Khamis, 24 November 2011

Jangan sedih---> sempena result PSPM I matrikulasi

Firman Allah Ta’ala yang bermaksud :
Patutkah manusia menyangka Bahawa mereka akan dibiarkan Dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?. Al Ankabuut 2.
Setiap manusia yang Allah cipta sentiasa akan diberi musibah, ujian atau masalah hidup didunia yang sementara ini. Tipu jika seseorang itu berkata yang dia tidak pernah ditimpa musibah. Setiap orang ada masalahnya tersendiri, Allah uji dengan berbagai-bagai ujian tetapi sebabnya adalah sama. Allah menguji seseorang itu kerana Allah swt mempunyai rahsianya tersendiri, sama ada Allah hendak tambah iman kita atau hendak uji sejauh mana keimanan kita.
Dan kerana sesuatu ujian itulah yang membuka mata hati kita, yang mendidik kita supaya jangan mudah putus asa dalam kehidupan yang bagaikan bahtera dilautan yang penuh dengan onak duri, ujian juga dapat mematangkan kita.
Kadang-kadang kita tertanya-tanya, mempersoalkan kepada Allah swt kenapa kita diberi ujian yang berat sebegitu sekali sehingga kita terlupa pada siapa yang perlu kita mengadu segala masalah kita, pada siapa kita harus minta kembali kekuatan kita. Astagfirullah, lemahnya dan rendahnya iman kita. Tidak redha dalam menghadapi ujian yang Allah beri terhadap kita.
Jika kita anggap diri kita ditimpa musibah yang besar kita hendaklah ingat bukan kita sahaja yang mengalaminya, mungkin ada sahabat-sahabat kita atau saudara seakidah kita yang lain menghadapi musibah yang sama bahkan lebih teruk atau lebih besar dari kita.
Allah tahu kita kuat dalam menghadapi ujianNya jadi Allah berikan ujian itu ke atas diri kita. Di sini kita dapat lihat betapa sayang dan kasihnya Allah kepada kita sebagai hambaNya.
Firman Allah Taala yang bermaksud :
Allah tidak akan sekali-kali menguji hambaNya diluar kemampuan hambaNya. Al Baqarah 286.
Allah menguji seseorang bukan kerana Allah benci kepada kita tetapi percayalah yang Allah sangat kasih kepada kita. Cuma kita sebagai hambaNya tidak pernah hendak bersabar dalam menghadapi ujianNya.
Pasti Allah telah aturkan yang terbaik buat kita kerana setiap yang berlaku ada hikmahnya. Alihkan pandangan matamu ke arah LAUT, airnya cantik membiru dan penuh dengan ketenangan.
Tetapi hanya Allah sahaja yang mengetahui rahsia di dalamnya. Begitu juga dengan kehidupan manusia, riang dan ketawa tetapi hanya Allah yang mengetahui rahsia kehidupannya.
Jika rasa kecewa, alihkan pandanganmu ke arah SUNGAI, airnya tetap mengalir biarpun berjuta batu yang menghalangnya. Dan jika rasa sedih,alihkan pandanganmu ke arah LANGIT, sedarlah dan sentiasa ingatlah bahawa Allah sentiasa bersamamu.
Jadi seharusnya apa yang perlu kita lakukan? berdoalah kepada Allah, Allah lah tempat kembali segala masalah yang sering membelenggu diri kita. Jangan malu untuk merayu-rayu, meminta-minta, memohon-mohon kepada Allah swt.Selalu diingatkan yang Allah tidak pernah jemu mendengar rintihan hambaNya, Allah itu Maha Mendengar.
Dekatkanlah diri kita dengan pencipta kita yang menguasai seluruh alam, yang memegang hati-hati kita. Disamping berdoa perlulah kita berusaha menyelesaikan masalah yang dihadapi. Mungkin ada yang rasa diri mereka tidak kuat hendak hadapinya tetapi cubalah bangun! Usah tewas dengan hasutan syaitan, cari kembali kekuatan kita kerana kekuatan itu ada dalam diri kita masing-masing.
Yakin dengan diri, kuatkan azam dan cita-cita. Usah tonjolkan kelemahan kita pada syaitan kerana syaitan tidak pernah berhenti menghasut agar kita lemah-selemahnya.
Jika rasa tidak kuat atau lemah, carilah sahabat-sahabat yang sentiasa memberi kata-kata semangat kepada kita dan bukan sahabat yang menjatuhkan kita. Itulah pentingnya sahabat kerana kita tidak mungkin bisa hidup berseorangan. Kita perlu tahu selepas ujian itu selesai, satu lagi ujian akan datang, maka bersedialah dalam menghadapi ujian yang seterusnya.
Untung bagi mereka yang selalu diberi ujian tanda Allah swt sayang padanya. Semoga kita sentiasa menjadi hambaNya yang sentiasa redha atas ujian dan ketentuan Allah swt. Apa yang ditetapkan untuk kita itulah yang terbaik! so... nak sedih2 lagi ker dengan result PSPM I wahai pelajar matrik....?

Selasa, 22 November 2011

Jodoh suamimu

Dengan nama ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Moga penulisan dan tiap bait kata yang tertaip adalah dalam naungan rahmat ALLAH jua.

Kerana setiap satu yang dimiliki saat ini akan dipersoalkan semula. Pernah suatu ketika, Saidina Ali meneguk segelas air suam. Sesudah itu beliau berkata, “nikmat ni akan disoal.”
Bayangkan. Oleh itu, seperlunya tiap hela nafas, denyut nadi, malah tiap kerdipan mata yang dipinjamkan ini moga ada manfaatnya untuk kita. Mudah-mudahan, ada jawapan yang dapat kita berikan saat dipersoalkan semula oleh Si Dia nanti.

Lantas, seharusnya kita sentiasa berfikir menghitung diri. Apakah yang sedang dilakukan saat ini mampu memanfaatkan kita di akhir kelak, atau sekadar memalukan diri di hadapan-Nya. Tika itu, tertunduklah wajah kehinaan. Tiada lagi gunanya.

Jadi sebelum berlakunya saat itu, perlulah kita untuk berniat dan bercita-cita. Supaya tidak digolongkan ke dalam golongan manusia yang sering disebutkan di dalam Al-Quran, ‘terdiam berputus asa’. Kemudian, cita-cita dan niat itu pula perlulah dibuktikan melalui ikhlasnya hati dalam tindakan.

Benar, amat sukar mendidik hati. Lebih-lebih lagi untuk meletakkannya di tahap paling ikhlas. Cukup payah. Tetapi jika kita ikhlas mengerah hati untuk menjadi ikhlas, maka hasilnya tidak akan mengecewakan. Insya-ALLAH. Kerana yang memegang hati kita adalah ALLAH. Dan yang tahu hati kita juga hanya Dia. Bererti setiap usaha itu pasti di dalam pandangan-Nya. Tidak perlu kita gusar.

Kemudian, sedikit demi sedikit, hamba yang bersungguh mendidik hati akan mula merasakan betapa ada ketenangan yang mula mengalir ke dalamnya. Halus, nipis dan kecil, hingga sukar untuk dikenal pasti dari mana datangnya ketenangan itu. Apa yang kita tahu, hati sudah mula terasa cinta untuk mengabdikan diri pada-Nya. Bukan lagi niatnya ibadah itu kerana takut murka-Nya. Sebaliknya kerana cinta dan rindu. Sesaat tidak berniat mengharap redha-Nya, terasa rugi. Itulah ibadah para solihin, insya-ALLAH.

Kemudian, jika telah mendapatkan tenangnya hati itu, pastilah kita mahu terus memilikinya. Ketika ini, penjagaan terhadap segumpal darah itu amat penting. Tersilap mencatur, bimbang istighfar yang terlafaz di bibir tidak lagi memberi kesan terhadapnya lantaran telah dibalut keras dan hitamnya noda.

Banyak sebenarnya cara mendidik hati. Dan salah satunya adalah dengan menjaga hati hamba ALLAH yang memandang kita.

‘Jaga mata hati sendiri dengan menjaga mata hati orang lain,’ kata seorang sahabat saya.
Penting sebenarnya perkara ini, kerana hati itu pasangannya hati juga. Jika kita menyampaikan dengan hati, maka yang akan menerimanya juga adalah hati. Jika kita mendidik dengan hati, maka yang akan terdidik adalah hati. Baik hati sendiri, mahupun hati mereka. Jika kita menyampaikan untuk menyakitkan hati, maka yang akan terluka juga adalah hati. Tidak lari ke mana, kerana itu aturan-Nya.

Jadi, terfikir sebenarnya sesuatu. Mengapa adakalanya, kita telah berniat untuk menjaga maruah diri. Tetapi tetap juga diganggu. Tetap juga ada yang masih terkotor hati melihat kita. Masih juga ada yang tidak menghormati pendirian kita. Tidak cukup sempurnakah pemakaian? Tidak cukup terjagakah penampilan? Aneh sebenarnya perkara ini. Dan kita semestinya akan terus membawa hati dan akal untuk berfikir mengenainya.

Jawapan sebenarnya telah lama ALLAH berikan...
Setiap dari kita adalah da’ie, bukan? Yakni, sesiapa saja yang mengaku ALLAH satu-satunya Tuhan, dan Muhammad itu utusan-Nya, maka gelaran da’ie itu adalah miliknya. Dan da’ie pastilah hebat pemikirannya. Maka, kehebatan ini sepatutnya menjadikan kita lebih sedar.

Sebenarnya hidup seharian ini adakala membuatkan kita terlepas pandang perkara kecil. Sedangkan perkara kecil tersebut mampu memberi kesan besar. Dalam penjagaan perilaku contohnya. Kita fikir keramahan yang kita pamerkan itu hanyalah perkara biasa. Hakikatnya, keramahan itulah yang berpotensi mengotorkan hati-hati lain. Terutama terhadap dia yang lawan jantina. Barangkali dia tidak memberitahu bahawa hatinya telah tersentuh dek kemesraan kita. Dan kita terus menganggapnya perkara biasa. Terus bergelak ketawa dengan niat, ada batasnya.

Tahu-tahu sahaja dia meminta cinta. Pasti saja hati beristighfar panjang saat itu. Kemudian tertanya, “apa lagi yang perlu aku jaga, ya ALLAH?”
Di pinggir jalan, sengaja ketawa kemalu-maluan sewaktu berbual dengan teman sejantina dengan hasrat mahu dia menyedari indahnya seorang muslimah. Suara yang sememangnya telah lembut itu kedengaran sangat menusuk hati. Na’uzubillah. Itulah hati.

Jangan buatkan mereka yang memandang kita jadi kotor hatinya. Jika kita mahu jauh dari fitnah, berfikir dan bertindaklah ke arah niat tersebut. Jangan menyerah diri terhadap fitnah itu. Bersama-sama kita betulkan niat. Tidak mungkin ALLAH tidak mengerti niat hamba-Nya sendiri. Jika benar kita mengharapkan berlakunya sesuatu perkara, biasanya kita akan mendapatkannya. Sebagai contoh, kita benar-benar mahu jauh dari gangguan fitnah. Maka apa yang akan kita lakukan?

Tentu-tentu saja kita akan berusaha hingga tejaga hati mereka yang melihat kita. Ingat, kita bukan saja mendidik hati kita, malah hati mereka yang memandang kita juga. Didiklah hati mereka, bukan dikotorkan.
Barangkali kita akan menuduh, ‘mereka yang tidak menjaga pandangan!’
Tapi, ukht. Kita wanita. Adik lelaki saya pernah melakukan sedikit kaji selidik. Katanya, lelaki menganggap semua wanita adalah cantik. Yang membezakan hanyalah cantik banyak atau sedikit. Itu saja. Lantas walau siapapun kita di hadapan cermin, yakinlah bahawa kita sebenarnya telah diciptakan sangat indah. Bersyukurlah dan buktikan kesyukuran itu.

Kita perlu jaga amanah ‘kecantikan’ ini. Jangan sampai Adam tersungkur. Perlu juga kita jaga keindahan ini, jangan sampai Hawa lain iri hati. Harusnya, di dalam hati ada tekad yang sangat utuh dan mendalam. Fahamilah betapa bertuahnya seorang lelaki, bila beristerikan wanita yang mengkhususkan dirinya untuk tatapan si suami semata.

Merekalah satu-satunya lelaki asing yang sudi menghargai kita dengan sebuah mahar, sudi menanggung dosa kita, memikul betapa perit dan susahnya meluruskan tulang yang bengkok ini, menerima seadanya kekurangan kita. Mereka saja, ukht. Tidak ada lelaki asing lain, percayalah. Jika tidak, masakan dia jodoh kita. Masakan dia berani berdepan ibu ayah kita. Beranikah lelaki yang tidak layak, bertemu orang tua kita untuk mengambil anak perempuan yang dijaga dan dididik sekian lama? Pada siapakah dianugerahkan keberanian itu jika bukan pada dia yang telah ditakdirkan buat kita?

Jadi, layakkah kita samakan dia dengan lelaki lain? Yang tidak pernah mahu menghargai kita, tidak ada sebarang mahar untuk memiliki cantiknya kita. Sanggup kita beri percuma pada mereka, sedangkan suami sendiri yang seharusnya kita cinta dan sanjung juga perlu membayar untuknya?
Wajah yang sepatutnya dia tatap untuk jadi penyejuk hati, suara yang sepatutnya dia dengar bila saja resah, kemanjaan yang sepatutnya dia saja rasai setiap kali mahu menyayangi dan disayangi, kelembutan yang sepatutnya membelai dia saat keras hatinya... adakah layak dikongsi dengan mereka yang tiada sebarang tanggungjawab terhadap kita?

Kita mahu suami soleh sebagai pembimbing, tapi kita sendiri gagal membimbing diri. Perlu kita ingat. Suami juga seorang manusia seperti kita. Mereka pelengkap kita, kita pelengkap mereka dan mereka takkan pernah lengkap tanpa kita. Masakan mereka sempurna tanpa sebarang cacat-cela.
Jadi kelebihan kita yang akan menutup kekurangan itu. Indahnya jika hidup saling membina. Bila kita di bawah, suami hulur tangan. Bangkit. Tapi bila suami di bawah, dan tika itu kita sendiri tiada kemampuan membimbing dan membantu, lantas bagaimana? Layakkah balasan itu untuk seorang suami?

ALLAH Maha Adil. Masakan mahu ALLAH padankan seorang Adam yang soleh, yang telah sedaya upaya menjaga hati dan cintanya dengan Hawa yang sangat jauh rendahnya tahap taqwa. Tiada yang mustahil bagi ALLAH untuk memautkan hati mereka terhadap Hawa ‘sebegitu’, tapi ALLAH sangat malu untuk tidak memakbulkan doa hamba, lebih-lebih lagi yang soleh. Lelaki soleh pula pasti mendoakan jodohnya dengan wanita solehah. Maka... bagaimana penyudahnya. Kita mampu berfikir, insya-ALLAH.

Apapun, bukanlah iktikad kita dalam menjaga hati, diri dan maruah kerana mahu memiliki lelaki soleh. Tanpa lelaki soleh, sepatutnya kita tetap tegar menjejak cinta dan keampunan ALLAH. Itu paling utama.
Wallahu’alam.

Ahad, 20 November 2011

Guru tak tukar

Perasaan yang amat gembira terpahat di hati saya dan lebih 10 rakan yang lain bila mengetahui keputusan permohonan pertukaran kami dari daerah pedalaman telah diluluskan  pada 10 November 2011 lalu melalui sistem online egtukar. Kami dengan tidak berlengah lagi telah membuat pengurusan membatalkan sewaan rumah, menyewa lori dan menguruskan pertukaran anak-anak ke daerah dimana kami akan ditempatkan. Ada antara kami yang mencecah lebih lima hingga sepuluh tahun mengajar di pedalaman, sekian lama menunggu saat ini dengan hati yang begitu teruja untuk balik tinggal bersama dengan anak isteri dan ahli keluarga masing-masing.
Lebih kurang pukul 3 petang, 16 November 2011 kami telah membuat semakan keputusan sekali lagi dan terkejut bila mendapati keputusan kelulusan pertukaran kami melalui sistem online bertukar gagal. Terperanjat, marah dan kesal dengan keputusan kedua itu seolah-olah kami warga guru telah dipermainkan dengan proses pertukaran ini. Kami diperlakukan seperti budak-budak, ditunjukkan gula-gula tapi tidak diberi merasanya. Hampir 5, 7 dan lebih 10 tahun kami berjuang nasib untuk pulang ke daerah kami dengan membuat permohonan pertukaran setiap kali sesi tersebut dibuka dan difahamkan salah satu syarat permohonan adalah melebihi 3 tahun mengajar di pedalaman.
Malah dijanjikan guru yang di reployment hanya 3 tahun sahaja di pedalaman. Tapi hingga kini kami masih di sini dan apabila permohonan pertukaran kami diluluskan, ia dibatalkan pula. Itukah keadilan dan perikemanusiaan? Mungkin perkara yang sama sedang berlaku kepada rakan-rakan sejawatan kami yang lain.
Kami dah juak dengan Jabatan Pelajaran Kelantan yang menjadi ' Pendusta Kelas Pertama' dalam menjaga kebajikan warga pendidiknya. Kami tahu, hampir 80% warga pekerjanya adalah pembohong, hipokrit, gila pangkat, gila kuasa, gila betina nasib baiklah tidak mendapat penyakit 'gila babi' terutamanya Pentadbir Pertama atasan jabatan ini, ketua sektor yang menguruskan hal ehwal sekolah, malah pegawai yang terlibat dalam proses kelulusan pertukaran ini.
Bila kami membuat panggilan ke Jabatan Pelajaran Kelantan untuk menanyakan status pembatalan pertukaran ini, mereka meminta kami merujuk kepada Penolong Pengarah Pengurusan Guru iaitu YM Raja Anoro bin Raja Kob di talian 09-7418099. Kami menghubungi beliau dan memohon penjelasan. Beliau dengan angkuh menjawab itu adalah kesilapan teknikal dan keputusan dalam egtukar online tidak boleh digunapakai. Beliau juga menjelaskan bahawa keputusan rasmi adalah apabila kami menerima surat penempatan yang akan dikeluarkan oleh Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan yang ditandatangani Pengarah sahaja. Begitu mudah jawapan yang diberi.
Kami rasa amat tidak berpuas hati dan cuba mencari jawapan lagi mengikut saluran yang betul. Menelefon pegawai berkaitan, bertanya kepada Pejabat Pendidikan Daerah dan sebagainya.  Namun amat terkejut, bukan kerana kegagalan pertukaran kami, tetapi dengan maklumat peribadi pegawai yang terlibat dalam kes ini adalah seorang yang mempunyai rekod peribadi yang sangat buruk sewaktu beliau bertugas di Institut Perguruan Kota Bharu dan telah dipoolkan di Kementerian Pelajaran Malaysia. Maklumat tentang dirinya telah tersebar luas di internet dan pelusuk negeri Kelantan. Sungguh hebat pegawai yang menguruskan pembatalan pertukaran kami ini. Sama hebatnya dengan Pengarah Pelajaran Kelantan yang telah membawa masuk dan menempatkan beliau di Jabatan Pelajaran Kelantan.
Lagi mengejutkan kami adalah ada di antara guru-guru yang lulus bertukar tanpa membuat permohonan seperti kami dan ada di kalangan mereka yang baru 2 tahun, baru 6 bulan mengajar di pedalaman. Mereka sudah dapat pulang ke daerah masing-masing dengan bantuan kabel politik. Cukup jelas apabila agenda ini direstui oleh Ketua Sektor di Jabatan Pelajaran Kelantan! Mungkin bagi kami guru-guru yang mengikut saluran yang betul, yang tiada kabel akan menunggu disini sehingga mati dalam menunggu permohonan demi permohonan yang silih berganti. Kami telah diperbodohkan oleh warga pendidikan sendiri yang selalu sibuk mewarwarkan kepentingan perkhidmatan sebagai guru, integriti dan ketelusan. Jika perkara seperti ini berterusan, ia bukan sekadar merosakkan Jabatan Pelajaran Kelantan sebagai bumbung tempat kami berteduh, malah merosakkan seluruh sistem pendidikan Kelantan dan yang amat sedih apabila murid generasi depan akan menjadi mangsa kerakusan kepentingan diri para pegawai ini. Untuk makluman seramai lebih kurang 178 guru di seluruh Kelantan yang telah diluluskan permohonan telah dibatalkan tanpa sebab!
Jadi, janganlah memperbodohkan kami yang bodoh ini dengan alasan disebabkan masalah teknikal. Kerana selama kami menggunakan perkhidmatan online egtukar ini, masalah teknikal tidak timbul dengan pengurusan kelulusan permohonan tidak bermasalah. Secara bodohnya, kami dapat mengagak bahawa masalah yang timbul adalah berpunca daripada pegawai yang diberikan kepercayaan menguruskan pertukaran ini di samping mempunyai agenda tersendiri ( agenda politik, semestinya ) oleh Tuan Pengarahnya dan turut disubahati oleh Ketua Sektornya. Disini juga jelas bahawa penyalahgunaan kuasa, kemerosotan integriti dan jenayah merosakkan nama baik jabatan ketara dilakukan.
Wahai warga Pengurusan sekolah, Jabatan Pelajaran Kelantan, kamu akan lihat suatu masa nanti kemusnahan pendidikan Kelantan dengan kewujudan bangsa Melayu berideologi Yahudi dengan dosa-dosa dan pengkhianatan yang kamu lakukan dan ciptakan sendiri terhadap bangsamu! Kamu akan lihat keputusan dalam pilihanraya umum ke 13 Kelantan nanti tidak dapat dicapai seperti yang diimpikan oleh YAB Perdana Menteri. Itu suatu yang kami amat pasti!
sumber: harakahdaily

Fuh! Laluan Dalam Air Di Netherland

Satu laluan untuk pejalan kaki merentasi sebuah sungai di Netherland. Apa yang menariknya, ianya seperti tidak terdapat laluan apabila dilihat dari jauh.
jambatan air (3)


jambatan air (1)
jambatan air (2)
jambatan dalam air (3)
jambatan dalam air (2)
jambatan dalam air (1)
 
 

Hati baek vs tutup aurat

Anak muda di hadapan saya terus mengasak saya dengan hujah-hujah logiknya. Senang melihat anak muda yang berani dan berterus-terang begitu. Hujahnya tajam dan menikam. "Tidak semestinya wanita yang menutup aurat itu baik, " tegasnya.
"Saya kenal beberapa orang wanita yang menutup aurat... perangai mereka ada yang lebih buruk berbanding wanita yang tidak menutup aurat," tambahnya lagi.
Saya diam melihat dia berhujah dengan akal dan pengalaman. Namun pengalamannya agak terbatas. Berapa ramai wanita yang dikenalinya dalam usia semuda itu? Dan akalnya juga terbatas – aqal perlu dirujuk kepada naqal. Mesti memahami prinsip ilmu wahyu terlebih dahulu, kemudian barulah kita bebas menggunakan fikiran dan pengalaman tanpa terbabas.
"Sebenarnya, apa yang cuba awak sampaikan?" tanya saya lembut.
"Saya nak tegaskan bahawa wanita yang baik tidak semestinya menutup aurat."
"Justeru, wanita yang jahat itu ialah wanita yang menutup aurat?" jolok saya melayan pola logiknya berfikir.
"Er, er, bukan begitu. Maksud saya, baik atau buruknya perangai seseorang wanita tidak bergantung pada pakaiannya, samada dia menutup aurat atau tidak."
"Apa ukuran awak tentang nilai kebaikan seorang wanita?" kilas saya tiba-tiba.
"Jujur, terus-terang, pemurah, lemah-lembut..."
"Itu sahaja?"
"Ya. Pada ustaz pula apa ukurannya?"
"Kita hanya manusia. Akal kita terbatas. Ukuran dan penilaian kita juga pasti terbatas. Jika diserahkan kepada manusia mentafsir apa itu kebaikan, akan celaru dibuatnya."
"Mengapa?"
"Kerana setiap manusia ada jalan berfikirnya sendiri. Saya bimbang nilai kebaikan akan menjadi suatu yang relatif dan subjektif, padahal kebaikan itu juga seperti kebenaran... ia suatu yang objektif dan mutlak, " akui saya terus-terang.
"Habis, untuk apa kita diberi akal? Kita harus rasional dan logik!"
Saya cuba senyum lantas berkata, "akal perlu tunduk kepada penciptanya, Allah. Fikiran mesti merujuk kepada Al Quran dan Hadis. Itu kan lebih tepat... ilmu kita terbatas, ilmu Allah Maha Luas."
"Jadi akal kita untuk apa?" desaknya lagi.
"Untuk memikirkan apa hikmah kebaikan yang telah ditentukan Allah dan bagaimana melaksanakannya dalam kehidupan."
"Ertinya akal kita terikat?"
"Akal kita bebas, tetapi dalam lingkungan syariat. Sama seperti bumi yang sedang ligat berpusing ini... tetapi tetap pada paksinya."
"Bukankah agama ini untuk orang yang berakal?"
"Betul. Tetapi tidak semua perkara dapat dicapai oleh akal. Lebih-lebih lagi perkara-perkara yang ghaib, tidak akan terjangkau oleh akal. Syurga, Neraka, Titian Sirat, Mahsyar misalnya, wajib dipercayai dan diyakini tanpa perlu dilogik-logikkan lagi. Itulah iman."
"Ah, jauh kita menyimpang. Bukankah tadi kita berbincang tentang wanita yang baik? Saya ulangi, wanita yang baik tidak semestinya menutup aurat, betulkan?"
"Separuh betul," jawab saya.
"Kalau dia wanita yang jujur, terus-terang, pemurah dan lemah lembut... ya dia 'baik' di sudut itu. Tetapi jika dia mendedahkan auratnya, dia telah melanggar perintah Allah di sudut yang lain. Dia 'tidak baik' di sudut berpakaian, kerana hukum menutup aurat telah termaktub dalam Al Quran."
Anak muda di hadapan saya muram. Nampaknya dia belum berpuas hati.
"Tetapi dia jujur, amanah..."
"Orang yang baik menurut Islam ialah orang yang baik hubungannya dengan Allah dan manusia. Menutup aurat perintah Allah."
Anak muda di hadapan saya masih tidak puas hati. Perlahan-lahan saya tusuk dengan hujah yang memujuk,  "namun percayalah jika benar-benar hatinya baik, insyaAllah lambat laun dia akan menutup aurat juga."
"Apa hujah ustaz? Pengalaman? Fikiran atau telahan?"
"Masih merujuk kepada Al Hadis."
"Hadis yang mana?"
"Hadis riwayat Bukhari mengisahkan seorang wanita pelacur berbangsa Yahudi yang telah memberi minum seekor anjing yang kehausan. Atas sebab sifat belas kasihannya itu dia mendapat hidayah lalu menjadi wanita yang solehah."
"Apa kaitan cerita itu dengan subjek yang kita bincangkan ini?"
"Secara tidak langsung  itu menunjukkan bagaimana jika hati seseorang mempunyai sifat-sifat baik seperti kasih sayang, belas kasihan dan pemurah, sekalipun kepada anjing, itu boleh menjadi sebab Allah kurniakan hidayah untuk dia beriman seterusnya menjadi wanita solehah."
"Maksud ustaz?"
"Jika seorang wanita itu benar-benar baik hatinya insya-Allah lambat laun dia akan menutup aurat walaupun sebelumnya tidak menutup aurat."
"Oh, begitu. Kenapa ya?"
"Allah menilai pada hati. Jika hati itu baik,  lambat laun hal-hal luaran pasti mengikutnya jadi baik."
"Apa pula pendapat ustaz tentang wanita yang menutup aurat tetapi akhlak dan perangainya buruk?"
"Bab aurat dia telah selamat. Alhamdulillah, kewajiban menutup aurat telah dipatuhinya. Apa yang tinggal... dia perlu membaiki akhlak dan perangainya. Dia perlu terus berusaha."
"Jika ada berpura-pura? Menutup aurat hanya untuk menunjuk-nunjuk atau sekadar tuntutan fesyen dan trend?"
"Hati manusia kita tidak tahu. Kita tidak tahu hati wanita yang menutup aurat tu jahat atau tidak, samalah seperti kita tidak tahu samada hati wanita yang tidak menutup aurat itu baik atau tidak. Soal hati hak Allah..."
"Tetapi katalah hati wanita yang menutup aurat itu benar-benar jahat..."
"Jika hatinya benar-benar jahat... lambat laun dia akan mendedahkan auratnya semula."
"Mengapa?"
"Menutup aurat adalah pakaian wanita yang solehah. Wanita yang jahat tidak akan mampu memakai pakaian wanita solehah."
"Patutlah saya lihat ada wanita yang dulunya memakai tudung labuh, tapi kemudiannya tudungnya semakin singkat, lama kelamaan mula memakai seluar ketat, kemudian berubah kepada memakai baju T sendat... lama-kelamaan bertudung ala kadar sahaja."
"Perubahan luaran gambaran perubahan hati. Yang tidak menutup aurat... akhirnya perlahan-lahan meningkat untuk menutup aurat kerana hatinya beransur jadi baik. Sebaliknya, yang menutup aurat... secara beransur-ansur akan mendedahkan auratnya jika kualiti hatinya semakin merosot."
"Siapa wanita yang paling baik?" tiba-tiba anak muda di hadapan saya bertanya sambil merenung muka saya. Serius dan tajam renungannya.
"Tentulah isteri-isteri dan anak-anak nabi Muhammad s.a.w." jawab saya pasti.
"Bagaimana pakaian mereka?"
"Tentu sahaja mereka menutup aurat. Dan mereka juga pasti memiliki hati yang baik. "
Kali ini dia pula terdiam. Melihatnya begitu saya terus mengasak, "kalaulah hati yang baik sahaja jadi pernilaian Allah, tentulah isteri-isteri dan anak-anak perempuan Rasulullah tidak perlu menutup aurat. Hati mereka sudah baik. Namun tidak begitu, hati yang baik bukan alasan untuk mendedahkan aurat."
"Wanita yang baik mesti menutup aurat?"
"Ya."
""Wanita yang jahat mesti mendedah aurat?"
"Tidak semestinya, kerana ada wanita yang berhati baik tetapi belum menutup aurat kerana mungkin dia sedang berusaha untuk mengatasi halangan-halangan luaran dan dalamannya untuk menutup aurat."
"Apa yang boleh kita katakan kepada wanita begitu?"
"Dia sedang berusaha menjadi wanita yang baik."
"Bagaimana pula dengan wanita yang menutup aurat tetapi buruk perangainya? Wajarkah mereka mendedahkan aurat supaya tidak hipokrit."
"Perangai yang buruk bukan alasan mendedahkan aurat. Bagi mereka ini, tuntutan menutup aurat sudah ditegakkan, alhamdulilah. Tinggal satu lagi, tuntutan memperbaiki akhlak... itu sahaja yang perlu dilaksanakan. Satu selesai, tinggal lagi satu. Namun bayangkan jika disamping perangai buruk, mereka juga turut mendedahkan aurat ... Itu lebih buruk lagi. Dua perkara tak selesai, bab aurat dan bab perangai!"
"Jadi apa kita nak kata tentang wanita yang menutup aurat tetapi buruk perangai ni?" Sekali lagi dia mengajukan soalan yang sama.
"Wallahua'lam. Boleh jadi mereka juga sedang berusaha mengatasi halangan dalaman dan luarannya untuk memperbaiki perangainya. Dan nauzubillah, boleh jadi juga iman mereka sedang merosot sehingga menjejaskan akhlak mereka... yang lama kelamaan jika tidak diatasi akan menyebabkan mereka kembali mendedahkan aurat!"
Dia senyum. Alhamdulillah.
"Saya tahu apa yang saya akan lakukan sekarang..."
"Kenapa? Mengapa? Punya kekasih tidak bertudung tetapi baik hatinya? Atau dikecewakan oleh wanita bertudung tetapi buruk perangainya?"
Soalan akhir itu tidak terluahkan oleh saya. Saya simpan sahaja di dalam hati. Biarlah anak muda ini belajar dari pengalamannya... insyaAllah esok apabila dia mengalaminya sendiri, dia akan ingat satu persatu apa yang didengarnya pada hari ini!

Biodata Kolumnis

Ustaz Pahrol Mohd Juoi