Rabu, 13 Februari 2013

Lain gila


cabaran masalah

Kenapa Tuhan turunkan masalah pada Anda? Ia adalah untuk membuat Anda sedar potensi diri Anda. Masalah yang dimunculkan dalam hidup bertujuan untuk Anda membongkar kekuatan-kekuatan terpendam dalam diri Anda. Kebanyakan orang-orang berjaya hidup mereka asalnya susah. Hidup susah tu satu masalah.

Namun mereka memfokus pada penyelesaian masalah iaitu dengan keluar dari hidup yang susah, membina hidup yang senang.

Jika Anda lihat hidup Anda selama ini, masalah sebenarnya bersifat sementara. Masalah wujud untuk membuat Anda berubah. Maka berubahlah!

Jangan pandang masalah sebagai masalah tapi pandanglah ia sebagai petanda untuk Anda berubah. Bila Anda dilanda masalah, katakan pada diri Anda, “inilah masa untuk aku berubah, aku kena berubah!” Panggil masalah sebagai cabaran supaya Anda merasa ada ‘thrill’ untuk menyelesaikannya, bukan terbeban olehnya. Anda kena ubah sikap, ubah pemikiran, ubah tindakan.

Masalah tak akan selesai jika Anda gunakan cara lama. Anda kena cari kaedah baru. Anda kena rangka strategi baru. Di sinilah Anda akan jumpa idea-idea baru dan cara-cara baru. Anda kena ubah semua itu.

Bila Anda laksanakan idea-idea baru dan cara-cara baru yang Anda jumpa tadi, kesannya Anda berubah tanpa Anda sedari. Anda akan berjaya menerobos sempadan diri.

Apabila Anda dah berjaya menyelesaikan sesuatu masalah dalam hidup Anda, Anda akan berjaya mengubah diri Anda kepada sikap baru, attitude baru tanpa Anda sedari. Anggap masalah sebagai cabaran, panggil masalah sebagai cabaran supaya Anda ada motivasi untuk menyelesaikannya.

Celik hati


Mata adalah jendela dunia. Tanpanya, hidup terasa tidak sempurna. Sedih dan mengeluh itu pasti terjadi pada sebahagian manusia yang kehilangan penglihatannya. Tapi tidak dengan kanak-kanak kecil buta dari Mesir ini. Ia adalah salah satu hamba Allah yang ikhlas atas ketetapanNya.

Pengacara TV Arab Saudi Al-Wathan mewancara kanak-kanak istimewa ini. Seorang kanak-kanak lelaki buta penghafal Al-Quran dari Mesir yang berusia 11 tahun.

Dalam wawancara itu pengacara TV Al-Wathan bertanya perihal bagaimana ia belajar Al-Quran dalam keadaan buta.

Semangatnya untuk menghafal ayat-ayat Allah yang mulia membuat langkah kakinya ringan untuk pergi ke tempat gurunya.

"Saya yang datang ke tempat Syeikh," katanya.

"Berapa kali dalam seminggu?" Tanya wartawan TV.

"Tiga hari dalam seminggu," jawabnya.

Jawapan kanak-kanak ini kian membuatkan keajaiban ketika kanak-kanak ini memberitahu pengacara itu bahawa Syeikh yang mengajarnya Al-Quran hanya mengajarnya satu ayat satu hari.

"Pada mulanya hanya satu hari dalam seminggu. Lalu saya mendesak beliau dengan bersungguh agar ditambah harinya, sehingga menjadi dua hari dalam seminggu. Masa Syeikh saya sangat penuh dalam mengajar. Beliau hanya mengajarkan satu ayat saja setiap hari, "katanya.

"Satu ayat sahaja?" Respon pengacara terkejut, takjub dengan semangat kuat kanak-kanak ini.

Dalam tiga hari itu ia khususkan untuk belajar ayat-ayat suci Al-Quran, hingga ia tidak bermain dengan kawan-kawan jiran-jirannya.

Sang pengacara tersenyum dan menempuk paha anak itu tanda kagum, yang disambut senyum ceria oleh anak ini.

Yang lebih mengagumkan adalah kenyataan tentang matanya yang buta. Ia tidak berdoa kepada Allah agar Allah mengembalikan penglihatannya, rahmat Allah yang ia harapkan.

"Dalam solatku, aku tidak meminta kepada Allah agar Allah mengembalikan penglihatanku," katanya.

Mendengar jawapan anak ini sang pengecara semakin terkejut.

"Engkau tidak mahu Allah mengembalikan penglihatanmu? Kenapa? "Tanyanya hairan.

Dengan wajah meyakinkan, kanak-kanak itu memaparkan alasannya. Bukan ia tak yakin pada Allah, bukan. Namun ia menginginkan yang lebih indah dari penglihatan.

"Semoga menjadi keselamatan bagiku pada hari pembalasan (kiamat), sehingga Allah meringankan perhitungan (hisab) pada hari tersebut. Allah akan menanyakan nikmat penglihatan, apa yang telah engkau lakukan dengan penglihatanmu? Saya tidak malu dengan kecacatan yang saya alami. Saya hanya berdoa semoga Allah meringankan perhitungan-Nya untuk saya pada hari kiamat kelak, "katanya dengan tegas.

Mendengar kalimah mulia anak ini, semua terdiam. Pengacara TV nampak berkaca-kaca dan air matanya menitis. Para penonton di stesen TV dan kru TV tersebut juga tak tahan menitiskan air mata.

"Pada saat ini, saya teringat banyak kaum muslimin yang mampu melihat namun mempunyai banyak alasan dan malas untuk menghafal kitab Allah, Al-Quran. Ya Allah, bagaimana alasan mereka esok (di hadapan-Mu)? "Kata pengacara.

"Segala puji bagi Allah dalam segala keadaan," kata penghafal Quran muda ini.

Subhanallah, indahnya dunia tak membuatnya lupa akan Tuhannya dan hari pembalasan.

Ia juga mengatakan bahawa ia terinspirasi dari kaedah Imam Ibnul Qayyim al-Jauziyah (rahimahullah). "Kaedah imam Ibnu Qayyim Al-Jauziyah yang berbunyi 'Allah tidak menutup atas hamba-Nya satu pintu dengan hikmah, kecuali Allah akan membukakan baginya dua pintu dengan rahmat-Nya,'" katanya.

Kehilangan penghlihatan sejak kecil, tidak membuat ia mengeluh kepada Sang Pencipta. Ia tak iri hati pada orang lain apatah lagi kufur nikmat. Ikhlas menerima takdirNya.

"Segala puji Allah, saya tidak iri hati kepada kawan-kawan walaupun sejak kecil saya sudah tidak boleh melihat. Ini semua adalah qadha 'dan qadar Allah, "katanya.

"Kita berdoa kepada Allah semoga menjadikan kita sebagai penghuni syurga Al-Firdaus yang tertinggi," kata kanak-kanak istimewa ini.

Matanya yang buta, tak membuat hatinya buta dalam mensyukuri nikmat yang telah Allah berikan. Subhanallah.
Popout

Dalam sebuah hadith Qudsi Nabi s.a.w. bersabda:

إن الله قال: إذا ابتليت عبدي بحبيبتيه فصبر, عوضته منهما الجنة

Allah berfirman: "Jika Aku menguji hamba-Ku dengan menghilangkan penglihatan kedua matanya lalu ia bersabar, nescaya Aku akan menggantikan penglihatan kedua matanya dengan syurga." (HR. Bukhari no. 5653, Tirmidzi no. 2932, Ahmad no. 7597, Ad-Darimi no. 2795 dan Ibnu Hibban no. 2932).

x berkat



Salam, banyak sebenarnya tanda-tanda jika kehidupan kita ini tidak mendatangkan keberkatan namun sebahagian tanda-tanda dibawah ini juga jelas membayangkan kehidupan kita ini tidak mendatangkan keberkatanNYA Na’uzubillah

Tanda-tanda hidup kita tak berkat ialah :

1. Duit banyak, tapi cepat jer habis.
Tak tau duit pergi mana. Pendapatan bertambah, tapi asyik tak cukup jer. Duit banyak dihabiskan pada benda yang sia-sia. Patutnya bila duit dapat banyak, sedekah pun kena la bertambah. Tapi tak, kita jadi makin kedekut. Sedekah tak bertambah, duit tetap habis ke tempat lain.

2. Buat kerja, tak siap.
Projek ada macam-macam, idea banyak, tapi satu pun tak berjaya. Macam-macam usaha dibuat, macam-macam projek kita cuba nak lakukan, tapi semuanya tergantung. Semuanya tergendala. Satu pun tak berjaya. Kalau ada yang menjadi, tapi tak seperti yang dirancangkan.

3. Buat sesuatu, tak dapat manfaat.
Baca buku banyak, tapi ilmu satu pun tak lekat. Nasihat orang pandai, tapi diri pun tunggang langgang.

4. Masa habis dengan sia-sia.
Kononnya sibuk, tapi sebenarnya banyak masa dihabiskan dengan perkara yang sia-sia. Leka main fesbuk, leka tengok TV, leka berborak dengan kawan, leka main game, leka melepak dengan kawan-kawan. Tapi nak luang baca Quran 5 minit sehari pun tak boleh. Solat pun akhir waktu. Solat tak sampai 5 minit. Zikir langsung tak amal. Malah nak berdoa untuk diri sendiri pun malas.

Adakah anda salah seorang yang mengalami atau merasai tanda-tanda di atas?

Mari kita sama-sama muhasabah diri. Tanya pada diri, adakah kita salah seorang daripada orang yang tidak mendapat keberkatan dari Allah.

Aduh, alangkah malang dan rugi nya kalau kita gagal mendapat keberkatan dalam hidup ini. Kerana kita bukan saja akan rugi di dunia ini, malah akan bangkrap di akhirat nanti. Na’uzubillah. Sama-sama kita taubat dan mohon taufik hidayah daripada Allah ta’ala untuk memperbaiki iman dan amal kita masing-masing.

Guru penat

Guru penat,

Janji PM Najib untuk memberi perhatian untuk mengurangkan beban tugas pentadbiran tidak lebih kepada kata-kata memujuk demi menyejukkan hati kami menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 tidak lama lagi.

Hakikatnya, sejak sekian lama kami diperlakukan sesuka hati, dijadikan tikus makmal dan bermacam-macam lagi.

Yang terbaharu ialah perubahan waktu kerja bagi sesetengah sekolah/aliran telah dilanjutkan sehingga ke jam lima, sama seperti kakitangan pentadbiran. Cuti tahunan juga telah dikurangkan dan kerja-kerja pengkeranian semakin bertambah.

Pada masa yang sama, gaji atau elaun tidak bertambah dan syarat untuk kenaikan skim tidak banyak membantu memotivasikan para guru. Semua itu tidak termasuk, kerja lebih masa dan tanggungjawab mengurus anak murid dalam aktiviti kokurikulum pada hari Sabtu atau Ahad.

Hakikatnya bukanlah kami terlalu berkira soal gaji atau imbuhan, tetapi berilah hak kami yang sepatutnya. Jangan bebankan kami dengan tugasan yang tidak sepatutnya dan pada yang sama menyalahkan kami jika prestasi para murid tidak menjadi seperti yang diharapkan.

Sesungguhnya kami bukan robot yang tiada hati dan perasaan. Boleh diarah itu dan ini sesuka hati. Dibebankan dengan pelbagai dasar yang dirangka oleh mereka yang langsung tidak faham kerjaya dan susah payah seorang guru. Kami juga ada keluarga yang perlu diberi perhatian.

Mungkin ada yang berkata, kalau tidak sanggup semua itu jangan minta jadi guru. Ya, mungkin betul dari satu sudut, tetapi banyak perubahan dasar berlaku setelah kami berkhidmat dan perubahan itu sebahagiannya hanya untuk memuaskan hati pihak atasan atau menteri.

Bagi kami, tiada lagi harapan yang tinggal pada Umno-BN untuk mendengar rintihan kami. Apatah lagi, setiap lagi menteri baru dilantik, jaminan sama yang diberikan, tetapi sehingga kini tiada apa-apa perubahan, malah beban kerja makin bertambah, bukan berkurang.

Kami berharap, Pakatan Rakyat memenangi PRU13 nanti dan membela nasib guru.