Khamis, 14 Jun 2012

Rukanah

RUKANAH atau nama yang amat terkenal di kota Mekah sebagai seorang yang kuat dan bertubuh sasa. Hampir tiada seorangpun yang tidak mengenalinya. Seorang yang perkasa dan jarang ada orang yang berani menentangnya.

Rukanah adalah seorang jaguh gusti yang ulung. Oleh kerana itu beliau berasa bangga dengan kekuatannya, malah beliau berani mencari lawannya.

Nabi Muhammad saw mengetahui akan kemayshurannya itu. Kekuatan dan keangkuhannya sering diperkatakan orang ramai. Terlintas dala, fikiran Nabi saw jika Rukanah ini dapat diajak memeluk agama Islam, beliau boleh mendatangkan kesan kepada usaha dakwah baginda.

Pada suatu ketika, datanglah kesempatan Naboi untuk berdakwah dengan baik kepada Rukanah dan baginda berharap berhasil apa yang dilintas dalam fikirannya itu.

Waktu itu Rukanah berada di Syi’ab (jalan dekat bukit Mekah). Nabi saw bertemu dengannya dan mengajak beliau beradu kekuatan sebagai satu jalan mendakwahkan Rukanah.

”Wahai Rukanah!; Belumkah engkau akan bertaqwa kepada Allah dan menerima agama yang aku sampaikan?” demikian Nabi saw berkata kepadanya.

”Muhammad, apakah buktinya sebagai tanda di atas kebenaran agama engkau?” jawab Rukanah.

”Bagaimana jika aku dapat mengalahkan engkau dalam bergusti, adakah engkau beriman kepada Allah dan RasulNya?” tanya Nabi lagi.

”Baiklah, wahai Muhammad,” Rukanah menyambut pelawaan.

”Bersiaplah engkau,” perintah Nabi.

Rukanahpun menyiapkan diri dan berasa yakin akan dapat mengalahkan Rasulullah. Ketegapan tubuh badannya boleh membanting Muhammad dalam waktu yang singkat saja dan dia menganggap tentangan Nabi adalah olok-olok dan main-main saja. Setahunya Nabi saw hanya berdakwah sepanjang hari, tiada berlatih tenaga untuk menghadapinya.

Dalam keadaan kesombongan sebagai jaguh gusti, rukanah bersiap sedia dalam kebiasaan beliau bergusti. Nabi sawpun segera mendekatinya dan mengambil tempat dan menungguh kesempatan untuk menghempas dan mengalahkan lawannya.

Nabi saw dapat memegang badang Rukanah dan dengan cepat membantingnya. Rukanah menjadi terkejut dan amat hairan kenapa Nabi berhasil mengalahkannya sedangkan beliau mengira akan dengan mudah dapat menjatuhkan Nabi. Sesungguhnya dia berasa tidak puas hati dan minta perlawanan itu diulangi lagi.

Nabi saw dengan senang hati menyanggupinya.

Sekali lagi baginda dapat membanting Rukanah dan mengalahkannya. Manakala Rukanah bertambah hairan seolah-olah dia tidak mampu bertahan seperti yang sudah-sudah dia beradu tenaga.

Perlawan diteruskan buat kali ketiga dan akhirnya keputusan yang sama seperti tadi. Dia akur kekalahannya itu.

”Sungguh hairan aku dengan keadaan engkau, Muhammad !” demikian katanya kepada Nabi selepas beradu.

Selain Rukanah, Nabi saw juga telah berjaya menentang seorang jaguh iaitu Abu Aswad al-Jumahi yang masyhur dengan keistimewaannya sendiri. Pernah dia tegak atas sekeping kulit lembu dan menyuruh sepuluh orang cuba menarik kulit dan beliau tegak berdiri bagaikan batu besar, malahan kulit itu pula yang koyak dan terpisah kerana tarikan tersebut.

Nabi telah mengajaknya berlawan sebagai satu jalan dakwah kepadanya memeluk Islam.

”Jika engkau dapat menjatuhkan aku, aku akan beriman kepada engkau,” demikian kata Abu Aswad kepada Nabi.

Dia sendiri yang memberikan syarat, berlainan dengan Rukanah yang diajak Nabi untuk beriman jika kalah.

Cabaran Aswad itu diterima oleh Nabi saw.

Nabi berjaya menjatuhkan Aswad sehingga dia mengalami kekalahan yang memalukan. Walaupun begitu dia telah tidak menepati janjinya, dia tidak jadi beriman seperti yang dikatakan sebelum ini.

Betapa juga keadaannya, hakikatnya Nabi saw telah berjaya menundukkan jaguh-jaguh yang terkenal gegah perkasa di Mekah.

Sesungguhnya tenaga luar biasa Nabi itu berasal dari iman yang kuat kepada Allah. Baginda telah melakukan dakwah kepada orang ramai menurut kemampuan dan keadaan mereka masing-masing.

Jaguh-jaguh gusti dihadapi baginda bukan seperti menghadapi masyarakat dan orang-orang ternama quraisy dengan ayat-ayat Allah.

Walaupun kesannya belum mencapai seperti pengharapan Rasulullah, tetapi keberanian dan ketabahan Nabi saw menentang orang kuat Mekah menjadi perhatian umum akhirnya. Aswad yang tidak menepati janji itu bukan saja kalah tetapi kemudiannya berdusta telah menjatuhkan maruahnya sendiri dan Nabi saw berjaya meningkatkan dakwahnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan