Selasa, 24 September 2013

solat awal waktu

Banyak sekali soalan saya untuk mencungkil rahsia tubuh dan peribadinya yang menyenangkan. Tatkala kami bersembang di bangku di depan kedai buku kerana Cikgu Enal berpuasa pada hari itu, beliau menggariskan tiga aspek kesihatan tubuh yang perlu dijaga, secara fizikal, mental dan spiritual. Saya perturunkan seringkasnya sebagai perkongsian bersama.

Ada tiga petanda yang menunjukkan kita sihat secara fizikal. Pertama, kita mudah tidur. Bila letak kepala ke bantal, kita akan terus terlena. Kedua, selera makan kita sentiasa ada. Apa sahaja yang terhidang boleh dimamah. Tolak batu, kayu dan plastik, yang lainnya kita boleh telan dengan berselera. Yang ketiga ialah bila kita lawas membuang air besar dan kecil.

Sukar melelapkan mata adalah petanda pertama yang kita tidak sihat. Ia berlaku kerana otak kita terlalu aktif samada kerana memikirkan perkara yang merangsang pemikiran mahupun kerana sebab kekusutan. Tidur yang tidak nyenyak terutamanya yang disulami mimpi itu akan memenatkan.  Lebih-lebih lagi jika mimpi itu dapat diingati bila bangun tidur. Jika mimpi yang diingati itu mimpi yang buruk,  ia akan mengganggu mood seseorang pada hari itu.

Rasa lapar hingga menggigil adalah petanda terdapatnya gangguan pada pankreas. Ia berpunca bila waktu makan kita tidak menentu. Pening kepala boleh terjadi. Hilang selera makan adalah petanda perut sebu dan deria rasa yang menurun. Ia petanda penyakit akan singgah.

Membuang air kecil dan besar yang tidak teratur akan menjadi masalah pada kesihatan. Ertinya, pembuangan toksik dari tubuh tidak lancar dan ia boleh mengakibatkan kesihatan terganggu. Lebih toksik di dalam tubuh menyebabkan badan berbau dan kulit dihinggapi dengan pelbagai penyakit.  

Selain daripada penjagaan tidur, makan dan perkumuhan, senaman juga adalah cara yang paling berkesan untuk melestarikan tubuh. Bersenam mesti menghasilkan peluh. Jika setakat berjalan berpusing-pusing keliling rumah tanpa mengeluarkan peluh, ia bukan senaman namanya. Senaman berbentuk regangan akan memulihkan segala sakit-sakit badan dengan cepat selain daripada membolehkan otot dan urat kita lembut.

Kesihatan spiritual juga perlu dijaga. Selepas mengucap dua kalimah syahadah, solatlah komitmen yang paling penting untuk kesihatan rohani. Solat sepatutnya ditunaikan sebaik sahaja masuk waktu. Kalau solat sudah di penghujung waktu, ia seolah-olah menggambarkan kita mengutamakan urusan dunia lebih daripada urusan akhirat. Sedangkan dunia dan akhirat sepatutnya ia seiring. Bila tiba waktu solat, itu bermakna waktu urusan akhirat dah tiba. Kerana itu, urusan dunia perlu diketepikan.

Tidak boleh juga di waktu solat atau urusan akhirat itu, kita berebut-rebut hendak menyudahkannya. Urusan dunia sepatutnya terhenti pada saat kita memulakan urusan akhirat.  Biarpun ketika beratur untuk wuduk, imam membaca surah yang panjang, bersalam-salaman atau bersembang seketika dengan jemaah setelah solat, semua itu perlu dilayan dengan tenang. Bila kita bersantai dari saat mula melangkah ke sejadah hingga keluar ke tempat kasut, kita akan memperoleh kerehatan fikiran. Ia akan mengurangkan stres dalam kehidupan seharian.

Perkara sunat perlu diperbanyakkan setelah melakukan yang wajib. Melaksanakan yang wajib lebih rumit kerana ia perlukan niat, rukun dan tertib untuk mendapat pahala. Sedangkan melakukan yang sunat amat mudah. Ia hanya perlu niat dan diikuti dengan perlakuan. Pahala akan diperoleh dengan mudah. Dan pahala melakukan yang sunat akan menjadikan kita berasa bahagia.

Kesihatan mental diperoleh dengan membaca. Dan bahan bacaan yang paling berkesan ialah dengan membaca al-Quran kerana hanya membaca al-Quran yang meningkatkan konsentrasi. Sedangkan membaca buku atau majalah boleh dilakukan sambil kita makan minum mahupun sambil menonton.  

Permainan kuiz, teka silangkata atau berbincang akan meningkatkan rangsangan minda agar segar kerana permainan yang memerlukan kita berfikir akan menggerakkan darah dan oksigen ke dalam otak. Elakkan dari kerap bersembang kosong kerana ia tidak banyak merangsang fikiran kerana banyak bahan sembang hanyalah untuk mengiyakan apa yang disampaikan.

Isnin, 23 September 2013

hidayah


BERITA "AJAIB" DARI PENJARA MESIR

Kini 50 ribu pendokong anti-kudeta mengisi penjara-penjara Mesir atas alasan tangkapan yang berbagai dan suka-suka dari pihak tentera Mesir. Tragisnya, tahanan politik Ikhwan dan anti-kudeta ditempatkan di penjara jenayah berat. Dicampur dengan tahanan kes-kes jenayah rompakan, rogol, dadah, pembunuhan dan lain-lain.

Tujuannya, anggota Ikhwan ini diseksa secara mental dan fizikal. Namun keajaiban terjadi. Baru sebulan sahaja tahanan kes jenayah ini dicampurkan dengan tahanan politik Ikhwan, para penjaga dan ketua penjara mengeluh, "Tahanan jenayah terikut-ikut kebiasaan Ikhwan iaitu tilawah Quran, solat malam, tahajjud, puasa".

Keanehan ini juga terlihat apabila pelawat datang, para tahanan jenayah ini meminta mushaf Quran, sejadah, pakaian untuk shalat, dan tasbih.
MaasyaAllah.

Kini penjara Mesir terjadi Ikhwanisasi. Sebahagian berbahagia Ikhwan ditekan, padahal Ikhwan adalah "madrasah [tempat didikan]". Nyawa boleh dimatikan dengan peluru atau buldozer, tapi fikrah itu tak akan pernah mati.

Gambar menunjukkan para Ikhwan solat berjemaah di dalam penjara Turrah [salah satu penjara di Mesir] suatu ketika dahulu.

gule












kredibiliti

Pada 5 September 2013 saya menulis komen saya tentang kenaikan harga minyak. Dalam tulisan tersebut saya tidak membantah kenaikan harga minyak, tetapi menyatakan kenyataan timbalan menteri kewangan tentang kenaikan harga minyak itu tidak tepat dan meragukan. Maka saya kata, carilah alasan lain yang lebih wajar. Harapan saya dengan teguran tersebut, maka tidak ada lagi kenyataan tentang kenaikan harga minyak ini yang meresahkan rakyat.

Selepas tulisan saya tersebut, muncul pula seorang ulama muda yang menyatakan kenaikan harga minyak ini sebagai ketentuan Allah. Saya tidak menjawab kenyataan tersebut. Dua hari lepas pula Menteri Kesihatan mencadangkan supaya kerajaan mengurangkan subsidi harga gula bagi mengurangkan rakyat menjadi penghidap diabetes. Katanya, ini kerana 2.6 juta orang atau 15 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia menghidap diabetes.

Saya ragu dengan data yang diberikan. Jikalah rakyat Malaysia berjumlah 28 juta, maka 10% daripada 28 juta ini sudah menjadi 2.8 juta. Maka bagaimana boleh dikatakan data yang diberikan Menteri Kesihatan itu tepat. Inilah yang menyedihkan saya apabila ada menteri yang memberikan kenyataan secara sambil lawa sahaja tanpa data yang tepat. Walaupun berasa bertanggungjawab untuk membetulkan kenyataan ini, saya juga tidak menulis.

Kelmarin pula, sekali lagi timbalan menteri kewangan menyatakan di parlimen “[k]erajaan tidak bertanggungjawab terhadap kenaikan harga minyak kerana ia ditetapkan oleh harga pasaran minyak sedunia.” Selanjutnya beliau menyatakan “kerajaan hanya mengurangkan subsidi dan tidak boleh dipertanggungjawabkan terhadap kenaikan harga minyak.” Saya tidak mahu lagi mengulas kenyataan timbalan menteri kewangan ini tentang faktor kenaikan harga minyak.

Yang saya hendak ulas ialah kenyataannya yang menyatakan 40% golongan berpendapatan tinggi daripada keseluruhan rakyat, menikmati hampir 80 peratus subsidi yang diberikan kerajaan. Sehubungan itu, katanya, “subsidi tidak begitu berkesan untuk sampai ke kumpulan sasaran.”

Data inilah yang saya mahu persoalkan. Betulkah 40% penduduk Malaysia berada dalam golongan berpendapatan tinggi? Apakah buktinya? Di manakah bukti ini boleh diperolehi kerana sepengetahuan saya, jumlah orang berpendapatan tinggi di Malaysia tidaklah seramai itu. Pertanyaan lainnya ialah apakah definisi dan ukuran golongan berpendapatan tinggi yang dimaksudkan oleh timbalan menteri tersebut? Hal ini perlu dijelaskan.

Dengan tulisan ini, saya berharap sangatlah supaya pemimpin apabila memberi kenyataan, berilah kenyataan yang melegakan rakyat tanpa menceroboh intelek mereka. Janganlah jawab secara sembrono sahaja seperti melepaskan batuk di tangga. Janganlah juga menjadi penglipura dengan menggunakan bahan jenaka yang tidak nakal. Belajarlah menjadi pengail yang menggunakan umpan yang dimakan ikan. Ini kerana sebarang kenyataan pemimpin akan menentukan tahap kredibiliti kerajaan.

Ahad, 22 September 2013

Wahai anak

Wahai anakku,
Engkau merungut berkata kamu gagal. Kamu berhujah kamu gagal dibandingkan dengan sahabat kamu dari segala sudut. Kamu berkata kamu malu dan tidak dapat menaikkan maruah aku dan bonda kerana pencapaian akademik, limpahan harta, ketinggian pangkat, anugerah yang bersusun-susun yang kurang daripada sahabat-sahabat kamu.

Wahai anakku,
Usah bersedih. Tidak berkerjaya bagus, berkereta canggih, berumah besar, pemilikan segala macam gajet teknologi terbaru, memakai pakaian mahal-mahal jenama bukanlah satu dosa. Usah mengeluh, wahai anakku, kerana semua itu juga bukanlah pengukur kejayaan hidup di akhirat.
Simpanlah air matamu, kerana tidak memiliki itu semua bukan tanda kegagalanmu dalam kehidupan. Namun kamu kena beringat, jangan pula kamu terlalu bergembira jika satu hari kamu berjaya mendapat kesemua itu, kerana itu adalah seberat-berat ujian Allah.

Wahai anakku,
Memang menjadi idaman semua untuk memiliki kenderaan yang mahal berjenama. Tapi ,apa bagusnya memiliki kenderaan mahal berjenama jika kamu menggunakannya untuk berkunjung ke tempat maksiat dan bukan ke majlis ilmu, ibadah dan mencari nafkah halal untuk keluarga.

Bukan sahaja ia tidak mendatangkan ketenangan kepada kamu, sebaliknya ia menambah dosa kamu kerana nikmat Allah kamu salahgunakan. Lebih berkat kalau berkenderaan biasa jika kamu erti menggunakannya ke arah kebaikan dan mendekatkan diri dengan awal.

Begitu dengan rumah besar dan selesa. Apa gunanya sekiranya kamu tidak mengerti menyuburkannya dengan bacaan al-Quran, mengimarahkan ilmu dan memupuk kasih sayang antara keluarga di dalamnya. Ingatlah, wahai anak kesayanganku, saiz rumahmu tidak penting, yang penting ialah pengisian di dalam rumah kamu.

Wahai anakku,
Sekiranya kamu takut terlupa apa yang aku nasihatkan ini, kamu selalukan baca Surah Ar-Rum ayat 64.

"Dan kehidupan dunia ini hanya senda gurau & permainan. Dan sesungguhnya negeri akhirat itulah kehidupan yang sebenarnya, sekiranya mereka mengetahui." [ar-Rum (30): 64]

Sesungguhnya, wahai anakku, Allah telah menyatakan dengan jelas bahawa dunia ini hanyalah sementara, akhirat barulah kehidupan yang sebenar-benarnya. Jadi tak perlulah kamu berkecil hati dengan pembandingan harta dunia antaramu dengan para sahabatmu.

Sebaliknya, wahai anakku, bandinglah kerja-kerja amal dan pahalamu dengan sahabat-sahabatmu. Berlumbalah melihat berapa orang yang pernah kamu bantu. Berlumbalah menghitung berapa kali yang kamu berjaya menyenangkan orang yang susah. Berlumbalah kamu dari segi kerja amal. Berlumbalah untuk mendapat keredhaan Allah. Dan berlumbalah berbuat baik dengan niat terbaik supaya Allah menerima semua amalanmu.

Tanyalah dirimu, wahai anakku, siapakah juga di antara kamu yang tahu di mana kedudukannya di sisi Allah berbanding semua makhlukNya yang lain? Yang mampu menjamin bahawa kedudukannya lebih tinggi daripada si fulan, si fulan yang selalu dipandangnya rendah itu?

Dua soalan itu akan membuatkan kamu merasa kerdilnya diri kamu di hadapan Ilahi. Kamu hanya mampu menunduk malu.

Wahai anakku,
Hidup kamu di dunia ini tidak sesekali dinilai melalui apa yang telah kamu capai tetapi kerana siapa kamu berusaha untuk mencapai semua cita-cita dan kejayaan tersebut.
Oleh itu, tanyalah diri wahai anakku, apakah kejayaan yang engkau bangga-bangakan itu mendekatkan kamu atau menjauhkan kamu dengan Allah?

Aku tidak bimbang kalau engkau diuji dengan kesusahan, kerana manusia akan tunduk pada Allah merayu-rayu berdoa untuk mencari penyelesaian. Aku lebih risau kalau engkau diuji dengan kejayaan, kerana ramai alpa dengan kesenangan sehingga terlupa siapa Tuhan mereka.

Janganlah kamu jadi orang yang paling rugi di dunia ini. Hanya orang yang rugi yang mengagung-agungkan semua kejayaannya yang bermatlamatkan dunia.

Perbetulkanlah niat kamu. Tajdidlah semula niat kamu, wahai anak kesayanganku.

Dan jangan lupa senyum.
Senyum.