Ahad, 17 Jun 2012

Suria Kanan


KEADAAN di kota Mekah bertambah cemas dan tegang. Pertengangan quraisy terhadap Nabi saw dan pengikut-pengikutnya semakin hebat. Golongan Muslimin yang turut bertambah tidak mundur sedikitpun dengan pendirian mereka.

Bapa saudara Nabi saw iaitu Abu Talib, merupakan satu-satu pembela Nabi dan telah beberapa kali berjaya melindungi Nabi daripada perbuatan kasar dan keji kaum quraisy walaupun beliau sendiri belum beriman. Beliau terus membela Nabi apatah lagi pengaruhnya sangat besar di Kota Mekah.

Satu hari, beberapa orang ternama quraisy datang menemui Abu Tolib dengan diiringi Abu Jahal, Abu Sufian dan beberapa orang lagi.

”Wahai Abu Tolib ! Anak saudaramu telah mencerca Tuhan kami dan merendahkan agama serta memperbodohkan fikiran kami. Muhammad mengatakan nenek moyang kami sesat. Kerana itu kami berharap engkau dapat menghentikan tindakannya atau engkau biarkan kami bertindak ke atasnya. Engkau dan kami bersama dalam kelainan pendapat dengan Muhammad, maka kami kira sudah cukup engkau saja menghadapinya,” demikian kata mereka kepada Abu Tolib.

Dengan tenang dan lembut Abu Tolib menjawab saranan mereka itu sehingga mereka pulang dengan harapan dan mengira Muhammad sudah tentu akan menghentikan gerakannya.

Tetapi harapan mereka hampa kerana Nabi dan sahabatnya masih meneruskan dakwah mengembangkan Islam, menyataan yang hak dan menolak yang batil.

Maka bertambah-tambahlah kemarahan kaum quraisy. Mereka terasa dipermain-mainkan dan kerana itu sekali lagi mereka menemui Abu Tolib. Pertemuan kali ini penuh dengan kata-kata ancaman.

”Wahai Abu Tolib ! Usia engkau bertambah lanjut, kebesaran dan kedudukan engkau tinggi. Kami sudah meminta engkau berbuat sesuatu menghentikan Muhammad dari perbuatannya. Tetapi engkau tidak melakukannya.

”Demi Allah, kami tidak boleh bersabar lagi melihat nenek moyang kami dicaci. Pendapat kami dipandang rendah dan tuhan kami dicela. Engkau hendaklah segera bertindak menghentikannya atau kami yang akan bertindak ke atas Muhammad. Kami juga akan bertindak ke atas engkau sampau salah satu diantara kita hancur,”

Setelah menyampaikan ancaman itu mereka pun berlalu. Mereka menunggu apakah tindakan yang akan dilakukan Abu Tolib ke atas anak saudaranya itu atau apakah ia akan terus membiarkan Muhammad berdakwah.

Sementara itu, Abu Tolib menyuruh orang memanggil Nabi saw dan menyampaikan pendirian quraisy yang mengancam itu. Beliau memahami keberatan mereka dan pada masa yang sama beliau mengasihi Muhammad. Keadaan menjadi serba salah baginya tetapi mesti dihadapi.

”Muhammad, kaum engkau telah mendatangi aku,” kata Abu Talin memulakan bicara dengan Nabi.

Lalu beliau katakan kepada Muhammad kata-kata mereka yang bersifat mengancam itu.

”Janganlah engkau berati aku untuk memikul beban yang aku tidak sedia menyanggupinya,” demikian kata terakhir dari Abu Tolib.

Mendengar kata-kata Abu Tolib ini, Nabi sawpun mengira tentunya Abu Tolib sudah memihak kepada quraisy. Sudah lemah dan tidak lagi membela Nabi. Namun baginda tidak akan berganjak sebagai Rasul Allah.

”Wahai bapa saudaraku ! Demi Allah sekiranya mereka itu meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku supaya aku menghentikam tugas agama ini walau Allah memenangkannya atau aku sendiri hancur, namun aku tidak akam meninggalkan tugas ini,” demikian Nabi jawab keluhan bapa saudaranya Abu Tolib dengan rasa sedih.

Kemudia Nabi keluar meninggalkan bapa saudaranya dengan menitiskan air mata dengan penuh keharuan. Abu Tolib juga melihat kesedihan dan suasana yang sangat terharu sehingga beliau memanggil Nabi.

”Ke marilah, wahai Muhammad,” demikian kata Abu Tolib.

Baginda datang semula mendekati Abu Tolib.

”Wahai anak saudaraku. Pergilah, katakanlah apa yang engkau suka. Demi Allah aku tidak akan membiarkan engkau diganggu selama-lamanya,” demikian Abu Tolib mengatakan isi hatinya.

Setelah itu Nabi pun meninggalkan bapa saudara baginda dan meneruskan tugasnya sebagai Rasuk sesuai dengan kata-kata tegas yang baginda ucapkan kepada Abu Tolib tadi. Bertambah lagi ketabahannya setelah baginda mendengar jaminan dari bapa saudaranya itu sebagai pembela yang kuat di tengah-tengah masyarakat quraisy.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan