Dengan nama ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Moga penulisan dan tiap bait kata yang tertaip adalah dalam naungan rahmat ALLAH jua.
Kerana setiap satu yang dimiliki saat ini akan dipersoalkan semula. Pernah suatu ketika, Saidina Ali meneguk segelas air suam. Sesudah itu beliau berkata, “nikmat ni akan disoal.”
Bayangkan. Oleh itu, seperlunya tiap hela nafas, denyut nadi, malah tiap kerdipan mata yang dipinjamkan ini moga ada manfaatnya untuk kita. Mudah-mudahan, ada jawapan yang dapat kita berikan saat dipersoalkan semula oleh Si Dia nanti.
Lantas, seharusnya kita sentiasa berfikir menghitung diri. Apakah yang sedang dilakukan saat ini mampu memanfaatkan kita di akhir kelak, atau sekadar memalukan diri di hadapan-Nya. Tika itu, tertunduklah wajah kehinaan. Tiada lagi gunanya.
Jadi sebelum berlakunya saat itu, perlulah kita untuk berniat dan bercita-cita. Supaya tidak digolongkan ke dalam golongan manusia yang sering disebutkan di dalam Al-Quran, ‘terdiam berputus asa’. Kemudian, cita-cita dan niat itu pula perlulah dibuktikan melalui ikhlasnya hati dalam tindakan.
Benar, amat sukar mendidik hati. Lebih-lebih lagi untuk meletakkannya di tahap paling ikhlas. Cukup payah. Tetapi jika kita ikhlas mengerah hati untuk menjadi ikhlas, maka hasilnya tidak akan mengecewakan. Insya-ALLAH. Kerana yang memegang hati kita adalah ALLAH. Dan yang tahu hati kita juga hanya Dia. Bererti setiap usaha itu pasti di dalam pandangan-Nya. Tidak perlu kita gusar.
Kemudian, sedikit demi sedikit, hamba yang bersungguh mendidik hati akan mula merasakan betapa ada ketenangan yang mula mengalir ke dalamnya. Halus, nipis dan kecil, hingga sukar untuk dikenal pasti dari mana datangnya ketenangan itu. Apa yang kita tahu, hati sudah mula terasa cinta untuk mengabdikan diri pada-Nya. Bukan lagi niatnya ibadah itu kerana takut murka-Nya. Sebaliknya kerana cinta dan rindu. Sesaat tidak berniat mengharap redha-Nya, terasa rugi. Itulah ibadah para solihin, insya-ALLAH.
Kemudian, jika telah mendapatkan tenangnya hati itu, pastilah kita mahu terus memilikinya. Ketika ini, penjagaan terhadap segumpal darah itu amat penting. Tersilap mencatur, bimbang istighfar yang terlafaz di bibir tidak lagi memberi kesan terhadapnya lantaran telah dibalut keras dan hitamnya noda.
Banyak sebenarnya cara mendidik hati. Dan salah satunya adalah dengan menjaga hati hamba ALLAH yang memandang kita.
‘Jaga mata hati sendiri dengan menjaga mata hati orang lain,’ kata seorang sahabat saya.
Penting sebenarnya perkara ini, kerana hati itu pasangannya hati juga. Jika kita menyampaikan dengan hati, maka yang akan menerimanya juga adalah hati. Jika kita mendidik dengan hati, maka yang akan terdidik adalah hati. Baik hati sendiri, mahupun hati mereka. Jika kita menyampaikan untuk menyakitkan hati, maka yang akan terluka juga adalah hati. Tidak lari ke mana, kerana itu aturan-Nya.
Jadi, terfikir sebenarnya sesuatu. Mengapa adakalanya, kita telah berniat untuk menjaga maruah diri. Tetapi tetap juga diganggu. Tetap juga ada yang masih terkotor hati melihat kita. Masih juga ada yang tidak menghormati pendirian kita. Tidak cukup sempurnakah pemakaian? Tidak cukup terjagakah penampilan? Aneh sebenarnya perkara ini. Dan kita semestinya akan terus membawa hati dan akal untuk berfikir mengenainya.
Jawapan sebenarnya telah lama ALLAH berikan...
Setiap dari kita adalah da’ie, bukan? Yakni, sesiapa saja yang mengaku ALLAH satu-satunya Tuhan, dan Muhammad itu utusan-Nya, maka gelaran da’ie itu adalah miliknya. Dan da’ie pastilah hebat pemikirannya. Maka, kehebatan ini sepatutnya menjadikan kita lebih sedar.
Sebenarnya hidup seharian ini adakala membuatkan kita terlepas pandang perkara kecil. Sedangkan perkara kecil tersebut mampu memberi kesan besar. Dalam penjagaan perilaku contohnya. Kita fikir keramahan yang kita pamerkan itu hanyalah perkara biasa. Hakikatnya, keramahan itulah yang berpotensi mengotorkan hati-hati lain. Terutama terhadap dia yang lawan jantina. Barangkali dia tidak memberitahu bahawa hatinya telah tersentuh dek kemesraan kita. Dan kita terus menganggapnya perkara biasa. Terus bergelak ketawa dengan niat, ada batasnya.
Tahu-tahu sahaja dia meminta cinta. Pasti saja hati beristighfar panjang saat itu. Kemudian tertanya, “apa lagi yang perlu aku jaga, ya ALLAH?”
Di pinggir jalan, sengaja ketawa kemalu-maluan sewaktu berbual dengan teman sejantina dengan hasrat mahu dia menyedari indahnya seorang muslimah. Suara yang sememangnya telah lembut itu kedengaran sangat menusuk hati. Na’uzubillah. Itulah hati.
Jangan buatkan mereka yang memandang kita jadi kotor hatinya. Jika kita mahu jauh dari fitnah, berfikir dan bertindaklah ke arah niat tersebut. Jangan menyerah diri terhadap fitnah itu. Bersama-sama kita betulkan niat. Tidak mungkin ALLAH tidak mengerti niat hamba-Nya sendiri. Jika benar kita mengharapkan berlakunya sesuatu perkara, biasanya kita akan mendapatkannya. Sebagai contoh, kita benar-benar mahu jauh dari gangguan fitnah. Maka apa yang akan kita lakukan?
Tentu-tentu saja kita akan berusaha hingga tejaga hati mereka yang melihat kita. Ingat, kita bukan saja mendidik hati kita, malah hati mereka yang memandang kita juga. Didiklah hati mereka, bukan dikotorkan.
Barangkali kita akan menuduh, ‘mereka yang tidak menjaga pandangan!’
Tapi, ukht. Kita wanita. Adik lelaki saya pernah melakukan sedikit kaji selidik. Katanya, lelaki menganggap semua wanita adalah cantik. Yang membezakan hanyalah cantik banyak atau sedikit. Itu saja. Lantas walau siapapun kita di hadapan cermin, yakinlah bahawa kita sebenarnya telah diciptakan sangat indah. Bersyukurlah dan buktikan kesyukuran itu.
Kita perlu jaga amanah ‘kecantikan’ ini. Jangan sampai Adam tersungkur. Perlu juga kita jaga keindahan ini, jangan sampai Hawa lain iri hati. Harusnya, di dalam hati ada tekad yang sangat utuh dan mendalam. Fahamilah betapa bertuahnya seorang lelaki, bila beristerikan wanita yang mengkhususkan dirinya untuk tatapan si suami semata.
Merekalah satu-satunya lelaki asing yang sudi menghargai kita dengan sebuah mahar, sudi menanggung dosa kita, memikul betapa perit dan susahnya meluruskan tulang yang bengkok ini, menerima seadanya kekurangan kita. Mereka saja, ukht. Tidak ada lelaki asing lain, percayalah. Jika tidak, masakan dia jodoh kita. Masakan dia berani berdepan ibu ayah kita. Beranikah lelaki yang tidak layak, bertemu orang tua kita untuk mengambil anak perempuan yang dijaga dan dididik sekian lama? Pada siapakah dianugerahkan keberanian itu jika bukan pada dia yang telah ditakdirkan buat kita?
Jadi, layakkah kita samakan dia dengan lelaki lain? Yang tidak pernah mahu menghargai kita, tidak ada sebarang mahar untuk memiliki cantiknya kita. Sanggup kita beri percuma pada mereka, sedangkan suami sendiri yang seharusnya kita cinta dan sanjung juga perlu membayar untuknya?
Wajah yang sepatutnya dia tatap untuk jadi penyejuk hati, suara yang sepatutnya dia dengar bila saja resah, kemanjaan yang sepatutnya dia saja rasai setiap kali mahu menyayangi dan disayangi, kelembutan yang sepatutnya membelai dia saat keras hatinya... adakah layak dikongsi dengan mereka yang tiada sebarang tanggungjawab terhadap kita?
Kita mahu suami soleh sebagai pembimbing, tapi kita sendiri gagal membimbing diri. Perlu kita ingat. Suami juga seorang manusia seperti kita. Mereka pelengkap kita, kita pelengkap mereka dan mereka takkan pernah lengkap tanpa kita. Masakan mereka sempurna tanpa sebarang cacat-cela.
Jadi kelebihan kita yang akan menutup kekurangan itu. Indahnya jika hidup saling membina. Bila kita di bawah, suami hulur tangan. Bangkit. Tapi bila suami di bawah, dan tika itu kita sendiri tiada kemampuan membimbing dan membantu, lantas bagaimana? Layakkah balasan itu untuk seorang suami?
ALLAH Maha Adil. Masakan mahu ALLAH padankan seorang Adam yang soleh, yang telah sedaya upaya menjaga hati dan cintanya dengan Hawa yang sangat jauh rendahnya tahap taqwa. Tiada yang mustahil bagi ALLAH untuk memautkan hati mereka terhadap Hawa ‘sebegitu’, tapi ALLAH sangat malu untuk tidak memakbulkan doa hamba, lebih-lebih lagi yang soleh. Lelaki soleh pula pasti mendoakan jodohnya dengan wanita solehah. Maka... bagaimana penyudahnya. Kita mampu berfikir, insya-ALLAH.
Apapun, bukanlah iktikad kita dalam menjaga hati, diri dan maruah kerana mahu memiliki lelaki soleh. Tanpa lelaki soleh, sepatutnya kita tetap tegar menjejak cinta dan keampunan ALLAH. Itu paling utama.
Wallahu’alam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan