Isnin, 23 September 2013

kredibiliti

Pada 5 September 2013 saya menulis komen saya tentang kenaikan harga minyak. Dalam tulisan tersebut saya tidak membantah kenaikan harga minyak, tetapi menyatakan kenyataan timbalan menteri kewangan tentang kenaikan harga minyak itu tidak tepat dan meragukan. Maka saya kata, carilah alasan lain yang lebih wajar. Harapan saya dengan teguran tersebut, maka tidak ada lagi kenyataan tentang kenaikan harga minyak ini yang meresahkan rakyat.

Selepas tulisan saya tersebut, muncul pula seorang ulama muda yang menyatakan kenaikan harga minyak ini sebagai ketentuan Allah. Saya tidak menjawab kenyataan tersebut. Dua hari lepas pula Menteri Kesihatan mencadangkan supaya kerajaan mengurangkan subsidi harga gula bagi mengurangkan rakyat menjadi penghidap diabetes. Katanya, ini kerana 2.6 juta orang atau 15 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia menghidap diabetes.

Saya ragu dengan data yang diberikan. Jikalah rakyat Malaysia berjumlah 28 juta, maka 10% daripada 28 juta ini sudah menjadi 2.8 juta. Maka bagaimana boleh dikatakan data yang diberikan Menteri Kesihatan itu tepat. Inilah yang menyedihkan saya apabila ada menteri yang memberikan kenyataan secara sambil lawa sahaja tanpa data yang tepat. Walaupun berasa bertanggungjawab untuk membetulkan kenyataan ini, saya juga tidak menulis.

Kelmarin pula, sekali lagi timbalan menteri kewangan menyatakan di parlimen “[k]erajaan tidak bertanggungjawab terhadap kenaikan harga minyak kerana ia ditetapkan oleh harga pasaran minyak sedunia.” Selanjutnya beliau menyatakan “kerajaan hanya mengurangkan subsidi dan tidak boleh dipertanggungjawabkan terhadap kenaikan harga minyak.” Saya tidak mahu lagi mengulas kenyataan timbalan menteri kewangan ini tentang faktor kenaikan harga minyak.

Yang saya hendak ulas ialah kenyataannya yang menyatakan 40% golongan berpendapatan tinggi daripada keseluruhan rakyat, menikmati hampir 80 peratus subsidi yang diberikan kerajaan. Sehubungan itu, katanya, “subsidi tidak begitu berkesan untuk sampai ke kumpulan sasaran.”

Data inilah yang saya mahu persoalkan. Betulkah 40% penduduk Malaysia berada dalam golongan berpendapatan tinggi? Apakah buktinya? Di manakah bukti ini boleh diperolehi kerana sepengetahuan saya, jumlah orang berpendapatan tinggi di Malaysia tidaklah seramai itu. Pertanyaan lainnya ialah apakah definisi dan ukuran golongan berpendapatan tinggi yang dimaksudkan oleh timbalan menteri tersebut? Hal ini perlu dijelaskan.

Dengan tulisan ini, saya berharap sangatlah supaya pemimpin apabila memberi kenyataan, berilah kenyataan yang melegakan rakyat tanpa menceroboh intelek mereka. Janganlah jawab secara sembrono sahaja seperti melepaskan batuk di tangga. Janganlah juga menjadi penglipura dengan menggunakan bahan jenaka yang tidak nakal. Belajarlah menjadi pengail yang menggunakan umpan yang dimakan ikan. Ini kerana sebarang kenyataan pemimpin akan menentukan tahap kredibiliti kerajaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan