Ahad, 20 November 2011

Fuh! Laluan Dalam Air Di Netherland

Satu laluan untuk pejalan kaki merentasi sebuah sungai di Netherland. Apa yang menariknya, ianya seperti tidak terdapat laluan apabila dilihat dari jauh.
jambatan air (3)


jambatan air (1)
jambatan air (2)
jambatan dalam air (3)
jambatan dalam air (2)
jambatan dalam air (1)
 
 

Hati baek vs tutup aurat

Anak muda di hadapan saya terus mengasak saya dengan hujah-hujah logiknya. Senang melihat anak muda yang berani dan berterus-terang begitu. Hujahnya tajam dan menikam. "Tidak semestinya wanita yang menutup aurat itu baik, " tegasnya.
"Saya kenal beberapa orang wanita yang menutup aurat... perangai mereka ada yang lebih buruk berbanding wanita yang tidak menutup aurat," tambahnya lagi.
Saya diam melihat dia berhujah dengan akal dan pengalaman. Namun pengalamannya agak terbatas. Berapa ramai wanita yang dikenalinya dalam usia semuda itu? Dan akalnya juga terbatas – aqal perlu dirujuk kepada naqal. Mesti memahami prinsip ilmu wahyu terlebih dahulu, kemudian barulah kita bebas menggunakan fikiran dan pengalaman tanpa terbabas.
"Sebenarnya, apa yang cuba awak sampaikan?" tanya saya lembut.
"Saya nak tegaskan bahawa wanita yang baik tidak semestinya menutup aurat."
"Justeru, wanita yang jahat itu ialah wanita yang menutup aurat?" jolok saya melayan pola logiknya berfikir.
"Er, er, bukan begitu. Maksud saya, baik atau buruknya perangai seseorang wanita tidak bergantung pada pakaiannya, samada dia menutup aurat atau tidak."
"Apa ukuran awak tentang nilai kebaikan seorang wanita?" kilas saya tiba-tiba.
"Jujur, terus-terang, pemurah, lemah-lembut..."
"Itu sahaja?"
"Ya. Pada ustaz pula apa ukurannya?"
"Kita hanya manusia. Akal kita terbatas. Ukuran dan penilaian kita juga pasti terbatas. Jika diserahkan kepada manusia mentafsir apa itu kebaikan, akan celaru dibuatnya."
"Mengapa?"
"Kerana setiap manusia ada jalan berfikirnya sendiri. Saya bimbang nilai kebaikan akan menjadi suatu yang relatif dan subjektif, padahal kebaikan itu juga seperti kebenaran... ia suatu yang objektif dan mutlak, " akui saya terus-terang.
"Habis, untuk apa kita diberi akal? Kita harus rasional dan logik!"
Saya cuba senyum lantas berkata, "akal perlu tunduk kepada penciptanya, Allah. Fikiran mesti merujuk kepada Al Quran dan Hadis. Itu kan lebih tepat... ilmu kita terbatas, ilmu Allah Maha Luas."
"Jadi akal kita untuk apa?" desaknya lagi.
"Untuk memikirkan apa hikmah kebaikan yang telah ditentukan Allah dan bagaimana melaksanakannya dalam kehidupan."
"Ertinya akal kita terikat?"
"Akal kita bebas, tetapi dalam lingkungan syariat. Sama seperti bumi yang sedang ligat berpusing ini... tetapi tetap pada paksinya."
"Bukankah agama ini untuk orang yang berakal?"
"Betul. Tetapi tidak semua perkara dapat dicapai oleh akal. Lebih-lebih lagi perkara-perkara yang ghaib, tidak akan terjangkau oleh akal. Syurga, Neraka, Titian Sirat, Mahsyar misalnya, wajib dipercayai dan diyakini tanpa perlu dilogik-logikkan lagi. Itulah iman."
"Ah, jauh kita menyimpang. Bukankah tadi kita berbincang tentang wanita yang baik? Saya ulangi, wanita yang baik tidak semestinya menutup aurat, betulkan?"
"Separuh betul," jawab saya.
"Kalau dia wanita yang jujur, terus-terang, pemurah dan lemah lembut... ya dia 'baik' di sudut itu. Tetapi jika dia mendedahkan auratnya, dia telah melanggar perintah Allah di sudut yang lain. Dia 'tidak baik' di sudut berpakaian, kerana hukum menutup aurat telah termaktub dalam Al Quran."
Anak muda di hadapan saya muram. Nampaknya dia belum berpuas hati.
"Tetapi dia jujur, amanah..."
"Orang yang baik menurut Islam ialah orang yang baik hubungannya dengan Allah dan manusia. Menutup aurat perintah Allah."
Anak muda di hadapan saya masih tidak puas hati. Perlahan-lahan saya tusuk dengan hujah yang memujuk,  "namun percayalah jika benar-benar hatinya baik, insyaAllah lambat laun dia akan menutup aurat juga."
"Apa hujah ustaz? Pengalaman? Fikiran atau telahan?"
"Masih merujuk kepada Al Hadis."
"Hadis yang mana?"
"Hadis riwayat Bukhari mengisahkan seorang wanita pelacur berbangsa Yahudi yang telah memberi minum seekor anjing yang kehausan. Atas sebab sifat belas kasihannya itu dia mendapat hidayah lalu menjadi wanita yang solehah."
"Apa kaitan cerita itu dengan subjek yang kita bincangkan ini?"
"Secara tidak langsung  itu menunjukkan bagaimana jika hati seseorang mempunyai sifat-sifat baik seperti kasih sayang, belas kasihan dan pemurah, sekalipun kepada anjing, itu boleh menjadi sebab Allah kurniakan hidayah untuk dia beriman seterusnya menjadi wanita solehah."
"Maksud ustaz?"
"Jika seorang wanita itu benar-benar baik hatinya insya-Allah lambat laun dia akan menutup aurat walaupun sebelumnya tidak menutup aurat."
"Oh, begitu. Kenapa ya?"
"Allah menilai pada hati. Jika hati itu baik,  lambat laun hal-hal luaran pasti mengikutnya jadi baik."
"Apa pula pendapat ustaz tentang wanita yang menutup aurat tetapi akhlak dan perangainya buruk?"
"Bab aurat dia telah selamat. Alhamdulillah, kewajiban menutup aurat telah dipatuhinya. Apa yang tinggal... dia perlu membaiki akhlak dan perangainya. Dia perlu terus berusaha."
"Jika ada berpura-pura? Menutup aurat hanya untuk menunjuk-nunjuk atau sekadar tuntutan fesyen dan trend?"
"Hati manusia kita tidak tahu. Kita tidak tahu hati wanita yang menutup aurat tu jahat atau tidak, samalah seperti kita tidak tahu samada hati wanita yang tidak menutup aurat itu baik atau tidak. Soal hati hak Allah..."
"Tetapi katalah hati wanita yang menutup aurat itu benar-benar jahat..."
"Jika hatinya benar-benar jahat... lambat laun dia akan mendedahkan auratnya semula."
"Mengapa?"
"Menutup aurat adalah pakaian wanita yang solehah. Wanita yang jahat tidak akan mampu memakai pakaian wanita solehah."
"Patutlah saya lihat ada wanita yang dulunya memakai tudung labuh, tapi kemudiannya tudungnya semakin singkat, lama kelamaan mula memakai seluar ketat, kemudian berubah kepada memakai baju T sendat... lama-kelamaan bertudung ala kadar sahaja."
"Perubahan luaran gambaran perubahan hati. Yang tidak menutup aurat... akhirnya perlahan-lahan meningkat untuk menutup aurat kerana hatinya beransur jadi baik. Sebaliknya, yang menutup aurat... secara beransur-ansur akan mendedahkan auratnya jika kualiti hatinya semakin merosot."
"Siapa wanita yang paling baik?" tiba-tiba anak muda di hadapan saya bertanya sambil merenung muka saya. Serius dan tajam renungannya.
"Tentulah isteri-isteri dan anak-anak nabi Muhammad s.a.w." jawab saya pasti.
"Bagaimana pakaian mereka?"
"Tentu sahaja mereka menutup aurat. Dan mereka juga pasti memiliki hati yang baik. "
Kali ini dia pula terdiam. Melihatnya begitu saya terus mengasak, "kalaulah hati yang baik sahaja jadi pernilaian Allah, tentulah isteri-isteri dan anak-anak perempuan Rasulullah tidak perlu menutup aurat. Hati mereka sudah baik. Namun tidak begitu, hati yang baik bukan alasan untuk mendedahkan aurat."
"Wanita yang baik mesti menutup aurat?"
"Ya."
""Wanita yang jahat mesti mendedah aurat?"
"Tidak semestinya, kerana ada wanita yang berhati baik tetapi belum menutup aurat kerana mungkin dia sedang berusaha untuk mengatasi halangan-halangan luaran dan dalamannya untuk menutup aurat."
"Apa yang boleh kita katakan kepada wanita begitu?"
"Dia sedang berusaha menjadi wanita yang baik."
"Bagaimana pula dengan wanita yang menutup aurat tetapi buruk perangainya? Wajarkah mereka mendedahkan aurat supaya tidak hipokrit."
"Perangai yang buruk bukan alasan mendedahkan aurat. Bagi mereka ini, tuntutan menutup aurat sudah ditegakkan, alhamdulilah. Tinggal satu lagi, tuntutan memperbaiki akhlak... itu sahaja yang perlu dilaksanakan. Satu selesai, tinggal lagi satu. Namun bayangkan jika disamping perangai buruk, mereka juga turut mendedahkan aurat ... Itu lebih buruk lagi. Dua perkara tak selesai, bab aurat dan bab perangai!"
"Jadi apa kita nak kata tentang wanita yang menutup aurat tetapi buruk perangai ni?" Sekali lagi dia mengajukan soalan yang sama.
"Wallahua'lam. Boleh jadi mereka juga sedang berusaha mengatasi halangan dalaman dan luarannya untuk memperbaiki perangainya. Dan nauzubillah, boleh jadi juga iman mereka sedang merosot sehingga menjejaskan akhlak mereka... yang lama kelamaan jika tidak diatasi akan menyebabkan mereka kembali mendedahkan aurat!"
Dia senyum. Alhamdulillah.
"Saya tahu apa yang saya akan lakukan sekarang..."
"Kenapa? Mengapa? Punya kekasih tidak bertudung tetapi baik hatinya? Atau dikecewakan oleh wanita bertudung tetapi buruk perangainya?"
Soalan akhir itu tidak terluahkan oleh saya. Saya simpan sahaja di dalam hati. Biarlah anak muda ini belajar dari pengalamannya... insyaAllah esok apabila dia mengalaminya sendiri, dia akan ingat satu persatu apa yang didengarnya pada hari ini!

Biodata Kolumnis

Ustaz Pahrol Mohd Juoi

Sabtu, 19 November 2011

cyber...

Dunia teknologi, manusia makin kurang sosial

KETIKA teknologi manusia masih kuno, pergerakan mereka daripada satu tempat ke satu tempat amat lambat. Kenderaan yang perlahan kerana menggunakan tenaga binatang kemudiannya dipercepatkan dengan tenaga enjin. Tugas memasak bagi suri rumah yang mengambil masa begitu lama dengan menggunakan kayu api, dipermudahkan dengan penggunaan dapur minyak tanah, kemudian dapur gas dan kini memasak diperlekaskan dengan penggunaan oven gelombang mikro.

Kerja-kerja di pejabat yang pada asasnya menggunakan mesin taip yang lambat sudah diganti dengan menggunakan komputer. Salinan dokumen yang pada asalnya menggunakan kertas karbon yang boleh membuat paling banyak tiga salinan terang, dengan mudah sahaja digandakan kepada beratus-ratus helai melalui mesin fotostat.

Kehidupan seharian manusia yang perlahan itu dipercepatkan dengan kemodenan pengangkutan. Penggunaan barangan seharian konsumer dan peralatan pejabat pula diperkemas menggunakan elektrik. Mesin dan jentera besar pula menggunakan kuasa enjin bagi memudahkan manusia menyudahkan urusan dalam masa yang lebih pantas daripada biasa.



Malangnya, semakin singkat masa yang manusia gunakan untuk melakukan sesuatu, terjadi pula masa dan fokus manusia yang teralih dengan hal-hal lain. Pada tahun-tahun 40an lagi, tumpuan manusia terhadap apa yang dilakukannya itu dikatakan terganggu dengan kemunculan perang pemasaran melalui iklan. Iklan muncul di mana-mana sama ada di radio, televisyen, akhbar, papan tanda, bill board, sepanduk dan poster di tempat-tempat jualan di pasar raya.

Kemunculan televisyen kabel yang mula popular pada dekad 50an, diikuti dengan televisyen satelit pada dekad 60an itu menjadi lebih hebat dengan kemunculan konsep pemberitaan 24 jam pada era 80an CNN. Di negara kita, siaran telivisyen setelit menjadikan tumpuan kehidupan seharian kita dipengaruhi dengan siaran tanpa henti.

Penggunaan internet pada tahun 80an pula meletuskan satu fenomena komunikasi pada era 90an. Dunia diistilahkan sebagai komuniti global. Istilah yang sebelum ini hanya dikonotasikan kepada kumpulan kecil masyarakat yang seragam citarasanya, kini digunakan untuk menggambarkan masyarakat global yang mempunyai satu identiti. Betapa internet telah mengecilkan sempadan fizikal yang dahulunya dibatasi dengan gunung, padang pasir, sungai dan lautan kepada dunia yang tanpa sempadan.

Apabila dunia internet meletuskan fenomena komunikasi tanpa sempadan fizikal melalui ruang dan jarak, tanpa disedari, kita seolah-olah disedut ke dalam lohong hitam alam siber yang manusia sendiri cipta. Kini, kehidupan seharian kita sentiasa diterjah dan diacah dunia alam siber. Jika sebelum ini, dunia internet membolehkan kita meluncur laju dari laman ke laman web di alam siber, pelayaran kita diperlahankan dengan kemunculan dunia blog. Melalui dunia blog, kita mula gemar berjalan ke sana ke mari dengan apa yang dinamakan sebagai blogwalking.

Kemunculan laman sosial melalui laman-laman forum, facebook dan akhirnya twitter menjadikan kita tidak sahaja berjalan, malah mundar-mandir bertemu dan bertegur sapa dengan kawan-kawan di alam siber. Akhirnya, kita sudah tidak ada masa peribadi lagi. Dunia yang perlahan dahulu dipantaskan dengan teknologi, kini kembali diperlahankan dengan teknologi juga.

Pada hari ini, sebuah keluarga boleh duduk semeja menghadap hidangan malam, tetapi masing-masing sebenarnya tenggelam timbul di dunia siber masing-masing. Di pejabat, kalau dahulu kebosanan diri menghadiri mesyuarat dilayan dengan contengan-contengan di kertas minit mesyuarat, kini tumpuan teralih dengan pelbagai cerita tentang bola, fesyen, gosip artis atau apa sahaja bersama kawan beribu kilometer jaraknya melalui internet.

Secara zahirnya kita tampak bersendirian di khalayak ramai, tapi rupa-rupanya kita bising dalam kesunyian. Hubungan kita dengan manusia lain secara fizikal telah berubah menjadi perhubungan dengan beribu-ribu kawan di alam ghaib siber. Kerana asyik tenggelam timbul berselang-seli di antara dunia realiti dan dunia siber, ada di antara kita bagai orang yang gila isim bila tidak dapat mengawal di alam manakah dia berada. Apa yang dahulunya bertujuan untuk menjimatkan masa rupa-rupanya membuang masa bila kita hilang fokus dan hilang prioriti.

Ironinya, kecanggihan teknologi siber pada hari ini membolehkan kita berada di mana-mana sahaja di dunia ini kecuali di tempat kita berdiri pada saat ini.

Artikel ini diterbitkan di akhbar Sinar Harian pada 21.9.2011.

kanser taqdir vs ikhtiar

Kes A
Puan N.A berumur 34 tahun dan bekerja sebagai seorang suri rumah sepenuh masa. Bersuamikan seorang guru yang penyayang, hidupnya bahagia walaupun mereka hanya mempunyai seorang cahaya mata yang baru berusia 4 tahun. Ketenangan hidupnya mula terganggu sejak awal tahun ini apabila beliau mula merasakan sesuatu yang tidak kena dengan dirinya. Kerap kali dia merasakan perutnya membuncit dan rasa tidak begitu selesa pada masa-masa yang tertentu.
Walaupun telah banyak kali dia berjumpa dengan beberapa orang doktor yang berbeza di 4 buah klinik yang berlainan, namun masing-masing menyatakan bahawa dia tidak mempunyai masalah yang serius dan hanya diberikan ubat tahan sakit serta ubat 'gastrik' untuk di minum. Melalui bantuan rakannya yang bekerja di klinik pakar di sebuah hospital kerajaan, Puan N.A dibawa berjumpa dengan seorang pakar ginekologi.
Setelah pemeriksaan dan ujian penuh dijalankan, beliau disyaki mengidap kanser ovari yang telah pun merebak dan memerlukan pembedahan seberapa segera. Selepas pembedahan, dia dikejutkankan dengan berita bahawa kansernya telah merebak ke hati dan organ-organ dalamannya yang lain. Hatinya sayu dan sedih apabila mengenangkan suami dan anak kecilnya yang bakal ditinggalkannya dek peluangnya untuk hidup melebihi 6 bulan amatlah tipis sekali.
Kes B
Puan B.K adalah seorang pesara guru yang berumur 70'an. Beliau tinggal bersendirian setelah suaminya meninggal dunia beberapa tahun yang lepas. Beliau hidup ceria dengan memberikan banyak masanya untuk berbuat kerja-kerja kebajikan kepada masyarakat. Memiliki anak-anak yang berjaya dan prihatin adalah di antara faktor tambahan kepada kegembiraan hati yang dimilikinya.
Tiba-tiba Puan B.K mengalami pendarahan seumpama haid sedangkan beliau telah pun menopos sejak 22 tahun yang lalu. Anak bungsunya yang juga merupakan seorang pakar ginekologi terus membawanya ke hospital untuk menjalankan pemeriksaan lanjut. Amat mengejutkan beliau apabila ibunya, Puan B.K yang sentiasa kelihatan sihat sebelum ini telah didapati mengidap kanser serviks pada tahap 4 (advanced stage). Menginsafi situasi sebenar yang sedang dan bakal berlaku kepada Puan B.K, anaknya tidak dapat menahan air matanya yang bergelinang membasahi pipinya.
Kes C
Puan S.S bertugas sebagai seorang guru di sebuah sekolah menengah. Beliau berumur 35 tahun dan telah dikurniakan dengan 3 orang cahaya mata setelah berumah-tangga dengan suaminya yang prihatin lagi penyayang sejak 10 tahun yang lalu. Sejak beberapa bulan yang lalu, Puan SS merasai ketulan pada payu dara. Dek khuatirnya terhadap sesuatu yang tidak baik kepada dirinya, beliau hanya berharap dan berdoa agar ketulan ini hanya ketulan biasa yang akan hilang dengan sendirinya.
Ternyata harapannya tidak menjadi kenyataan, payu daranya semakin membengkak dan keras. Malahan mula mengeluarkan cecair yang berdarah yang bercampur dengan nanah. Beliau pasti bahawa pada tahap ini, sesuatu yang serius telah berlaku yang memaksanya berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan selanjutnya. Selepas seminggu Puan SS bertemu dengan pakar bedah endokrinologi di salah sebuah hospital kerajaan. Bagaikan langit yang jatuh menghempapnya, beliau diberitahu bahawa beliau mengidap kanser payu dara di tahap kritikal yang memerlukan rawatan pembedahan dan kemoterapi. Bukan itu sahaja, peluang untuk beliau sembuh juga dikatakan sangat tipis sekali.
A, B dan C sebagai perbandingan :
kanser ovari
Puan N.A telah bertemu dengan ramai doktor sejak awal-awal lagi tetapi kanser 'ovari'nya gagal dikesan oleh mereka sehingga ke tahap yang kritikal. Bakal meninggalkan suami dan anaknya yang masih kecil adalah kesedihannya yang paling sukar untuk dihadapnya.
Puan B.K adalah seorang yang sihat dan tidak mempunyai sebarang tanda-tanda sakit. Secara tiba-tiba beliau didapati mengidap kanser serviks di tahap yang kritikal. Sukar untuk membayangkan kesedihan anak bungsu kesayangannya apabila dia sendiri gagal mengesan sesuatu yang dia tidak kena terhadap ibunya sendiri.
Puan SS hanya mengharapkan sesuatu yang tidak serius atau cuba untuk menafikan sesuatu yang bahaya bakal terhadap dirinya. Acap kali dia bertanya kepada dirinya, "Kenapalah aku tidak datang mendapatkan rawatan awal apabila mula-mula mengesyaki sesuatu. Entahlah...... Nasi hampir menjadi bubur !".
Situasi dan kisah-kisah seharian seumpama ini terus mengajar saya menginsafi realiti hidup dan kehidupan. Dari masa ke semasa, pertemuan dengan insan yang diuji sedemikian rupa di hospital dan di tempat-tempat yang lain terus mendidik diri ini agar terus sedar tentangperanan ingat-memperingati di antara satu sama lain bahawa kehidupan ini sangatlah sementara sifatnya. Bagaimana mungkin untuk kita terus alpa dengan tanggung-jawab kita sebagai hamba yag sedang diujinya di pentas yang bernama dunia.
Allah telah berfirman yang bermaksud,
"Yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa, Maha Pengampun". (Surah al Mulk ayat 2)
Di antara pengajarannya :
1-Hidup, musibah dan maut adalah ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah swt.
2-Peranan kita sebagai manusia ialah berusaha sebaik yang mungkin dan seterusnya bertawakkal kepada Allah, Pencipta bagi segala alam semesta.
3-Walau bagaimana sibuk sekali pun, janganlah hendaknya kita melupakan kesihatan diri sendiri dan untuk si dia yang kita kasihi.
4-Kerjaya yang membantu manusia yang memerlukan adalah profession yang mulia. Namun kemuliaan itu bukanlah letaknya pada pangkat dan kedudukan, malahan pada kesungguhan dan keikhlasan untuk membantu. Kecuaian dan kegagalan memberikan yang terbaik boleh mengakibatkan kesan yang lebih parah.
Di antara taqdir dan ikhtiar. Bantulah kami dalam menjalani ujian dunia ini Ya Rabb!

Prof Madya Dr Zainur Rashid Zainuddin

Jumaat, 18 November 2011

azan2


Diriwayatkan Siti Zubaidah adalah seorang wanita bangsawan yang kaya, hobinya suka mendengar muzik. Dia memiliki pentasnya sendiri serta beberapa orang penyanyi yang menjadi penghiburnya.
Apa yang menjadi kelebihannya ialah apabila terdengar saja seruan Azan dia akan segera memerintahkan penyanyi dan pemuziknya itu berhenti untuk seketika bagi menghormati azan.
Setelah selesai dan menjawap azan barulah disambung semula, hanya Itulah amalan yang sentiasa dijaganya.
Setelah dia meninggal ramai dari kalangan orang-orang yang soleh Telah bermimpi bertemu dengannya; tanya mereka, "Ibadah apakah yang Menyebabkan Allah mengampunkan dosamu, adakah kerana kamu telah menggali sebuah Kolam air antara Makkah dan Madinah?"
Jawap Zubaidah, Allah mengampunkan dosaku dengan banyak mengucapkan syukur.
Sebenarnya aku tidak banyak beribadah kecuali satu semasa hayatku Dulu iaitu apabila terdengar saja Azan sedangkan waktu itu aku tengah berhibur dan mendengar nyanyian maka dengan serta merta aku menyuruh mereka memberhentikannya bagi menghormati seruan azan.
Itulah ibadah yang aku benar-benar menjaganya. Sebagai balasan , Allah berfirman, "Kamu dilarang menyeksanya, jika tidak kerana iman yang ada di dalam dadanya masakan ia mahu menyebutKu dalam keadaan leka"