Wednesday, 27 June 2012

IPO


Dr Dzulkefly Ahmad,28 Jun 2012

Meskipun kerajaan sangat berbangga dengan menyebutkan bahawa saham FGVH yang akan disenaraikan atau diapong, telah lebih dilanggan (oversubscribed) sebanyak 17kali sebelum IPO atau Pensenaraiannya hari  ini, saya pernah membuat ramalan bahawa pelabur institusi (institutional investors) tidak akan mahu kekal sebagai pelabur jangka panjang khasnya kerana beberapa informasi khususnya tentang usia pokok Felda yang akan memerlukan tanaman semua hampir lebih dari 50% beserta dengan perbelanjaan kos yang besar.

Telahan saya ini semacam disahkan apabila Jurnal Wall Street (WSJ) semalam, membuat ramalan bahawa pelabur tidak mahu kekal dalam jangka waktu panjang sebab tahap pengeluaran dan unjuran pegeluaran CPOnya adalah rendah berbanding dengan pesaing-pesaingnya. Felda adalah pengeluar CPO yang ketiga di dunia.

WSJ merakamkan pendedahan FELDA, dua hari sebelum IPOnya tentang penurunan keuntungan sebanyak 50% dalam suku tahun yang pertama adalah sangat mengejutkan berbeda dengan apa yang disebutkan dalam prospektus penyenaraian FGVH. Sementara prospektus merakamkan permintaan global minyak makan dan lemak (fats) meningkat 4.2%  (produk utama minyak kelapa sawit), WSJ mempertikaikan bagaimana pertumbuhan yang baru dilaporkan oleh Felda hanya mampu menunjukkan pendapatan sebanyak 1.8% sahaja.

Felda telah memberi alasan yang cukup meleset kerana menyalahkan tentang kos bayaran yang lebih untuk CPO atau minyak sawit mentahnya berbanding pesaingnya. Alasan ini diremehkan oleh Jurnal ulung itu sebagai satu kelemahan pihak pengurusan yang sepatutnya tahu tentang kedudukan pokok sawitnya.

Maklumat seperti ini yang datang kemudian tidak dapat menyuntik keyakinan pelabur diambang pensenaraian FGVH ini seperti juga ia tidak akan menggalakkan pelabur untuk terus kekal bersama mereka mengikut ramalan WSJ itu.

FGVH adalah pensenaraian kedua terbesar selepas Facebook yang menjana USD16. Seperti juga Facebook, FGBH kini ditakuti akan mengalami nasib yang sama.

Untuk pengetahuan umum, Facebook sehingga hari ini masih mengalami kesan IPO atau penyenaraiannya yang penuh dengan kontroversi. Facebook berdepan dengan beberapa tindakan mahkamah oleh beberapa pemegang saham Facebook dan pelabur institusi yang mendakwa bahawa Facebook tidak mendedahkan kedudukan kewangannya yang sebenar dan juga membuat pendedahan secara selektif kepada beberapa pelabur akan maklumat tertentu.

Nasdaq (Bursa Saham New York) masih bergelut dengan dakwaan atau law-suit ini. Penanggung utama (lead arranger) dalam pensenaraian Facebook iaitu Morgan Stanley (MS, Fortune 500) didakwa mendapat informasi kewangan yang tidak diberikan (disclosed) kepda semua pihak dalam prospektus. Di katakan bahawa harga $38 kekal pada berapa hari selepas IPO kerana saham-saham yang dijual dibeli saham-saham itu oleh beberapa penanggung utama seperti Goldman Sachs (GS, Fortune 500), JPMorgan (JPM, Fortune 500) and Bank of America (BAC, Fortune 500).

Saya khuatir IPO FGVH akan mengalami nasib yang sama khasnya kerana pensenaraian ini adalah lebih kontroversi lagi dari Facebook. Bayangkan apabila pemegang saham antarabangsa  tahu cerita tentang segala kontroversi perihal lantikan pengerusi, tribunal, dakwa-dakwi dan segala yang dilalui pahit maung dalam IPO FGVH ini.

Kita perlu ingat terkadang kali ada pelabur-plabur ‘asing’ yang lebih menitikberatkan juga hal-hal moral-etika (seperti tuntutan pertumbuhan mapan-hijau, mesra alam, mesra binatang dll)  dan aspek  komplian dalam peraturan menulis prospektus seperti  tuntutan ketelusan atau ‘disclosure’ seperti disaksikan dalam IPO Facebook.

Apakah semua karenah yang dilalui Facebook akan juga dilalui FGVH termasuk harga saham dan keyakinan pelabur-pemegang saham dan dakwa-dakwi mahkamah nanti? Mungkin tidak seteruk Facebook.

Perhatikan gelagat mengambil keuntungan pada harga yang dijangka tinggi pada hari IPO tetapi lebih penting adalah siapa yang akan bertahan menjadi pemegang saham dalam jangka waktu jauh.

Hanya Allah yang lebih tahu dan masa akan menentukan!

No comments:

Post a Comment