Isnin, 13 Ogos 2012

RM1


Pada pengamatan dari beberapa buah negara yang pernah kami pergi serta yang pernah kami sentuh dan lihat rupa duit mereka, design dan kualiti duit kertas Malaysia sangatlah baik dan boleh dibanggakan. Masih belum terlambat jika nak ucapkan tahniah kepada siapa sahaja yang buat rekaan pada duit terbaru Malaysia yang sememangnya hebat tetapi kami tak pasti ada atau tidak yang tahu siapa yang design.

 Apapun, ada yang lebih menarik bila gambar-gambar yang digunakan untuk design wang kertas ini kita dapat tahu dari mana puncanya.
Sebenarnya, semua orang tahu itu Gunung Kinabalu. Apa yang menarik, gambar yang diambil merupakan shoot atau angle yang benar-benar tepat seperti apa yang kita nampak di dalam duit.


Tengoklah gambar gunung di atas duit kertas RM1 ni puas-puas kerana dalam duit RM1 yang baru, gunung ni dah pun tiada lagi. Sekadar tinggal beberapa wau yang berterbangan di tepi pantai di bawa angin.


Note RM1 baharu;

Dari respon seorang pembaca Oh! Tidak yang mengatakan gunung tersebut telah di bawa kepada note RM100 yang baru, baru kami perasan gunung tersebut telah dibawa ke duit RM100. Wah, naik pangkat!


Di bawah ini pula post kami baru-baru ini di Oh! Media. Lihat gambar sahaja tentu anda rasa familiar kan?

Familiar dengaan insan di dalam gambar ini? Percaya atau tidak, tak semua rakyat Malaysia tahu (kerana tak mahu ambil tahu) siapakah gerangan yang terpampang di dalam semua duit kertas Ringgit Malaysia. Ini link untuk anda baca.

Dikatakan, ini gambar Tuanku Abdul Rahman yang sebenar di mana digunakan di dalam design note Ringgit Malaysia pelbagai nilai yang masih dikekalkan hingga ke hari ini.
Setakat ini, dua ini sahaja maklumat yang kami ada. Duit lain tu mungkin tidak perlu kita cari kerana ada pokok kelapa sawit, LRT, bus dan sebagainya yang amat mudah untuk kita jumpa. Apapun jika anda ada maklumat lain, hubungi kami untuk dikongsikan bersama di Oh! Tidak ya?

hati si dia


1.Klau die ngamuk baling2 barang
-try awk smbut.Ni la msenye awk tnjuk kpantasan jd gol keper. 

2.Klau die mule jerit tibe2
-awk nyanyi kuat2. ni la masenye awk tunjuk suare awk sehebat Black(Mentor) 

3.Klau die tngk cam nk telan org 
-awk smile je nengok dia! Baru die nampak kecomelan awk! 

4.Klau die nk lari umah
- Tolong kemas kan barang dia same2. Ni la masenye awk tunjuk betapa rajinnye awk 

5.Klau die nangis sbb sket ati
-awk gelak kuat2 tguling2. Ni la bukti awk usaha wat dia happy time die sedang berduka. 

Muhasabah Puasa


Walaupun Ramadan belum berakhir, tetapi tidak salah kalau kita muhasabah ke hadapan. Maksudnya, kita gerakkan hati dan fikiran kita untuk melihat apa yang akan kita  ’dapat’ atau siapa kita akan ‘jadi’ pasca Ramadan ini. Supaya dengan itu, kita belajar menghargai detik Ramadan yang masih berbaki. Jangan sampai bila ia berlalu, kita menepuk dahi… kesal kenapa kita tidak mendapat apa-apa atau diri masih di takuk lama.

Bukankah Rasulullah SAW sendiri mengingatkan dalam sebuah hadisnya, betapa ada muslim yang berpuasa tidak mendapat apa-apa kecuali lapar dan dahaga dan tidak mendapat apa-apa daripada Qiamullailnya melainkan letih dan kepenatan berjaga malam semata-mata.

Apakah hasil yang kita harapkan selepas berpuasa di bulan Ramadan? Apakah bentuk manusia yang kita akan jadi selepas keluar dari ‘kem latihan’ Ramadan ini? Ya, mari bermula dengan satu pengakiran – menjangka hasil akhir ketika memulakan. Supaya dengan ini, puasa yang berbaki beberapa hari sahaja lagi ini akan kita laksanakan penuh keikhlasan dan pengharapan. InsyaAllah agar segala dosa terampun, dan kita meningkat menjadi insan yang lebih baik berbanding bulan-bulan sebelumnya.

Ingatlah, bahawa tujuan berpuasa adalah untuk melahirkan taqwa. Orang yang bertaqwa itu sangat berhati-hati menjaga hukum Allah. Dia juga akan mencegah dirinya daripada berbuat sesuatu yang diharamkan Allah. Begitulahlah erti taqwa – sentiasa  berhati-hati dan sentiasa mencegah diri daripada segala yang dimurkai Allah. Persis seperti yang digambarkan oleh Ubai bin Kaab, apabila ditanya oleh Sayidina Umar tentang taqwa. Kata Ubai, “seperti seorang yang sedang melalui jalan yang penuh duri.” Maksudnya, sangat berhati-hati agar tercegah daripada memijak duri!

Dan sudah sewajarnya keluar sahaja daripada madrasah Ramadan, umat Islam sudah mencapai taqwa. Dia akan berhati-hati apabila hendak bercakap, belajar, makan, bertindak, berfikir dan bertindak agar sentiasa berada dalam keredaan Allah. Dia tidak sembarangan lagi berbuat sesuka hati melainkan terlebih dahulu merujuk kepada hukum Allah yang lima – halal, haram, sunat, makruh dan harus. Daripada persoalan sekecil-kecilnya, seperti masuk ke dalam tandas sehingga mengatur dan memimpin urusan negara.

Taqwa itu berada di dalam diri. Rasulullah SAW menunjukkan ke dadanya, apabila memberi penjelasan tentang taqwa. Namun, yang di dalam hati itu akan memberi kesan kepada luaran, justeru hati itulah yang mengawal segala perlakuan. Walaupun taqwa itu nilai seseorang di sisi Allah, namun kesannya begitu besar kepada hubungannya sesama manusia. Manusia bertaqwa, akan berakhlak dengan manusia. Tegasnya, siapa yang paling akrab dengan Allah, seharusnya dia juga paling intim dengan manusia. Habluminallah dan habluminannas saling berkaitan.

Seorang wanita yang rajin bangun malam (qiamullail) dan berpuasa sunat pada malam hari, masih menjadi ahli neraka kerana mulutnya sering menyakiti hati jirannya. Demikian, seperti yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW. Seorang lelaki yang ibadahnya ‘biasa-biasa’ sahaja mengikut ukuran para Sahabat, sampai tiga kali diisytiharkan sebagai ahli syurga oleh Rasulullah SAW sendiri kerana tidak memiliki sifat hasad. Fikirkan, betapa taqwa itu pasti menjana pembentukan akhlak.

Tidak hanya setakat itu, taqwa itu juga akan memberi kesan kepada pekerjaan atau peranan seseorang. Selain akhlak, buah taqwa itu adalah itqan. Apa itu itqan? Ia adalah satu sikap yang sangat iltizam (komited) dengan memperelokkan kerja. Orang bertaqwa akan membuat segala kerja yang dimanahkan kepadanya dengan itqan. Ia menjadi orang yang sangat efektif, efIisen dan berpegang kepada nilai etika yang tinggi dalam pekerjaannya.

Allah suka kepada seseorang yang apabila dia melaksanakan kerja, dia memperelokkan kerjanya (Itqan). Itqan di dalam kerja dicapai apabila kerja itu dilakukan dengan ilmu dan kemahiran yang tinggi. Sistematik dan terancang, mengambil amanat daripada Sayidina Ali, “yang hak tetapi tidak tersusun akan dikalahkan oleh kebatilan yang tersusun.” Umat yang bertaqwa sentiasa melaksanakan kerja yang betul (berkesan)  dengan betul-betul (cekap).

Jika taqwa itu darjat manusia di sisi Allah, akhlak itu nilai di sisi manusia, itqan pula ialah ukuran kecemerlangan dalam perkerjaan. Dengan taqwa dan akhlak, tercapai kesempurnaan tugasan sebagai hamba Allah. Manakala dengan itqan tercapai kesempurnaan peranan sebagai khalifah. Sebagai hamba Allah, kita menjadi manusia yang baik (soleh), sebagai khalifah kita mampu memberi kebaikan (musleh) kepada orang lain dan alam sekitar. Dengan akhlak, kita membina tamadun rohani. Dengan itqan kita membangun tamadun material . Ertinya, orang bertaqwa itu akan berjaya di dunia dan di akhirat. Umat yang bertaqwa bukan sahaja selamat, malah mampu menyelamatkan.

Lalu, mariah kita bermuhasabah – dengan fikir yang lurus, dengan zikir yang tulus, apakah tujuan berpuasa sudah tercapai? Apakah taqwa yang menjadi ‘target’ sudah kesampaian? Untuk menjawabnya, mudah… lihat pada akhlak dan itqan. Apakah akhlak sudah terbina? Apakah kita sudah mampu melakukan perbuatan baik dengan mudah, secara spontan dan tanpa perlu difikir-fikirkan lagi (seperti takrifan akhlak oleh Imam Ghazali)? Jika kita jujur, jawapannya ialah belum!

Lihat sahaja perbuatan jenayah, penyalahgunaan dadah, seks bebas dan pelbagai keruntuhan akhlak. Akhlak umat Islam masih jauh daripada piawaian yang ditetapkan oleh Allah dan RasulNya dalam Al Quran dan As Sunah. Kata mengata, fitnah memfitnah, umpat mengumpat, terus berleluasa melibatkan seluruh peringkat masyarakat, terpapar dalam media masa cetak dan eletronik. Mana nilai kita di sisi manusia?

Di dalam pekerjaan, tahap kecekapan dan keberkesanan pekerja-pekerja Islam masih jauh ketinggalan. Bukan sahaja kita berdepan dengan masalah, ponteng, curi tulang, curi masa dan sebagainya tetapi tahap kemahiran dan ilmu masih tertinggal berbanding pekerja bukan Islam di negara-negara maju.  Bidang penyelidikan dan pembangunan kita masih jauh ketinggalan. Al hasil, kualiti dan produktiviti produk dan perkhidmatan negara-negara umat Islam masih belum mampu menandingi negara bukan Islam.

Mana taqwa yang kita lahirkan menerusi madrasah Ramadan? Mengapa akhlak dan itqan kita masih di pinggiran? Tamadun rohani dan tamadun material kita masih rendah dan terkebawah. Puasa kita umpama pohon yang tidak berbuah. Menanam sudah selalu, tetapi pokoknya tidak berbuah. Jangankan untuk membangunkan umat yang mampu menyelamatkan… bahkan kita sendiri pun masih tidak selamat? Puaskah kita dengan puasa yang tidak membina taqwa ini? Ayuh fikirkan!

Jika belum, mari kita bermula semula. Tidak ada istilah terlambat untuk melakukan suatu yang baik. Pertama, jaga niat agar ikhlas berpuasa kerana Allah. Semata-mata kerana Allah, bukan kerana adat kebiasaan, bukan didorong semata-mata oleh fadilat atau mengharapkan hikmah di sebalik pengamalannya. Bulat tekad kita kerana Alah. Nafsu yang menjadi hijab antara kita dengan Allah selama ini kita henyak dengan lapar dan dahaga… kita tutup semua pancaindera daripada menyalurkan ‘tenaga’ kejahatan kepada nafsu. Mulut, telinga, hidung dan segala pancaindera kita kawal… jangan sekali-kali terlibat dengan dosa.

Jadilah insan yang bisu, tuli, buta, lumpuh daripada bercakap, mendengar, mencium dan menghampiri maksiat. Mujahadahlah.. walaupun sukar kerana kesukaran itulah nilai puasa kita di sisi Allah. Cinta kita jangan diserahkan kepada yang lain, maksudnya seluruh pancaindera kita itu kita ‘serahkan’ hanya kepada Allah. Jika ‘terbuat’ dosa secara tidak sengaja… segeralah beristighafar dan bertaubat. Bersihkan hati kita ketika berhubung dengan semua manusia agar suci hubungan kita dengan Allah!

Ahad, 12 Ogos 2012

Zakat Fitrah


Ramai umat Islam yang masih keliru tentang kewajipan zakat fitrah, bukan keliru status hukumnya, tetapi bagaimana melaksanakannya. Inilah antara Q&A yang diharap mampu menjelaskan kekeliruan itu. Selamat membaca.

Soalan 1: Apakah makna zakat fitrah dan siapakah yang diwajibkan ke atasnya?

Jawapan: Zakat fitrah bermakna zakat badan atau zakat jiwa. Semua orang Islam diwajibkan, sama ada lelaki, perempuan, orang tua, kanak-kanak, bayi, orang gila, merdeka mahu pun hamba sahaya.

Dalilnya, Abu Hurairah r.a menyatakan: “Rasulullah saw telah mewajibkan zakat fitrah pada bulan Ramadan kepada orang yang merdeka, hamba sahaya, lelaki dan perempuan, anak-anak, dewasa, fakir atau kaya – daripada kalangan kaum muslimin,” (Riwayat Ahmad, Bukhari dan Muslim)

Fuqaha memang berbeza pendapat tentang siapakah yang perlu mengeluarkannya, sama ada diri sendiri ataupun wali nasab, yakni orang yang wajib menanggung nafkah. Amalan di Malaysia, zakat fitrah ini dikeluarkan oleh wali bagi semua tanggungannya. Dalam hal ini ada sebuah hadis: “Bayarlah zakat fitrah daripada semua orang yang menjadi tanggungjawab kalian.” (Hadis riwayat Imam Baihaqi).

2. Bagaimana dengan anak angkat, anak yatim dan anak tiri?

Jawapan: Perkara paling asas, fuqaha menyatakan orang yang wajib menanggung nafkah itulah wajib memberikan zakat fitrah tanggungannya. Di sini, yang wajib ialah mereka yang dinamakan sebagai wali nasab (sedarah daging) atau penanggung nafkah, iaitu bapa, datuk, bapa saudara dan sebagainya lagi.

Jika anak angkat, andai sudah tiada wali nasab yang boleh dihubungi, maka penjaganyalah yang wajib membayarkan zakat fitrahnya. Ada juga pandangan, jika sudah dibuat perjanjian dengan bapa kandungnya bahawa bapa angkat akan menanggungnya, maka terlepaslah kewajipan bapa kandungnya.

Andai anak yatim, sama juga jika sudah tidak berjumpa dengan mana-mana wali nasab, maka penjaganya yang wajib membayarkannya. Jika anak tiri, pun masih kena lihat, andai sudah tiada wali nasabnya, maka bapa tirinyalah yang wajib mengeluarkannya.

Namun, jika kesemua mereka sudah ada kemampuan sendiri, misalnya walau masih belajar namun mendapat biasiswa atau wang hasil kerja sampingan, maka mereka lebih berhak mengeluarkannya sendiri. Tetapi, penjaga yang bukannya wali nasab masih boleh mengeluarkannya dengan syarat memaklumkan dahulu kepada anak-anak jagaannya itu.

3. Adakah anak-anak perempuan yang sudah bekerja dikira masih tanggungan bapanya?

Jawapan: Anak yang sudah bekerja sendiri, sama ada lelaki dan perempuan, maka mereka lebih berhak mengeluarkan sendiri zakat fitrahnya. Bahkan, jika mereka mahu mengeluarkan zakat fitrah ibu bapa juga boleh, dan mereka perlu memaklumkannya kepada ibu bapa.

4. Bagaimana pula dengan waktu menunaikan zakat fitrah?

Jawapan: Adalah harus mengeluarkan zakat fitrah sejak bermulanya satu Ramadan. Hadis daripada Umar menyatakan: “Telah mewajibkan Rasulullah saw zakat fitrah pada bulan Ramadan.”

Walau bagaimanapun, ulama berbeza pendapat mengenai waktu wajibnya. Imam Syafie dan Malik menyatakan, ia menjadi wajib apabila terbenamnya matahari pada akhir Ramadan. Manakala Abu Hanifah pula menyatakan, ia wajib setelah terbit fajar satu syawal.

Untuk memudahkan kita, ulama fikah telah membahagikan waktunya seperti berikut, iaitu harus sejak awal Ramadan, menjadi wajib atau paling utama sebelum solat Aidilfitri dan makruh setelah menunaikan solat Aidilfitri. Sesiapa yang tidak menunaikan zakat fitrah sehingga terbenam matahari satu syawal, maka dia dianggap berdosa dan wajiblah segera mengeluarkannya dan kala itu ia dianggap qada.

5. Apakah yang perlu dilakukan jika terlupa menunaikannya?
Jawapan: Islam telah menyediakan satu ruang waktu yang amat luas bagi umatnya menunaikan zakat fitrah dan tidak sepatutnya ada orang boleh terlupa. Selalunya orang terlupa bila sengaja menunggu sehingga ke saat akhir. Jadi, jangan bertangguh.

Mungkin ada orang berhujah, mereka mahu menunggu ke saat akhir menunaikan zakat fitrah, demi mendapatkan pahala yang lebih besar. Berkenaan pahala ini, fuqaha tidak pula beranggapan menunaikannya lebih awal akan kurang pahalanya berbanding menunaikannya saat-saat akhir, lagi pun ia adalah tergantung kepada Allah SWT yang menentukannya.

Orang yang terlupa wajib segera mencari mana-mana fakir miskin dan serahkanlah zakat fitrah pada waktu itu juga dan fuqaha menyatakan ia sudah menjadi qada. Iringi juga dengan taubat dan berazam untuk tidak melalaikan lagi zakat fitrah selepas ini.

6. Ada orang berpuasa tetapi tidak menunaikan zakat fitrah, apa hukumnya?

Jawapan: Menunaikan zakat fitrah adalah wajib dan berpuasa juga wajib, maka mengabaikannya adalah berdosa. Ibnu Umar r.a meriwayatkan: “Rasulullah saw telah memerintahkan untuk mengeluarkan zakat fitrah sebelum orang-orang keluar melaksanakan solat Idul Fitri,” (Riwayat Bukari dan Muslim).

Ulamak fikah menyatakan, orang yang enggan berzakat kerana kesengajaan dan mengingkari kewajipannya, maka dia boleh jatuh kepada kekufuran, na’uzubillah.

7. Adakah orang miskin juga wajib membayar zakat fitrah?


Jawapan: Zakat fitrah diwajibkan kepada semua orang Islam, tanpa mengira sama ada mereka kaya, miskin, merdeka atau hamba sahaya. Syaratnya, mereka mesti ada makanan yang cukup bermula dari malam satu Syawal hingga tamat satu Syawal. Orang miskin yang memenuhi syarat ini, wajib mengeluarkan zakat. Cuma ada sebahagian fuqaha menyatakan, jika orang miskin itu menjadi mampu disebabkan bantuan zakat, maka mereka tidak dibebani untuk mengeluarkan zakatnya, kerana punca hartanya adalah dari zakat juga.

8. Ada orang mahu membayar zakat fitrah dengan beras bukan wang, apa komen ustaz?

Jawapan: Mengikut ketetapan asal, zakat fitrah memang begitu. Tetapi, sebahagian fuqaha berpendapat adalah harus mengeluarkan zakat fitrah dengan harga (wang). Pada zaman Umar bin Abdul Aziz r.a, baginda berfatwa zakat fitrah boleh dibayar dengan nilai wang. Memandangkan penggunaan wang lebih sesuai pada hari ini, maka ia lebih diraikan demi kemaslahatan ummah seluruhnya.

9. Ada orang berkata, jika tidak keluarkan zakat fitrah maka pahala puasa akan tergantung. Benarkah?

Jawapan: Terdapat sebuah hadis mengenai persoalan ini, iaitu: “(Ibadah) bulan Ramadhan digantungkan antara langit dan bumi dan tidak diangkat kepada Allah kecuali dengan zakat fitrah,” (Riwayat Ibn Asakir). Tetapi, para ulama hadis mempertikaikan kesahihan hadis ini, kerana ada di antara perawinya yang tidak dikenali (majhul) dan ia juga bercanggah dengan mafhum hadis lain mengenai keutamaan beribadah khususnya di bulan Ramadan.

Bagi saya, fokuskan untuk melaksanakan setiap ibadah, sama ada solat, zakat, puasa, haji dan sebagainya. Setelah ia ditunaikan dengan sempurna dan sah, maka serahlah kepada Allah SWT, sama ada mahu menerima atau menolaknya.

10. Adakah zakat fitrah hanya untuk fakir miskin sahaja?

Jawapan: Hal ini adalah khilaf dalam kalangan ahli fikah. Sebahagian menyatakan ia hanya untuk fakir dan miskin dan sebahagian yang lain menyatakan, zakat fitrah juga sama seperti zakat harta dan lapan asnaf masih boleh menikmatinya.

Malahan ada ulama’ yang menyatakan seorang kafir zimmi di dalam Negara Islam juga berhak mendapat zakat fitrah jika mereka adalah golongan fakir. Perbincangan ini boleh dirujuk ke dalam kitab Bidayatul Mujtahid, Juz 1, hal. 584; Fikih Sunnah, Jilid 3, hal. 129, Hukum Zakat, hal. 964 dan Ensaiklopedia Fiqh Wanita, Jilid 2, hal. 190.

11. Apakah majikan wajib membayar zakat fitrah pembantu rumahnya?

Jawapan: Majikan tidak wajib, kerana pembantu itu bukan tanggungan yang wajib dinafkahinya. Pembantu itu ada gajinya sendiri dan dia wajib menjelaskan zakat fitrahnya sendiri. Namun, jika majikan mahu menjelaskannya juga, perlu memberitahu kepada pembantunya, sebagai tanda minta izin daripadanya.

12. Apakah anak yang lahir pada waktu Maghrib hari terakhir Ramadan wajib zakat fitrah juga?

Jawapan: Tidak wajib, kerana anak itu hanya hidup pada waktu Syawal sahaja. Bukan sekadar itu, orang yang hidup sepanjang Ramadan dan meninggal dunia sebelum masuknya waktu Syawal, maka tidak wajib juga zakat fitrah. Ini kerana, hanya orang yang hidup pada dua waktu, Ramadan dan Syawal sahaja wajib zakat.

13. Apakah anak yang dikandung sudah cukup bulan tapi belum lahir hingga masuk Syawal wajib zakat juga?

Jawapan: Tidak wajib, Cuma sunat muakkad sahaja. Islam tidak mengambil kira semasa bayi masih berkeadaan janin (dalam rahim ibu) dan inilah pendapat yang kuat sebagaimana yang disebut oleh Dr. Yusuf al- Qaradawi, di dalam kitabnya, Hukum Zakat.

Soalan 14: Adakah seorang muallaf (saudara baru) juga wajib bayar zakat fitrah?

Jawapan: Jika muallaf itu masih kecil (belum akil baligh misalnya), maka orang yang menaunginyalah yang mengeluarkan zakat ke atasnya. Tetapi, jika sudah dewasa atau remaja, maka jika mereka mampu mereka keluarkan sendiri. Jika tidak mampu, maka tidaklah wajib zakat fitrah ke atasnya.

Soalan 15: Bolehkah ustaz jelaskan hikmah zakat fitrah?

Jawapan: Pertama, zakat fitrah menjamin kegembiraan kepada penerimanya, seperti mana nabi menjanjikan dua kegembiraan bagi orang yang berpuasa, iaitu waktu berbuka (termasuk berhari raya) dan ketika menatap wajah Allah (hadis Muslim). Maka, bagaimana orang miskin boleh gembira jika tiada bantuan di hari raya.

Kedua, zakat fitrah juga menepati kehendak puasa yang bermaksud mengembalikan manusia kepada fitrah. Apabila zakat fitrah ditunaikan, maka akan terhakislah rasa tamak dan haloba dalam diri dan diganti dengan rasa rendah diri dan saling berkongsi.

Ketiga, membersihkan orang yang berpuasa daripada dosa. Ibnu Abbas menyatakan: “Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah, untuk membersihkan orang yang berpuasa daripada ucapan yang tidak ada manfaatnya dan kata-kata yang kotor, serta untuk memberikan makanan kepada orang-orang miskin.” (Hadis Riwayat Abu Daud).

Keempat, menjadi bukti ketaatan manusia beriman kepada Allah SWT. Ini kerana, jika mereka berpuasa tetapi enggan berzakat, maka jelaslah kualiti keimanannya di tahap mana?

Kelima, zakat fitrah itu menjadi kemuncak kepada amalan di bulan Ramadan, yakni berkongsi sedikit kekayaan. Andai jumlah RM7 itu masih dipertikaikan, maka bagaimana pula seseorang itu mampu berkongsi sesuatu yang lebih besar dalam hidupnya dengan orang lain.

Soalan 16: Apakah boleh kita menunaikan zakat harta selain fitrah di bulan Ramadan?

Jawapan: Memang boleh bahkan dianjurkan sangat-sangat. Ini kerana, mafhum daripada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah daripada Salman al-Farisi, bahawa setiap amalan sunat dalam bulan Ramadan diganjari pahala wajib dan satu amalan wajib diganjari 70 kali ganda pahalanya.

Maka, andai kita berzakat RM1 ribu, maka pahalanya seolah-olah kita sudah berzakat RM70 ribu! Orang yang haul zakatnya belum tiba, boleh berniat mendahului haul zakat dan di sisi Islam, ia memang diharuskan.

Soalan 17: Soalan terakhir saya, kenapakah kadar zakat fitrah di Malaysia berbeza-beza antara setiap negeri?

Jawapan: Panjang jawapannya, namun ringkasnya saya boleh katakan, ada dua sebab kenapa berbeza. Pertama, pentadbiran zakat di Malaysia adalah tertakluk kepada bidang kuasa negeri. Maka, setiap negeri mempunyai jawatankuasa fatwanya sendiri yang akan memutuskan harga zakat fitrah yang sesuai di negeri masing-masing. Pengasingan kuasa ini telah digazetkan di dalam Perlembagaan Malaysia, iaitu di dalam Jadual Kesembilan (Perkara 74, 77) Senarai Perundangan, Senarai II – Senarai Negeri.

Kedua, boleh jadi harga sekilogram beras adalah berbeza antara negeri-negeri. Ada negeri yang agak mahal, ada yang agak murah dan ia adalah sesuai dengan kondisi sosio-ekonomi rakyat negeri berkenaan. Maka, harga zakat fitrah di Selangor adalah sesuai dengan harga beras di Selangor (yakni RM7.00). Manakala di negeri lain, sesuailah dengan negeri mereka pula. Wallahua’lam.

Ustaz Hamizul Abdul Hamid ialah Eksekutif Komunikasi Korporat, Lembaga Zakat Selangor (MAIS)
http://www.hamizul.com/

sangat sangat berbeza!!!





BUKANKAH IA CUKUP JELAS DAN CUKUP NYATA?

MAKA PILIHAN KINI DI TANGAN ANDA!


Laporan sebelum ini
klik untuk baca