Sabtu, 28 Mei 2011

Harun Din

Lelaki India berbadan tegap itu menghempaskan dirinya ke atas sofa di ruang tamu rumahnya di Petaling Jaya. Hari ini, dia rasa terlalu letih. Pelanggan yang datang ke bank tempatnya bekerja hari ini, luar biasa ramainya. Dia cuma sempat berhenti rehat sewaktu makan tengah hari sahaja. Selepas itu, dia kembali sibuk melayan pelanggan sehinggalah habis waktu pejabat.


Lelaki itu menghidupkan TV dan kebetulan ketika itu, rancangan Forum Perdana Ehwal Islamsedang berlangsung. Salah seorang ahli panelnya ialah ulama terkenal, Dato' Dr. Haron Din.

Biarpun dia bukan seorang Muslim, rancangan Forum Perdana Ehwal Islam bukanlah asing baginya. Selalu juga dia menonton rancangan tersebut. Malah, dia juga tahu sedikit sebanyak tentang ajaran Islam melalui rancangan tersebut. Lagipun, dia suka melihat kepetahan ahli panel itu memberi ceramah dalam bahasa Melayu, secara tidak langsung, dia boleh belajar bertutur dalam bahasa Melayu dengan lebih baik.

Sedang asyik mengikuti perbincang-an itu, tiba-tiba, lelaki tersebut tersentak apabila mendengar Haron Din mengatakan: "Bandingan segala kebaikan amal dan usaha orang-orang yang kufur ingkar terhadap Tuhannya ialah seperti abu yang diterbangkan angin pada hari ribut yang kencang, mereka tidak memperoleh sesuatu faedah pun daripada apa yang mereka telah usahakan itu. Amalan itu menjadi sia-sia akibat mereka sebenarnya berada dalam kesesatan yang jauh daripada kebenaran."

Mendengar kata-kata Haron Din, darah lelaki India itu menyirap. Perasaan marah menyelinap masuk ke dalam hatinya. Mana boleh! Itu tidak adil! Takkan Tuhan hanya menerima kebaikan orang Islam sahaja? Bagaimana dengan kebaikan yang dilakukan oleh orang bukan Islam?

Bahkan, sepanjang hidupnya, dia melihat banyak kebaikan yang dilakukan oleh orang bukan Islam, dan ada kalanya, melebihi daripada Kebaikan yang pernah dilakukan oleh orang Islam itu sendiri. Apakah segala kebaikan itu tidak diterima? Dia mula menganggap, ajaran Islam mengamalkan sikap kasta. Jika begitu ajaran Islam, bermakna ia double standard.

Rasa tidak puas hati terus menyelubungi fikiran lelaki tersebut. Lelaki India itu tekad untuk berjumpa dengan Haron Din. Dia ingin berdebat dengan ulama tersebut. Pada fikirannya, mana boleh seorang ulama mengeluarkan kenyataan yang tidak adil seperti itu, dan boleh menyentuh perasaan orang bukan Islam di negara ini seperti dirinya. Apatah lagi ia dilakukan secara terbuka di kaca TV.

Lelaki itu tahu, Haron Din bukanlah calang-calang orang, tetapi dia tidak peduli. Dia tetap mahu berjumpa dengan ulama tersebut dan mesti mencari jalan bagaimana untuk bertemu dengannya. Setelah beberapa bulan memendam niat untuk bertemu Haron Din akhirnya hasrat itu tercapai. Melalui seorang pelanggan yang dikenali ketika berurusan di bank tempatnya bekerja, lelaki itu dibawa bertemu dengan Haron Din di sebuah rumah seorang ahli perniagaan di Petaling Jaya. Haron Din mengadakan usrah di rumah ahli perniagaan tersebut pada hari Khamis malam Jumaat, seminggu sekali.

Ketika sampai di rumah ahli perniagaan tersebut, kuliah baru saja bermula. Di hadapan lebih 20 orang jemaah, kelihatan
Haron Din duduk bersila sambil memegang sebuah kitab. Kebetulan pada malam itu, Haron Din mengajar tentang bab syirik. Bila ternampak muka Haron Din, hatinya menjadi panas.

Lelaki itu membulatkan tekad, selepas tamat kuliah, dia mahu berjumpa dengan Haron Din. Dia mahu mengajak Haron Din berdebat. Lelaki itu memang betul-betul tidak berpuas hati dengan kenyataan Haron Din di dalam Forum Perdana. Ia masih terngiang-ngiang di telinganya biarpun sudah beberapa bulan berlalu.

Namun, tidak disangka-sangka, segala yang dirancangnya tidak menjadi. Perasaan marah dan bengang yang bersarang dalam dirinya selama beberapa bulan itu mula surut apabila dia duduk mendengar kuliah yang disampaikan oleh ulama tersebut.

Setelah tamat kuliah yang diberikan Haron Din, lebih kurang dua jam selepas itu, semangatnya yang tadi berkobar-kobar mahu berdebat dengan ulama tersebut, kian kendur. Rupa-rupanya, dalam diam, dia mengakui, cara penyampaian, serta kupasan Haron Din yang begitu terperinci dalam bab-bab syirik, membuatkan dia rasa amat terpegun.

Sebelum ini, lelaki India itu tidak pernah mendengar penjelasan mengenai Islam dan ketuhanan seperti yang didengarnya pada malam itu. Biarpun hati lelaki berkenaan sudah mula mahu akur pada kebenaran Islam, namun egonya masih menebal. Lelaki ini memperingatkan dirinya, kedatangannya pada malam itu bukan untuk terpengaruh dengan kata-kata Haron Din, tetapi untuk mengajak ulama itu berdebat dengannya.

Akhirnya dia memutuskan untuk menangguhkan hasrat berdebat dengan Haron Din. Bukan tidak berani, tetapi sebenarnya pada malam itu segala persepsi buruknya terhadap Haron Din dan Islam telah mula berubah.

Pun demikian, lelaki itu tidak mahu mengalah dengan perasaannya. Ego yang ada dalam dirinya mengaburi kewarasan akalnya. Misinya berjumpa dengan Haron Din ialah untuk menyatakan apa yang dikatakan oleh ulama tersebut dalam Forum Perdana adalah tidak adil. Tidak lebih daripada itu.

Dan yang paling penting, tujuan dia bertemu ulama tersebut bukanlah untuk mengakui kebenaran Islam. Lelaki itu membuat perancangan sendiri. Dia akan terus mengikuti kuliah Haron Din di situ, agar dia lebih faham tentang Islam dan senang nanti untuk dia berhujah dengan ulama tersebut kelak.

Selepas itu, pada setiap malam Jumaat, lelaki berkenaan menghadiri kuliah Haron Din. Kali ini dia pergi seorang diri. Tetapi 'masalahnya' semakin lama mengikuti usrah Haron Din, semakin jelas dilihatnya kebenaran Islam. Lama-kelamaan, tujuan asal lelaki ini untuk berdebat dengan Haron Din dan mengatakan bahawa Islam agama yang double standard, bertukar menjadi sebaliknya. Setiap kali dia mengikuti usrah Haron Din, semakin hampir hatinya pada Islam. Islam itu dilihatnya tulus, lurus tanpa simpang-siur.

Niat asalnya untuk berdebat dengan Haron Din akhirnya terpadam begitu sahaja. Sebaliknya, hatinya menjadi semakin lembut dan lelaki India itu bertambah berminat untuk mengetahui tentang ajaran Islam dengan lebih mendalam.

Suatu hari ketika mengikuti usrah Haron Din di rumah ahli perniagaan tersebut, lelaki India itu mengambil peluang bertanyakan bermacam-macam soalan tentang Islam. Dia bertanya, mengapa perlu meninggalkan agamanya dan memeluk Islam? Bukankah semua agama itu sama. Bukankah Islam itu juga sama seperti agama lain, menyuruh membuat kebalkan dan meninggalkan kejahatan?

Dan yang paling penting, dia mahu tahu, kenapa Haron Din mengatakan hanya amalan orang Islam sahaja yang diterima Allah, dan amalan orang bukan Islam tidak diterima-Nya seperti yang disebut di dalam Forum Perdana Ehwal Islam tidak berapa lama dulu.

Haron Din tersenyum dan secara berkias beliau menjawab; " Untuk memudahkan saudara memahaminya, biar saya berikan contoh begini: kita adalah seorang hamba dan tuan kita memberikan kita sebidang tanah, cangkul, benih, baja dan segala kelengkapan yang lain untuk kita mengusahakan tanah tersebut.

"Tuan kita suruh kita usahakan tanah itu tetapi kita tidak berbuat seperti mana yang disuruh, sebaliknya kita mengusahakan tanah orang lain. Kemudian bila tiba di hujung bulan, kita datang kepada tuan kita untuk meminta upah. Saudara rasa, adakah tuan kita akan bagi upah sedangkan kita tidak lakukan apa yang disuruh, sebaliknya kita melakukan kerja untuk orang lain?

"Begitu jugalah simboliknya di dalam Islam. Jika kita melakukan kebajikan dan kebaikan, bukan kerana Allah, tetapi kerana sesuatu yang lain, contohnya kerana manusia, pangkat atau harta, apakah di akhirat nanti, Allah akan memberi balasan di atas amal perbuatan kita sedangkan semua amalan yang kita lakukan bukan untuk Dia?"

Ternyata segala jawapan dan hujah yang diberikan oleh Haron Din atas pertanyaannya itu, membuatkan dia mati akal. Begitu juga dengan setiap hujah dan persoalan yang cuba ditimbulkan lelaki itu dengan mudah dipatahkan oleh Haron Din dengan cara yang lembut dan bijaksana, tanpa sedikit pun menyinggung perasaannya sebagai orang bukan Islam.


Setelah empat minggu berturut-turut mengikuti kuliah yang diberikan oleh Haron Din, ego yang ada di dalam dirinya hancur dengan kebenaran Islam. Akhirnya hati lelaki itu terbuka untuk memeluk Islam. Enam bulan selepas itu, secara rasmi lelaki India tersebut memeluk Islam.

Dalam satu pertemuan empat mata dengan Haron Din setelah lelaki itu memeluk Islam, dia sempat bertanya mengapakah ulama tersebut mengeluarkan kenyataan seperti itu di kaca TV, sedangkan kenyataan itu boleh mengundang rasa tidak puas hati di kalangan bukan Islam, seperti apa yang dirasakannya.

Haron Din menjelaskan kepada lelaki India tersebut: "Memang kenyataan itu saya tujukan khusus untuk orang bukan Islam. Saya mahu orang bukan Islam berfikir tentang kehidupan, asal usul manusia dan kebenaran agama. Saya mendapat maklum balas, ramai di kalangan bukan Islam yang menonton rancangan itu. Jadi, sengaja saya bacakan ayat al-Quran itu agar mereka berfikir."

Mohammad Fitri Abdullah (foto sebelah)

"Dan saya adalah di antara mereka yang terkena provokasi Haron Din itu. Biarpun pada peringkat awalnya saya bertemu beliau atas sebab tidak puas hati dengan kenyataannya, namun akhirnya, saya bersyukur, kerana ia menjadi penyebab yang membuatkan saya akhirnya menerima cahaya kebenaran Islam," jelas Mohammad Fitri Abdullah, 43, lelaki India yang dimaksudkan dalam cerita di atas.

Ketika Mastika menemuinya di pejabat Perkim bahagian Shah Alam di Masjid Negeri Shah Alam, Fitri berulang kali menyatakan betapa syukurnya dia mendapat hidayah biarpun pada mulanya dia langsung tidak terfikir untuk memeluk Islam.

"Seperti yang saya katakan, pada awalnya niat saya adalah untuk berdebat dengan Haron Din akibat rasa tidak puas hati terhadap kenyataannya itu. Tetapi, apabila saya mendengar penjelasan beliau, ego saya jatuh dan dalam diam-diam saya mengakui, saya bukanlah orang yang layak untuk berdebat dengan beliau," jelasnya.

Sebenarnya sebelum memeluk Islam, Fitri memang seorang yang taat terhadap agamanya. Dia bukan sekadar seorang pengikut yang taat, tetapi juga bergerak aktif dalam beberapa persatuan yang berteraskan agama yang dianutinya. Selain itu, dia turut mengajar di beberapa rumah ibadat di sekitar ibu kota. Biarpun kuat terhadap agamanya, namun jauh disudut hati, lelaki itu sering merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan agama yang dianutinya.

"Sebenarnya, agama tersebut juga mengajar pengikutnya untuk menyembah Tuhan yang satu. Di dalam kitab-kitab lama, itulah ajarannya. Tapi masalahnya, apa yang dilakukan oleh penganut agama tersebut berlainan daripada apa yang diajar di dalam kitab.

"Mereka tidak menyembah Tuhan yang satu, sebaliknya menyembah bermacam-macam Tuhan, selain dari Tuhan yang satu," tegas lelaki yang berasal dan Banting, Selangor ini. Lantaran itulah kata Fitri, hatinya sering berasa ragu dengan agama sendiri. Perasaan ini bukannya baru, malah timbul sejak dia berusia belasan tahun lagi. Dia melihat apa yang diajar di dalam kitab, dengan apa yang dipraktikkan oleh penganut agama lamanya, termasuk dirinya sendiri, ternyata bercanggah sama sekali.

"Tetapi apabila saya mendengar kuliah Haron Din, diam-diam saya mula sedar, saya memang berada dalam kesesatan yang nyata. Pertama kali mendengar ceramah beliau, sudah cukup untuk memberi kesedaran pada diri saya sekali gus berjaya mengubah pandangan saya terhadap Islam selama ini. Mungkin itulah kelebihan yang Allah berikan pada Haron Din," kata Fitri lagi.

Kejadian itu sebenarnya telah pun berlalu hampir 15 tahun, namun cahaya iman yang menyerap ke dalam hatinya masih lagi sesegar dulu. Malah, dari hari ke hari semakin kukuh bertapak di dalam dirinya.

Jika dahulu Fitri seorang mubaligh yang aktif menyebarkan agama lamanya, kini Fitri masih tetap begitu. "Cuma bezanya, hari ini saya bergerak di atas landasan agama yang benar iaitu Islam. Saya cukup sedih bila mendengar ada saudara seagama saya, terutamanya di kalangan orang Melayu yang sanggup keluar dari Islam. Murtad.

"Hari ini, menjadi tanggungjawab saya untuk membantu mereka, memulihkan iman mereka, dengan pelbagai usaha dan cara, termasuk berkongsi pengalaman yang saya lalui sebelum ini.

"Ini adalah tuntutan wajib buat diri saya. Dengan kelebihan yang Allah anugerahkan kepada saya, saya perlu laksanakan amanah ini biarpun berat, sebagai usaha saya membantu menyemarakkan agama Allah di muka bumi yang bertuah ini," ujarnya bersungguh-sungguh mengakhiri pertemuan kami pada petang itu.

Ustaz Harun Din adalah ulama yang amat disegani dan saya sungguh sedih melihat ulama seperti beliau seolah-olah tiada tempat dalam masyarakat kita. Sungguh sukar untuk kita lihat wajah beliau di kaca televisyen sedangkan ilmu yang beliau miliki amat penting untuk kita sama-sama kongsi, pelajari dan amalkan. Rancangan Forum Perdana kini gagal menarik minat penonton Islam termasuk bukan Islam kerana kita kehilanagan ulama-ulama seperti Ishak Baharom, Badrul Amin, Harun Din, dan ramai lagi. Kenapa mereka ini di gam? Disekat terus menerus? Mengapa? 

Subuh berjemaah..>!!

Sesungguhnya segala puji-pujian hanya layak bagi Allah Azza Wajalla, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW.

 Antara suasana yang membimbangkan berlaku kepada kebanyakan umat Islam pada hari ini ialah gejala meninggalkan solat Subuh dan meninggalkan solat Subuh berjamaah di Masjid. Meskipun diketahui bahawa mengerjakan solat Subuh khususnya di Masjid secara berjamaah mempunyai kelebihan yang besar di sisi Islam dalam menjana kekuatan Iman namun kini ramai yang mengabaikannya. Malah di kalangan mereka yang mendokong perjuangan Islampun ramai yang kalah untuk bangun awal mengerjakan solat Subuh di Masjid.

Keadaan ini adalah berpunca dari sikap suka berjaga lewat malam samada kerana melakukan aktiviti seperti menonton televisyen, bersukan, makan-makan dan berbual kosong dalam perkara yang tiada manfaat. Inilah yang selalunya menyebabkan umat Islam berjaga hingga lewat malam hingga menyebabkan mereka terlepas keberkatan yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW di awal pagi. 

Jika kita lihat generasi umat Islam lampau mereka sangat mengambil berat soal tidur awal agar mereka dapat bangun lebih awal untuk melaksanakan ibadah dan seterusnya bekerja di awal pagi dengan perasaan yang segar dan sihat. Oleh kerana itulah kehidupan generasi lampau di kalangan datuk, nenek dan moyang kita sentiasa sihat dan bertenaga di siang hari. Jarang sekali kita dengar mereka ditimpa penyakit atau tekanan perasaan seperti yang berlaku pada ramai orang pada hari ini. Oleh kerana itulah Nabi SAW bersabda:

اللَّهُمَّ بَارِكْ لِأُمَّتِي فِي بُكُورِهَا
Ertinya: “Ya Allah! Berkatilah ummat ku diwaktu paginya”. Hadis riwayat Ahmad
Bagi membantu sahabat-sahabat untuk bangun awal diwaktu pagi supaya dapat bertahajjud, solat sunat dua rakaat sebelum subuh dan solat subuh berjamaah di Masjid, di sini dinukilkan beberapa kaedah yang sedikit-sebanyak 
dapat membantu.

Kaedah membantu diri untuk mudah bangun pagi ialah:
1) Tidur awal:
Menjadi kebiasan mereka yang tidur awal akan bangun awal dan sebaliknya mereka yang tidur lewat akan bangun lewat. Oleh kerana itu adalah makruh hukumnya tidur sebelum solat Isyak dan berbual-bual kosong dan membuang masa selepasnya hingga menyebabkan tidur lewat. Namun begitu ada keadaan yang dikecualikan untuk tidur lewat sepertimana yang disebutkan oleh Imam Al-Nawawi dalam huraiannya kepada Sahih Muslim. 

Katanya: Sebab dimakruhkan berbual-bual selepas solat Isyak ialah yang membawa kepada berjaga malam dan dibimbangi akan menyebabkan tertidur nyenyak hingga tertinggal qiamullail atau terlepas solat Subuh pada waktunya atau waktu yang afdhalnya dan adalah makruh berbual-bual selepas solat Isyak iaitu dalam perkara-perkara yang tiada kemaslahatan, adapun sekiranya pada perkara yang ada maslahat dan kebaikan maka tidaklah makruh, seperti mempelajari ilmu, membicarakan kisah orang-orang soleh, berbual dengan tetamu, berbual dengan dengan ahli keluarga bagi mengeratkan hubungan dan menunaikan keperluan mereka, 

berbual dengan orang musafir bagi menjaga harta dan diri mereka, berbual dalam urusan mendamaikan antara manusia dan membantu mereka dalam perkara kebaikan, menyeru kepada kebaiakan dan mencegah kemungkaran, menunjukkan kepada kemaslahatan dan yang seumpamanya, semua itu tidaklah termasuk dalam perkara makruh”.
Bagi seorang Muslim yang perihatin dia berjaga malam adalah kerana aktiviti perjuangan dan ibadah dan bukannya kerana perbuatan lagho, dan jika sekiranya dia lewat tidurpun dia tetap berusaha dan memastikan bangun awal untuk ke Masjid solat berjamaah subuh.

2) Memelihara adab tidur:
Kunci kedua untuk mudah bangun di waktu subuh ialah memelihara amalan sunnah ketika tidur di waktu malam. Iaitu dengan berwudhuk, ketika di atas pembaringan duduk sambil menghimpunkan kedua-dua belah telapak tangan dan meniupkan ke atasnya selepas membaca surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Naas kemudian di sapu keseluruh badan dan tidur dengan membaca doa sebelum tidur. Bagi mereka yang sukar bangun pagi, hendaklah memohon 
bantuan daripada ahli keluarga, kawan atau jiran bagi membantu menggerakkannya untuk bangun di awal pagi atau menyediakan jam loceng.

 Bagi mereka yang sudah terbiasa bangun awal di waktu subuh selalunya tidak menjadi masalah untuk bangun awal kerana secara fitrah dia akan bangun pada masanya dan tidak perlu kepada faktor luaran untuk menggerakkannya kerana seolah-olah ia sentias dibantu oleh para Malaikat untuk bangun awal.
Kemudian setelah terjaga hendaklah membaca doa dan janganlah sekali-kali meneruskan tidur kerana ia akan membawa kepada terjaga lewat.

3) Memenuhkan dada dengan Iman dan ‘amal soleh:
Keimanan yang kuat adalah merupakan pendorong utama bagi seseorang melakukan sesuatu yang sukar. Mengerjakan qiamullail dan solat Subuh di Masjid adalah suatu amalan yang sukar dan ia tidak dapat dilakukan kecuali oleh mereka yang benar-benar yakin kepada janji kebaikan daripada Allah Taala. Justeru bagi meningkatkan keimanan dalam dada, seseorang itu hendaklah menambahkan amalannya dengan banyak melakukan kebaikan, kerana dengannya hati seseorang itu akan menjadi suci dan bersih yang memudahkan untuk suburnya Iman. 

Sebaliknya hati yang kotor akan menjadi keras dan kekerasan hati adalah menjadi penghalang kepada seseorang itu untuk melakukan amal ibadah yang sukar seperti solat Subuh berjamaah di Masjid dan qiamullail. Hati boleh menjadi keras kerana dikotori oleh sifat-sifat mazmumah seperti hasad dengki, ujub dan riak atau disebabkan makan dari sumber yang tidak halal.

4) Menjauhi perbuatan maksiat:
Maksiat adalah penghalang bangun solat Subuh dan mengerjakannya di Masjid. Justeru hendaklah kita sentiasa menjauhi segala maksiat. Seperti yang berpunca daripada mata iaitu melihat perkara yang haram seperti melihat aurat wanita, samada melalui televisyen ataupun internet. Juga yang berpunca dari lidah iaitu perbuatan mengata orang, mengeji, mengumpat dan menabur fitnah. Juga yang berpunca dari telinga seperti mendengar hiburan-hiburan haram dan umpatan serta fitnah. 

Mereka yang melakukan maksiat selalunya sukar untuk bangun solat Subuh atau ke Masjid kerana ia melemahkan naluri beramal soleh dan menghakis keyakinan kepada janji-janji kebaikan daripada Allah Taala. Mata, lidah dan telinga sepatutnya digunakan bagi melihat, membaca dan mendengar perkara kebaikan seperti al-Quran, al-Hadis, ceramah dan lain-lain.

5) Mengetahui kelebihan solat Subuh dan fadhilat mengerjakannya di Masjid
Hendaklah mengetahui kelebihan dan keistimewaan amalan solat subuh dan mengerjakannya di Masjid kerana dengan mengetahuinya barulah seseorang itu terdorong untuk berlumba melakukannya. Saidina Uthman bin ‘Affan r.a meriwayatkan bahawa beliau telah mendengar Nabi SAW bersabda:
مَنْ صَلَّى الْعِشَاءَ فِي جَمَاعَةٍ فَكَأَنَّمَا قَامَ نِصْفَ اللَّيْلِ وَمَنْ صَلَّى الصُّبْحَ فِي جَمَاعَةٍ فَكَأَنَّمَا صَلَّى اللَّيْلَ كُلَّهُ
Ertinya: Barangsiapa yang solat Isyak secara berjamaah seumpama bangun mengerjakan qiam separuh malam dan barangsiapa mengerjakan solat Subuh secra berjamaah seumpama dia solat keseluruhan malam”. Hadis riwayat Imam Muslim.

Ibnu Mas ‘ud r.a meriwayatkan telah diceritakan kepada Rasulullah SAW berkenaan dengan seorang lelaki yang tidur di malam hari sehingga terlajak waktu Subuh, maka baginda SAW bersabda:
ذَاكَ رَجُلٌ بَالَ الشَّيْطَانُ فِي أُذُنِهِ أَوْ أُذُنَيْهِ
Ertinya: Lelaki tersebut telah dikencing oleh syaitan di telinganya (atau kedua telinga). Hadis riwayat Imam Al-Bukhari.

Menurut Imam Al-Qurtubi kencing syaitan adalah kencing yang hakiki dan bukan hanya simbolik. Sebab itu ada kalanya kita boleh kenal mereka yang tidak solat Subuh kerana wajahnya yang suram akibat dari kencing syaitan, berbeza dengan merek yang bangun solat Subuh di awal pagi.

Kebesaran dan keagungan solat Subuh berjamaah di Masjid hendaklah 
dimasukkan ke dalam hati kerana ia akan menangkis bisikan syaitan yang selalu membisikkan rasa ringan meninggalkannya. Bagi para ulama dan ustaz pula hendaklah menanamkan rasa malu dan bersalah yang amat sangat jika tidak hadir solat Subuh berjamaah kerana dia adalah contoh ikutan orang awam.

6) Mengetahui kesan meninggalkan solat subuh@solat berjamaah subuh.
Antara punca jiwa menjadi lemah dan hilangnya banyak daripada kelebihan agama dan dunia ialah bangun lewat dan meninggalkan fardhu subuh. Oleh kerana itulah syaitan sentiasa cuba menghalang orang yang beriman untuk mendapatkan kelebihan di waktu subuh dengan menghalangnya daripada bangun tidur. Nabi SAW bersabda: ((Syaitan mengikat/membelenggu tengkuk di kalangan kamu yang tidur dengan tiga ikatan. 

Dia memukul di atas ketiga-tiga ikatan (sambil berkata) : Malam masih panjang, teruskan tidur! Jika dia bangun lalu berzikir menyebut nama Allah Taala maka terungkailah satu iakatan, jika dia berwudhuk terungkailah ikatan berikutnya dan jika dia solat maka terungkailah semua ikatan. Maka pagi itu dia akan cergas dan baik jiwanya, jika tidak dia akan berpagi dalam keadaan jelek dan malas)). HR Al-Bukhari.

Waktu selepas solat Subuh adalah waktu yang penuh dengan kebaikan dan keberkatan, justeru Nabi SAW memelihara waktu tersebut iaitu memenuhkannya dengan zikir dan baginda selalunya selepas subuh terus duduk sambil berzikir sehinggalah terbit matahari, dan kemudian baginda solat 
dua rakaat Dhuha.
Amalan ini menjadi ikutan para ulama salafussoleh, antaranya ialah Imam Ibnu 

Taimiyyah yang turut melakukan amalan duduk berzikir selepas solat Subuh sehingga terbit matahari sepertimana yang dikhabarkan oleh muridnya Imam Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah.
Waktu selepas solat Subuh adalah saat banyaknya kebaikan dan keberkatan, kerana itulah Nabi SAW berdoa:
((اللَّهُمَّ بَارِكْ لِأُمَّتِيْ فِيْ بُكُوْرِهَا))

Maksudnya: Ya Allah berkatilah ummatku di waktu pagi! HR Al-Tirmizi.
Oleh sebab itu kita lihat mereka yang berjaya dalam urusan dunia mereka seperti berniaga, menternak atau bertani memulakan kerja mereka di awal pagi kerana rezki terbuka luas di waktu tersebut. Begitulah juga dalam urusan akhirat waktu pagi adalah saat yang paling baik menambahkan amal ibadah. Oleh itu mereka yang mengsia-siakan waktu tersebut dengan tidur atau berehat-rehat sahaja sebenarnya telah mendapat kerugian dalam hidup mereka.
Di samping kelebihan dalam kerja dan ibadah, mereka yang bangun awal juga

 mendapat kebaikan dari sudut kesihatan kerana udara yang dihirup di waktu subuh adalah udara yang segar dan akan hilang kesegarannya apabila terbitnya matahari. Kesegaran udara di waktu pagi ini akan mencerdaskan 

otak, mendamaikan jiwa dan mencergasan fizikal.
7) Menjauhi sifat-sifat munafiq.
Kehadiran diri ke Masjid di waktu subuh adalah merupakan bukti kekuatan iman seseorang Muslim dan bebasnya diri dari sifat minafiq kerana ia adalah waktu paling sukar untuk melaksanakan ketaatan. Rasulullah SAW bersabda:
((إِنَّ أَثْقَلَ الصَّلَاةَ عَلَى المـُـنَافِقِيْنَ صَلَاةُالعِشَاءِ وَالفَجْرِ، وَلَوْ يَعْلَمُوْنَ مَا فِيْهِمَا لَأَتَوهُمَا وَلَوْ حَبْوًا))
Maksudnya: (( Sesungguhnya solat yang paling berat bagi mereka yang munafik ialah solat Isyak dan solat Subuh, kalaulah mereka tahu kelebihan kedua-duanya nescaya mereka akan datang melaksanakannya meskipun dalam keadaan merangkak)) HR Al-Bukhari dan Muslim.

Abdullah bin Mas ‘ud r.a berkata: “Engkau telah melihat kami dan tidak meninggalkannya (solat Subuh) melainkan munafiq yang dimaklumi sifat nifaqnya”. Riwayat Muslim, Abu Daud, Al-Nasai dan Ibnu Majah.
Ibnu Umar r.a pula berkata: “Apabila kami dapati ada lelaki yang tidak hadir solat (di Masjid) pada waktu fajar (Subuh) dan Isyak kami akan berburuk sangka terhadapnya”. Riwayat Al-Bazzar, Al-Tobrani dan Ibnu Khuzaimah.
Oleh itu jika anda mahu mengukur secara zahir iman seseorang maka ia boleh diukur dengan keadaan solat Subuhnya. 

Jika dia seorang yang sangat memelihara solat Subuh dan melaksanakannya secara berjamaah di Masjid maka ia menjadi bukti kepada kekuatan imannya. Namun jika sebaliknya, dia sangat malas berjamaah di Masjid waktu subuh maka itu adalah petanda imannya yang bermasalah serta kekerasan hatinya. Ia juga menunjukkan ketundukannya kepada hawa nafsu dan kekalahannya kepada bisikan syaitan. Seseorang yang mampu bangun untuk pergi berjamaah di waktu Subuh adalah bukti kekuatan iman seseorang kerana dia telah menang dalam peperangan dengan hawa nafsu dan hasutan syaitan supaya terus tidur.

Bagi mereka yang terus tidur, apakah mereka berasa lebih seronok diulit mimpi di atas katil sedangkan ahli jamaah yang lain sedang beribadah dan mendengar bacaan Al-Quran di dalam solat di Masjid. Adalah menjadi satu kerugian yang besar bagi mereka yang tidak merasakan apa-apa kekurangan pada diri mereka sedangkan mereka terus jauh dari rahmat Allah Taala di waktu pagi.

aku kau & aku....

Mat, pakai jeans koyak. Punya telefon bimbit yang tak boleh 3G. Cukup sekadar hantar SMS, dan buat bergayut dengan awek sampai pukul dua tiga pagi. Mat jual burger. Burger Mat kadang-kadang laku. Tambah laku bila Manchester United sesah pasukan lawan di Old Trafford di paparan sebesar gajah restoran mamak yang memberi tumpang dia buka gerai burger. Mat tak belajar tinggi.


Waktu tingkatan empat, dia sudah ada lesen motor. Arwah bapa Mat suruh dia ambil lesen motor supaya senang dia pergi sekolah, dan sekali sekala tolong ibunya ke kedai, beli perkakas dapur. Gula, garam, telur, bawang. Mat guna motor untuk bawa ceweknya pusing kotaraya. Kadang-kadang bila ceweknya itu buat perangai, Mat guna motornya untuk lepas geram. Mat bawa motornya itu, jumpa kawan-kawan, yang turut bermotor juga. Mereka beradu motor siapa lebih hebat. Motor siapa lebih ‘blah’.

Mat tidak baca surat khabar. Kalau Mat lalu di kedai runcit untuk beli sekotak rokok seludup, dia cuma jeling muka depan. Nampak satu dua tajuk utama yang selalunya punya kata seperti ‘bogel’, ‘seks’, ‘video’ dan ‘laknat’; kemudian Mat akan blah. Mat juga tidak tonton berita di televisyen. Rumah Mat tak ada pun televisyen. Arwah bapa Mat jual televisyen, supaya boleh bagi duit belanja untuk adik-adik Mat yang lagi sembilan orang. Supaya adik-adik Mat boleh makan minum dan tidak terliur tengok kawan makan di waktu rehat. Mat tak peduli Buletin Utama TV3. Mat langsung tak tahu ada TV Hijrah. Mat hanya kadang-kadang ikut ceweknya itu duduk restoran tomyam, tonton drama petang-petang, atau pertandingan nyanyi-nyanyi.

Cewek Mat ini, namanya Minah. Tapi disebabkan cewek Mat ini tak mahu digelar ‘kampung’ maka panggilnya Min sahaja. Min, juga pakai jeans koyak. Cumanya jeans Min ini melekat di punggung. Mat suka. Ada sekali-sekala Mat tepuk-tepuk, tapi tak boleh di khalayak. Min akan menjeling manja bila Mat buat begitu. Cinta dan sayangnya pada Mat menghapus apa batas yang ada dicadangkan orang. Min sudah tiada dara. Min, bertuah sedikit badannya, punya telefon bimbit yang boleh 3G. Min kerja kerani pejabat loyar. Hari-hari Min sembang dengan kerani lain; tentang pertandingan nyanyi-nyanyi yang dia paksa Mat tonton bersama. Kadang-kadang tentang angan-angannya mau kenduri kahwin macam Kate Middleton. Tapi Mat bukan anak raja. Maka Min boleh angan-angan saja.

Min dulu ada sambung mengaji. Tapi tengah-tengah rajin menaip tutoran, Mat akan hantar SMS, mahu manja-manja. Selesai manja-manja, Mat akan ajak bergayut. Min tak kisah. Super saver ada. Lagipun Min dapat duit dari papa dan mamanya setiap minggu. Maka kerja Min terbengkalai. Dan Min tak bercita-cita untuk sambung mengaji. Dia hanya mahu peluk Mat, dengan penuh kasih sayang. Kemudian ubah lelaki itu menjadi Prince William bila nanti Mat buat keputusan jantan mengajaknya bernikah. Ajak kahwin sudah berkali-kali. Kahwinnya juga sudah berkali-kali. Cuma nikah sahaja belum. Min tak kisah. Min sayang Mat. Cinta mereka sama sebiji macam kisah cinta yang Min tonton di Panggung Sabtu. Atau macam cerita cinta yang Min baca dalam novel-novel cinta yang dia pinjam dari abang angkatnya waktu belajar dulu. Abang angkat Min baik. Suka tolong Min. Tapi Mat tak tahu. Mat tak perlu tahu. Abang angkat Min, namanya Dolah.

Dolah, pakai seluar slack. Sepatu murahnya sudah lama tidak dikilat. Tapi apa dia kisah. Dolah kerja pejabat pos. Duduk belakang kaunter, tunggu orang datang bayar bil air api. Dolah, ada kereta. Dolah guna keretanya itu untuk hantar anak-anaknya pergi sekolah, sebelum hantar isterinya pergi kerja. Ada masanya juga, Dolah guna keretanya untuk bawa Min jalan-jalan. Hiburkan hati. Dolah tak boleh dipersalahkan. Dia punya tanggungjawab besar untuk cari rezeki buat beri makan anak bini. Dolah mahu masa untuk diri sendiri juga. Kasihan Dolah.

Dolah, punya beban berat. Pada usia baru lewat dua-puluhan, dia punya beban hutang belajar, walau pun belajarnya tak habis. Dicampur itu dengan beban hutang kereta. Kemudian campur lagi hutang rumah. Kemudian kira sama belanja anak bini. Campur sekali duit untuk orang tua di kampung. Campur pula duit yang dia belanja untuk hiburkan hati yang lara disebabkan hutang-hutangnya. Dolah, jarang punya masa untuk tonton televisyen. Menonton televisyen di rumah sepulangnya dari kerja, ertinya merelakan telinganya mendengar anak bini memekak. Dolah buat salah besar kahwin pada usia ini, pada janda anak dua.

Siti ini, bininya si Dolah. Siti janda. Lakinya mati sakit jantung. Dia selalu salahkan dirinya, kerana suka masak makanan berminyak. Tapi Siti pandai. Siti tak makan apa yang dia masak. Maka Siti hidup sihat. Siti masih bergetah. Sebab itu Dolah tergoda. Siti tak buang masa. Siti goda Dolah. Siti menikah lagi. Siti suka. Dolah sayang Siti. Dolah akan korban apa saja untuk Siti. Sebab Siti pandai layan Dolah.

Siti kerja bank. Hari-hari Siti bergosip dengan kawan-kawannya tentang pelanggan bank yang tak bayar hutang. Tentang pelanggan mana yang duitnya banyak. Tentang pelanggan mana yang beli rumah, beli kereta. Siti tahu ekonomi negara merosot. Siti tahu nilai matawang dunia menyusut. Siti tahu harga barang naik. Siti sedar harga petrol naik. Siti tengok orang datang minta pinjam wang hari-hari. Mahu buka perniagaan, mahu kerja sendiri, mahu cari duit; supaya boleh sara anak bini.

Siti tonton televisyen dengan anak-anak. Sambil anak-anak buat kerja sekolah, dan curi pandang pada kaca televisyen. Siti tengok berita TV3. Anak Siti tanya, “Mak.. liwat tu apa?” Siti sengih. Siti kata, “Dia salah sebut. LEWAT la. L-e-w-a-t.” Siti padam televisyen. Tunggu Dolah balik kerja. Malam tu malam Jumaat.
Anak Siti ketawa mengekek. Anak Siti kata dalam hati, “Mak ni, ingat aku bodoh ke.” Anak Siti masuk internet. Anak Siti buka Google.

Mat, Minah, Dolah dan Siti ini semuanya rakyat Malaysia. Mereka punya kerisauan masing-masing dan harapan serta cita-cita tersendiri. Mat, Minah, Dolah dan Siti; sebenarnya tak banyak beza dengan kau dan aku. Kita ini semua punya persamaan yang jelas. Mungkin cuma satu persamaan, atau barangkali lebih. Apa yang nyata, kita ini semua rakyat Malaysia yang punya tekanan-tekanan dan situasi ekonomi yang mengharukan.

Anak-anak muda seperti Mat dan Min, tidak sangat peduli dengan politik idea. Dolah juga serupa. Dia lebih peduli tentang duit. Kerisauan dia itu lebih material, dibanding dengan kerisauan tentang pihak-pihak yang tidak memberi banyak kesan padanya, seperti puak yang sebar video lucah. Seperti kelas pertengahan yang hampir tidak membaca, politik hanya difahami sebagai pertarungan parti-parti politik untuk merebut kekuasaan untuk memperjuangkan kepentingan masing-masing.

Anak muda memandang politisi sebagai grup yang ‘poyo’ dan tidak selari dengan gaya mereka. Maka ide politik tidak menjadi tarikan. Kerana ide politik tidak ‘cool’. Semahunya mereka ini, supaya tidak mengambil garis partisan, supaya tak nampak ‘poyo’ dan tua sebelum usia. Namun hakikatnya anak muda tidak bisa lari jauh, dari efek politisi dan politik. Mahu tidak mahu, perlu peduli juga. Terutamanya bila Mat nak merempit, mahu beli minyak rasa macam lebih baik makan nasi ayam. Atau bila Min mahu buat kueh raya, tidak bisa guna gula. Bila Dolah hampir bankrap dan tidak lagi boleh hora-hora. Bila Siti punya anak-anak, terlebih bijak dan tidak teringin masuk sorga kerana tidak rasa perlu agama. Semua itu politik belaka.

Ketika setiap sensitiviti kita diruntun, dan marah kita dipetik; di waktu itu baru mau bangkit melawan dan mengaku peduli. Mungkin dah lambat beb.

Amin Ya Rabbal Alamin...!!!

Kami tidak gelojoh untuk jadi sekaya kamu. Kami tidak perlukan banglo dan kereta besar. Kami tidak perlukan emas dan berlian. Kami tidak perlu keluar negara dan tinggal di hotel-hotel mewah. Kami hanya perlukan sesuap nasi untuk anak-anak kami yang masih kecil, memadai untuk mereka, kami hantar ke sekolah dalam keadaan perut yang berisi walaupun sedikit sahaja supaya satu hari nanti mereka dapat berbakti kepada agama dan negara. 

Memadai bagi kami untuk berteduh di bawah rumah yang lusuh dari hujan dan panas terik. Memadai bagi kami 5 sekeluarga untuk terpaksa berhimpit ketika menunggang motorsikal buruk yang kami beli 10 tahun yang lalu. Kami redha dengan kurniaan ilahi walaupun terpaksa bangun awal pagi dan kembali mencari rezeki di malam hari.



Itu sahaja yang kami, sebagai rakyat biasa pohon dari pimpinan negara. Pimpinan yang kami lantik dari tangan-tangan kami sendiri yang kami sangkakan bekerja untuk kami.

Tidak cukupkah dengan ujian hidup kami kini, sehingga perlu ditambah lagi?, tidak henti-henti dibebani dengan kenaikan harga ayam, ikan, daging, sayur, tepung, petrol, diesel, gas, bil letrik, bil air, cukai perkhidmatan, cukai pendapatan, tiket bas, tol, caj hospital, skim pinjaman buku teks, yuran peperiksaan dan sebagainya, malah di tambah pula dengan saman ekor dan masalah insurans kenderaan tua?.

Dari mana lagikah sumber kewangan yang harus kami cari untuk menampung bebanan tambahan itu? Kami buntu dan tertekan. Tidakkah kamu simpati lagi kepada kami yang memilih kamu wahai pimpinan ku?

Kami kucupi dahi anak-anak kami setiap pagi sebelum mereka ke sekolah, sambil kami usapi bedak di dahi dan pipi mereka, kami renungi mata mereka sambil mengukir satu senyuman sayang beserta pohonan kepada Allah S.W.T yang berkuasa, agar ujian ini hanya terbatas kepada kami, ibu dan ayah dan bukan kepada anak-anak kami yang tidak berdosa.

Wahai pimpinan ku, kami tidak menyumbang kepada Indeks Rasuah Negara yang kini di tangga ke-56, tetapi kenapa kami juga yang harus menerima akibatnya?

Wahai pimpinan ku, Kami juga tidak menyumbang kepada isu PKFZ, tetapi kenapa kami juga yang harus menanggungnya? Wahai pimpinan ku, Kami juga tidak menyumbang kepada runtuhnya Stadium Sultan Mizan di Kuala Terengganu, tetapi kenapa kami juga yang terpaksa terseksa dengan kesannya?

Sebab kami tahu, ketirisan dan kebocoran ada berlaku dalam pengurusan kewangan negara sehingga menyebabkan berlakunya kekurangan sumber kewangan sehingga ia memaksa kamu untuk menzalimi kami.
Sudah jatuh ditimpa tangga, kamu bercadang pula memansuhkan subsidi kami hanya semata-mata kerana bajet defisit? Hanya kerana ia meliputi 54% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)?

Bukankah bajet defisit itu boleh diatasi dengan perbelanjaan dan pengurusan berhemah PKFZ, Stadium Sultan Mirzan, Projek Bakun, Projek Landasan Berkembar dan bermacam lagi? tanpa perlu dahulu menyerang subsidi kami.
Bukankah masalah yang sebenar adalah kerana hutang negara di sekitar 53.7% daripada KDNK seperti yang tercatat dalam laboran audit negara? dan adakah hutang negara adalah semata-mata kerana sumbangan subsidi ?

Janganlah engkau wahai pimpinan ku, menjadikan keangkuhan kamu itu, setelah sekian lama dilimpahi nikmat dunia oleh tuhan untuk engkar dengan amanah itu, amanah yang kami serahkan kepada kamu satu ketika dulu.
Tidak takutkah engkau wahai pimpinan apabila doa kami yang dizalimi itu tidak ada hijabnya yang menghalang?.

Kami berdoa dan kami pohon Ya Allah kepada kamu untuk melindungi kami dan anak-anak kami dari semua kezaliman ini.

Amin Ya Rabbal Alamin.

Dengki cemburu iri hati hasad

"Pernah tak kita lihat dalam masyarakat kita budaya santau-menyantau, fitnah-memfitnah, berburuk sangka, saling menjatuhkan antara satu sama lain dan pelbagai lagi budaya yang sama waktu dengannya??? Rasanya perkara seperti ini sudah tidak perlu dipersoalkan kerana ianya perkara yang sering terjadi di kalangan masyarakat kita. Semua perkara ini terjadi hasil daripada suatu sifat atau penyakit hati yang dipanggil hasad dengki. Apa makna hasad dengki ini? Saya pinjam makna hasad dengki ini dari sebuah buku yang mana buku itu menyebut

Hasad adalah satu perkataan yang diambil dari perkataan bahasa arab yang membawa erti dengki. Ramai orang yang menyamakan iri hati dan dengki. Padahal kedua-dua perkara ini berbeza. Iri ertinya cemburu melihat nikmat atau kelebihan yang diperoleh orang lain dan dia ingin seandainya dialah yang mendapatkan nikmat itu dan bukan orang lain. Sedangkan dengki pula adalah benci melihat nikmat yang diterima orang lain dan berusahasupaya nikmat itu hilang.

Natijah dari sifat dengki ini sekiranya tidak dibendung akan mendatangkan pelbagai kesan negatif sama ada kepada orang yang dengki itu ataupun mangsa orang dengki itu. Antaranya ialah apa yang saya telah disebutkan di awal tadi. Dan antara kesan yang dipetik dari al-Quran ialah

Sombong

Gara-gara dengki dengan nabi Adam menyebabkan iblis menjadi sombong sehingga menggagalkan dirinya untuk menuruti perintah Allah agar bersujud kepada nabi Adam sebagai penghormatan. Akibat dari kesombongannya itu maka saat itu terlucutlah segala kenikmatan yang dikecapi selama berada di dalam syurga dan tika itu juga iblis menjadi makhluk yang dilaknati oleh Allah dan diusir dari syurga. Firman Allah yang bermaksud

"Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu, lalu Kami membentuk rupa kamu, kemudian Kami berfirman kepada malaikat-malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam", lalu mereka sujud melainkan Iblis, ia tidaklah termasuk dalam golongan yang sujud. Allah berfirman: "Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?" Iblis menjawab: "Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah." Allah berfirman: "Turunlah engkau dari Syurga ini, kerana tidak patut engkau berlaku sombong di dalamnya; oleh sebab itu keluarlah, sesungguhnya engkau dari golongan yang hina". (al-'Araf : 11-13)

Berbunuhan

Pertumpahan darah pertama yang berlaku di muka bumi dapat diketahui sebagaimana tercatat di dalam al-Quran melalui kisah Habil dan Qobil. Disebabkan dengkinya Qobil kepada Habil kerana Allah menerima kurban Habil dari kurbannya maka Qobil mengambil keputusan untuk membunuh saudaranya. Firman Allah yang bermaksud

Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil):" Sesungguhnya aku akan membunuhmu!". (Habil) menjawab: "Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa; "Demi sesungguhnya! Jika engkau hulurkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku tidak sekali-kali akan menghulurkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu. Kerana sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan Yang mentadbirkan sekalian alam;"Sesungguhnya aku mahu supaya engkau kembali dengan (membawa) dosa (membunuhku) dan dosamu sendiri. Maka dengan itu menjadilah engkau dari ahli neraka, dan itulah dia balasan orang-orang yang zalim".Maka nafsu jahat (Qabil) mendorongnya (sehingga ia tergamak) membunuh saudaranya, lalu ia membunuhnya. Oleh itu menjadilah dia dari golongan orang-orang yang rugi. Maka nafsu jahat (Qabil) mendorongnya (sehingga ia tergamak) membunuh saudaranya, lalu ia membunuhnya. Oleh itu menjadilah dia dari golongan orang-orang yang rugi. Kemudian Allah hantarkan seekor burung gagak (menyuruhnya) mengorek-ngorek di bumi supaya, diperlihatkan kepada (Qabil) bagaimana cara menimbus mayat saudaranya. (Qabil) berkata: "Wahai celakanya aku! Alangkah lemah serta bodohnya aku, aku tidak tahu berbuat seperti burung gagak ini, supaya aku dapat menimbuskan mayat saudaraku?". Kerana itu menjadilah ia dari golongan orang-orang yang menyesal. (al-Maidah : 27-31)

Dendam

(Ramai di antara mereka berkata):" Bunuhlah Yusuf atau buanglah dia ke suatu tempat yang jauh, supaya perhatian dan kasih sayang bapa kamu tertumpu kepada kamu semata-mata, dan supaya kamu sesudah itu menjadi orang-orang yang baik dan berguna". Ini antara kalimat yang diucapkan oleh salah seorang saudara nabi Yusuf dek kerana dengki kerana nabi Yusuf lebih disayangi dan dicintai oleh bapa mereka Nabi Yaakub dari diri mereka sendiri. Dari sifat dengki itu maka timbullah rasa dendam terhadap nabi Yusuf sehingga mereka berpakat untuk melakukan perkara yang tidak baik terhadap nabi Yusuf. Kisah ini tercatat dalam surah Yusuf. Firman Allah yang bermaksud

(Kisah itu bermula) ketika saudara-saudara Yusuf berkata (sesama sendiri): "Sesungguhnya Yusuf dan adiknya, lebih disayangi oleh bapa kita daripada kita, padahal kita ini satu kumpulan (yang ramai dan berguna). Sesungguhnya bapa kita adalah dalam keadaan tidak adil yang nyata." (Ramai di antara mereka berkata):" Bunuhlah Yusuf atau buanglah dia ke suatu tempat yang jauh, supaya perhatian dan kasih sayang bapa kamu tertumpu kepada kamu semata-mata, dan supaya kamu sesudah itu menjadi orang-orang yang baik dan berguna". Salah seorang di antara mereka berkata: "Janganlah kamu membunuh Yusuf, tetapi buanglah dia ke dalam pergi, supaya ia dipungut oleh sebahagian dari orang-orang musafir (yang lalu di situ), kalaulah kamu tetap hendak menjalankan rancangan kamu itu".
(Yusuf : 9-10)

Ini antara perkara yang akan berlaku sekiranya kita terus membiarkan perasaan dengki itu menyubur dalam diri kita. Dan banyak lagi perkara-perkara yang tidak baik akan berlaku hasil dari sifat dengki. Oleh itu, jangan kita biarkan sifat dengki ini tumbuh segar dalam diri. Andainya perasaan itu terbit maka removelah ia secepatnya dengan cara kita redho dengan setiap ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah kepada setiap makhlukNya. Sekiranya terbit juga perasaan dengki itu bermakna kita tidak redho denga apa yang telah ditetapkan oleh Allah. Adakah kita layak untuk melakukan sedemikian rupa itu terhadap tuhan yang Maha Agung??? Ingatlah dengan sabda Nabi yang bermaksud

"Sesungguhnya hasad dan dengki itu akan memakan amal-amal baik sebagaimana api memakan (menghanguskan) kayu bakar"

Allah merupakan pencipta kita dan dia lebih mengetahui apa yang terbaik untuk makhluk-makhlukNya. Oleh itu, redholah dengan semua yang telah Allah takdirkan untuk kita. Tidak perlu untuk kita hasad dengki dengan orang lain. Dan sudah pasti besar ganjarannya di sisi Allah andainya kita redho dengan segala ketentuan dan ketetapan tuhan yang Maha Esa insyaALLAH.