Selasa, 24 Mei 2011

Yusuf Islam


Saya dilahirkan dalam sebuah rumah yang penghuninya beragama Kristian. Diajar bahawa tuhan itu wujud, tetapi kita tidak ada hubungan secara langsung dengan tuhan.
Lantas kita perlu mewujudkan satu cara untuk menghubunginya, iaitu melalui Jesus. Dan apabila mereka mengatakan yang tuhan itu tiga, saya menjadi lebih bingung tetapi saya tidak mampu membantah atau membahaskannya.
Namun, sedikit demi sedikit, saya mendapati diri semakin jauh daripada pendidikan yang berbentuk agama ini.
Saya mula mencipta muzik dan mahu menjadi seorang bintang terkenal. Akhirnya, saya berjaya menjadi seorang yang sangat terkenal.
Pada waktu itu, saya berusia belasan tahun tapi nama dan gambar terpampang di semua bentuk media.
Mereka membuat saya lebih besar dan kerana itu saya juga mahu hidup dengan cara yang lebih besar daripada hidup yang sebenarnya, dan satu-satunya cara untuk mendapatkannya ialah dengan menikmati arak dan dadah.
Selepas setahun berjaya menikmati kemewahan dan hidup secara high, saya sakit teruk dijangkiti penyakit TB dan perlu dirawat di hospital.
Kemudian, tiba satu ketika apabila saya rasa agama Buddha itu nampak baik dan mulia, tetapi saya masih belum bersedia menjadi seorang sami Buddha dan memisahkan diri daripada masyarakat sepenuhnya.
Saya mencuba pula Zen dan Ching, numerologi, kemudian kad-kad pakau dan astrologi. Saya cuba membuka semula kitab Bible tetapi tidak menjumpai apa-apa. Pada waktu itu, saya masih tidak tahu sesuatupun tentang Islam.
Titik Permulaan
Kemudian satu keajaiban berlaku. Abang saya melawat sebuah masjid di Jerusalem. Dia begitu kagum dengannya. Masjid itu dirasakan penuh dengan kehidupan (tidak seperti gereja-gereja dan rumah-rumah biara yang dirasakan kosong), aman dan tenang.
Dia memberikan saya senaskah terjemahan al-Quran yang dibawanya dari sana. Dia tidak pula menjadi seorang Muslim tetapi dia dapat merasakan yang ada sesuatu dalam agama itu, dan dia fikir mungkin saya akan menjumpai sesuatu juga.
Apabila saya terima kitab itu, saya mendapat petunjuk yang bakal menerangkan segala-galanya kepada saya - siapa diri saya, apakah tujuan hidup di dunia, apakah sebenarnya hakikat hidup dan apakah hakikat yang akan berlaku, dan di mana saya datang. Saya sedar bahawa inilah agama yang benar; agama yang bukan dalam erti kata yang difahami oleh Barat, bukan agama yang hanya berguna untuk masa tua anda.
Perkara pertama yang ingin saya lakukan pada waktu itu ialah menjadi seorang Muslim.
Pada tahap ini juga, saya mula menemui keyakinan. Saya merasakan sudah pun menjadi seorang Muslim. Apabila saya membaca kitab al-Quran itu, barulah saya sedar bahawa kesemua para nabi yang diutus Allah itu membawa ajaran yang sama.
Lantas, mengapakah penganut Kristian dan Yahudi saling tidak sefahaman? Sekarang saya tahu bagaimana orang Yahudi tidak mahu menerima Jesus sebagai utusan Tuhan dan mereka juga telah menukar ayat-ayat Tuhan.
Penganut Kristian salah faham akan ayat-ayat Tuhan dan menganggap Jesus anak Tuhan. Kesemuanya masuk akal dan begitu mudah difahami.
Inilah keindahan al-Quran. Ia membuat anda berfikir dan mencari jawapan, dan tidak menyembah matahari atau bulan tetapi Tuhan yang Esa yang telah menciptakan segala-galanya.
Apabila saya lebih banyak membaca kitab al-Quran, ia menceritakan pula tentang sembahyang, sifat pemurah dan sifat suka berbuat baik.
Saya masih belum menjadi seorang Islam lagi, tetapi saya sudah dapat merasakan bahawa satu-satunya jawapan untuk saya ialah al-Quran; bahawa Tuhan telah menghantarnya kepada saya, dan saya menyimpannya sebagai satu rahsia. Tetapi al-Quran itu juga berkata-kata pada beberapa peringkat yang berlainan. Saya mula memahaminya pada peringkat yang lain pula.
Al-Quran mengatakan, "Mereka yang beriman tidak menjadikan orang kafir sebagai temannya dan orang beriman itulah saudaranya."
Pada tahap itulah, timbul keinginan saya untuk bertemu dengan saudara-saudara selslam.
Melawat Jerusalem
Saya melawat Jerusalem (sepertimana yang dilakukan abang saya). Di Jerusalem, saya masuk ke dalam masjid dan duduk. Seorang lelaki datang menghampiri dan bertanya apa yang saya mahu. Saya beritahu dia yang saya seorang Muslim. Dia bertanya lagi, apakah nama saya. Saya jawab, "Stevens". Dia kelihatan keliru. Setelah itu, saya menyertai sembahyang berjemaah, walaupun tidak begitu menjadi.
Peristiwa ini berlaku pada tahun 1977, lebih kurang satu setengah tahun selepas saya menerima al-Quran daripada abang saya.
Lantas, pada satu hari Jumaat, iaitu selepas menunaikan sembahyang Jumaat, saya pergi bertemu imam Masjid New Regent dan melafazkan syahadah di tangannya.
Saya telah menjadi seorang yang memiliki kemasyhuran dan kemewahan. Tetapi saya begitu sukar mendapatkan petunjuk, walau bersungguh-sungguh saya cuba mendapatkannya, sehinggalah saya ditunjukkan dengan al-Quran.
Sekarang saya sedar bahawa saya boleh berhubung secara langsung dengan Tuhan, tidak perlu menggunakan perantara. Islam mengangkat semua halangan ini.
Saya tidak pernah berjumpa orang Islam sebelum saya memeluk agama suci ini. Saya lebih dahulu membaca al-Quran dan menyedari bahawa tidak ada manusia yang sempurna di dunia ini.
Hanya Islam yang sempurna, dan sekiranya kita semua meniru akhlak Rasulullah s.a.w., kita akan berjaya.
Moga-moga Allah memberikan kita petunjuk dan hidayah-Nya untuk menuruti jejak langkah Rasulullah s.a.w.. Amin

Taqdir --->> bersangka baik dgn Allah :)

Kebelakangan ini saya kerap dihujani panggilan telefon menceritakan pelbagai masalah. Terus terang ada masalah yang diluahkan itu, juga masalah yang saya hadapi sendiri. Saya bukan insan serba baik dan sempurna.
Selalu saya katakan, saya seorang daie yang sedang bermujahadah – berusaha membaiki diri dan usaha itu dikongsi untuk membaiki orang lain. Di kesempatan ini, saya hulurkan tulisan yang saya cuba alirkan dari hati. Dengan doa dan harapan agar bergunalah untuk dijadikan panduan (ataupun sempadan) buat pembaca.
Terimalah kata pengukuhan dan pencerahan ini...
Jangan Sombong Dengan Takdir
Jika hendak dikirakan 'beriman' dengan Allah, iblis laknatullah sepatutnya lebih tinggi imannya kepada Allah. Masakan tidak, dia pernah berdialog dengan Allah (dialog yang telah dirakamkan dalam Al-Quran). Dia percaya kepada syurga dan neraka. Bukan sahaja percaya bahkan telah melihatnya. Syaitan yakin tentang adanya Hari Pembalasan. 
Iblis
Hendak diukur dari segi ibadah, ya ibadah iblis begitu hebat. Puluhan ribu tahun sujud, rukuk dan membesarkan Allah hingga terlantik sebagai ketua malaikat. Cuma satu... syaitan kecundang kerana tidak dapat menerima takdir Allah.
Takdir yang menentukan Adam dipilih menjadi Khalifah dan dia diperintahkan sujud lambang hormat kepada Allah dalam mentaati Allah. Syaitan tidak boleh menerima takdir ini. Mengapa dia yang dijadikan daripada api (sedangkan Adam hanya daripada tanah), mengapa dia yang lebih 'senior' dalam ibadah dan hiraki kepimpinan tidak terpilih menjadi khalifah, sedangkan Adam hanya 'pendatang' baru yang diciptakan terkemudian?
Iblis sombong kerana tidak menerima ketentuan takdir. Dan dia terhina kerana itu. Lalu kita siapa yang mampu menidak dan meminggirkan takdir? Allah itu Maha Besar, qudrat dan iradatnya tidak akan mampu kita nafikan. Jika cuba menafikan, kita akan terhina... seperti terhina iblis. Dilaknat dan dimasukkan ke neraka... kerana gugur sifat kehambaannya!
Takdir Dan Iman Kita
Dalam episod hidup, takdir datang menguji kita. Mengapa aku mendapat suami yang begini? Mengapa isteriku tidak sebegitu? Kenapa ketua aku orang semacam dia? Kenapa anak aku cacat? Mengapa isteri tersayang aku pergi dulu? Kenapa aku tidak kaya-kaya lagi walaupun telah berusaha?
Bila masalah melanda kita merasakan kitalah yang paling menderita. Mengapa aku yang tertimpa nasib begini? Mulut berbicara mengaku Allah itu Tuhan kita tetapi mengapa kehendak-Nya kita tidak rela? Benarnya, masalah, ujian dan cabaran dalam hidup itu sangat berkaitan dengan iman.
Iman iblis hancur berderai bila diuji dengan takdir. Ego terpendamnya selama ini terserlah. Terbakar hangus seluruh ibadah yang dibinanya ribuan tahun. Aduh, bagaimana pula kita yang iman hanya setipis kulit bawang dan ibadah yang hanya sekelumit ini? Pujuklah hati, terima takdir itu dengan rela.
Katakan,  "ya Allah... sungguh sakit, sungguh perit, tapi apakan daya, aku hamba-Mu, Kau lebih tahu apa yang terbaik untukku berbanding diriku sendiri. Ya Allah, jangan Kau serahkan aku kepada diriku sendiri walaupun sekelip mata. Tadbirku seluruh dan sepenuh sujud pada takdir-Mu."
Takdir Mengatasi Tadbir
Takdir sentiasa mengatasi tadbir. Takdir daripada Allah, sedangkan tadbir hanya dari kita hamba-Nya. Kekadang takdir dan tadbir selari, maka terjadilah apa yang kita inginkan terjadi. Namun acapkali takdir dan tadbir bersalahan, maka terjadilah apa yang kita tidak inginkan.
Kita ingin putih, hitam pula yang menjelama. Kita dambakan kejayaan, kegagalan pula yang menimpa. Ketika itu hati akan bertanya, apa lagi yang tidak kena? Semuanya telah kutadbirkan, tetapi kenapa gagal jua? Ketika itu timbullah bunga-bungan 'pemberontakan' dari dalam diri hamba yang kerdil berdepan dengan Tuhan yang Perkasa. Samada disedari atau tanpa disedari...
Takdir daripada Allah mengandungi banyak hikmah. Ia mengandungi mehnah (didikan langsung dari Allah) yang kekadang tersembunyi daripada pengamatan fikiran biasa.
Ilmu semata-mata tanpa iman yang kuat, akan menyebabkan kita terkapai-kapai dalam ujian hidup tanpa pedoman yang tepat. Justeru dengan akal semata-mata kita tidak akan dapat meringankan perasaan pada perkara-perkara yang tidak sejalan dengan diri dan kehendak kita. Mengapa terjadi begini? Sedangkan aku telah berusaha?
Carilah Hikmah di Sebalik Ketentuan
Untuk mengelakkan hal itu terjadi maka kita mesti berusaha mencari hikmah-hikmah yang terkandung dalam ketentuan (takdir) Tuhan. Ya, hanya manusia yang sempurna akal (ilmu)  dan hati (iman) sahaja dapat menjangkau hikmah yang terkandung di dalam cubaan dan bala yang menimpa dirinya. Kata orang, hanya jauhari mengenal manikam.
Orang yang begini akan menjangkau hikmah di sebalik takdir. Dapat melihat sesuatu yang lebih tersirat di sebalik yang tersurat. Ya, mereka tidak akan beranggapan bahawa sifat lemah-lembut Allah lekang daripada segala bentuk takdir-Nya – samada yang kelihatan positif atau negatif pada pandangan manusia. Ertinya, mereka merasai bahawa apa jua takdir Allah adalah  bermaksud baik. Jika sebaliknya, mereka merasakan bahawa Tuhan bermaksud jahat dalam takdir-Nya, maka itu petanda penglihatan hati tidak jauh, dan akalnya pendek.
Apa Khabar Iman Anda?
Mengapa terjadi demikian? Sebab iman belum mantap, keyakinan masih lemah dan tidak kenal Allah dalam erti kata yang sebenarnya. Bila ketiga-tiga faktor itu sempurna, maka barulah sesorang itu mampu melihat bahawa di dalam cubaan dan bala yang ditakdirkan mengandungi hikmah-hikmah yang baik. Hanya dengan itu, seseorang itu akan merasa senang dan bahagia dalam menghadapi sebarang ujian dalam hidupnya.
Bagaimana kita dapat meringankan beban hati ketika menghadapi ujian hidup? Ya, hanya pertalian hati seorang hamba dengan Allah sahaja yang menyebakan ringannya ujian dan cubaan. Hati yang disinar dengan cahaya Allah dan cahaya sifat-sifat-Nya akan berhubung dengan Allah. Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa, hendak dikenal bahawa Allah-lah yang menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik.
Bila kita kenal Allah Maha Pengasih dan Penyayang, kita tak boleh buruk sangka kepada Allah dengan menganggap apa yang ditakdirkan (ujian) itu adalah sesuatu yang tidak baik. Iktikad (yakin) kita semua ketentuan Allah itu adalah baik – ujian itu pasti ada muslihat yang tersembunyi untuk manusia, akan menyebabkan hati terubat. Walaupun pahit, ditelan jua. Sematkan di hati bahawa pilihan Allah untuk kita adalah yang terbaik tapi kita tidak atau belum mengetahuinya. Bila terjadi nanti, barulah kita tahu.
Bersangka Baik Dengan Allah
Katalah kita ditimpa penyakit atau kegagalan... itu mungkin pada hakikatnya baik pada suatu waktu nanti. Betapa ramai, mereka yang sakit, tetapi akhirnya mendapat pengajaran yang besar di sebalik kesakitannya. Contohnya, apa yang berlaku kepada Cat Steven... yang sakitnya itulah yang menyebabkan beliau mendapat hidayah dan akhirnya memeluk Islam? Dan betapa ramai pula yang gagal pada mulanya tetapi dengan kegagalan itu bangkit jiwa juang yang lebih kental yang akhirnya membuah kejayaan? Hingga dengan itu masyhurlah kata-kata bahawa kegagalan itu hakikatnya adalah kejayaan yang ditangguhkan!
Para ahli hikmah (bijaksana) merumuskan bahawa, antara hikmah ujian ialah, hati akan lebih tumpuan kepada Allah. Dengan ujian, seseorang akan dapat menambah tumpuan dan penghadapannya kepada Allah. Sebab bala dan ujian bertentangan dengan kehendak, keinginan dan syahwat manusia, seperti sakit, rugi, miskin dan lain-lain.
Dengan ini nafsu akan terdesak, tidak senang dan ingin lepas daripada ujian. Bila nafsu terdesak, ia akan terdidik secara langsung. Ia akan tertekan dan menjadi jinak. Hakikat ini akan membuka pintu rahmat Allah kerana nafsu yang liar sangat mengajak kepada kejahatan. Bila nafsu hilang kekuatannya maka manusia tidak akan jatuh ke lembah dosa dan  maksiat dengan mudah.
Hati tidak dapat tidak mesti bersabar. Hati akan terdidik untuk redha dan tawakal, kerana yakin Qada dan Qadar Allah pasti berlaku. Kerana manusia harus terima, tidak boleh menolak ujian itu. Hamba yang soleh menanggung Qadar dengan sabar (bahkan) gembira dengan pilihan Allah. (Ujian adalah pilihan Allah bukan pilihan manusia). Tidak ada pilihan Allah yang tidak baik. Semuanya baik belaka.
Hakikat ini akan menyebabkan kita akan lebih mendekat kepada agama. Hikmah ini walaupun sebesar atom tetapi bila melekat di hati kebaikannya lebih tinggi dari amal lahiriah walaupun sebesar gunung. Justeru, bila hati baik semua anggota badan menjadi baik. Inilah yang ditegaskan oleh Allah menerusi firman-Nya:
"...Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan sesuatu itu merosakkan kamu. Dan Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak tahu." (Surah Al-Baqarah : 216)
Nikmat Allah
Sesungguhnya, dalam ujian Allah terselit nikmat-Nya. Mungkin kita tertanya-tanya apakah nikmatnya bila sakit, miskin, gagal, dihina dan sebagainya?
Hendaklah kita faham bahawa nikmat di sisi Allah itu terbahagi dua. Pertama, nikmat lahir. Dan kedua, nikmat batin (rohaniah). Nikmat lahiriah ialah sihat, selamat dan kebaikan fizikal yang lain. Manakala nikmat batiniah ialah nilai-nilai keimanan, keyakinan dan kesabaran. Dengan ujian kesusahan misalnya, barulah terbina sifat sabar. Dan sabar itu adalah separuh daripada keimanan.
Ujian juga akan menghapuskan dosa dan kesalahan seseorang terhadap Allah. Nabi Isa pernah berkata, "belum dikatakan seorang itu kenal Allah, sebelum dia bergembira dengan musibah dan penyakit ke atas dirinya, kerana berharap supaya dihapuskan kesalahannya."
Bila kita benci dengan ujian, ertinya kita belum kenal Allah dan (kerana) tidak faham itulah cara (kaedah) Allah mengampunkan dosa kita. Bila kita gembira (terima dengan baik) ujian itu, kerana yakin bahawa yang datangkan ujian itu juga adalah Allah.
Jadi, apabila kita ditimpa ujian maka berusaha dan berikhtiarlah untuk menangani ujian itu tetapi jangan sesekali lupa mencungkil hikmahnya. Oleh yang demikian, apabila diuji, terimalah dengan baik dengan mencari hikmah-hikmahnya kerana tidak ada takdir Allah yang tidak ada hikmahnya. Ingatlah, bahawa orang soleh itu bila diuji, hikmah-hikmah ujian akan mendekatkan mereka kepada Allah.
Jangan sesekali kita menjadi orang yang rugi yakni mereka yang buta daripada melihat hikmah justeru akal dan hati hanya melihat sesuatu yang selari dengan hawa nafsunya sahaja. Ingatan para hamba yang soleh kepada Allah akan bertambah dengan ujian-ujian-Nya. Mereka merasakan ujian itu satu petanda yang Allah telah memilih mereka. Mereka sentiasa berbaik sangka dengan Allah dengan cara menyedari (mencari) bahawa setiap yang berlaku samada pahit atau manis pasti ada hikmahnya. Mereka tidak melihat hanya 'asbab' (sebab-sebab) tetapi matahati mereka dapat menjangkau 'musabbabil asbab' (penyebab – Tuhan).
Hati mereka berkata:
"Inilah hakikat hidup yang dipilih Allah untukku. Aku akan terus berbaik sangka kepada Allah... DIA akan mengubat, melapang dan memberi kemenangan di sebalik ujian ini. Ya, aku tidak tahu, kerana ilmuku terbatas. Tetapi kerana Allah yang Maha Penyayang telah memilih ujian ini untuk diriku maka aku yakin ilmu-Nya Maha luas. Yang pahit ini akan menjadi ubat. Yang pedih ini akan menjadi penawar. Ya, Allah tingkatkanlah imanku bagi mendepani setiap ujian dari-Mu!"
-Ustaz Pahrol Mohd Juoi

Taqdir vs duit rm300


"Kalau benar Allah tu kejam, kau dah pun hangus disambar petir waktu kau lalai tunaikan kewajipan kau sebagai hamba Allah. Contohnya waktu kau tidak mengerjakan solat'
Itu kata seorang temanku sewaktu aku menanyakan soal Neraka dan Syurga. Sewaktu aku menanyakan di manakah tempatnya arwah Iyai, Atu dan Paksu sekarang ini.
Iyai, Atu dan Paksu sudah lebih setahun meninggalkan kami. Dalam payah menerima kenyataan itu, aku pujuk hati aku. Dunia ini hanya sementara dan akhirat juga yang abadi.
Berfikir lagi......
'Perpisahan' itu sebahagian daripada rencana dunia. Iyai, Atu dan Paksu hanya permulaan untuk sengsara ku menghadapi 'perpisahan' dengan orang yang amat aku sayangi.
Sedangkan, di dunia ini masih bernafas mereka yang sangat-sangat aku sayangi dan entah bila 'perpisahan' lain akan terjadi. Maka aku simpan angan-angan untuk bertemu mereka akhirat nanti.
Namun, apakah aku akan bertemu dengan mereka? Sedang aku sendiri tidak pasti di manakah tempat untuk aku di akhirat sana.
Lebih setahun aku cuba merungkai persoalan-persoalan yang sering timbul dalam otak. Akhirnya aku menemui sesuatu yang aku terlalu jahil selama ini.
Yang pertama aku ucapkan, Alhamdullilah... Terima kasih ya Allah atas cinta ini. Dan Subhanallah.... Begitu agungnya cinta Allah.... Akhir sekali, Astagfirullah.... Ampunkan aku wahai Tuhan atas kekhilafanku mempersoalkan bukti cinta-Mu...
Saat menghadapi musibah, aku dipujuk dengan ungkapan, 'itu takdir Allah, kita harus terima'. Dalam rasa sakit hati, kecewa dan sedih mengharunginya aku tidak mampu berfikir secara positif.
Malah, aku mempersoalkan apa itu takdir? Kenapa takdirku begitu? Syukur, kalau bukan kerana soalanku itu, aku mungkin tidak akan memperolehi jawapannya. Mungkin itu sebahagian daripada hikmah Allah atas kurnia musibah kepada ku.
Hidup kita sudah ditentukan sejak azali lagi. Sudah tertulis dalam takdir jalan yang akan kita lalui sepanjang hidup. Maka kenapa Tuhan perlu menghukum kita atas jalan cerita yang ditulis-Nya?
Selalu kita hanya menurut kata takdir. Kita semat dalam minda, hidup kita sudah ditentukan Allah. Kita tidak mampu mengubahnya kerana kita tidak berkuasa. Benar, yang berkuasa hanya Allah.
Hanya Allah yang mampu mengubah segalanya. Kerana itu kita perlu berdoa. Berdoa kepada Allah untuk menjadikan kita lebih baik. Dengan doa, banyak perkara yang boleh berubah. Itulah kelebihan DOA.
Dan aku bertanya lagi... Dengan doa kita boleh mengubah takdir kita?
(aku rasa semakin malu dengan kejahilanku. Tapi malu itu aku tolak ke tepi demi ilmu)
Ya... Ada takdir yang boleh berubah. Takdir tidak semestinya bermaksud kata muktamad untuk hidup kita.
Takdir ada dua, takdir mubram dan takdir mu'allaq.
Takdir mubram ialah qadha dan qadar yang tidak dapat dielakkan. Ia pasti terjadi pada diri manusia sedangkan manusia tidak mempunyai kesempatan atau tidak ada ikhtiar untuk memilihnya. Contohnya seperti hari kiamat dan apabila seseorang meninggal dunia.
Sebagaimana firman ALLAH S.W.T :  
'Tiap-tiap umat mempunyai batas waktu, maka apabila datang waktunya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak dapat pula memajukannya' [Al-Araf:34]
Takdir mubram ini terdapat pada sunatullah yang ada di alam raya ini. Oleh kerana itu, sunnatullah tersebut juga terbahagi dua iaitu hukum-hukum kemasyarakatan dan hukum alam. Dalam al-Quran surat al- Fushilat ayat 11 dinyatakan bahawa sekali-kali tidak akan pernah terjadi perubahan pada sunnatullah.
Takdir mu'allaq pula ialah qadha dan qadar yang bergantung pada ikhtiar dan usaha seseorang mengikut kemampuan yang ada pada manusia. Dalam menghadapi takdir ini manusia berdoa, wajib berikhtiar atau berusaha ikut kemampuan demi mengubah keadaan menjadi lebih baik buat dirinya. Tentu sahaja soal berhasil atau tidak usahanya bergantung kepada ALLAH S.W.T.
Aku semakin tertarik tentang takdir mu'allaq, takdir yang boleh diubah dengan doa.
(temanku tersenyum.  mungkin dia kasihan melihat aku yang sangat teruja.)
Aku mengalihkan pandangan ke depan. Membiarkan telingaku ke arahnya. Biar aku dapat mendengar dengan lebih jelas. (sebenarnya untuk mengelak dia melihat mukaku yang sedang menahan malu dek kejahilanku)
Jangan salah faham dengan takdir mu'allaq itu. Doa saja tidak akan mendatangkan kesan. Pernah dengar makna DUIT? (selamba jer aku jawab, duit itu wang. Benda untuk kita beli sesuatu.) DUIT punya makna yang lebih dalam.
'D' = DOA        'U' = USAHA     'I' = IKHTIAR     'T' = TAWAKAL
Selain berdoa, kita perlu berusaha dan mencari ikhtiar. ALLAH S.W.T menjelaskan dalam firman-NYA :
'Sesungguhnya ALLAH tidak akan mengubah keadaan (nasib) sesuatu bangsa sehingga bangsa itu mahu mengubah keadaan (nasib) mereka sendiri.' [Ar-Rad : 11]
Dalam konteks usaha dan ikhtiar, sebagai hamba kita perlu menggunakan akal yang dikurniakan khusus untuk kita sebagai manusia.
Sebagai contoh, apabila kita lapar perlukah kita menunggu orang lain untuk menyuapkan kita makanan yang ada di depan mata kita sedangkan kita sendiri punya tangan.
Demikian juga Tuhan. Allah telah menganugerahkan kita segala kudrat. Dengan kudrat serta akal, Allah menyuruh kita berusaha mendapatkan apa yang kita minta (melalui doa) kerana Allah telah pun memberikan permintaan kita itu (Insya-Allah).
Namun, tidak semua yang kita doakan itu akan Allah berikan. Di sinilah tawakal berperanan.
Tawakal bermaksud menerima dengan redha segala yang telah Allah kurniakan. Tawakal juga menyakini hikmah di sebalik semua yang terjadi. Ada sebab kenapa Allah tidak memakbulkan doa kita.
Sebab yang tentunya untuk kebaikan kita. Dengan tawakal juga, kita tidak akan merasa terlalu kecewa apabila Allah tidak mengabulkan doa kita kerana kita telah yakin akan hikmah di sebalik semuanya.
Apa kaitannya DUIT dengan takdir mu'allaq?
(Pemikiranku yang hanya sejengkal tentang agama ini menerbitkan pertanyaan. Temanku tidak terus menjawab, sebaliknya menceritakan aku suatu kisah sebagai contoh).
Ada seorang gadis menjumpai duit sebanyak 300 ringgit. Semasa dia menjumpai duit itu, tidak ada sesiapa bersamanya. Sudah pasti, seandainya dia mengambil duit itu tidak ada sesiapa pun tahu.
Dia mula berfikir, sama ada mangambil duit itu ataupun membiarkan sahaja. Di sini gadis itu mempunyai banyak pilihan. Melalui pilihan yang dia pilih itulah yang akan menentukan takdirnya.
Satu perkara yang perlu diketahui, takdir mu'allaqq lebih dahulu ditulis sebelum takdir mubram. seandainya gadis itu memilih untuk mengambil duit itu, maka takdir mubram akan tertulis gadis itu sebagai pencuri.
Takdir mubram tidak dapat diubah lagi kerana gadis itu telah mengambil duit yang bukan miliknya. Maka, atas kesalahan mencuri itulah gadis itu akan dihukum.
Tetapi, atas dasar cinta dan kasih Allah, gadis itu tidak terus dihukum malah diberikan kesempatan untuk menginsafi perbuatannya.
Di sini doa juga memainkan peranan. Dalam kekeliruan, gadis itu berdoa. Memohon kepada Allah untuk ditunjukkan kepadanya hidayah.
Dengan izin Allah, gadis itu mendapat ilham untuk mengembalikan duit 300 ringgit itu ke balai polis.
Oh... begitu rupanya. Hari ini baru aku tahu takdir itu ada juga yang boleh diubah dengan 'DUIT'?
Menyedari hakikat itu, kini semuanya terletak di tangan kita. Memang Allah telah menulis takdir kita, namun kita juga boleh meminta untuk menjadi yang lain. Kita masih diberikan peluang untuk menjadi yang baik. Selagi kita bernafas, selagi kita diberikan hidup, selagi itulah peluang ada untuk kita.
Lihatlah sahabat, betapa Tuhan juga punya toleransi. Sebesar mana dosa yang kita lakukan, selagi kita hidup selagi itulah pintu keampunan Allah terbuka luas untuk kita. Kita hanya perlu tepuk dada dan tanya hati kita.
Namun yang sedihnya, apabila ada antara kita yang merasa layak untuk menghukum. Dan sebilangan besar dari kita sukar untuk memaafkan.
Terlalu sukar untuk memberikan peluang kepada insan lain untuk berubah. Apakah kita sudah merasa setaraf dengan Tuhan untuk menghukum orang lain tanpa memberikan peluang?
Ya Allah, betapa singkatnya pemikiranku selama ini. Aku mencari-cari bukti cinta-Mu dari semua musibah yang menimpahku. Tetapi sukar untuk aku mendapatkannya kerana kejahilanku tentang sifat-Mu.
Terima kasih ya Allah atas kekeliruan ini kerana jika tidak kerana kekeliruan ini, tidak akan terlintas di benakku untuk mengenali-Mu dengan lebih dalam.
Semakin aku mengenali-Mu aku semakin yakin dengan kasih-MU.

hayat matahari

Matahari adalah sebuah bintang. Kejadiannya bermula lebih kurang 8-10bilion tahun selepas berlaku Big Bang, iaitu lebih kurang 5 bilion tahun dahulu. Proses nuklear yang berlaku dalam matahari melahirkan cahaya matahari (sunlight). Cahaya ini diibaratkan seperti nadi kehidupan bagi bumi kerana hampir semua jenis kehidupan di bumi ini memerlukannya dan memanfaatkannya melalui proses fotosintesis.

Walaubagaimanapun matahari mempunyai jangka hayatnya. Seorang fisikawan Jerman, Hermann von Helmholtz, pada tahun 1825 mengamati perkembangan matahari yang ternyata diameter matahari setiap tahunnya menyusut 85 m. Kalau pengamatan Helmholtz benar, maka berdasarkan perhitungan penyusutan diameter matahari, umur matahari hanya akan bertahan untuk waktu 20.000.000 sampai dengan 25.000.000 tahun sejak matahari mengalami penyusutan.

Untuk kurun waktu itu, teori Helmholtz ini cukup memuaskan para ilmuwan, sebelum akhirnya digugurkan oleh teori reaksi thermonuklir yang masih bertahan sampai saat ini.Sesetengah saintis meletakkan hayat matahari sebagai 10 bilion tahun. Selepas itu ia akan terkubur. Allah menjelaskan dalam surah at-Taqwir ayat 1,

Maksudnya: "Dan matahari semasa ia digulungkan."


Perkataan penting di sini ialah perkataan 'kuwwirat'. Sahabat Abdulullah bin Abbas mentafsirkannya sebagai 'zahabat' yang bermaksud 'pergi ' atau 'menghilang' manakala Imam Nasafi mentafsirkannya sebagai 'hilang cahayanya'. Ia menjelaskan apabila berlaku hari kiamat alam ini seolah-olah digulung. Ia juga menjelaskan matahari semasa berada di penghujung hayatnya akan kehilanagn cahayanya.


BADAI MATAHARI

Sebenarnya kesatabilan matahari, seperti bintang-bintang yang lain, bergantung kepada tenaga yang mampu dihasilkan olehnya. Tenaga ini terhasil melalui proses nuklear yang melibatkan hidrogen bertukar menjadi helium di bahagian dalam matahari (core).

Selepas berbilion tahun berlalu, proses ini akhirnya terhenti disebabkan matahari kehabisan hidrogen dan dengan itu ia menjadi tidak stabil. Keadaan ini menyebabkan bahagian (core) menguncup ( contracts) dengan menghasilkan suhu yang tinggi.

Selepas masa berlalu, suhu di bahagian luar matahari menurun dan dengan itu pudarlah cahayanya. Keadaan ini selari dengan tafsiran Imam Nasafi berhubung perkataan kuwwirat dalam ayat Quran yang disebutkan. Akhirnya bahagian luar matahari ini bertukar menjadi gumpalan gas yang berbentuk asap dan terus terpisah daripada bahagian dalamnya.

Maka lahirlah planetary nebula. Dengan itu, tamatlah riwayat hidup matahari