Kes A
Puan N.A berumur 34 tahun dan bekerja sebagai seorang suri rumah sepenuh masa. Bersuamikan seorang guru yang penyayang, hidupnya bahagia walaupun mereka hanya mempunyai seorang cahaya mata yang baru berusia 4 tahun. Ketenangan hidupnya mula terganggu sejak awal tahun ini apabila beliau mula merasakan sesuatu yang tidak kena dengan dirinya. Kerap kali dia merasakan perutnya membuncit dan rasa tidak begitu selesa pada masa-masa yang tertentu.
Walaupun telah banyak kali dia berjumpa dengan beberapa orang doktor yang berbeza di 4 buah klinik yang berlainan, namun masing-masing menyatakan bahawa dia tidak mempunyai masalah yang serius dan hanya diberikan ubat tahan sakit serta ubat 'gastrik' untuk di minum. Melalui bantuan rakannya yang bekerja di klinik pakar di sebuah hospital kerajaan, Puan N.A dibawa berjumpa dengan seorang pakar ginekologi.
Setelah pemeriksaan dan ujian penuh dijalankan, beliau disyaki mengidap kanser ovari yang telah pun merebak dan memerlukan pembedahan seberapa segera. Selepas pembedahan, dia dikejutkankan dengan berita bahawa kansernya telah merebak ke hati dan organ-organ dalamannya yang lain. Hatinya sayu dan sedih apabila mengenangkan suami dan anak kecilnya yang bakal ditinggalkannya dek peluangnya untuk hidup melebihi 6 bulan amatlah tipis sekali.
Kes B
Puan B.K adalah seorang pesara guru yang berumur 70'an. Beliau tinggal bersendirian setelah suaminya meninggal dunia beberapa tahun yang lepas. Beliau hidup ceria dengan memberikan banyak masanya untuk berbuat kerja-kerja kebajikan kepada masyarakat. Memiliki anak-anak yang berjaya dan prihatin adalah di antara faktor tambahan kepada kegembiraan hati yang dimilikinya.
Tiba-tiba Puan B.K mengalami pendarahan seumpama haid sedangkan beliau telah pun menopos sejak 22 tahun yang lalu. Anak bungsunya yang juga merupakan seorang pakar ginekologi terus membawanya ke hospital untuk menjalankan pemeriksaan lanjut. Amat mengejutkan beliau apabila ibunya, Puan B.K yang sentiasa kelihatan sihat sebelum ini telah didapati mengidap kanser serviks pada tahap 4 (advanced stage). Menginsafi situasi sebenar yang sedang dan bakal berlaku kepada Puan B.K, anaknya tidak dapat menahan air matanya yang bergelinang membasahi pipinya.
Kes C
Puan S.S bertugas sebagai seorang guru di sebuah sekolah menengah. Beliau berumur 35 tahun dan telah dikurniakan dengan 3 orang cahaya mata setelah berumah-tangga dengan suaminya yang prihatin lagi penyayang sejak 10 tahun yang lalu. Sejak beberapa bulan yang lalu, Puan SS merasai ketulan pada payu dara. Dek khuatirnya terhadap sesuatu yang tidak baik kepada dirinya, beliau hanya berharap dan berdoa agar ketulan ini hanya ketulan biasa yang akan hilang dengan sendirinya.
Ternyata harapannya tidak menjadi kenyataan, payu daranya semakin membengkak dan keras. Malahan mula mengeluarkan cecair yang berdarah yang bercampur dengan nanah. Beliau pasti bahawa pada tahap ini, sesuatu yang serius telah berlaku yang memaksanya berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan selanjutnya. Selepas seminggu Puan SS bertemu dengan pakar bedah endokrinologi di salah sebuah hospital kerajaan. Bagaikan langit yang jatuh menghempapnya, beliau diberitahu bahawa beliau mengidap kanser payu dara di tahap kritikal yang memerlukan rawatan pembedahan dan kemoterapi. Bukan itu sahaja, peluang untuk beliau sembuh juga dikatakan sangat tipis sekali.
A, B dan C sebagai perbandingan :
kanser ovari
Puan N.A telah bertemu dengan ramai doktor sejak awal-awal lagi tetapi kanser 'ovari'nya gagal dikesan oleh mereka sehingga ke tahap yang kritikal. Bakal meninggalkan suami dan anaknya yang masih kecil adalah kesedihannya yang paling sukar untuk dihadapnya.
Puan B.K adalah seorang yang sihat dan tidak mempunyai sebarang tanda-tanda sakit. Secara tiba-tiba beliau didapati mengidap kanser serviks di tahap yang kritikal. Sukar untuk membayangkan kesedihan anak bungsu kesayangannya apabila dia sendiri gagal mengesan sesuatu yang dia tidak kena terhadap ibunya sendiri.
Puan SS hanya mengharapkan sesuatu yang tidak serius atau cuba untuk menafikan sesuatu yang bahaya bakal terhadap dirinya. Acap kali dia bertanya kepada dirinya, "Kenapalah aku tidak datang mendapatkan rawatan awal apabila mula-mula mengesyaki sesuatu. Entahlah...... Nasi hampir menjadi bubur !".
Situasi dan kisah-kisah seharian seumpama ini terus mengajar saya menginsafi realiti hidup dan kehidupan. Dari masa ke semasa, pertemuan dengan insan yang diuji sedemikian rupa di hospital dan di tempat-tempat yang lain terus mendidik diri ini agar terus sedar tentangperanan ingat-memperingati di antara satu sama lain bahawa kehidupan ini sangatlah sementara sifatnya. Bagaimana mungkin untuk kita terus alpa dengan tanggung-jawab kita sebagai hamba yag sedang diujinya di pentas yang bernama dunia.
Allah telah berfirman yang bermaksud,
"Yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa, Maha Pengampun". (Surah al Mulk ayat 2)
Di antara pengajarannya :
1-Hidup, musibah dan maut adalah ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah swt.
2-Peranan kita sebagai manusia ialah berusaha sebaik yang mungkin dan seterusnya bertawakkal kepada Allah, Pencipta bagi segala alam semesta.
3-Walau bagaimana sibuk sekali pun, janganlah hendaknya kita melupakan kesihatan diri sendiri dan untuk si dia yang kita kasihi.
4-Kerjaya yang membantu manusia yang memerlukan adalah profession yang mulia. Namun kemuliaan itu bukanlah letaknya pada pangkat dan kedudukan, malahan pada kesungguhan dan keikhlasan untuk membantu. Kecuaian dan kegagalan memberikan yang terbaik boleh mengakibatkan kesan yang lebih parah.
Di antara taqdir dan ikhtiar. Bantulah kami dalam menjalani ujian dunia ini Ya Rabb!
Prof Madya Dr Zainur Rashid Zainuddin
Tiada ulasan:
Catat Ulasan