Jumaat, 20 Julai 2012

DSLR


Sejak akhir-akhir ini, ramai orang telah menceburi bidang fotografi dan menjadikannya sebagai satu pekerjaan sampingan. Bermula dengan era kamera DSLR, bidang ini dilihat mampu menjadi salah satu pekerjaan yang mampu meraih pendapatan yang tinggi. Ekoran daripada itu, ramai yang lupa bahawa setiap benda yang kita lakukan perlu mengikut syariat Islam.


Di sini terdapat koleksi soal jawab mengenai hukum mengambil gambar fotografi terutamannya dalam majlis perkahwinan.

1) Adakah dibolehkan saya mengambil gambar pengantin perempuan yang sedang disolekkan yang tidak menutup rambut kerana ia diminta oleh pengantin perempuan?

Jawapan: Mengikut Dr. Yusof Al-Qaradhawi, walaupun fotografiharus hukumnya, tapi hukumnya bergantung kepada objek fotografi atau objek yang di ambil oleh jurugambar itu. Jika gambar yang diambil adalah gambar bogel, maka ketika itu hukum fotografi adalah haram. Begitu juga gambar perempuan yang membuka auratnya. Hukum yang kedua, hukum melihat aurat perempuan tanpa keperluan yang darurat (seperti perubatan bagi seorang doktor), maka hukumnya adalah haram. Maka hukum anda mengambil gambar-gambar perempuan yang mendedahkan aurat adalah haram hukumnya. Permintaan pelanggan bukanlah alasan untuk mengharuskan yang haram.

2) Apakah rezeki yang saya terima dari mengambil gambar pengantin sedang disolekkan ini halal?

Jawapan: Tidak halal. Ini kerana mengikut kaedah fiqh, “Al hukum bil wasilah hukmu bil maqosyid” (hukum bagi wasilah adalah hukum dari maksud), ia datang dari kaedah fiqih, “Ma haruma isti’maaluh, haruma ittikhaazuh” (yang haram penggunaannya, haram pula memperolehinya) (Muhamamd al-Zarqa’, syarah qawaid/389).

3) Bagaimana pula dengan hasil rezeki gambar-gambar pengantin perempuan yang menutup aurat penuh? Adakah rezeki yang diterima itu halal?

Jawapan: Halal. Ia kembali kepada hukum asal fotografi adalah harus dan harus pula rezeki dari foto-foto yang halal.

4) Bolehkan saya menolak jumlah wang gambar pengantin perempuan yang tidak menutup aurat ini daripada keseluruhan wang hasil gambar perkahwinannya? Maknanya saya hanya memakan hasil gambar yang diambil pengantin wanita yang menutup aurat sahaja (memberikan hasil ini sebagai rezeki keluarga) dan hasil gambar yang tidak menutup aurat saya tidak memakannya (iaitu menggunakan hasil itu dengan membeli kamera/filem baru).

Contohnya harga pakej gambar ialah RM100. Katakan ada 40 (40%) keping gambar pengantin wanita tidak menutup aurat rambut dan 60 (60%) keping lagi menutup aurat penuh. Jadi saya memberikan rezeki RM60 itu kepada keluarga saya dan RM40 itu saya tidak memakannya (dan menggunakan RM40 utk membeli filem/lensa).

Jawapan: Amalan seperti ini sebenarnya tidak pernah dilakukan oleh orang Islam sebelum ini khususnya di zaman salafus-soleh. Mereka berpegang teguh dgn hadis Asy-Syarif, hadis no.6 dalam Matn arba’een anNawawiyah (Matan hadis 40 Imam Nawawi) dari Nu’man bin Bashir yang dikeluarkan oleh Dua Sahih Bukhari-Muslim, “Sesungguhnya yang Halal itu jelas, yang haram itu jelas dan di antara keduanya banyak perkara syubahah (samar-samar) yang kebanyakan manusia tidak mengetahuinya.”

Maksudnya jika kita melakukan begitu, cuba membuat perakaunan (accounting) ini dari sumber halal dan ini dari sumber haram, ini kerana kita takut accounting itu tidak tepat dan masih ada yang syubahah. Lagipun dalam tubuh orang Islam itu tidak berhimpun sifat halal dan haram serta syubahah. Dia hanya mengutamakan halal bayyin dalam semua urusan hidupnya. Dalilnya: “Allah sekali-kali tidak menjadikan bagi seseorang dua buah hati dalam rongganya.” (Quran 33:04). Maksud ayat ini, orang Islam dia hanya ada satu buah hati, ada satu pilihan, hanya memilih yang halal sahaja dan menjauhi syubahah apatah lagi yang haram dalam urusan hidupnya

Kaabah


Dari Ibnu Abbas r.a, katanya: Mula-mula perempuan yang mengambil (memakai) ikat pinggang, ialah ibu Nabi Ismail, diambilnya ikat pinggang supaya hilang jejaknya oleh Sarah. Kemudian Nabi Ibrahim a.s membawa Ibu Ismail dan anaknya yang masih menyusu, lalu di tempatkannya dekat perumahan Bait (Kaabah), di bawah pohon Dauhah di tepi bakal sumur Zamzam, di perumahan masjid. Waktu itu tidak ada seorang pun yang tinggal di Mekah dan di situ air pun tidak ada. Nabi Ibrahim lalu menempatkan keduanya di sana dan diletakkannya di sisi keduanya sebuah tempat makanan yang berisi kurma dan sebuah tempat minum yang berisi air.


Kemudian Nabi Ibrahim berangkat. Ibu Ismail lalu mengikutinya sambil berkata: “Hai Ibrahim! Tuan hendak kemana? Sampai hatikah tuan meninggalkan kami di lembah yang tidak ada manusia dan tidak pula ada sesuatunya di sini”. Diucapkannya perkataan itu berulang-ulang. Nabi Ibrahim tiada menoleh. Kata ibu Ismail kepadanya: “Tuhankah yang menyuruh tuan berbuat begini?” Jawab Ibrahim: “Ya!” Katanya: “Jika begitu, Tuhan tiada akan mensia-siakan kami’. Kemudian ibu Ismail kembali dan Ibrahim pun terus berjalan.

Ketika ia berada di Saniah, di tempat yang kira-kira tidak kelihatan oleh ibu Ismail, Ibrahim menghadap ke arah Bait, kemudian ia berdoa dengan beberapa kalimat, sambil mengangkat kedua tangannya. Doanya: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku menempatkan sebahagian dari keturunanku di lembah yang tiada mempunyai tanam-tanaman, di dekat Rumah Suci Engkau. Wahai Tuhan kami! Supaya mereka tetap mengerjakan solat. Sebab itu, jadikanlah hati manusia tertarik kepada mereka, dan berilah buah-buahan, menjadi rezeki mereka, mudah-mudahan mereka berterima kasih!”

Kemudian ibu Ismail menyusukan anaknya dan meminum air yang disediakan itu. Ketika air yang dalam tempat air itu habis, ia dan anaknya merasa haus. Ketika ia memandang anaknya membalik-balik, ia pun pergi kerana tak sampai hati melihat anaknya. Maka dilihatnya bukit Safa paling dekat kepadanya. Lalu ia berdiri ke sana dan menghadap ke lembah, kalau-kalau ada orang. Tetapi ia tidak melihat seorang juapun. Ia turun dari Safa. Ketika ia di lembah, diangkatnya tepi bajunya, kemudian ia berjalan cepat-cepat seperti perjalanan orang kecemasan, sampai ia melalui lembah. Kemudian ia tiba di Marwah, lalu ia berdiri di situ dan melihat kalau-kalau ada orang. Tetapi ia tiada melihat seorang jua pun. Dilakukannya yang demikian sampai tujuh kali. Ibnu Abbas berkata: Nabi s.a.w bersabda: “Kerana itulah , orang haji mengerjakan Saie di antara Safa dan Marwah”.

Ketika Ibu Ismail berada di Marwah, ia mendengar suara, lalu ia berkata kepada dirinya sendiri: “Dengarlah!” Kemudian ia berhati-hati mendengarkannya, maka didengarnya pula suara itu. Ia berkata: “Sesungguhnya engkau telah memperdengarkan suara, adalah kiranya pertolongan dari sisi engkau”. Tiba-tiba di situ ada malaikat dekat tempat Zamzam lalu ia menggali dengan tumitnya atau dengan sayapnya sehingga keluarlah air. Ibu Ismail lalu membendungnya dengan tangannya begini: Ia menyauk air itu untuk mengisi tempat airnya, dan air itu pun terus menyembur sesudah disauk.

Ibnu Abbas berkata: Nabi s.a.w bersabda: “Mudah-mudahan Tuhan mengasihi ibu Ismail! Jika dibiarkannya Zamzam, atau tidak disauknya air itu, sesungguhnya akan menjadi mata air yang mengalir.” Sabda beliau: “Ibu Ismail lalu minum dan menyusukan anaknya. Malaikat berkata kepadanya: “Janganlah engkau takut akan binasa! Sesungguhnya di sini Baitullah yang bakal dibangun oleh anak ini dan ayahnya, dan sesungguhnya Tuhan tiada akan menyia-nyiakan penduduk tempat ini.” Dan tinggi Baitullah itu dari tanah sebagai longgokan tanah, yang dilanda oleh banjir di sebelah kanan dan kirinya.

Demikianlah keadaan perempuan itu, sehingga lalulah serombongan dari suku Jurhum yang datang dari jalan Kada’, lalu mereka itu berhenti di hilir Mekah. Mereka melihat burung berputar-putar di udara, lalu mereka berkata: “Burung ini berputar di atas air”. Sebenarnya kita di lembah ini menemui tempat yang di situ ada air. Mereka lalu mengirim seorang atau dua orang utusan. Tiba-tiba utusan itu menemui air, segera mereka kembali dan terus dikhabarkannya pada mereka (kawannya) bahawa di situ ada air. Lalu mereka berkata: “Adakah engkau mengizinkan kami tinggal di tempatmu?” Jawab perempuan itu: “Ya, tetapi kamu tiada berhak atas air itu!” Kata mereka: “Ya, baiklah!” Ibu Ismail menerimanya dengan baik, kerana dia ingin ada orang lain bersama dia. Mereka lalu tinggal di situ bersama-sama dengan keluarga mereka, sehingga terjadilah beberapa rumah tangga mereka, sedang Ismail telah agak besar (hampir dewasa). Ia mempelajari bahasa Arab dari mereka. Ia amat dikasihi mereka.

Ismail amat menarik dan mengagumkan mereka, ketika itu umurnya hampir dewasa. Mereka mengahwinkan Ismail dengan seorang perempuan di antara mereka, dan ibu Ismail pun meninggal. Sesudah Ismail kahwin, datanglah Nabi Ibrahim melihat anak isteri yang ditinggalkannya, tetapi beliau tiada menemui Ismail. Ibrahim lalu bertanya pada isteri Ismail dari hal keadaannya. Kata isteri Ismail: “Ia pergi mencari keperluan kami”. Kemudian Ibrahim menanyakan dari hal penghidupan dan keadaan mereka. Kata perempuan itu: “Kami dalam keadaan sengsara, kami dalam kesempitan dan kesusahan”. Ia mengadukan halnya kepada Ibrahim. Ibrahim berkata: “Apabila datang suami engkau, sampaikanlah salam kepadanya dan katakanlah baginya supaya diubahnya bingkai pintunya”. Setelah Ismail datang, seolah-olah ia merasakan sesuatu, lalu ia bertanya: “Adakah orang yang datang kepadamu?” Jawabnya: “Ya, ada orang tua datang kepada kami, lalu saya bercerita kepadanya. Ditanyakannya bagaimana penghidupan kita lantas saya ceritakan bahawa sesungguhnya kita dalam kepayahan dan kesusahan”. Kata Ismail: “Adakah ia memesankan sesuatu kepada engkau?” Jawabnya: “Ya, disuruhnya saya menyampaikan salam kepada engkau dan dikatakannya: “Ubahlah bingkai pintumu!” Kata Ismail: “Itulah ayahku! Sebenarnya ia menyuruh saya supaya menceraikan engkau. Kembalilah engkau kepada keluarga engkau!” Ismail pun mentalaknya.

Kemudian ia kahwin dengan perempuan lain. Setelah beberapa lama Ibrahim datang kembali, tetapi tidak juga menemui Ismail. Ia lalu masuk ke rumah isteri Ismail, dan ditanyakannya dari hal Ismail. Kata perempuan itu: “Ia pergi mencari keperluan kami!” Kata Ibrahim: “Bagaimana keadaanmu?” Ditanyakannya hal penghidupan dan keadaan mereka. Jawabnya: “Kami dalam keadaan baik dan lapang”. Dan perempuan itu pun memuji Tuhan. Tanya Ibrahim: “Apakah makananmu?” Jawabnya: “Daging”. Tanya beliau: “Apakah minumanmu?” Jawabnya: “Air”. Doa Ibrahim:”Wahai Tuhan, berilah kiranya keberkatan untuk mereka mengenai daging dan air!” Nabi s.a.w bersabda: “Ketika itu belum ada di situ tanaman yang berbiji. Sekiranya mereka mempunyai, nescaya Nabi Ibrahim mendoakan keberkatannya. Maka yang dua itu (daging dan air) di negeri lain dari Mekah biar pun ada, tetapi tidak sesuai untuk jadi makanan pokok. Kata Nabi Ibrahim: “Apabila datang suami engkau, sampaikanlah salam kepadanya, dan suruhlah ia supaya menetapkan bingkai pintunya!” Ketika Ismail datang, ia bertanya: “Adakah seorang yang datang kepadamu?” Jawab isterinya: “Ada! Datang kepada kami seorang tua yang baik keadaannya”. Dan perempuan itu pun memujinya. “Ia menanyakan tuan pada saya dan menanyakan bagaimana kehidupan kita, lalu saya ceritakan, bahawa sesungguhnya kita dalam keadaan baik”. Kata Ismail: “Adakah ia memesankan sesuatu kepada engkau’?” Jawabnya: “Ada! Disuruhnya sampaikan salam kepada tuan dan disuruhnya supaya menetapkan bingkai pintu tuan”. Kata Ismail: “Itulah ayahku dan engkaulah yang dikatakan bingkai pintu. Beliau menyuruh saya supaya tetap beristerikan engkau”.

Beberapa masa kemudian sesudah itu Ibrahim datang kembali dan didapatinya Ismail sedang meruncing anak panahnya di bawah pohon Dauhah, tidak jauh dari Zamzam. Setelah ia melihat ayahnya, ia berdiri menemuinya. Keduanya lalu berpelukan sebagaimana diperbuat seorang ayah dengan anaknya dan anak dengan ayahnya. Kemudian Nabi Ibrahim berkata: “Hai Ismail! Sesungguhnya Tuhan memerintahkan satu perintah kepada saya” Jawab Ismail: “Laksanakanlah apa yang diperintahkan Tuhan itu!” Kata Ibrahim: “Mahukah engkau menolong saya?” Jawab Ismail: “Saya bersedia menolong ayah”. Kata Ibrahim: “Sesungguhnya Tuhan memerintahkan kepada saya supaya saya mendirikan Baitullah di sini”, Ia menunjuk kepada tumpukan tanah yang tinggi di sekelilingnya. Sesudah itu keduanya meninggikan (memasang) asas Bait (Kaabah). Nabi Ismail membawa batu dan Nabi Ibrahim memasangnya. Setelah pasangan itu tinggi Ismail membawa batu (untuk berpijak Ibrahim). Ibrahim lalu berdiri di atasnya untuk memasang dan Ismail menunjukkan batu. Kata Nabi: Keduanya meneruskan pembangunan sampai selesai, lalu berputar sekeliling Kaabah, mengucapkan: “Wahai Tuhan kami! Terimalah kerja kami. Sesunguhnya Engkau mendengar lagi mengetahui!”

Sahih Bukhari Jilid 3. Hadith Nombor 1475.

Jari manis


Di sini apa yang kami hendak ketengahkan adalah nilai dan pengajaran dan tiada kena mengena antara yang hidup atau mati. Dan mungkin pada kita, ada benarnya juga walaupun ia hanyalah suaturekaan/fakta/dongengan semata-mata.

Apa yang hendak kami perkatakan adalah mengenai sebab cincin perkahwinan di sarungkan pada jari manis dan bukannya di jari-jari lain. Untuk mengetahuinya, anda bolehlah cuba aktiviti dibawah ini, dan diharap melaluinya anda akan dapat mesej yang hendak kami sampaikan kepada anda.


Apa yang anda perlu buat disini ialah, satukan kedua tangan anda dan lengkungkan jari tengah ke bahagian dalam,kemudian 4 jari lainnya ditemukan pada hujungnya (Anda boleh rujuk gambar seperti diatas).

Setelah selesai, bolehlah anda ikut arahan seterusnya ini :

Cuba buka ibu jari anda dan anda akan dapati ibu jari boleh di buka kerana apa yang hendak dikatakn di ibaratkan disini ialah ibu jari mewakili orang tua kita. Setiap manusia pasti akan mengalami waktu sakit dan kematian, oleh kerana demikian orang tua kita juga akan meninggalkan kita suatu hari nanti.

Tutup kembali ibu jari anda dan buka jari telunjuk anda. Anda akan dapati jari telunjuk anda dapat dibuka dan ia boleh diibaratkan seperti saudara kita (abang,kakak,adik). Mereka pasti akan memiliki keluarga sendiri suatu hari nanti dan mereka juga akan meninggalkan kita suatu hari nanti.

Sekarang tutup jari telunjuk anda dan buka jari kelingking anda pula. Anda akan dapati jari kelingking anda juga dapat dibuka dan ia boleh diwakili sebagai anak-anak kita akan datang. Cepat atau lambat, anak-anak juga akan meninggalkan kita kerana mereka juga akan berkeluarga sendiri pada suatu hari nanti.

Seterusnya,tutup jari kelingking itu semula dan bukalah jari manis anda. Dan anda akan dapati jari anda tidak dapat dibuka. Apa yang hendak perhatikan ialah disini ialah tempat dimana anda menyarungkan cincin perkahwinan anda. Anda pasti berasa hairan kerana jari manis tersebut tidak boleh dibuka. Ini kerana jari manis mewakili suami isteri, selama mana hidup anda dan pasangan anda.. Sudah pasti anda akan terus bersama sehingga akhir hayatnya. – Wallahua’lam

Info tambahan buat penganut agama islam:

Memakai cincin mengikut sunnah Rasulullah SAW adalah seperti berikut :

Rasulullah SAW memakai cincin di jari kelingking tangan kiri sehingga baginda wafat. Inilah yang dipegang Imam Malek, Imam Syafi’e dan Imam Ahmad. Berdasarkan hadith daripada Anas bin Malek : “Adalah cincin Nabi SAW dipakai pada tangan ini (Dan dia menunjukkan kepada kelingking jari kiri)”. Hadith Riwayat Muslim.

Disamping itu Ali bin Abi Talib berkata “Rasulullah SAW telah melarang saya memakai cincin pada jari telunjuk atau jari yang mengiringinya(jari tengah atau jari hantu)”. Hadith riwayat Muslim, Abu Daud, At-Tirmizi dan An-Nasai.

buka puasa


Ustaz,

saya akan pulang ke Malaysia pada penghujung Ramadhan dan akan menaiki penerbangan selama kurang lebih 13 jam. Perjalanan saya akan bermula pada pukul 12.00 tengah hari waktu tempatan. Saya dijangka tiba di Malaysia hari berikutnya pada jam 7.25 pagi waktu Malaysia. Mengikut waktu tempatan, saya akan mulai berpuasa pada jam 5.17 pagi dan berbuka pada jam 6.51 petang.

Soalan saya, semasa dalam perjalanan ini, adakah saya perlu mengikut waktu tempatan tempat saya berlepas atau mengikut waktu Malaysia bagi tujuan berbukapuasa/sahur/solat?

Jawapan :

Menurut fatwa Syeikh ‘Athiyah Saqar Rahimahullah (bekas pengerusi Lujnah Fatwa al-Azhar). Seorang yang bermusafir sebagaimana juga orang lain yang tidak bermusafir- ia hendaklah berbuka apabila telah tiba malam (yakni telah jelas terbenam matahari). Ini kerana Allah berfirman (bermaksud) : “Kemudian sempurnakanlah puasa hingga (tiba) malam (yakni terbenam matahari)” (al-Baqarah : 187).

Dalam hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim diceritakan Nabi sAW bermusafir di bulan Ramadhan bersama sahabatnya. Apabila matahari terbenam, baginda meminta seorang lelaki menyediakan makanan untuknya. Bila telah disediakan, baginda minum sambil berkata dengan tangannya menunjuk ke arah Timur dan Barat : “Apabila matahari telah terbenam dari arah sana (arah Barat) dan datang malam dari arah sana (yakni Timur), maka orang berpuasa bolehlah berbuka” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim dari Umar ra).

Jadi, berdasarkan ayat al-Quran dan hadis tersebut, seorang yang berpuasa tidak harus berbuka kecuali apabila telah tiba malam dan malam tiba dengan terbenam matahari. Selama orang yang berada di atas kapal terbang tidak melihat malam (yakni ia masih melihat siang) tidak harus ia berbuka. Apa yang akan berlaku jika ia bermusafir ke Timur, maka siangnya semakin pendek dan tempoh puasanya juga akan jadi singkat. Dan jika ia menuju ke arah Barat, siang dan puasanya akan jadi panjang. Arah mana pun yang ia tujui (sama ada Timur atau Barat), yang dijadikan perkiraan untuk berbuka ia dengan tibanya malam (terbenam matahari), bukan merujuk kepada waktu di tempat ia bertolak atau waktu di tempat tujuannya atau waktu semasa di Negara/kawasan yang dilalui oleh kapal terbangnya.

Jika berpuasa menyukarkan bagi orang yang menuju ke Barat, kerana masa berpuasa yang menjadi lebih panjang, harus ia meninggalkan puasa atas sifatnya sebagai seorang musafir dan kemudian mengqadhanya selepas Ramadhan.

manok sewot


Angry Birds.. Apa yang best sangat game ni? Cam simple je, game berkaitan burung-burung yang marah kepada babi-babi berwarna hijau yang mencuri telur mereka.


Sedar tak kita…
Jawapannya sebab….
..dipenuhi dengan nilai-nilai dan prinsip-prinsip sebuah gerakan Dakwah Islamiyah

1) Jihad dan Tadhiyyah (Pengorbanan)

Antara ciri yang paling power pasal Angry Birds ni, sebab burung-burung yang marah tu semuanya sanggup berkorban; menyerahkan jiwa dan tubuh mereka untuk mencapai matlamat mereka iaitu menghapuskan babi-babi hijau yang suka tersengih jika masih hidup di akhir permainan. Mungkin yang merah, biru dan hijau hanya sanggup mencederakan diri sendiri.

Tapi bagaimana dengan yang hitam dan putih? Yang hitam sanggup meletupkan dirinya sendiri! Yang putih pula? Sanggup mengorbankan anaknya!

Itu bukanlah satu pengorbanan yang senang; menghantar anak yang masih dalam telur ke medan jihad. Segala-galanya untuk mencapai satu matlamat; menjatuhkan tembok-tembok jahiliyah yang kukuh, untuk menghapuskan babi-babi hijau itu selama-lamanya… terutamanya ketua mereka yang memakai mahkota emas.

“Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin itu diri mereka dan harta mereka dengan memberikan kepada mereka syurga…” (At-Taubah 9:110)

2) Amal Jamaie

Dalam nak meruntuhkan tembok-tembok jahiliyah yang begitu kukuh, burung-burung yang marah itu tidak bertindak secara berseorangan, malahan mereka tidak akan mampu meruntuhkannya jika bertindak secara berseorangan. Maka mereka bersatu, bersatu tenaga mereka, bertindak secara berjemaah untuk meruntuhkan tembok-tembok jahiliyah itu.

3) Tanzim (organisasi)

Yang tersusun tapi adakah diorang main langgar je sape yang serang dulu?

Tidak. Diorang sedar setiap burung mempunyai kemampuan dan semangat pengorbanan yang berbeza. Setiap burung mempunyai isti’ab (penguasaan) yang berbeza. Jadi diorang susun, sape pergi dulu, lepas tu sape pergi dulu.

Kenapa? Sebab Saidina Ali mengatakan:

“Kebatilan yang tersusun akan mengalahkan kebenaran yang tidak tersusun”

4) Gerak kerja yang Muntijah (berhasil)

Bagaimana pula cara diorang susun sape yang pergi dulu dan sape yang pergi dulu?

Diorang susun dengan menilai, bagaimanakah cara yang paling muntij dan cepat untuk meruntuhkan tembok jahiliyah itu? Maka setiap orang yang mempunyai isti’ab yang berbeza, berfokus kepada kelebihannya.

Yang reti potong kayu pergi serang kayu
Yang boleh hancurkan batu pergi hancurkan batu

Dan menjadi tanggungjawab kita pula, sebagai qiyadah (ketua) mereka, untuk detect, apakah kelemahan musuh kita, dan dengan segala kekuatan serta isti’ab jundi (tentera) yang berbeza-beza.

Bagaimanakah kita ingin menyusun strategi untuk mencapai ustaziyatul alam?

“eh silap”

Untuk mengalahkan babi-babi hijau tadi dengan tenaga yang paling sikit, dan masa yang paling cepat.

5) Taat

Dan sebagai qiyadah, perkara yang paling menyenangkan hati kita dan meneruskan semangat kita untuk berjuang, adalah kalau kita suruh burung-burung marah itu menyerang ke atas, maka dia akan pergi ke atas, dan kalau ke kanan, maka dia akan pergi ke kanan.

Pasti tidak ada orang yang nak main, dan selama-lamanya babi-babi hijau itu akan gelak terkekeh-kekeh, jika qiyadah suruh serang ke kanan, dia pergi melayang ke atas.

6) Ukhuwah

Lastly, kena faham, bahawa ukhwah burung-burung yang marah itu sangat kuat, itulah teras dan tunjang utama kekuatan diorang, mereka sedih, marah, apabila saudara-saudara mereka dicuri telurnya, mereka merasai penderitaan saudara-saudara mereka.

Kerana sesungguhnya burung-burung yang berwarna itu bersaudara, seperti mana kita umat Islam bersaudara.

Jika salah satu daripada saudara kita sakit/derita, kita turut merasakan penderitaannya. Dan kita akan berusaha untuk menyelamatkan saudara kita, daripada musuh yang nampak di dunia, dan juga musuh yang tidak nampak, yang menarik kita ke api neraka.

Kenapa? Sebab kita menyayangi saudara kita, sesungguhnya dakwah ikhwanul muslimin itu adalah berteraskan dakwah kasih sayang. Kerana cinta kita kepada Islam dan Umat Islam, tidak akan wujud game Angry Birds, jika tidak ada ukhwah di kalangan mereka.

Begitu juga tidak akan wujud gerakan Islam, malahan mustahil akan menang gerakan Islam, jika tidak wujud ukhwah dan muhibbah antara semua umat Islam.

“Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan. Dan engkau melihat manusia berbondong-bondong memasuki agama Allah. Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampunan kepadaNya. Sungguh, Dia Maha Penerima Taubat” (An-Nasr 110:1-3)

Sedarlah. Pertolongan Allah tidak akan datang jika tidak wujud ukhwah dan kesatuan di kalangan umat Islam dan prinsip kepada kesatuan itu terletak pada Usul 20 oleh Imam Hassan Al-Banna.

Semua yang korang baca tadi adalah pengajaran daripada Angry Birds.

Tapi ada satu lagi pengajaran yang tersirat, iaitu jika kita melihat dunia ini dengan perspektif Islam yang jernih, kita akan memasuki sebuah dunia yang berbeza, dan kita akan mampu melihat apakah masalah umat Islam sebenarnya, sehingga mereka tidak mampu menang-menang lagi sampai sekarang..

“Ukhuwah Teras Kegemilangan”