Khamis, 14 Jun 2012

Hadam Riba ----> kapitalis


Dunia hari ini berada diambang kemusnahan akibat dari kerakusan sistem riba-kapitalis yang lahir bersama dengan idealogi demokrasi-sekular. Perlaksanaan ekonomi kapitalis dalam bentuk sepenuhnya hendaklah mengadakan pasaran bebas, tiada kawalan harga, tiada had kawalan, mereka boleh memasuki atau keluar pasaran tanpa halangan dan aliran bebas modal.

Selepas runtuhnya era komunis Soviet Union, pada awal 90an, USA melancarkan New World Order bagi melaksanakan sistem ekonomi kapitalis keseluruh dunia menerusi melalui WTO.


Ekonomi kapitalis ibarat raksasa Frankenstein, yang tidak patuh kepada sesiapapun walaupun kepada tuannya sendiri dan tidak mempunyai sifat peri kemanusiaan. Inilah ibarat sistem kapitalis yang dicipta barat yang diwakili oleh pemodal-pemodal antarabangsa yang tidak terikat kepada peraturan dalam negara tetapi negara hendaklah memenuhi kehendak mereka dan matlamatnya hanyalah mendapatkan keuntungan berganda semata-mata tanpa menghiraukan kesan jangka panjang terhadap alam sekitar. Sifat sebenarnya kapitalis ini adalah lebih tepatnya sama seperti sifat Yakjuj-Makjuj yang bakal keluar di akhir zaman ini. Dalam al-Quran telah digambarkan bahawa Yakjuj dan Makjuj ini adalah satu kaum yang membawa kerosakan kepada manusia dan menjarah semua hasil mahsul bumi tanpa sebarang batasan. Dasar kapitalis menjanjikan pembangunan tanpa batasan bagi mendapatkan sumber kekayaan yang tiada hadnya.

Berbeza dengan kapitalis, pembangunan dalam Islam adalah sebaliknya. Pembangunan berteraskan Islam ini tentunya tidak boleh lepas lari dari bertunjangkan kepada prinsip-prinsip yang telah ditetapkan Islam. Dalam kes ini prinsip-prinsipnya sekurang-kurangnya merangkumi enam perkara asas, yakni pertama, pelaku pembangunan; kedua, skala waktu pembangunan; ketiga kerangka pembangunan; keempat, perkaedahan pembangunan; kelima, peralatan pembangunan; dan keenam, matlamat pembangunan.

Pelaku pembangunan dalam pembangunan berteraskan Islam ini ialah manusia, manakala skala waktunya meliputi alam roh, dunia dan akhirat, kerangkanya ialah fardhu `ain, perkaedahan pembangunannya ialah ibadah, peralatan pembangunannya ialah sumber alam; dan akhir sekali, matlamatnya ialah mardhatillah atau keredhaan Allah SWT.

Secara kasar, prinsip pertama pembangunan berteraskan Islam, yakni manusia sebagai pelaku pembangunan, nampak seperti sama dengan pembangunan kapitalis. Pelaku pembangunan kedua-dua sistem pembangunan ini ialah manusia. Tetapi pada hakikatnya, manusia yang dimaksudkan di dalam pembangunan berteraskan Islam sebenarnya adalah berlainan dari manusia yang difahami di dalam pembangunan kapitalis. Manusia di dalam pembangunan berteraskan Islam adalah manusia hamba Allah dan khalifah Allah, manakala manusia di dalam pembangunan kapitalis adalah manusia ekonomi.

Status manusia sebagai hamba Allah dan khalifah Allah ini membuatkan pelaku pembangunan berteraskan Islam mempunyai falsafah dan fungsi yang berbeza dengan pembangunan kapitalis. Sebagai hamba Allah SWT, mereka terlibat dengan aktiviti pembangunan sebagai salah satu cara mengabdikan diri, atau beribadah, kepada Allah SWT. Dalam melakukan ibadah ini, mereka terus menerus mempertahankan rasa kehambaan mereka kepada Allah SWT. Sebagai khalifah Allah SWT pula, mereka berinteraksi sesama manusia dan sumber alam dengan penuh rasa tanggungjawab, amanah, berakhlak dan penuh etika, sesuai dengan peranan mereka sebagai khalifah Allah SWT itu, atau wakil Allah di atas muka bumi ini.

Sebagai hamba dan khalifah Allah SWT juga, pelaku pembangunan berteraskan Islam tidak terikat dengan hanya aspek-aspek ekonomi yang dinilai dengan ukuran produktiviti, pengeluaran dan kepenggunaan semata-mata, sebagaimana yang difahami dengan pelaku pembangunan kapitalis. Sebaliknya, sebagai hamba Allah SWT, pelaku pembangunan di dalam pembangunan berteraskan Islam tidak putus mendirikan hubungannya dengan Allah SWT (hablum-minallah), di samping sebagai khalifah Allah SWT, menghubungkan diri mereka dengan sesama manusia dan sumber-sumber alam (hablum-minannas). Ganjaran dari amalan menegakkan kedua-dua hubungan ini bukan saja didapati di dunia dalam bentuk material, tetapi juga di akhirat dalam bentuk syurga yang sungguh membahagiakan.

Atas sebab ini jugalah maka skala waktu pembangunan berteraskan Islam, sebagai prinsip pembangunan berteraskan Islam yang kedua, tidak hanya tertumpu kepada alam dunia semata-mata. Sebaliknya ia meliputi tiga alam, yakni alam roh, alam dunia dan alam akhirat.

Alam roh adalah alam sebelum lahirnya manusia ke dunia, di mana semua roh manusia telah mengakui bahawa mereka adalah hamba Allah SWT manakala Allah SWT adalah Tuhan semesta alam. Manusia kemudian dilahirkan ke dunia mengikut giliran masing-masing untuk melaksana dan membuktikan ikrar ini. Setelah itu manusia kembali ke alam akhirat untuk menerima ganjaran, sama ada baik atau buruk.

Ringkasnya, alam roh adalah alam perjanjian, alam dunia adalah alam pembuktian, dan alam akhirat adalah alam ganjaran. Ketiga-tiganya berhubungan secara intim. Alam roh menentukan corak kehidupan di dunia yang mesti diamalkan manusia berdasarkan pengakuan bahawa Allah SWT adalah Tuhan Yang Maha Esa. Alam dunia memberikan ruang dan peluang kepada manusia melaksanakan corak kehidupan itu. Manakala alam akhirat menyediakan natijah, sama ada baik atau buruk, dari bentuk pelaksanaan corak kehidupan di alam dunia.

Penentuan di alam roh, pelaksanaan di alam dunia dan pembalasan di alam akhirat meliputi semua aspek kehidupan manusia. Dalam kes pembangunan, seperti juga dalam semua aspek kehidupan yang lain, ianya jelas mesti bertunjangkan kepada aqidah sebagaimana telah terbentuk di alam roh. Selain dari itu, di alam dunia manusia mesti menggunakan syari`ah sebagai garis panduan pelaksanaan. Natijahnya mestilah melahirkan peribadi-peribadi yang berakhlak.

Aqidah, syari`ah dan akhlak ini sebenarnya merupakan intipati kepada fardhu `ain yang wajib dimiliki dan diamalkan oleh setiap umat Islam. Aqidah boleh didapati melalui ilmu Tauhid. Syari'ah boleh didapati melalui ilmu Fekah. Manakala akhlak pula boleh didapati melalui ilmu tasawuf. Ilmu-ilmu fardhu `ain ini merupakan kerangka pembangunan berteraskan Islam, yakni prinsip pembangunan berteraskan Islam yang ketiga. Sebagai kerangka, ilmu-ilmu fardhu `ain inilah yang mencorakkan sesuatu pembangunan berteraskan Islam.

Pelaksanaan corak pembangunan berteraskan Islam ini pula mestilah berbentuk ibadah, yakni berbentuk pengabdian diri kepada Allah SWT. Untuk menjadi ibadah, setiap usaha pembangunan mestilah mencukupi lima syarat. Pertama, niat mestilah kerana Allah SWT; kedua, isinya tidak bertentangan dengan syari`at; ketiga, pelaksanaannya selari dengan syari`at; keempat, natijahnya juga mengikut syari`at; dan kelima, ibadah-ibadah asas seperti sembahyang, berpuasa, berzakat dan menunaikan haji tidak ditinggalkan. Jelasnya, syarat-syarat ibadah ini membentuk satu bentuk perkaedahan pembangunan berteraskan Islam, sebagai prinsipnya yang keempat.

Prinsip pembangunan berteraskan Islam yang kelima ialah berkenaan dengan peralatan pembangunan. Seperti juga dalam pembangunan kapitalis, peralatan pembangunan berteraskan Islam ialah sumber-sumber alam. Tetapi, seperti dalam kes manusia sebagai pelaku pembangunan, erti dan fungsi sumber-sumber alam mengikut pembangunan berteraskan Islam adalah berbeza dari pembangunan kapitalis.

Sumber-sumber alam dari kacamata pembangunan berteraskan Islam tidak hanya dilihat sebagai mempunyai nilai-nilai ekonomi semata-mata. Lebih dari itu, sumber-sumber alam ini dilihat sebagai anugerah dari Allah SWT kepada manusia, untuk manusia gunakan mengikut keperluan. Anugerah ini pula adalah merupakan ujian, untuk dilihat setakat mana manusia dapat berfungsi sebagai khalifah Allah SWT dalam menguruskan sumber-sumber alam ini. Hak milik mutlak terhadap sumber-sumber alam ini tetap hak milik Allah SWT. Manusia hanya merupakan pemilik sementara sahaja.


Akhir sekali, prinsip pembangunan berteraskan Islam yang keenam ialah berkenaan dengan matlamatnya, yakni untuk mendapat keredhaan Allah SWT, atau disebut mardhatillah dalam Bahasa Arab. Sesuatu usaha pembangunan tidak boleh dikatakan berjaya, walaupun mendapat keuntungan yang besar, sekiranya tidak diredhai Allah SWT. Hanya dengan keredhaan Allah SWT sahajalah seseorang akan memasuki syurga. Dan hanya dengan memasuki syurga sahajalah maka sesuatu usaha pembangunan itu dikira sebagai berjaya dengan sebenar-benarnya.

binatang keladi


"Hidup ini dipenuhi dengan pertanyaan. Banyak persoalan yang perlu ajukan untuk memberi kefahaman dalam sesuatu perkara.

Kata pepatah melayu berzaman: “Malu bertanya sesat jalan.” Ada benarnya, kerana hidup di zaman yang serba canggih ini memerlukan banyak penjelasan, maka amat berhajat kepada pertanyaan. Jika tidak akan kaburlah kefahaman dan pemikiran.

Sesungguhnya bertanya adalah alat untuk meneroka ilmu.

Saya teringat satu kisah yang diceritakan oleh tuan guru ketika bersekolah arab dahulu. Saya rasa kisah itu hanyalah rekaan semata. Sekadar penyedap halwa telinga. Namun ianya memberi pengajaran dan apa yang berlaku realiti sekarang.

Ada seorang ustaz yang mengajar kitab jawi lama.

“Haram memakan batang keladi,” katanya.

Tercengang anak-anak murid yang sedang mendengar. Masakan tidak, puas seumur hidup memakan sayur batang keladi, tiba-tiba hari ini baru terdengar haram hukumnya.

Salah seorang anak muridnya memberanikan diri bertanya, “betul ke ustaz, haram memakan batang keladi? Saya selalu makan sayur batang keladi.”

“Sesiapa yang banyak bertanya maka lemahlah imannya,” jawab ustaz tersebut.

Terdiam semua anak muridnya. Mahu bertanya lagi takut termasuk orang yang lemah iman.

Sebenarnya kitab itu menyebut “Haram memakan binatang keldai” tetapi kerana tidak mahir membaca kitab jawi lama, maka tersalah baca dengan “Haram memakan batang keladi.” Begitulah jadinya.

Buka ruang pertanyaan, tapi...

Jangan sekat untuk bertanya, kerana menyekat pertanyaan seperti membunuh pemikiran. Bukalah ruang untuk bersoal jawab supaya kekaburan dan kekusutan sesuatu perkara itu dapat dirungkai. Bukankah Islam adalah agama yang menggalakkan berfikir dan bertanya?

Tetapi harus diingat, pertanyaan mestilah pertanyaan yang ada tujuan. Supaya pertanyaan itu ada manfaat dan faedah kepada semua. Bertanya untuk mendapatkan ilmu. Bukan bertanya untuk mengelakkan dari melakukan sesuatu suruhan. Contohnya Allah memerintahkan sesuatu perkara, maka banyak persoalan yang dibangkitkan. Jika untuk kefahaman ianya amat digalakkan, tetapi banyak bertanya supaya nampak sukar dan sulit supaya diberi keizinan untuk tidak melakukannya. Maka inilah pertanyaan yang amat dilarang dan dibenci.

Di dalam al-Quran Allah SWT menceritakan perihal Bani Israil yang banyak bertanya dalam peristiwa penyembelihan lembu betina. Mereka bersoal jawab dengan Nabi Musa as. sehingga ianya menyulitkan dan menyusahkan diri sendiri.

“Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada kaumnya, “Sesungguhnya Allah SWT menyuruh kamu menyembelih seekor lembu betina.” Mereka menjawab, “Adakah engkau memperolok-olokkan kami?” Nabi Musa berkata, “Aku berlindung dengan Allah SWT agar tidak termasuk dalam golongan orang-orang yang jahil.”

“Mereka berkata, “Mintalah kepada Tuhanmu agar Dia menerangkan kepada kami sifat lembu betina itu.” Musa menjawab, ”Sesungguhnya Allah SWT berfirman bahawa lembu betina itu tidak terlalu tua dan tidak terlalu muda, pertengahan antaranya. Maka lakukanlah apa yang diperintahkan kepadamu.”

“Mereka berkata lagi, “Mintalah kepada Tuhanmu agar menerangkan kepada kami apakah warnanya?” Nabi Musa menjawab, “Allah berfirman bahawa lembu betina itu berwarna kuning tua, menyukakan orang yang melihatnya.”

“Mereka berkata lagi, “Mintalah kepada Tuhanmu agar Dia menerangkan kepada kami lembu betina apakah sebenarnya? Sesungguhnya lembu yang dikehendaki itu masih meragukan kami. Dan insya-Allah kami akan mendapat petunjuk.”

“Nabi Musa menjawab, “Sesungguhnya Allah SWT berfirman bahawa lembu itu bukan digunakan untuk membajak dan mengairi tanaman, tidak cacat dan tiada sedikitpun belang pada warnanya.” Mereka berkata, “Sekarang jelaslah keteranganmu.” Kemudian mereka pun menyembelih lembu tersebut dan hampir-hampir mereka tidak dapat melakukannya.” (al-Baqarah: 67 – 71)

Kisah ini merupakan satu pelajaran kepada orang-orang yang suka menyempitkan perintah Allah. Allah menyuruh mereka menyembelih lembu betina, sekiranya mereka terus menyembelih sebarang lembu itu sudah memadai. Tetapi disebabkan banyak terlalu bertanya, ia menyusahkan untuk mencari lembu tersebut. Dan hampir-hampir mereka tidak dapat menunaikan perintah Allah SWT.

Rukanah

RUKANAH atau nama yang amat terkenal di kota Mekah sebagai seorang yang kuat dan bertubuh sasa. Hampir tiada seorangpun yang tidak mengenalinya. Seorang yang perkasa dan jarang ada orang yang berani menentangnya.

Rukanah adalah seorang jaguh gusti yang ulung. Oleh kerana itu beliau berasa bangga dengan kekuatannya, malah beliau berani mencari lawannya.

Nabi Muhammad saw mengetahui akan kemayshurannya itu. Kekuatan dan keangkuhannya sering diperkatakan orang ramai. Terlintas dala, fikiran Nabi saw jika Rukanah ini dapat diajak memeluk agama Islam, beliau boleh mendatangkan kesan kepada usaha dakwah baginda.

Pada suatu ketika, datanglah kesempatan Naboi untuk berdakwah dengan baik kepada Rukanah dan baginda berharap berhasil apa yang dilintas dalam fikirannya itu.

Waktu itu Rukanah berada di Syi’ab (jalan dekat bukit Mekah). Nabi saw bertemu dengannya dan mengajak beliau beradu kekuatan sebagai satu jalan mendakwahkan Rukanah.

”Wahai Rukanah!; Belumkah engkau akan bertaqwa kepada Allah dan menerima agama yang aku sampaikan?” demikian Nabi saw berkata kepadanya.

”Muhammad, apakah buktinya sebagai tanda di atas kebenaran agama engkau?” jawab Rukanah.

”Bagaimana jika aku dapat mengalahkan engkau dalam bergusti, adakah engkau beriman kepada Allah dan RasulNya?” tanya Nabi lagi.

”Baiklah, wahai Muhammad,” Rukanah menyambut pelawaan.

”Bersiaplah engkau,” perintah Nabi.

Rukanahpun menyiapkan diri dan berasa yakin akan dapat mengalahkan Rasulullah. Ketegapan tubuh badannya boleh membanting Muhammad dalam waktu yang singkat saja dan dia menganggap tentangan Nabi adalah olok-olok dan main-main saja. Setahunya Nabi saw hanya berdakwah sepanjang hari, tiada berlatih tenaga untuk menghadapinya.

Dalam keadaan kesombongan sebagai jaguh gusti, rukanah bersiap sedia dalam kebiasaan beliau bergusti. Nabi sawpun segera mendekatinya dan mengambil tempat dan menungguh kesempatan untuk menghempas dan mengalahkan lawannya.

Nabi saw dapat memegang badang Rukanah dan dengan cepat membantingnya. Rukanah menjadi terkejut dan amat hairan kenapa Nabi berhasil mengalahkannya sedangkan beliau mengira akan dengan mudah dapat menjatuhkan Nabi. Sesungguhnya dia berasa tidak puas hati dan minta perlawanan itu diulangi lagi.

Nabi saw dengan senang hati menyanggupinya.

Sekali lagi baginda dapat membanting Rukanah dan mengalahkannya. Manakala Rukanah bertambah hairan seolah-olah dia tidak mampu bertahan seperti yang sudah-sudah dia beradu tenaga.

Perlawan diteruskan buat kali ketiga dan akhirnya keputusan yang sama seperti tadi. Dia akur kekalahannya itu.

”Sungguh hairan aku dengan keadaan engkau, Muhammad !” demikian katanya kepada Nabi selepas beradu.

Selain Rukanah, Nabi saw juga telah berjaya menentang seorang jaguh iaitu Abu Aswad al-Jumahi yang masyhur dengan keistimewaannya sendiri. Pernah dia tegak atas sekeping kulit lembu dan menyuruh sepuluh orang cuba menarik kulit dan beliau tegak berdiri bagaikan batu besar, malahan kulit itu pula yang koyak dan terpisah kerana tarikan tersebut.

Nabi telah mengajaknya berlawan sebagai satu jalan dakwah kepadanya memeluk Islam.

”Jika engkau dapat menjatuhkan aku, aku akan beriman kepada engkau,” demikian kata Abu Aswad kepada Nabi.

Dia sendiri yang memberikan syarat, berlainan dengan Rukanah yang diajak Nabi untuk beriman jika kalah.

Cabaran Aswad itu diterima oleh Nabi saw.

Nabi berjaya menjatuhkan Aswad sehingga dia mengalami kekalahan yang memalukan. Walaupun begitu dia telah tidak menepati janjinya, dia tidak jadi beriman seperti yang dikatakan sebelum ini.

Betapa juga keadaannya, hakikatnya Nabi saw telah berjaya menundukkan jaguh-jaguh yang terkenal gegah perkasa di Mekah.

Sesungguhnya tenaga luar biasa Nabi itu berasal dari iman yang kuat kepada Allah. Baginda telah melakukan dakwah kepada orang ramai menurut kemampuan dan keadaan mereka masing-masing.

Jaguh-jaguh gusti dihadapi baginda bukan seperti menghadapi masyarakat dan orang-orang ternama quraisy dengan ayat-ayat Allah.

Walaupun kesannya belum mencapai seperti pengharapan Rasulullah, tetapi keberanian dan ketabahan Nabi saw menentang orang kuat Mekah menjadi perhatian umum akhirnya. Aswad yang tidak menepati janji itu bukan saja kalah tetapi kemudiannya berdusta telah menjatuhkan maruahnya sendiri dan Nabi saw berjaya meningkatkan dakwahnya.

kaunter tutup


Dr Rosli Yaakop,14 Jun 2012

Pengapongan saham Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVHB) pada 28 Jun ini berkemungkinan besar tidak akan membawa berita gembira kepada bakal pelabur. Masa dan ketika pengapongan amat tidak kena memandangkan arah aliran yang tidak menentu di dalam pasaran saham Malaysia dan dunia sekarang. Tambahan lagi, ekonomi dunia tidak sihat dengan beberapa negara Eropah menghadapi krisis hutang dan pelbagai negara lain termasuk Malaysia berdepan dengan kadar pertumbuhan rendah dan menurun.  Justeru, ada kemungkinan harga saham FGVHB akan jatuh di bawah harga IPO (harga tawaran awam awal) pasca pengapongan sepertimana yang telah menimpa saham Facebook dan pelbagai lagi saham syarikat yang senasib dengannya.

Maklumat terpercaya memberitahu pada mulanya harga IPO saham FGVHB dicadangkan pada RM5.85 se saham tetapi akhirnya bila pengapongan diluluskan Suruhanya Sekuriti Malaysia, harga didapati telah diturunkan kepada RM4.65 se saham, iaitu, penurunaan sebanyak RM1.20 atau 20.5% dari harga awal. Ini mengambilkira - berasaskan akaun terkini yang terkandung di dalam prospektus yang telah diluluskan - prestasi FGVHB yang tidak berapa memberangsangkan kebelakangan ini. Juga, penurunan harga IPO terpaksa dibuat memandangkan pasaran saham yang lemah dan tidak menentu. Harga yang terlalu tinggi (over-pricing) boleh memantulkan selera pelabur sehingga mereka mengambil sikap berhati-hati sebelum melanggan saham termasuk saham FGVHB yang bakal diapongkan ini. Penerbit (Felda) saham pula tidak mahu berdepan dengan situasi saham yang diterbitkan bermasalah untuk dijual sehingga badan kerajaan kaya tunai seperti Tabung Haji, KWSP, KWAP dan seumpamanya terpaksa dikerah untuk menyelamatkan keadaan.

Pada harga RM5.85 se saham, pengapongan 2,188,890,000 (2.2 bilion) unit saham FGVHB menjana kira-kira RM12 bilion tetapi pada harga RM4.65 dana dijana hanya kira-kira RM10 bilion, kerugian sebagayak RM2 bilion. Hatta, belum disenaraikan pun harga telah jatuh, maka kemungkinan bahawa harga pasca pengapongan juga boleh jatuh tidak boleh ditolak sama sekali.

Felda, yang bakal menawarkan seluruh sahamnya dalam FGVHB untuk dijual, iaitu, berjumlah 1,208,890,900 (1.2 bilion) unit atau 33% dari seluruh saham yang bakal diapongkan, akan kerugian RM1.4 bilion akibat daripada penyemakan menurun harga IPO saham FGVHB ini. Pada harga RM 5.85 se unit, ia menjana RM7 bilion tetapi pada harga RM4.65 se unit, ia hanya menjana RM5.6 bilion.

Mengambilkira harga yang tidak memberangsangkan ini, sepatutnya cadangan penyeneranain FGVHB ditangguhkan ke suatu waktu yang lebih baik supaya Felda tidak rugi besar. Soalnya: Kenapakah Perdana Menteri mahu menyenaraikan juga FGVHB dalam suasana pasaran yang tidak menentu yang jelas menyebabkan kerugian besar kepada Felda? Sikap ini amat sukar difahami. Penganalisis berpendirian penyenaraian FGVHB dibatalkan sahaja kerana tiada apa-apa untungnya kepada 112, 635 orang peneroka dan 1.6 juta ahli keluarga mereka.

Wajar bakal pelabur-pelabur mengambil iktibar dari bencana yang telah menimpa saham Facebook kerana pengapongan saham Facebook di Bursa Saham New York, Amerika Syarikat pada 18 Mei 2012 lalu adalah yang terbesar di dunia setakat ini dan pengapongan saham FGVHB pula adalah yang kedua terbesar. Tidak boleh ditolak bahawa bencana yang telah menimpa saham Facebook boleh juga menimpa saham FGVHB. Lagi pun, Perdana Menteri telah menjadikan pengapongan saham Facebook sebagai tanda aras (benchmark) kepada pengapongan saham FGVHB.

Pengapongan saham Facebook pada 18 Mei pada harga IPO USD38 se saham menjana USD104 bilion untuk Facebook, yang tertinggi di dunia tetapi sejak pengapongan, harga telah jatuh teruk mencecah harga terendah USD25.52 se saham, iaitu, jatuh sebanyak 32.8%. Untuk menyekat kejatuhan harga berterusan, Facebook melancarkan kempen perhubungan awam besar-besaran mulai hari Selasa, 12 Jun 2012 tetapi harga hanya pulih sedikit kepada USD27.40 pada waktu tutup perniagaan pada hari berkenaan, menunjukkan bahawa pengiklanan secara besar-besaran pun tidak mampu menghasilkan kesan yang diharapkan. Prestasi lemah saham Facebook ini memeranjatkan ramai pelabur. Dengan membeli saham Facebook, ramai pelabur mengharapkan untuk menjadi kaya dengan segera tetapi dalam tempoh sebulan sejak penyenaraian, satu pertiga daripada nilai pelaburan telah terhakis. Ramai yang menjadi papa.

Selain daripada saham Facebook, banyak lagi saham yang menerima nasib seperti Facebook, iaitu, harga merudum pasca pengapongan. Setakat 30 Mei 2012, harga saham syarikat-syarikat berikut (ini contoh sahaja) telah jatuh teruk selepas pengapongan:


Nama Syarikat
Tarikh Pengapongan
Kejatuhan Harga Sejak Pengapongan
1
Zeltiq Aesthetics
19 Oktober 2011
-66%
2
Vanguard Health Systems
22 Jun 2011
-57%
3
Horizon Pharma
28 julai 2011
-57%
4
Groupon
4 November 2011
-45%
5
Taomee
9 Jun 2011
-44%
6
C&J Energy
29 Julai 2011
-40%
7
Zynga
16 December 2011
-40%
8
KiOR
24 Jun 2011
-41%
9
Compressco Partners
15 Jun 2011
-35%
10
Pandora
15 Jun 2011
-34%

Ini menunjukkan dengan jelas bahawa masa sekarang bukanlah masa yang terbaik untuk mengapongkan saham apatah lagi saham yang amat besar jumlahnya sperti FGVHB ini.

Kini, ramai pelabur mengambil tindakan undang-undang terhadap Facebook. Pada hari Rabu, 13 Jun 2012, tiga pelabur telah memfailkan saman menuduhFacebook dan penanggungnya (its underwriters) gagal mendedahkan kepada pelabur-pelabur maklumat bahawa penganalisis  telah menyemak turun unjuran hasil bagi suku tahunan dan tahunan 2012 sebelum hari pertama urusniaga saham berkenaan bermula (Jumaat, 18 Mei 2012). Maklumat ini adalah “material information” yang wajar didedahkan kepada  semua pelabur-pleabur.

Saman ini kemudian (pada hari yang sama) disusuli oleh satu tindakan saman berkumpulan (class-suit action) yang difailkan oleh firma guaman Robbins Geller Rudman & Dowd, menamakan Facebook, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mark Zuckerberg dan penanggung-penangung utama penyenaraian itu termasuklah Morgan Stanley, JPMorgan Chase, Goldman Sachs, Merril Lynch dan Barclays Capital sebagai tertuduh. Menurut siaran akhbar firma berkenaan, mereka dituduh melanggar  Securities Act 1933. Saman berbunyi:

Pada atau sekitar 16 Mei 2012, Facebook memfailkan dengan SEC Borang S-1/A Penyata Pendaftaran (Registration Statement) untuk IPO.  Pada atau sekitar 18 Mei 2012, Prospektus yang merupakan sebahagian daripada “Registration Statement” menjadi efektif dan tertuduh (defendants) telah menjual 421 juta saham biasa Facebook kepada orang awam pada harga USD38 se saham dan menjana hasil jualan melebihi USD16 bilion.
Saman menuduh bahawa “Registration Statement” dan Prospektus yang diterbitkan berhubung dengan IPO berkenaan adalah falsu dan menyeleweng (false and misleading) menyalahi Securities Act. Penuduh berkeyakinan bahawa tertuduh telah gagal mendedahkan maklumat bahawa Facebook telah mengalami penurunan yang ketara di dalam pertumbuhan hasil (revenue) berpunca dari penambahan penggunaan Facebook app atau sesawangnya melalui “mobile devices” berbanding melalui traditional PCs. Pada masa IPO, Facebook telah mengarahkan penanggung-prnanggungnya menurunkan unjuran prestasi bagi tahun 2012. Penyemakan semula ini adalah “material information” yang sewajarnya dikongsi dengan semua pelabur-pleabur tetapi tertuduh hanya mendedahkannya secara berpilih-pilih kepada pelabur-pelabur tertentu (certain preferred investors) dan telah tidak memasukkan “material information” berkenaan di dalam Registration Statement dan/atau Prospektus.”

Seorang peguam sekuriti yang pakar, Chris Keller (rakan kongsi firma guaman Labaton Sucharow) berpendapat bahawa “kes ini (saman terhadap Facebook)  besar dan agak kuat.”

Sesetengah penganalis pasaran melihat bahawa kejatuhan berterusan harga saham Facebook mulai hari Jumaat, 18 Mei 2012 (hari ia mula diniagakan)  di sebabkan oleh “too many shares were offered at too high a price causing a supply-demand imbalace that lead to the stock falling as much as 18% from it $38 offering price.” (“terlalu banyak saham ditawarkan pada harga yang terlalu tinggi menyebabkan penawaran dan permintaan tidak seimbang  menyebabkan harga saham jatuh sehingga 18% dairpada harga tawaran $38”).

Penganalisis pasaran menganggap pengapongan saham Facebook adalah “botched IPO” dan pengawalselia pasaran kewangan, iaitu, Securities and Exchabge Commision dan Senate Banking Committee dilaporkan telah mengambil maklum akan hal ini dan akan bertindak.

Kalau Facebook dikatakan gagal mendedahkan “material information” kepada pelabur, maka penganalisis melihat bahawa di dalam kes penyenaraian FGVHB terlalu banyak “material information” yang gagal didedahkan oleh pengurus terbitan dan bank-bank penangung kepada bakal  pelabur. Diperhatikan bahawa prospektus ditulis di dalam Bahasa Inggeris yang memang tidak difahami langsung oleh peneroka-peneroka Felda yang bakal melabur di dalam sahm FGVHB ini. Tidak ada usaha dan program yang teratur untuk memberi kefahaman secukupnya kepada bakal pelabur mengenai pengapongan saham FGVHB ini. Malah, ada permohanan dibuat oleh penerbit saham bagi dikecualikan dari mendedahkan maklumat mengenai prestasi anak-anak syarikat FGVHB di luar negara. Kalau Facebook disaman oleh pelabur-pelaburnya, maka adalah lebih wajar kalau pelabur-pelabur juga menyaman FGVHB.

Penganalis berpendapat bahawa harga saham FGVHB setelah diapongkan dan dijual beli nanti berkemungkinan menghadapi nasib yang sama dihadapi saham Facebook, iaitu, harga akan jatuh di bawah harga IPO menyebabkan kerugian kepada pelabur-pelabur.  Sebabnya, antaranya ialah, pertama, memandangkan terlalu banyak unit saham ditawarkan berbanding permintaan, sama seperti dalam kes saham FacebookKedua, masa dan ketika saham FGVHB diapongkan tidak kena kerana pasaran saham dalam negeri dan dunia seluruhnya sedang berdepan dengan suasana ketidaktentuan dan aliran menurun. Ketiga, faktor-faktor  fundamental bagi syarikat FGVHB itu sendiri tidak memberangsangkan – produktiviti ladang yang rendah dan menurun kerana lebih 50% pokok sawit sudah tua dan perlu ditanam semula, projek-projek pelaburan di luar negara milik FGVHB masih di peringkat belum mampu menjana keuntungan dan harga komoditi yang diunjurkan beraliran menurun.Keempat, diperhatikan saham FGVHB didominasi oleh pelabur institusional menyebabkan aktiviti jual beli saham tidak aktif dan meluas menyebabkan harga sentiasa tertekan. Kelima, keadaan ekonomi dunia yang tidak sihat menyebabkan pelabur-pelabur saham antarabangsa (hot money investors) akan mengambil sikap berhati-hati dalam membuat pelaburan.  Keenam, isu perundangan berkaitan penyenaraian FGVHB – misalnya, pelanggaran peruntukan GSA 1960 dan tidakturut sertanya KPF, pemilik majoriti Felda Holding Berhad (yang mana asetnya dipindahkan kepada FGHVB) - berpotensi menimbulkan risiko tidak diduga.

Memangkan faktor-faktor di atas, pelaburan dalam saham FGVHB berkemungkinan berisiko besar. Penganalis mengambil sikap mengelakkan dari membeli saham FGVHB. Pelabur-pelabur dinasihatkan supaya berhati-hati sebelum melabur.

Harapan penganalisis, analisis yang didedahkan ini salah.

Awan di KK


"Awan pelik iaitu Awan Arcus terbentuk pada pagi 12 Jun..Ketika gambar diambil, cuaca stabil tanpa angin dan hujan... Namun begitu, menjelang tengahari, ribut kencang berserta hujan melanda seluruh kawasan Pantai Barat Sabah.

 

awan nano

awan nano 2

awan nano 3

awan nano 4

awan nano 5

awan nano 6

Penjelasan untuk 'Fenomena Awan Luar Biasa'. Awan tadi dipanggil awan Arcus. Ia hanya kejadian alam normal tetapi jarang berlaku.

Foto diatas bukan edit, bukan malapetaka dan sila jangan buat kesimpulan suka-suka