Khamis, 19 Mei 2011

Dengki, khianat, benci, sindiran, hasad, cemburu vs busuk hati

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah kamu saling benci membenci, dengki mendengki dan sindir menyindir. Jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara. Haram seseorang Muslim berkelahi dengan saudaranya lebih dari tiga hari lamanya. [Bukhari & Muslim] 


Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah kamu berbicara dengan ucapan yang buruk, janganlah kamu sindir menyindir, janganlah kamu memperdengarkan khabar orang lain dan janganlah sebahagian kamu menjual atas jualan sebahagian yang lain. Sementara itu, jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara. [Bukhari & Muslim] 


Diriwayatkan daripada Abu Ayub al-Ansari r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Haram bagi seseorang muslim berkelahi dengan saudaranya lebih dari tiga malam, apabila keduanya bertemu saling memalingkan mukanya. Sementara itu, yang terbaik di antara keduanya adalah mereka yang mula mengucapkan salam. [Bukhari & Muslim] 


Kita hidup ini hanya bertauhidkan yang satu, Dia yang Maha Esa. Penguasa Mutlak yang berhak ke atas setiap apa yang berlaku kepada kita. Raja yang menciptakan pelbagai sifat kesempurnaan kepada kita sebagai hamba bergelar insan. Manusia yang dipunyakan sifat kasih, sayang, jujur, pra sangka, dengki, khianat, benci dan sebagainya. Justeru, mengapa ada benci, dengki dan busuk hati? Suatu perasaan yang tidak seharusnya kita ada adalah hasad dan benci. 


Saban masa kita pasti berhadapan dengan situasi di mana wujud perasaan benci terhadap seseorang. Ya tidak? “Busuk giler mamat ini, setahun tak basuh baju ke?” Seseorang daripada kita mungkin pernah mengungkapkan kalimah seperti di atas. Secara sengaja mahupun tidak. Tidak perasan? Anda sebagai empunya diri, anda lebih berhak ke atas diri anda sendiri. Anda lebih tahu berbanding saya. Hakikatnya, saya sendiri terkadang itu tidak boleh menafikan daripada mempunyai perasaan itu. 


Nama pun manusia, penuh silap dan dosa. Selalu orang kata benci itu tandanya busuk hati. Ada juga ungkapan mengaitkan benci itu tandanya sayang. Tidak kurang hebat juga yang menjelaskan bahawa benci itu tanda kita seorang manusia. Yalah, kalau anda tidak punya rasa benci, anda barangkali bukan seorang manusia. Bukankah manusia itu diciptakan oleh Allah dengan segala rencam sifat yang tidak pernah terungkai dek kata-kata. 


Mungkin, Nabi junjungan kita sahaja yang mampu merungkai permasalahan ini. Muhammad S.A.W yang maksum, sempurna namun tetap juga beristighfar sekurang-kurangnya tujuh puluh kali sehari. Aduhai, bagaimana pula dengan kita? Ada 3 sebab perasaan hasad dan benci: 


1) HATI DAN NIAT YANG KOTOR 
Tidak dapat dinafikan bahawa persoalan hati terlalu sukar untuk dibicarakan. Hati seringkali berkait rapat dengan tindakan yang akan dinatijahkan seterusnya. Kita selalu menyatakan bahawa hati itu permulaan sesuatu tindakan. Alangkan tidak berniat untuk melakukan kejahatan pun sudah berulang-ulang kali lakukan juga. Inikan pula saban hari punya hati yang kotor dan siap-siap berniat untuk melakukan kejahatan. Astaghfirullah. Anda sendiri tahu akibatnya bukan. 


2) PERASAAN CEMBURU DAN IRI HATI 
Pernah anda terjumpa di mana-mana babak drama di dalam filem yang melakonkan watak-watak wanita, si isteri yang tidak habis-habis menghasut suaminya untuk berlumba-lumba bersama jiran. Berlumba-lumba? Kalau jiran beli sahaja perabot atau peralatan rumah baru, mulalah si isteri akan memuncungkan mulut. Harap-harapnya si suami itu memahami. Si suami pula kalau tidak menurutkan segala kehendak si isteri akan dikata lelaki yang tidak memahami. Aduhai, masalah-masalah. 


Akhirnya, terpaksa juga diturutkan kehendak si isteri. Kerana apa? Kerana rasa iri hati dan cemburu si isteri terhadap apa yang dimiliki oleh orang lain. Justeru, elakkan daripada punya rasa iri terhadap orang. Kelak akan membawa pula kepada benci. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah kamu saling benci-membenci, dengki-mendengki dan sindir-menyindir. Jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara. Haram seseorang muslim berkelahi dengan saudaranya lebih dari tiga hari lamanya 


3) KURANGNYA HUBUNGAN DENGAN ALLAH
Ya, sebab yang ketiga ini seharusnya dijadikan titik permulaan bagi kita. Untuk diri saya, mereka dan anda semua yang membaca. Untuk apa kita diciptakan? Apa guna kita dihidupkan di atas muka bumi ini andai tidak pernah cuba untuk membahagiakan Tuan Punya alam ini. 


Di mana rasa syukur dan sayang kita kepada Dia? Bila anda sudah jauh dari Tuhan, sudah tentu segala yang diajar, semua yang diasuh oleh ajaranNya, dengan mudah akan ditinggalkan. Sedangkan solat 5 waktu setiap hari yang ditunaikan, juga masih tidak mampu mengelakkan kita daripada berbuat dosa, benci dan sebagainya, inikan pula terus-menerus jauh daripada mengingatinya. Justeru saudara-saudari, jagalah hubungan kita denganNya. 


Ingatlah Dia selalu, moga di waktu kita sempit nanti, Dia sentiasa mengingati kita. BENCI itu hanya sekadar meruntuhkan talian silaturrahim kita sebagai saudara. Oleh itu, marilah kita sama-sama kukuhkan lagi tautan hati-hati kita. Semoga yang jauh-jauh itu dapat kita erat-eratkan. 


Yang dekat pula, kita rapat-rapatkan.. :)

Aisyalam...

Ada seorang peniaga, namanya En. Aisyalam. Dia seorang Melayu, tetapi neneknya adalah India beribukan Cina, berniaga buah durian. Kebunnya ada seluas 5 ekar. Tahun lepas, sebiji durian, harga borong adalah RM2.50. Tolak campur bahagi darap, setiap biji dapatlah dia untung bersih RM1.00. Tetapi, pada tahun ini, harga sedunia buah durian telah meningkat. Ini kerana ketidakstabilan harga komuditi bagi buah durian itu menyebabkan kawalan harga durian terpaksa diapungkan.

Mahu tidak mahu, harga durian sedunia telah meningkat kepada RM3.50 sebiji. Maka bising-bisinglah En Aisyalam ini kerana harga durian telah naik mendadak sebanyak RM 3.50. Tahun lepas sebiji hanya RM2.50, tetapi tahun ini telah naik sebiji RM1.00. Maka beliau sebagai ketua keluarga dan kepala lepada syarikat menjual buah durian dari kebunnya yang sebesar 5 ekar itu membuat satu mesyuarat tergempar. Mesyuarat itu dinamakan mesyuarat Jawatan Kuasa Almari Bekalan dan Harga.

Maka En. Aisyalam sebagai pengerusi telah memulakan bicara didalam mesyuarat yang penuh penting itu.

"Saya sebagai kepala kepada kamu semua, ingin memberitahu, bahawa kita sedang dilanda masalah kewangan yang gawat kerana harga komuditi bagi sebiji durian telah meningkat dari RM2.50 sebiji kepada RM3.50 sebiji. Sudah naik RM1.00 sebiji. Ini kegawatan namanya!" mula bicara En Aisyalam.

"What the hell! Naik lagi M1.00. Ini sudah bahaya. Kita mesti lakukan sesuatu agar syarikat kita dapat menampung kos berlebihan ini. Saya mencadangkan agar gaji-gaji para pekerja diturunkan. Kerana gaji mereka dahulu pun adalah berlandaskan kepada subsidi harga sebiji durian. Kita telah membelanjakan emolumen mereka sebanyak RM0.15 seorang dari sebiji penjualan durian berdasarkan kepada kiraan subsidi. Kita wajib bertindak sekarang!" jawab salah seorang ahli Almari dalam mesyuarat itu yang bernama Pn. Onmu.

"Saya bersetuju 109.56% dengan apa yang disebut oleh Pn. Onmu, Syarikat tidak boleh lagi menampung subsidi kepada pekerja kita. Kita perlu menghapuskan subsidi ini secara berperingkat agar para pekerja tidak merasai keperitan gaji mereka dikurangkan. Saya dengan 'team' saya, PEMANDUL, telah membuat satu rumusan agar subsidi yang ditanggung sebanyak RM0.15 itu mesti dikurangkan kepada RM0.07, barulah syarikat kita akan bernafas semula selepas banyak duit syarikat telah ditiriskan oleh Pengerusi sendiri, Pn Onmu dan saya selama ini." tambah lagi seorang ahli Almari,yang bernama En. Sirdi Alaj. Beliau berasal dari Sarawak.

"Ya, ya, betul, betul, saya setuju dengan apa yang telah disebutkan oleh kamu berdua. Subsidi mesti dipotong dan kekalutan kewangan syarikat ini mesti ditanggung oleh para pekerja." kata pengerusi Almari. Kemudian kepala En Aisyalam menoleh kepada ajk ketiga beliau, iaitu En. Taykar, beliau bukan mamak, tetapi namanya seakan mamak. "Apa pendapat En. Taykar? Senyap sahaja dari tadi? Silakan beri pandangan yang bernas dalam mesyuarat ini."

Setelah diberi peluang oleh Pengerusi, maka En. Taykar pun bangun dan membuka mulut, "Saya bukannya apa, cuma sedang menekan-nekan kalkulator saya berkenaan harga komuditi Durian yang sedang meningkat naik. Apa yang yang diperolehi, unjuran harga buah durian akan meningkat lagi dalam masa tempoh sebulan kepada RM3.70."

"Apa! Naik lagi!" melenting En Aisyalam, Pn Onmu dan En. Sirdi Alaj mendengar apa yang disebut oleh En. Taykar. Terkejut En. Taykar sehingga terjatuh dari kerusi.

"Bertenang saudara-saudari sekelian, jangan panik. Sebenarnya peningkatan harga buah durian ini adalah sepatutnya baik untuk syarikat ini. Saya pasti, tuan-tuan dan puan tahu, syarikat kita ini menjual durian. Maka jika buah durian sedunia telah meningkat kepada RM3.50 sebiji, maka adalah dengan jelas, keuntungan kepada syarikat akan meningkat dari RM1.00, kepada RM2.00. Ini sebenarnya menguntungkan Syarikat Aisyalam Sdn Bhd, yang namanya adalah nama asal pengerusi kita." kata En. Taykar kepada seluruh ajk Almari.

"Eh? Ye ke? Macam tak percaya je, tapi macam betul, ke guane En Sirdi Alaj?" Tanya Pn. Onmu yang memang sejak dari dahulu adalah hanya sebagai minah turut dalam ajk Almari itu. "Er,.. ye,.. ye,.. saya pun ada berfikiran begitu juga tadi,..." jawab En. Sirdi Alaj.

Maka pengerusi pun bangun dari kerusinya lalu berkata, "Bagus, bagus, nampaknya syarikat kita akan untung kerana kenaikan harga komuditi buah durian ini, bagus, bagus. Jika itulah ceritanya, maka saya dengan ini sebagai pengerusi mengambil keputusan untuk menerima cadangan Pn Onmu dan En Sirdi Alaj untuk menurunkan gaji pekerja. Dengan turunnya gaji pekerja dengan cara menghapuskan subsidi secara berperingkat, maka keuntungan syarikat yang memang telah untung, akan diganda-gandakan lagi keuntungannya dengan tarikan subsidi gaji mereka,.. ha! ha! ha! Kaya aku dan kroni ku!"

En. Taykar terkejut dengan keputusan itu lalu membantah, "Apa ini Tuan Pengerusi? Mana boleh begini? Sudahlah syarikat dapat untung dari harga pasaran dunia durian yang sudah meningkat, mengapa hendak dihapuskan subsidi gaji pekerja yang sebenarnya pun subsidi itu tidak wujud, hanya wujud didalam kertas oleh pihak 'team' PEMANDUL?"

"Apa kau kata En. Taykar? Berani awak membantah saya sebagai pengerusi?" melenting En Aisyalam.

"Bukan saya membantah Tuan Pengerusi. Cuma tidak bersetuju dengan apa yang diputuskan oleh pihak Tuan. Ini kerana, jika pekerja tahu akan tindakan kita, maka mereka akan memprotes dan akan membuat satu tindakan mogok besar-besaran" jawab En. Taykar.

Pengerusi diam sejenak. Melihat tajam muka En. Taykar, lalu tersenyum sambil berkata, "Kamu ini terlalu lurus bendul wahai En. Taykar. Mungkin kerana itu saya menggajikan kamu sebagai ajk ketiga dalam Almari ini. Beginilah, kamu jangan takut dengan pekerja kita. Ini kerana, akal-akal mereka adalah semuanya akal tapak kaki. Setelah kita umumkan gaji mereka diturunkan, maka pada slip gaji mereka pada bulan seterusnya, kita akan beri mereka greytuti sebanyak RM200 seorang dan kita juga akan berikan sehelai kain pelikat kepada setiap pekerja sebagai penghargaan kita kepada mereka. Selepas itu, pasti mereka akan senyap macam orang bisu. Senang sahaja,"

"Ya, betul, betul, saya setuju" jawab serentak oleh Pn Onmu dan En. Sirdi Alaj. Namun En. Taykar melopong ternganga mulut kehairanan lagi confuse.

"O.k, En Sirdi Alaj dan Pn Onmu, kerana kamu berdua bersetuju dengan saya, kamu berdua dinaikkan pangkat, manakala kepada kamu En. Taykar, kamu dipecat serta merta kerana kamu didapati telah melakukan kesalahan besar kerana tidak bersetuju dengan saya. Jika kamu melawan juga tidak bersetuju dipecat, kami akan membuat tuduhan kamu meliwat drebar saya. Ada faham?" kata pengerusi tegas.


sumber :http://ibnmustaffa.blogspot.com/" 

Wanita Bahagia :)


Kepada setiap muslimah yang rela Allah swt sebagai Rabbnya, Islam sebagai agamanya dan Muhammad sebagai Rasulnya.
Kepada setiap pendidik yang berjihad di jalan Allah dengan untaian kalimahnya, menjaga norma-normanya dan menyucikan jiwanya.
Kepada wanita yang bimbang dan bersedih, berbahagialah dengan dekatnya kemudahan, datangnya pertolongan Allah swt serta janji pahala yang besar dan terhapus segala dosa.
Tidak ada kecantikan bagi seorang wanita, tiada pula keindahan, harga diri dan kedudukan kecuali beriman kepada Allah swt. Apabila dirinya tegak di atas jalan ini, maka dia lah wanita yang mendapat petunjuk, diterima amalnya dan menjadi wanita pilihan disisi Rabb-Nya.
Namun, jika dia melepaskan jalan kebenaran tersebut, kafir terhadap Tuhannya, mengingkari agamanya dan melepaskan tuntutan-Nya, maka dia lah cermin kepada wanita yang murahan, hina dan terbuang.
Pada saat itulah sinar kecantikan seorang wanita mula menghilang, walau berkalung gugusan bintang di langit, meskipun bermahkota bintang gemini dan matahari terbit di keningnya.
Wahai wanita muslimah yang jujur, wahai wanita mu'minah yang selalu kembali kepada Allah.
Jadikanlah dirimu itu seperti sepohon kurma. Jauh dari keburukan, menjulang tinggi menghindar dari sifat mengangau. Dilempar dengan batu dia menjatuhkan buahnya, tetap hijau pada musim panas mahupun dingin dan memberikan manfaat kepada sekalian manusia.
Jadilah engkau orang yang menjauhi perkara-perkara yang rendah, keperibadianmu terjaga dari segala pola hidup yang menipu rasa malu. Ucapanmu adalah zikir, pandanganmu melahirkan ibrah (pengajaran), diammu adalah berfikir.
Saat itulah engkau mendapatkan ketenangan dan akan diterima oleh penduduk bumi. Tercurah segala pujian yang baik-baik, doa yang jujur dari semua makhluk, dan Allah swt akan menjauhkanmu dari awan kesempitan, bayang-bayang ketakutan, dan gumpalan kekeruhan.
Tidurlah berbantalkan curahan doa orang-orang mu'min, lalu bangunlah untuk meraih pujian yang ditujukan kepadamu. Saat itulah engkau mula menyedari bahawa kebahagiaan bukan terdapat pada simpanan harta, kad kredit dan kereta, rumah yang bagaikan istana, mahupun pada kasih nya seorang manusia, namun pada ketaatan terhadap Zat Yang Maha Terpuji. Kedamaian hidup bukan pada hiasan keduniaan, bukan pula mengabdi kepada hamba, namun kepada kepatuhan terhadap Zat Yang Maha Mulia.
Pesanku, jadilah seorang wanita yang bermaruah, yang punya kedudukan tinggi di sisi Tuhannya. Di mana namanya sentiasa disebut-sebut dalam kalangan para malaikat, dan yang berjaya memperoleh cinta yang Teragung, iaitu cintanya Ya Rabb lantas menjadi wanita yang paling bahagia di dunia.

Ikhtilat


Apakah ikhtilat? Adakah lelaki langsung tidak memandang wanita dengan menundukkan pandangan sehingga hampir terlanggar tiang? Ketika berprogram, adakah harus diasingkan antara lelaki dengan perempuan supaya terjaga?
Allah Maha Bijaksana menjadikan makhluk berpasang-pasang; lelaki dan wanita, bumi dan langit, siang dan malam, syaitan dan malaikat, gunung dan lembah, matahari dan bulan, begitulah seterusnya.Banyak hikmah dalam kejadian alam yang perlu direnung dan dijadikan bukti keagungan Allah. Satu contoh dalam kejadian manusia, Allah jadikan wanita bersifat lembut dengan nisbah 9/10 malu dan 1/10 akal, manakala lelaki 9/10 akal dan 1/10 malu.
Atas kelebihan akal inilah, Allah menjadikan kaum lelaki penjaga bagi kaum wanita. Begitu juga dalam apa jua masalah, Allah menyamakan 2 wanita dengan 1 lelaki; contohnya dalam hal penyaksian.Walaupun kurang berakal, namun wanita ada sifat malu. Kerana ada malulah, wanita dipandang mulia. Kalaulah wanita tiada malu, habislah dunia ini. Begitu juga lelaki, meskipun kurang malu namun mereka mempunyai akal yang dapat memikirkan kesan dan sebab-akibat sesuatu perkara. Kalaulah lelaki tiada akal, dunia akan jadi kcar-kacir.
Begitulah kebijaksanaan Allah untuk menjaga keharmonian alam. Namun apa dah jadi pada masa ini. Wanita sudah tidak ada perasaan malu lagi; bebas bergaul tanpa batas, bebas keluar hingga larut malam. Manakala lelaki pula sudah tidak menggunakan akal lagi malah merosakkannya pula. Fikirkanlah kesan buruk yang akan menimpa masyarakat jika fitrah kejadian ini sudah diabaikan.
Saya menyarankan ikhtilat adalah baik lelaki atau wanita, masing-masing tidak melayan perasaan sehingga menghanyutkan diri. Mereka jadi tidak tenang dan gusar, tidak melakukan apa-apa gerak kerja, ataupun jika dilakukan itu pun kerana si dia. Si lelaki tidak akan berjalan berdekatan si wanita, begitu juga tidak akan berjalan belakang si wanita. Ini sangat pantang. Jika mahu berjalan bersebelahan sekalipun, ia mesti dalam jarak yang jauh untuk menjaga perasaan.
Si wanita tidak akan keterlaluan dalam melembutkan suara sehingga mampu menggoda dan meransang, dan tidak menunjukkan aksi-aksi yang boleh menimbulkan rasa yang kurang baik dalam hati wanita.
Kedua-duanya tidak akan tenggelam dalam percintaan sehingga bahasa SAYANG menguasai menyebabkan hidup tidak tenang dan tenteram. Ikhtilat dengan tidak berada berdekatan seperti berhadapan dengan secara dekat semasa mengadakan mesyuarat apatah lagi berpegangan tangan dan berjalan di waktu malam.
Ikhtilat adalah SAD ZARAIE, satu kaedah pencegahan sebelum berlaku sesuatu yang tidak diingini berdasarkan slogan JANGAN SEKALI KAMU DEKATI ZINA. Kenapa perlu si lelaki sentiasa bertemu si wanita atas alasan rindu dan sayang seolah-olah mereka tidak punya masa untuk mencurahkan rindu kepada Tuhan yang Maha Esa dan untuk perjuangan. Kenapa dihabiskan duit si dia terlalu banyak sedangkan duit untuk perjuangan langsung tidak dihulurkan.
Saya mengingatkan kepada yang asyik bercinta. Bercinta harus, tetapi lemas haram. Bercinta harus, tetapi sekiranya anda makin hilang fungsi sebagai hamba, maka ia haram. Berhubungan dengan wanita, atau dengan lelaki, adalah dengan tujuan untuk saling lengkap-melengkapi dan untuk memudahkan urusan. Jika magnet itu teransang, maka salurlah dengan cara yang paling baik – yakni kahwin.
Wanita yang sepatutnya malu dah tiada malu lagi; lelaki yang sepatutnya berakal dah hilangkan akal mereka. Perempuan dengan gejala dedah; lelaki dengan gejala dadah.
Sumber Text: Halaqah
ٱلۡخَبِيثَـٰتُ لِلۡخَبِيثِينَ وَٱلۡخَبِيثُونَ لِلۡخَبِيثَـٰتِ‌ۖ وَٱلطَّيِّبَـٰتُ لِلطَّيِّبِينَ وَٱلطَّيِّبُونَ لِلطَّيِّبَـٰتِ‌ۚ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ مُبَرَّءُونَ مِمَّا يَقُولُونَ‌ۖ لَهُم مَّغۡفِرَةٌ۬ وَرِزۡقٌ۬ ڪَرِيمٌ۬
(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia.
(Surah An-Nur 24: Ayat Ke 26)

9 Pembaziran------>>> renungkan... :)

Ibnu Qayyim al-Jauziyah,ulama dan tokoh gerakan dakwah islamiyah ialah murid kepada ulama terbilang iaitu Syeikh ai-Islam Ibnu Taimiah. Beliau juga turut mempunyai banyak karya ilmiah seperti kitab Ar-Ruh, Al-Fawaid, Tafsir dan banyak lagi yang menjadi panduan dalam gerakan dakwah Islam.

Ibnu Qayyim al-Jauziyah ada mengatakan bahawa terdapat sembilan pembaziran yang sering dilakukan manusia iaitu:

1. Ilmu pengetahuan
- membazir jika tidak diamalkan untuk jalan kebaikan.
2. Amalan
- membazir jika dilakukan tidak dengan hati yang ikhlas.
3. Kekayaan
- membazir jika dibelanjakan pada perkara yang tidak bermanafaat dan tidak diredhai Allah.
4. Hati
- membazir jika kosong daripada kasih kepada Allah.
5. Tubuh badan
- membazir jika tidak digunakan untuk beribadah kepada Allah.
6. Cinta
- membazir jika dicurahkan kepada selain Allah atau melebihi cinta kepada-Nya
7. Masa
- membazir jka tidak diurus dengan sebaiknya.
8. Akal
- membazir jika tidak memikirkan sesuatu yang bermakna kepada agama.
9. Zikir
- membazir jika tidak memberi kesan kepada hati.
..................................................

...................................
"Allahumma a'innii 'alaa dzikrika wa syukrika wa husni 'ibadaatik"

Ya Tuhan kami, perbantulah aku untuk mengingati Mu,
untuk mensyukuri Mu dan untuk menyempurnakan ibadatku kepadaMu.