Membela orang yang dicintai adalah 1 tindakan yang mulia. Namun membela musuh yang sedang dizalimi jauh lebih mulia. Mampukah kita? Sikap ini cerminan hati yang telah mampu menundukkan nafsunya kepada ketentuan hukum Allah SWT.
Subhanallah..
Ikuti kisah benar di Mesir beberapa masa dahulu. Ia membabitkan 2 orang tokoh ulama di kota tersebut iaitu Ibn Daqiq al-'Id & Ibn binti al-A'azzi. Kerana sebab-sebab tertentu, hubungan mereka diwarnai dengan konflik yang cukup panas.
Suatu hari, Ibn binti al-A'azzi melakukan kesalahan yang tidak dapat dimaafkan di mata Sultan & Wazir. Mereka lalu berpakat untuk menghukum mati ulama ini dengan mencipta tuduhan palsu bahawa dia telah murtad.
Tuduhan itu ditulis pada selembar surat yang diedar kepada setiap tokoh besar di Mesir. Satu persatu tokoh tersebut menurunkan tandatangan menyetujui kandungan surat tersebut.
Ibn Daqiq al-'Id menjadi tokoh yang terakhir yang menerima surat yang diedarkan itu. Andai beliau turut bersetuju, maka Ibn binti al-A'azzi yang selama ini memusuhinya, tidak akan selamat daripada hukuman mati.
Sejurus menerima surat itu, Ibn Daqiq al-'Id membaca isinya dengan teliti. Semua tokoh yang hadir menggesanya untuk segera menandatanganinya. Namun beliau tidak mengendahkan gesaan tersebut, malah meneruskan bacaannya dengan khusyuk sekali.
Selesai membaca, Ibn Daqiq al-'Id mengangkat kepalanya seraya berkata,
"Tidak halal bagiku menandatangani surat ini."
Kata-kata ini sangat mengejutkan semua orang. Mereka tidak menyangka sama sekali sikap ini yang ditampilkan Ibn Daqiq al-'Id terhadap orang yang membencinya & memusuhinya. Mereka menyangka tokoh ini akan menggunakan kesempatan itu untuk menyingkirkan musuhnya buat selama-lamanya.
Seseorang lalu merayunya dengan berkata,
"Tuan, lakukanlah demi Paduka Sultan & Wazir."
Mendengarnya, Ibn Daqiq al-'Id menjadi marah. Beliau berkata,
"Aku tidak akan ikut serta membunuh seorang Muslim!"
Sikap tegas ini menggagalkan konspirasi jahat itu, menyelamatkan Ibn binti al-A'azzi, sekali gus meninggikan nama Ibn Daqiq al-'Id dalam lembaran sejarah umat Islam sehingga ke hari ini.
ETIKA BERKAWAN & BERLAWAN
Setiap dari kita berada di antara dua macam manusia, iaitu mereka yang saling mencintai & mereka yang saling membenci.
Hati kita terasa lebih dekat kepada golongan pertama & terasa lebih jauh daripada golongan kedua. Namun sebenarnya adakah kita tahu apakah garis panduan cinta & benci yang mesti kita turuti sebagai seorang Muslim?
Islam melarang kita melampau (extreme) dalam mencinta & membenci sehingga membutakan mata kita daripada melihat kebenaran & bertindak secara tidak rasional. Prinsip terpenting adalah, (moderate).
Allah berfirman yang bermaksud:
"Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."
(Al-Maidah, 5: 8)
Saiyidina Ali bin Abi Talib pernah berkata,
"Cintailah kekasihmu sekadarnya, siapa tahu ia akan menjadi musuhmu suatu hari nanti.
Dan bencilah musuhmu sekadarnya, siapa tahu ia akan menjadi kekasihmu suatu hari nanti."
Ucapan ini diriwayatkan oleh Hafiz Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf. Beberapa riwayat yang lain menisbahkan kata-kata ini kepada Nabi s.a.w namun melalui sanad yang sangat lemah.
KEBENCIAN MELAMPAU
Apabila kebencian melampaui garis wasatiyyah (moderate), kita akan hidup dalam deraan psikologi yang sangat menyeksa. Rasa sesak dada dibuatnya. Setiap kali mendengar nama orang yang dibenci disebut, fikiran menjadi keruh. Jika seseorang memujinya, hati seolah-olah terbakar. Ada pengalaman? Kalau takde, bagus! Alhamdulillah =)
Hati dipenuhi pelbagai sangkaan buruk setiap kali melihat orang yang dibenci itu melakukan atau mengucapkan sesuatu. Sukar dipercayai bahawa dia juga mampu berbuat baik, bahkan mampu berniat baik! Maybe, kita ingat kita ni baik sangat agaknya =D
Tdak dapat menerima kenyataan bahawa setiap orang memiliki kelebihan walau sekecil mana pun. Malah tidak boleh menerima jika orang lain mengetahui kelebihan itu. Sibuk membuka aib & keburukan orang itu untuk menutup mata semua orang daripada melihat kebaikannya. Na'uzzubilah. Minta dijauhkan oleh Allah dari tabiat seperti ini. Aamiin..
Tahap yang lebih parah, bukan hanya membenci si musuh, malah turut sekali membenci setiap orang yang ada bersamanya. Ibu bapa, kawan-kawan, jiran-jiran & mungkin haiwan ternakan termasuk ayam belaan & kucing kesayangan si musuh pun turut dibenci sekali agaknya. Aduyai..
Saban hari, semakin bertambah bilangan orang yang dibenci a.k.a musuh. Dan saban hari juga, semakin berkurang bilangan orang yang boleh dipercayai. Akhirnya, hidup berada di tengah-tengah ramai musuh & sedikit kawan. Hati pula selalu berada dalam keresahan.
Kebencian yang berlebihan hanya akan merosakkan diri sendiri. Oleh sebab itu, al-Hassan al-Basri berkata,
"Bersederhanalah dalam mencintai & moderatelah dalam membenci. Sungguh ramai orang yang binasa kerena berlebihan dalam mencintai. Dan sungguh ramai orang binasa kerana berlebihan dalam membenci."
(Riwayat al-Baihaqi dalam Syu'ab al-Iman)
IBN DAQIQ AL-'ID
Batasan wasatiyyah dalam mencinta & membenci seseorang tidak terlihat oleh semua orang. Ia hanya terbuka apabila emosi & ego telah tunduk kepada al-Quran & Sunnah seperti yang terjadi pada diri Ibn Daqiq al-'Id yang diceritakan pada awal tadi.
Siapakah dia?
Beliah adalah Taqiyuddin Ali bin Wahb al-Qusyairi. Beliau dilahirkan pada tahun 625H di Hijaz, lalu menghabiskan usianya dengan menuntut ilmu agama dengan bersungguh-sungguh. Beliau terkenal sebagai ulama yang sedikit berbicara namun banyak beribadah. Beliau sangat zuhud, warak & penuh taqwa kepada Allah SWT.
Semua sifat mulia ini terserlah pada kisah yang diceritakan tadi.
Apabila menceritakan kisah ini, al-Hafiz al-Sakhawi berkata:
"Betapa tidak?
Beliau pernah berkata,
"Tidaklah aku mengucapkan atau melakukan sesuatu melainkan setelah aku siapkan jawapanku dihadapan Allah SWT kelak."
Beliau wafat pada tahun 695H.
Ya Allah,
kami meminta & memohon agar kami dapat menjaga keadilan dalam cinta & benci kami.
Dan bantulah kami dalam menjaga mata hati kami daripada dibutakan oleh kedua-duanya. Benar, buta mata hati adalah seburuk-buruk musibah yang Engkau timpakan kepada Hamba-Mu di atas muka bumi-Mu ini.
Amiin Ya Rabbal 'Alamiin..
Penulis asal: Umar Muhammad Noor (Imam Assyafaah Darul Hadith, Singapore)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan