Membetulkan Keyakinan dalam Usaha Mencari Rezeki
Ini sebuah kisah mengenai seorang budak yang keluar dari kampungnya dan pergi ke bandar. Di bandar, dia melihat orang membuka pili air. Maka, keluarlah air. Semua tempat yang dia pergi, semuanya begitu. Buka pili air, maka keluarlah air. Dia pun terfikir bahawa air keluar melalui pili. Maka, dia pun membeli beberapa batang pili dan dibawa pulang ke rumah.
Kemudian, dia pun memasang pili itu pada dinding rumahnya. Dibukanya pili itu. Dia hairan,mengapa air tidak keluar. Semua pili yang dibelinya, tiada yang dapat mengeluarkan air. Keesokan hari, dia pergi ke kedai yang menjual pili kepadanya. Dia memarahi tauke kedai itu dan meminta supaya memberikannya pili yang dapat mengeluarkan air. Mereka bertengkar. Akhirnya, seorang lelaki datang dan menyelesaikan masalah mereka. Lelaki itu memberitahu budak tersebut bahawa, bukan pili yang mengeluarkan air. Sebenarnya air itu datang dari tangki dan bersambung kepada kepada pili melalui paip. Pasanglah berapa banyak pili sekalipun, jika tiada paip dan tangki, air tidak akan keluar.
Ini hanyalah satu contoh, bagaimana manusia tidak memahami hakikat rezeki yang sebenar. Manusia menyangka bahawa rezeki datang dari tempat kerja, dari kedai, dari pejabat, dari pasar dan sebagainya. Namun, manusia lupa bahawa rezeki sebenarnya datang daripada Allah. Usahalah macam mana sekalipun, jika tidak kena caranya dan tidak tahu siapa pemberi rezeki yang sebenar, maka tidak akan dapat manfaat daripada apa yang diusahakan. Jadi, asbab kena betul dan yakin pun mesti betul.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan