PILIHANRAYA DAN KEIZINAN SYARA’ (Siri 2)
SYUBHAT KEDUA:
Keharusan menyertai parlimen melalui pilihanraya adalah satu bentuk persekongkolan dengan sistem kafir. Seterusnya, manfaat-manfaat yang mungkin diperolehi melalui pendekatan ini adalah lebih sedikit berbanding mudharat yang bakal menimpa. Tambahan pula ia akan membawa kepada penghinaan secara tidak langsung terhadap hukum-hukum Allah kerana seorang muslim wajib melaksanakan hukum-hukum Allah tetapi dia terpaksa akur dengan keputusan majoriti ahli parlimen walaupun dalam perkara yang bercanggah dengan syara’. Tidak mungkin pelaksanaan hukum Allah dapat ditegakkkan melalui kaedah ini kerana sistem ini boleh membatalkan usaha-usaha golongan Islam untuk melaksanakan syariat Allah melalui parlimen seperti yang berlaku di Algeria.
BIDASAN:
Pertama : Penyertaan sebagai ahli parlimen tidak boleh dikatakan persekongkolan dengan sistem kufur. Ini kerana seorang ahli parlimen pada hakikatnya mewakili rakyat yang mana dia sendiri adalah afrad kepada rakyat itu sendiri. Oleh itu bukankah sepatutnya dia perlu menyertai parlimen untuk mewakili rakyat setempat dengan matlamat menjaga kemaslahtan mereka dan menegakkan kalimah Allah.
Kedua : Pendapat yang menyatakan bahawa mudhorat yang bakal menimpa lebih besar berbanding maslahah yang diperolehi, adalah sekadar andaian semata-semata dan tidak lebih daripada itu, kalau pun benar, ia hanya berlaku dalam keadaan majoriti ahli parlimen adalah golongan yang anti-Islam. Bahkan sebenarnya dengan menyertai parlimenlah lebih banyak maslahah yang didapati berbanding mudhorat yang menimpa. Cuba fikirkan apakah yang akan berlaku sekiranya yang menjadi tempat penggubalan undang-undang dipenuhi golongan sekularis semata-mata. Pastinya nasib umat akan lebih celaka dengan terlaksannya undang-undang jahiliyyah. Sebaliknya jika ahli parlimen terdiri daripada golongan yang mutadaiyin maka konsep merealisasikan maslahah dan menolak mafasid lebih mudah dilaksanakan, lebih-lebih lagi, jika mereka yang menjadi ahli parlimen.
Ketiga : Adapun pendapat yang menyatakan penyertaaan dalam parlimen merupakan penghinaan secara tidak langsung terhadap hukum Allah, maka ia hanya berlaku jika seseorang ahli parlimen muslim (APM) itu lupa akan akidah dan tanggungjawabnya sebagai ahli parlimen yang sebenarnya. Akan tetapi jika dia melaksankan amanahnya untuk meninggikan kalimah Allah dan menyeru kepada pelaksanan amanahnya untuk meninggikan kalimah Allah dan menyeru kepada pelaksanaan hukum Allah di peringkat parlimen, maka bagaimana kita boleh katakan berlakunya pengabaian dan penghinaan secara tidak langsung kepada hukum-hukum Islam. Adakah logik kalau kita menganggap berlakunya pengabaian ke atas hukum-hukum Allah sekiranya seseorang APM mengetengahkan prinsip-prinsip Islam dalam dewan persidangan supaya didengari oleh ahli parlimen yang lain, dalam dalam masa yang sama rakyat turut dapat sama mengetahui melalui saluran akhbar dan television yang membuat liputan persidangan parlimen? Atau adakah kita hendak meninggalkan seluruh strategik ini sebaliknya hanya menggunakan saluran dakwah biasa seperti di masjid dan di majlis tertentu sahaja?
Keempat: Perlu ditekankan disini bahawa penyertaan dalam parlimen melalui pilihanraya adalah antara jalan yang terbentang untuk menukar sistem jahiliyah kepada sistem yang diredhoi oleh Allah dalam sesebuah negara. Jalan ini akan merancakkan lagi usaha-usaha menegakkan daulah Islamiyah dan penyebaran dakwah di kalangan umat di samping uslub-uslub yang lain. Kita akur bahawa sistem demokrasi jahiliyyah yang mendasari pemerintahan sesebuah negara boleh menyekat bahkan membatalkan kemenangan golongan Islam seperti yang berlaku di Algeria. Tapi kita mesti menerima hakikat bahawa dakwah Islam perlu dilaksanakan di setiap sudut yang boleh dimasuki dan tidak sepatutnya kita melepaskan sudut strategik ini.
SYUBHAT KETIGA:
Peranan dan tanggungjawab dewan parlimen adalah bersifat kolektif. Maksudnya, mana-mana undang-undang yang diluluskan oleh parlimen, maka setiap ahli parlimen bertanggungjawab terhadap undang-undang tersebut walaupun terdapat sebahagian daripada mereka yang tidak menyetujuinya. Maka dalam kes ini, penglibatan sebagai ahli parlimen adalah satu tindakan yang sengaja menjerat diri sendiri iaitu apabila berdepan dengan isu-isu yang mencabar kekuasaan Allah. Dengan kata-kata lain kedudukan seseorang sebagai ahli parlimen menyebabkan dia turut terlibat dengan dosa jika menggubal undang-undang yang bercanggah dengan syara’, walaupun dia membangkangnya, kerana undang-undang yang diluluskan oleh majoriti ahli parlimen dinisbahkan kepada dewan parlimen itu sendiri dan bukannya kepada ahli-ahli yang menyokongnya sahaja.
BIDASAN:
Pertama : Persoalan tanggungjawab, dosa dan pahala sama ada yang berkaitan dengan Allah atau sesama manusia pada hakikatnya adalah bersifat individu dan bukannya kolektif. Maka apabila seseorang APM membangkang penggubalan undang-undang yang bercanggah dengan syara’, maka pada ketika itu tanggungjawabnya di hadapan Allah dan manusia telah lepas ( برائة الذمة ). Di sana terdapat sebuah hadis sohih bahawa nabi s.a.w. telah bersabda yang bermaksud : “…kemudian mereka dibangkitkan atas niat masing-masing…” (hadis riwayat Bukhori daripada Saidatina Aisyah r.a.). Hadis ini menjelaskan bahawa apabila Allah murka kepada satu kumpulan tentera lalu Allah membinasakan mereka kesemuanya walaupun di kalangan mereka terdapat golongan yang soleh dan ada juga golongan yang derhaka. Akan tetapi di akhirat kelak mereka akan dibangkitkan iaitu di balas mengikut niat masing-masing; golongan yang soleh dimasukkan ke dalam syurga manakala yang durhaka pula dicampak ke dalam api neraka.
Maka jelaslah bahawa persoalan tanggungjawab di hadapan Allah taala adalah bersifat individu. Firman Allah taala:
كل نفس بما كسبت رهينة (المدثر : 33)
وأن ليس للانسان إلا ما سعى (النجم : 39)
ولا تزر وازرة وزر أخرى ( الأنعام : 164)
Kedua : Kita tidak menerima bahawa undang-undang yang diluluskan oleh parlimen hanya dinisbahkan kepada parlimen semata-mata. Hakikatnya setiap undang-undang yang digubalkan adalah atas nama rakyat kerana ahli parlimen adalah wakil kepada rakyat dan rakyat menjadi sasaran perlaksanaan undang-undang tersebut. Mahu tidak mahu , setiap ahli parlimen dengan sendirinya tidak dapat melepaskan diri daripada turut terlibat dengan setiap undang-undang yang digubal atas nama rakyat. Maka patutkah seseorang ahli parlimen itu membiarkan sahaja perkara yang bercanggah dengan syara’ berlaku dihadapannya dan turut melibatkan rakyat di semua peringkat? Sebagai seorang wakil rakyat yang bertanggungjawab dia mesti membangkang sebarang penggubalan undang-undang yang boleh menyeret rakyat kepada kemurkaan Allah. Bukankah ini satu bentuk pembelaan yang dituntut oleh Islam?
SYUBHAT KEEMPAT:
Rasulullah sendiri menolak apabila ditawarkan dengan kekuasaan oleh pembesar-pembesar jahiliyyah yang mensyaratkan berlakunya ‘perkongsian dan pertukaran sembahan’. Sedangkan pada logiknya Nabi s.a.w. boleh menggunakan tawaran kuasa ini untuk penyebaran dakwah Islam. Maka kita juga sepatutnya mencontohi Nabi yang menolak tawaran kuasa yang dinaungi oleh sistem jahiliyyah.
BIDASAN:
Penolakan rasulullullah s.a.w. terhadap tawaran kuasa tersebut atas faktor adanya syarat yang diletakklan oleh musyrikin supaya berlakunya pertukaran tuhan / sembahan antara golongan Islam dan golongan kuffar bagi tempoh-tempoh tertentu. Dalam Islam strategi berdakwah tidak boleh sampai ke tahap bertoleransi dalam masalah iman dan aqidah. Akan tetapi dalam konteks amalan demokrasi hari ini, tidak ada sebarang syarat yang menuntut penggadaian aqidah seorang muslim untuk menjadi ahli parlimen. Bahkan setiap ahli parlimen mempunyai hak untuk bersuara dan menyatakan pendirian masing-masing apabila membahaskan sesuatu isu ataupun penggubalan undang-undang.
SYUBHAT KELIMA:
Penyertaan sebagai ahli parlimen seolah-olah meramaikan golongan munharifun (menyeleweng atau tidak menerima Islam sebagai landasan hidup yang syumul fautentik). Sedangkan Nabi s.a.w. telah bersabda : (من كثر سواد قوم فهومنهم ). Terjemahannya : Sesiapa yang meramaikan bilangan sesuatu golongan maka dia temasuk dalam golongan itu. Oleh itu, menjadi ahli parlimen meramaikan golongan munharifun dan terlibat dengan mereka.
BIDASAN:
Penulis suka menceritakan pengalaman Ustaz Fathi Yakan yang mana beliau telah cuba mengesan hadith di atas melalui المعجم المفهرس لألفاظ الحديث النبوىyang meliputi sunan sittah, muwatta’ dan musnad Imam Ahmad serta sunnan Ad-Dahrimi tetapi beliau tidak menjumpainya. Kalau pun hendak diandaikan bahawa hadith tersebut warid dalam kitab-kitab yang lain dan darjatnya sohih pula, tapi maksud hadith tidak boleh mengatasi makna hadith.
Berkenaan hadith (التشبه) ini para ulama’ mengatakan bahawa larangan yang dimaksudkan hanya meliputi perkara-perkara yang bersifat keagamaan sahaja. Adapun yang bersifat keduniaan ia tidak termasuk dalam larangan hadith.
Hakikatnya seorang ahli parlimen muslim tidak ‘meramaikan’ dewan parlimen yang terdapat ahlinya daripada golongan munharifun di atas 2 fakta :
Pertama : Dia tidak bersekongkol dengan mereka dalam penyelewengan yang mereka lakukan bahkan menyeru mereka ke arah kebenaran. Walaupun zahirnya dia bersama mereka, tetapi dari aspek aqidah dan cara berfikir mereka tidak sama.
Kedua : Dewan parlimen mempunyai bilangan ahli yang terbatas dan tetap. Maka penyertaan seorang APM sebenarnya boleh mengurangkan jumlah golongan lain dan bukan menjejaskan majoriti mereka.
SYUBHAT KEENAM :
Antara peraturan menjadi ahli parlimen, setiap ahli yang dipilih dikehendaki mengangkat sumpah dan menyatakan taat setia kepada perlembagaan negara yang memang tidak dapat dinafikan bahawa terdapat beberapa pembentukannya yang bercanggah dengan Islam. Bukankah seorang muslim ditegah bersumpah selain dengan nama Allah? Tidakkah menyatakan taat setia kepada undang-undang yang tidak Islamik merupakan antara perkara yang ditegah?
Kalau ada pihak yang mengatakan boleh bertaqiyyah dalam hal ini, maka ingatlah bahawa Imam Ahmad bin Hassan dengan tegasnya telah mengatakan : اذا سكت العالم تقبة والجاهل يجهل فمتي ينبي الحق
BIDASAN
Pertama : Penyertaan dalam parlimen boleh mendatanagkan masalah yang besar dan menolak mafsadah yang banyak. Kalau pun ia menuntut seorang APM mengangkat sumpah dan menyatakan taat setia kepada perlembagaan rukun negara, maka pada ketika itu menurut perspektif sebuah siasah syariah ia adalah dibolehkan kalau keadaan memaksa. Situasi ini hanya berlaku dengan andaian setiap ahli parlimen wajib mengangkat sumpah setiap kali sidang parlimen yang pertama. Akan tetapi tidak semua parlimen di negara-negara demokrasi mensyaratkan demikian. Contoh negara yang tidak mewajibkan ahli parlimennya mengangkat sumpah adalah Lubnan dan Malaysia. Hanya menteri pusat dan exco kerajaan negeri sahaja yang dikehendaki mengangkat sumpah di hadapan Agung atau sultan setelah dilantik secara rasmi dengan membaca teks ikrar / sumpah yang tidak bercanggah dengan syara’.
Kedua : Pada pandangan penulis, kalaupun berlakunya majlis mengangkat sumpah bagi setiap ahli parlimen, ia hanya bersifat prosedur rasmi semata-mata, maka seorang ATM ketika ‘mengangkat sumpah’ boleh beriktikad sekadar menjalankan prosedur yang ditentukan oleh undang-undang manusia sedangkan hatinya tidak mengiktikadkan undang-undang manusia karana dia hanya yakin kepada undang-undang Allah sahaja.
Walaupun ulama Syafiiyyah dan Hanafiah menyatakan bahawa sumpah dibina / dirujuk atas lafaz (الاءيمان مبنية على الألفاظ ) tetapi ulamak Malikiyyah dan Hanabilah pula berpendapat bahawa sumpah dirujuk kepada niat / tujuan (الا ءيمان مبنية على النيات )
{ rujukالقواعد الفقهية للدكتور عبد العزيز عزام m.s : 106} memandangkan perkara ini adalah masalah khilafiah, maka tidak salah kalau kita memilih mana-mana pendapat yang diterima pakai.
Ketiga : Adapun teguran Imam Ahmad bin Hanbal (IAB) bahawa orang alim tidak sepatutnya mengambil sikap bertaqiyyah, kes ini perlu dilihat secara kritis dan mendalam akan sebab larangan itu iaitu :
Kalau kita merujuk kepada sejarah, faktor yang mendororng IAB mengungkapkan kata-katanya yang masyur itu adalah kerana berlakunya isu .خلق القرأنPada ketika itu, hampir kesemua ulamak yang tidak beraliran muktazilah mengambil sikap bertaqiyyah untuk menyelamatkan diri. Akan tetapi IAB mengambil sikap berterus terang mempertahankan قديم القرأن kerana seliau tahu, kalau beliau jika beliau turut bertaqiyyah maka pilihannya itu akan membawa kepada kesesatan umat. Ini memamandangkan kedudukan beliau sebagai ulamak yang muktabar dan dipercayai oleh masyarakat. Maka pendirian IAB pada ketika itu memang tepat bahkan wajib ke atasnya berbuat demikian demi menyelamatkan aqidah umat.
Berbeza pula dengan ‘taqiyyah ‘ (kalau nak dikatakan taqiyyah) yang dilakukan oleh APM ketika mengangkat sumpah sebagai ahli parlimen. Ianya tidak membawa kesan aqidah kepada umat bahkan dia sendiri berpeluang untuk mengatakan kepada rakyat bahawa hanya undang-undang Allah yang wajib didaulatkan dan undang-undang selainnya wajib ditolak. Bukankah tujuan awalnya bertanding menjadi ahli parlimen adalah untuk mendaulatkan undang-undang Alllah sahaja
Tiada ulasan:
Catat Ulasan