RUMAH Arqam bin Abi Arqam menjadi tempat pertemuan Nabi saw dengan sahabat-sahabat di Mekah. Kedudukan tempat ini terasing dari orang ramai terumatan dari golongan quraisy.
Di sinilah baginda menyampaikan ceramah-ceramah tauhid, mengembirakan hati pengikut-pengikut agama Islam dan berbincang tentang rakan-rakan mereka yang diseksa oleh orang-orang quraisy.
Al-Mustad’afu istilah yang diberikan kepada pengikut Nabi saw di Mekah. Mereka orang-orang yang lemah, tetapi setia tidak berbelah-bahagi kepada Allah dan rasul, walaupun mereka diancam, diseksa namun mereka tetap bertahan.
Nama-nama mereka seperti Bilal bin Rabah, Ammar Yassir, Khabab Arrati, Shuhaib Rumy, Mair Fuhairah dan Abu Fakihah serta yang lain dari kaum lelaki.
Manakala perempuannya seperti Lubainah, Zunayrah, Nahdyah, Ummu Unais dan lain-lain.
Mereka itu mengalami penyeksaan sehingga di luar dari peri kemanusiaan, namun tidak sedikit pun keimanan mereka luntur. Quraisy menganggap mereka hamba-hamba yang hina dan tidak mempunyai keluarga terhormat. Tetapi mereka itu adalah orang yang mulia, kaya keimanannya dan Islamnya.
Disamping itu, ada pula dari golongan mereka yang terhormat memeluk Islam seperti Khadijah, Abu Bakar, Ali Abu Tolib, Zubair Awwam, Masha’b Umeir dan lain-lain lagi. Di kalangan mereka pun mengalami penyeksaan malahan ada dari kalangan keluarga mereka sendiri turut memusuhi Islam.
Kedua-dua golongan inilah yang disebut sebagai Assabiqul awwalun iaitu pelopor Iman di Mekah. Mereka mengalami perlakuan yang kasar dari Quraisys sepertimana yang dialami oleh baginda saw.
Pada suatu ketika baginda berada di lingkungan kaabah, baginda didatangi oleh Khabab Arranti yang dalam keadaan kepedihan keran diseksa tuannya.
”Adakah engkau tidak akan berdoa kepada Allah,”
Demikian Khabab bertanya kerana ingin agar Nabi saw berdoa kepada Allah. Demikian beratnya penyeksaan quraisy yang mereka tanggung kerana memeluk Islam dan apakah belum waktunya mengharapkan bantuan dari Allah.
Inilah yang terlintas di hati Khabab, apatah lagi beliau pernah diseksa oleh tuannya dengan besi panas. Barangkali ada juga yang lain yang sependapat dengan Khabab ini tetapi hanya Khabab yang baru berani berterus-terang kepada Nabi saw.
Mendengarkan kata-kata Khabab itu, baginda Nabi terus terduduk dan wajah baginda berubah merah sebagai tanda tidak memperkenalkan anjuran Khabab itu.
”Wahai Khabab, orang-orang terdahulu sebelum kamu ini mengalami seksaan yang lebih lagi. Ada yang dicakar tubuh mereka dengan besi, dan juga daging dan urat saraf mereka. Tetapi pendirian mereka tidak berubah. Ada yang digergaji kepalanya sehingga terbelah dua namun tidak beliau berpaling dari agamanya.
”Allah akan menyempurnakan urusan ini (Islam) sehingga orang-orang yang berkenderaan dari Sana ke Hadratulmaut, tidak ada yang ditakutinya kecuali Allah; dan juga serigala ke atas kambing. Tetapi kamu Khabab ingin cepat saja datangnya (semua itu),”
Demikian kata Nabi saw menjawab atas anjuran Khabab.
Sebenarnya keterangan Nabi itu mengandungi makna yang mendalam sekali. Bahawa kejayaan Islam tetap akan datang dan keamanannya sehingga terjamin perjalanan seseorang yang musafir. Tetapi baginda mengenangkan bagaimana orang-orang terdahulu mempertahankan iman mereka walaupun diseksa dengan amat kejam sekali. Penderitaan itu dengan penuh kesabaran dan bertawakkal.
Nabi saw tidak mahu cepat-cepat mengangkat tangan memohon pertolongan Allah. Tetapi baginda menyedari akan penyeksaan yang bertambah sengit dan diperhebatkan ke atas mereka yang memeluk Islam. Maka baginda tetap berfikir bagi mencari jalan keluar dari masalah itu dengan sebaik-baiknya.
Akhirnya baginda diilhamkan iaitu memindahkan pengikut-pengikut Islam ke Habsyah ( Etiopia).
”Berangkatlah kamu ke Habsyah. Di sana tidak seorang pun akan mendapat penganiayaan dari rajanya. Habsyah itu bumi yang baik sampai Allah nanti memberikan kelapangan dan jalan keluar dari kesulitan yang kamu tanggungi,” demikian kata Nabi mengizinkan mereka berhijrah.
Peristiwa ini ada hijrah pertama kali dan ia dilakukan dalam bulan rejab setelah lima tahun baginda menjadi Rasul. Nabi melepaskan seorang demi seorang ke Habsyah dan diantaranya naka kandung baginda Ruqayah bersama suaminya Othman bin Affan.
Setelah baginda mendengar mereka telah mula berangkat meninggalkan Mekah, baginda menyambutnya dengan ucapan,
”Sesungguhnya Othman orang yang mula-mula hijrah dengan keluarganya sesudah Nabi Luth,”
Baginda Rasulullah tetap bertahan di Mekah dan terus menyampaikan dakwah Islam bersama sahabat yang lain yang belum hijrah dan tentangan baginda bertambah ganas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan