelajar gagal menjawab ketiga-tiga soalan tersebut😓😓😓. Ini bukan ceritaan rekaan tuan-tuan dan puan-puan, siapa tidak percaya..boleh jumpa saya, saya simpan segala eviden. Dalam hati saya, patutlah negara kita menduduki kedudukan PISA tercorot dia ASEAN. Jauh ditinggalkan dengan dunia ketiga.


Saya tidak mempunyai pengetahuan tentang sistem Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang diamalkan di sekolah, tetapi saya merasakan ada sesuatu yang perlu dilihat semula dalam sistem ini. Macam ada 'SAKIT' yang memerlukan 'UBAT'.


Bukan niat untuk mengkritik, cuma ingin melihat masa depan pendidikan yang gemilang dan tiada anak-anak kita yang teraniya dengan sistem pendidikan yang kita jalankan.



https://www.facebook.com/share/p/62xE3hr22DGd4ZTg/?mibextid=CTbP7E


----- x ----- x -----


Bila saya memberi pandangan ikhlas secara tegas berdasarkan fakta pendidikan rasmi yang ada, ada pihak (khususnya dalam group 'Kami Guru Malaysia' dan 'Guru Share') yang kata saya bukan guru seperti mereka, jadi tak payah nak masuk campur urusan sekolah. Sebenarnya, saya juga adalah seorang guru KPM yang telah memulakan penempatan saya sebagai PPP di sekolah pedalaman Sarawak. 


Ada pula pihak yang 'di atas' (bukan dari universiti saya) yang beri peringatan secara teks dan sampai bersurat rasmi mendakwa kononnya saya tidak sepatutnya menegur dasar pendidikan negara. 


Hakikatnya, saya tidak pernah menegur apa juga dasar kerajaan. Saya tidaklah sebodoh itu untuk wewenang menegur dasar kerana saya sangat tahu untuk mengubal sesuatu dasar kerajaan, prosesnya sangat rumit, teliti, mengambil masa yang panjang dan melibatkan pelbagai pihak. 


Saya hanya memberi pandangan tentang kelemahan pelaksanaan sahaja. Itupun berdasarkan fakta rasmi yang ada. Antara menegur dasar kerajaan dengan memberi pandangan demi menambah baik pelaksanaan adalah dua perkara yang sangat berbeza. 


Misalnya, saya sokong penuh dasar PBD, tetapi saya memberikan pandangan tentang pelaksanaan PBD yang saya yakin tidak akan menjayakan pentaksiran pendidikan yang berkualiti. 


Saya sokong penuh dasar MBMMBI, tetapi saya berbeza pandangan terhadap pelaksanaan DLP kerana ia pada pandangan saya telah melanggar dasar Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar sistem pendidikan negara seperti yang terkandung dalam Akta Pendidikan 1996, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 dan kedudukan Bahasa Melayu dalam pelembagaan. 


Saya sokong penuh dasar pendidikan untuk membantu pendidikan Bumiputera melalui SBP dan MRSM, tetapi biarlah pelaksanaanya benar -benar untuk membantu murid bumiputera berpotensi dari keluarga miskin. Bukan lagi untuk Bumiputera kaya raya.


Saya sokong dasar pendidikan untuk memperkasa semua sekolah harian, tetapi saya tidak bersetuju dengan amalan yang membezakan sekolah dengan label Kluster Kecemerlangan, Prestasi Tinggi dan sebagainya. Mengapa pelaksanaannya perlu dibeza-bezakan? 


Saya sokong penuh dasar kerajaan untuk menoktahkan isu sekolah daif. Begitu juga dengan isu sekolah yang sesak murid di bandar besar. Saya tahu rakyat mahu isu sekolah daif dan sesak ini diselesaikan segera. Anak-anak mereka sedang hilang pengalaman pembelajaran yang berkualiti kerana keadaan sekolah yang daif dan sesak. 


Seperti juga ibu bapa  yang lain, saya juga mahu bertanya mengapa isu sekolah daif masih belum selesai? Mengapa begitu lambat?  Ini adalah soalan kami sebagai rakyat berkaitan isu pelaksanaan bukannya  mengkritik dasar kerajaan. 


Bila saya memberikan pandangan, bukankah itu semua memang tugas hakiki saya sebagai ahli akademik yang diamanahkan untuk menjalankan penyelidikan, penelitian dan memberikan pandangan tentang pelaksanaan sistem pendidikan negara. 


Mereka suruh saya diam. Saya kata ok, saya akan diam. Bukan sebab takut, tapi sebab saya nak fokus sepenuhnya perhatian, masa dan tenaga saya pada memahami isu pendidikan. Saya tidak mahu berbalah dengan sesiapa pun. Jauh sekali bermusuhan. 


Malah pandangan saya tertumpu hanya pada isu sistem pendidikan, bukan 'serangan' pada mana -mana individu. Saya diam sebab saya tak mahu hilang fokus untuk terus berkongsi isu pendidikan dengan masyarakat. 


Saya tahu, berbalah dengan mana -mana pihak yang berkepentingan kepada sistem tidak akan membangunkan kualiti pendidikan negara. Kita semua ada tanggungjawab bersama untuk memberikan apa sahaja idea dan pandangan yang ikhlas untuk kebaikan pendidikan anak-anak. 


Anda baca perkongsian di bawah. Anda akan lihat sendiri keadaan pendidikan anak-anak kita. Inilah keadaan sebenar. Sampai Matematik semudah itu pun tak boleh nak jawab. Peliknya mereka capai TP4 (maksudnya ditaksirkan sebagai Faham, Tahu dan Boleh Buat dengan Beradab). 


Kalau beginilah keadaan sistem pendidikan negara dan kita sebagai ibu bapa masih boleh berdiam diri dan ada pihak yang masih juga nak menafikan masalah pendidikan negara yang semakin kronik kerana nak jaga kedudukan dan jawatan, saya pun tak tahulah apa nak kata lagi. 


Terus Terang. Saya rasa sangat kecewa. Mungkin inilah nasib kita...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan