Sabtu, 16 Jun 2012

Forex vs saham


Katakanlah A melakukan suatu kebaikan umpama memberikan sebiji durian musang king dari kebunnya kepada B tanpa meminta apa-apa balasan, adakah ianya suatu usaha yang sia-sia kepada si A? Majoriti malah mungkin semua rakan-rakan akan bersetuju yang A akan mendapat "PAHALA" dari kebaikan yang telah saya lakukan tersebut, betul tak?

Bagaimana pula jika B mencuri durian musang king tersebut dari kebun si A, adakah ianya tidak memberikan apa-apa kesan kepada si B? Sudah tentu tidak, B akan mendapat "DOSA" atas perbuatannya itu tadi.*



Dalam interaksi sesama manusia didalam dunia ini, Allah SW telah meletakkan dosa dan pahala itu sebagai "MATAWANG" yang mana matawang inilah yang akan digunakan diakhirat kelak untuk membeli tiket kita samada kesyurga ataupun keneraka.



 Mari kita lihat situasi yang sama akan tetapi urusan yang berbeza. Kali ini A menjual durian musang king tersebut dengan harga RM50 kepada B, dan B membayarnya kepada si A "on the spot" pada ketika itu juga. Mereka berakad dan sama-sama bersetuju dengan urusniaga tersebut jadi masing-masing tiada lagi tergantung sebarang tanggungjawab.

Bagaimana pula jika B tidak mempunyai wang dan meminta pada A agar boleh ditangguh pembayaran tersebut pada satu masa tertentu, dan jika dipersetujui oleh A, maka urusan tersebut tetap juga berlaku akan tetapi terdapat suatu yang tergantung disitu iaitu pembayaran. Jika A sudah kenal rapat dengan B mungkin mereka hanya bersetuju secara lisan sahaja, jika tidak mungkin akan masuk buku tiga lima (buku hutang) untuk mencatitkan urusan yang tergantung tersebut iaitu pembayaran. Dari segi agama pula hutang tidak anggap sebagai dosa akan tetapi suatu yang tidak digalakkan didalam Islam, sebagai contohnya Nabi SAW sendiri tidak mahu memandikan mereka yang mati didalam keadaan berhutang. Jadi kita boleh anggap ianya sebagai satu "TANGGUNGAN".

Jika kita lihat dari dua situasi diatas, boleh kita samakan bahawa "PAHALA" dan "TANGGUNGAN" itu dengan wang atau pun hutang (kredit) yang diperolehi adalah datangnya dari usaha samada yang kita sendiri lakukan atau dari usaha insan lain. Tanpa sebarang aktiviti "usaha" itu kita tidak mungkin mendapatkan "PAHALA", "TANGGUNGAN", wang atau hutang itu tadi, perihal ini terutamanya mengenai wang telah pun saya jelaskan secara terperinci didalam artikel saya sebelum ini iaitu Cerita Wang - Sifat Zahir dan Batin. 

Jadi tidak salah jika saya nyatakan bahawa wang juga sama dengan pahala, dan hutang atau kredit pula sama dengan "tanggungan" cuma bezanya pahala/tanggungan adalah percaturan kita dengan Allah SW dan wang/hutang pula percaturan kita dengan manusia, persoalannya bolehkah saya menganggap wang/hutang itu sebagai komoditi yang boleh dijual beli untuk mendapatkan keuntungan?

Didalam dunia pasaran saham pula terdapat bermacam-macam jenis urusniaga seperi jual beli saham syarikat itu sendiri (share trading), urusniaga kontrak keatas suatu nilai saham, bon, matawang atau komoditi lain (derivatives) hinggalah kepada jual beli hutang yang merupakan asas kepada krisis ekonomi "sub-prime" di Amerika Syarikat. 

Kepada mereka yang merupakan kaki forex dan kaki saham yang memperniagakan wang (matawang/saham) dan hutang (kredit), ingin saya ajukan soalan, bolehkah kita memperniagakan pahala ataupun tanggungan itu untuk mendapatkan keuntungan? Adakah dari segi logik dan moral ianya suatu yang "berakhlak" untuk dilakukan? 

Apabila fungsi wang yang sebenar telah di ubah oleh dunia barat, maka wang yang sepatutnya digunakan untuk kebaikan seluruh umat manusia sebagai medium pertukaran, pengukur nilai dan juga penyimpan nilai telah diubah fungsinya menjadi satu komoditi yang boleh diperdagangkan. Pada pendapat saya dari segi logik sekalipun, forex atau pun bursa saham itu sendiri adalah suatu perniagaan yang tidak berasas sama sekali.

Pada tahun 2010 saya berkesempatan menghadiri persidangan riba' sedunia yang berlangsung di PWTC, Tun Dr. Mahathir Mohammad dalam ucapan pembukaannya bercakap mengenai dagangan matawang dunia yang berjumlah 4 trillion USD sehari dan jumlah ini bersamaan dengan KDK negara German dalam masa setahun. KDK negara German itu menunjukkan berapa banyak barangan atau perkhidmatan yang telah terhasil dan menjana ekonomi negara tersebut. Barang atau perkhidmatan tersebut sudah tentulah dapat memberi nilai mahupun manafaat kepada insan lain, bagaimana pula dengan Forex atau bursa saham? Apakah sumbangannya kepada manusia kebanyakan selain dari hanya mengenyangkan perut mereka yang terlibat didalam industri tersebut semata-mata? Apakah sumbangan mereka dalam bentuk nilai yang membolehkan kehidupan yang lebih baik dapat diberikan kepada insan-insan lain?

Akan tetapi mungkin ada yang akan berkata "Eh.. ulamak ni cakap boleh, harus, dan sebagainya… kalau on the spot tak jadi masaaalah", respon saya adalah mudah, kaji dan selidik apa sumbangan yang anda berikan kepada insan lain? Jika dinilai dengan pemikiran yang mendalam, tanpa dalil hadis Quran dan sebagainya pun mereka yang waras pemikirannya dapat melihat bahawa forex atau jual beli saham itu adalah suatu yang tidak munasabah. Merujuk pada artikel WSJ yang menyatakan mereka yang rosak otaknya adalah pelabur yang baik, mungkin ini menjelaskan mengapa mereka tidak dapat melihat bahawa apa yang mereka usahakan itu adalah suatu yang tidak berasas sama sekali. Mereka tidak dapat melihat kesan yang akan timbul kepada insan-insan lain akibat perbuatan mereka itu.

Saya tidak memberi hukum halal atau haram kerana saya bukan mufti atau ulamak (walaupun saya telah memberikan "fatwa" haramnya perbankan Islam kepada diri saya sendiri dan keluarga), apa yang saya mahukan adalah rakan-rakan semua merenung hujah-hujah saya ini dan berfikir dengan mendalam mengenainya dan kemudian dengan sendirinya memberikan hukum kepasanya. Urusniaga forex atau saham ini datangnya dari barat sebagai salah satu cara untuk membolehkan yang kaya semakin kaya dan yang miskin semakin miskin. Jika mahu berniaga, lakukanlah suatu aktiviti yang memastikan ianya memberi nilai dan manafaat kepada semua umat manusia dan tidak hanya untuk diri sendiri ataupun hanya kepada golongan tertentu semata-mata.

Bermain saham dan forex ini tiada bezanya dengan berjudi ataupun bermain permainan komputer, setiap kali kita mendapat keuntungan ataupun melepasi tahap tertentu didalam permainan, otak akan merembeskan hormon ganjaran dopamine yang membuatkan kita rasa seronok dan lama kelamaan tubuh badan akan senantiasa mahukan hormon dopamine ini, dalam erti kata lain kita akan menjadi seorang penagih, penagih kepada "dadah" yang kita sendiri usahakan. Dan apabila kita senantiasa mengkehendakinya, pertama kita senantiasa didalam keadaan menafikan (denial) yang mana kita mengganggap ianya betul dan artikel saya ini akan dicemuh sebagai tidak berasas, kedua kita tanpa sedar menjadi hamba kepada tubuh badan (sel-sel) kita sendiri yang senantiasa mahukan hormon tersebut sedangkan kita sepatutnya menjadi pemimpin atau khalifah kepada mereka.

Hidup ini hanyalah sementara dan apa yang ada didalamnya hanyalah perhiasan, ujian dan dugaan semata-mata, yang akan kita bawa keakhirat kelak hanyalah pahala sebagai wang untuk membeli tiket ke syurga maka selalulah bertanya kepada diri sendiri adakah dengan forex atau saham ini mampu memberikan pahala atau sebaliknya? Apa ada pada forex dan saham... hanyalah permainan untuk mereka yang terpedaya. Tepuk dada tanya frontal lobe. Wallahualam

*Mungkin akan terdetik difikiran rakan-rakan, "Jika B menerima pemberian dari A, bukankah dia mendapat durian tersebut secara percuma dan tidak tertanggung keatasnya apa-apa tanggung-jawab?", jawapan saya adalah B perlu dan wajib faham bahawa rezeki "percuma" iaitu durian yang diperolehinya itu adalah tanggungjawab yang diberikan kepada Allah SW kepadanya dan ini akan ditanya diakhirat kelak. Adakah B akan makan seorang diri durian tersebut untuk memuaskan kehendaknya seorang diri sahaja (yang mana ianya akan tamat disitu sahaja) ataupun dia akan berkongsi dengan insan yang lain. Jika B memberi atau berkongsi dengan insan lain maka B juga akan mendapat pahala dan A pula tetap akan menikmati pahala itu juga daripada "downline"nya B. Inilah MLM sebenar, MLM untuk akhirat.



link asal: http://syurgadidunia.blogspot.com/2012/06/apa-ada-pada-forex-apa-ada-pada-saham.html

Tiada ulasan:

Catat Ulasan