Ahad, 17 Jun 2012

muslim akidah


11) Saya mestilah berkeyakinan bahawa pendapat para salafus soleh lebih utama untuk diikuti supaya dapat menyelesaikan permasalahan yang berhubung dengan permasalahan takwil, pembekuan nas dan menyerahkan perkara-perkara seperti ini kepada ilmu dan pengetahuan Allah swt.



Saya mestilah berkeyakinan bahawa pentakwilan yang dibuat oleh golongan Khalaf (yang datang kemudian) tidak boleh dijadikan sebab kepada perselisihan yang berpanjangan antara golongan khalaf dan lainnya baik di masa lampau atau masa kini.

12) Saya mestilah mengabdikan diri hanya kepada Allah semata-mata, tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu. Pengabdian diri kepada Allah ini saya lakukan kerana menyahut seruan Allah yang disampaikan melalui para Rasul yang telah menyeru manusia-manusia supaya mengabdikan diri kepada Allah semata-mata dan tidak tunduk kepada selain Allah. Dalam hubungan ini, Allah berfirman dengan bermaksud :

”Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan seseorang rasul kepada tiap-tiap umat (untuk menyerukan) sembahlah Allah sahaja dan jauhi taghut itu,” (S, 16;36)

13. Saya hendaklah takut kepada Allah semata-semaata dan tidak takut selain dari Allah. Ketakutan saya kepada Allah itu seharusnya mendorong saya menjauhkan diri dari perkara-perkara yang dimurkai dan diharamkan Allah. Dalam hubungan ini, Allah telah berfirman dengan maksud :

”Sesungguhnya orang-orang yang takut kepada Tuhannya yang tidak nampak oleh mereka, mereka akan memperolehi ampunan dan pahala yang besar,” (S, 67:12)

”Barangsiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya dan takut kepada Allah dan bertaqwa kepadaNya maka mereka adalah orang-orang yang mendapat kemenangan,” (S, 24:52)

14) Saya mestilah sentiasa mengingati Allah dan sentiasa berzikir menyebut nama Allah. Saya diam mestilah kerana berfikir dan saya bertutur mestilah kerana berzikir, kerana berzikir mengingati Allah itu adalah merupakan ubat yang paling mujarab untuk jiwa saya.

Zikir juga merupakan senjata yang paling tajam dalam menghadapi serangan-serangan zaman, pancaroba hidup dan liku-likunya. Inilah yang paling diperlukan oleh manusia masa kini. Dalam hubungan ini, Allah berfirman dengan bermaksud :

”Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah, ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenteram,” (S, 13:28)

”Dan barangsiapa yang berpaling dari mengingati Allah yang Maha Pemurah Kami adakan baginya syaitan (yang menyesatkan) maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya,” (S, 43:36)

Dr. Barail telah menerima hakikat ini yang mana beliau telah mengatakan ”Seorang yang berpegang teguh dengan agama tidak akan mengidap penyakit jiwa,”

Caringi, seorang ahli ilmu jiwa juga telah mengatakan, ”Para doktor ilmu jiwa mengetahui bahawa iman yang kuat dan pegangan yang teguh kepada agama sudah cukup untuk menghilangkan perasaan keluh kesah, ketegangan saraf dan dapat menyembuhkan penyakit,”

15) Saya mestilah mencintai Allah dengan kecintaan yang menyebabkan hati saya sentiasa merindui Allah dan sentiasa bergantung kepadaNya. Kecintaan itu akan mendorong saya untu sentiasa melakukan kebajikan, berkorban dan berjihad di jalan Allah.

Kenikmatan dunia yang fana dan kecintaan kepada kaum keluarga dan kerabat tidak akan menghalang saya melakukan perkara kebajikan. Saya akan berkorban pada jalan Allah kerana patuh kepada Firman Allah yang bermaksud :

”Katakanlah jika bapa, anak, saudara, isteri, kaum keluarga, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan rasulNya dan (dari) berjihad di jalanNya maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusanNya. Allah tidak memberi pimpinan kepada orang-orang fasik,” (S, 9:24)

Saya akan berkorban pada jalan Allah kerana ingin mendapat kemanisan iman sebagaimana yang telah disebutkan oleh Rasulullah saw, hadisnya yang bermaksud :

”Tiga perkara, sesiapa yang terdapat ketika-tiga perkara itu dalam dirinya beliau akan mendapat kemanisan iman, iaitu : Bahawa Allah dan rasulNya lebih ia kasihi dari yang lain, bahawa beliau tidak mengasihi seseorang kecuali kerana Allah, bahawa beliau benci kembali kepada kekufuran sebagaimana beliau benci dilontarkan ke dalam neraka,”

16) Saya mestilah bertawakkal kepada Allah dalam semua urusan. Saya mestilah bergantung kepada Allah dalam semua perkara. Kesemua ini akan membangkitkan dalam diri saya satu kekuatan dan kesedaran roh sehingga saya akan merasakan perkara-perkara yang berat itu menjadi ringan.

Firman Allah yang bermaksud

”Dan barangsian yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya,” (S,65:3)

Dalam hubungan ini, Rasulullah saw telah berwasiat dengan sabdanya,

”Peliharalah Allah, Ia akan memeliharamu. Peliharalah Allah engkau akan mendapatiNya bersamamu. Kalau engkau meminta sesuatu mintalah kepada Allah. Jika engkau meminta pertolongan mintalah kepada Allah. Ketahuilah, sekiranya seluruh umat berhimpun umntuk memberi sesuatu manfaat kepadamu mereka tidak akan dapat memberi manfaat kepadamu kecuali apa yang telah dituliskan Allah kepadamu dan sekiranya seluruh umat berhimpun untuk melakukan bencana ke atasmu kecuali apa yang telah dituliskan Allah ke atasmu. Kalam telah diangkat dan kertaspun telahpun kering,” -riwayat Tirmizi.

Sumber : Kitab Maza Yakni Intimai Lil Islam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan