Assalaamu'alaikum w.b.t....... Kebetulan emak saya adalah seorang guru mengaji Al-Quran sama ada kepada kanak-kanak mahupun orang dewasa, maka saya coretkan serba sedikit tentang senario kanak-kanak mengaji Al-Quran yang saya tengok pada zaman sekarang dan cuba bandingkan dengan zaman saya kecik-kecik dulu.
Ada satu kes sebelum ini, dimana beberapa orang kanak-kanak, yang sebelumnya mengaji Al-Quran di kelas KAFA, secara beramai-ramai, datang mengaji dengan emak saya. Kononnya mereka sudah KHATAM Al-Quran. Tetapi setelah diperhatikan bacaan mereka oleh emak, rata-rata mereka tak MENGENAL pun lagi sebenarnya. Ntah bagaimana mereka boleh termasuk dalam kategori kanak-kanak yang khatam Al-Quran pun saya tak tahu.
Cuma apa yang saya tahu, emak saya beritahu saya, di kelas KAFA itu mereka baca beramai-ramai dalam satu masa. Maka kalau kita fikir logik pun, kalau dah baca beramai-ramai begitu, bagaimana guru mengaji dapat mengesan kesalahan setiap individu? Adakah guru mengaji tersebut mempunyai kelebihan 'super' atau seperti 'mutant'? :D
Sudah tentu lah kalau baca ramai-ramai begitu, kita tidak dapat membetulkan bacaan setiap pelajar. Maka akan wujud lah pelajar yang hanya pandai menghafal bacaan tetapi tidak mengenal pun tulisan yang dibaca oleh mereka. Baiklah, saya stop dulu, kalau nak ceritakan tentang perkara ini, jadi panjang lah pulak nanti tulisan ni. Maka saya teruskan saja kepada perbandingan kanak-kanak mengaji zaman dahulu dengan zaman sekarang.
Perbandingan zaman dahulu dengan zaman sekarang
- Kalau dahulu, kanak-kanak biasanya sangat takut kepada guru Al-Quran. Jika datang mengaji terus senyap tak terkata dan tidak berani untuk buat bising. Kalau tidak ada yang menangis kerana dirotan atau dihukum, tidak sah.
Tetapi zaman sekarang, kanak-kanak takut guru pun hanya ketika guru marah sahaja, kemudian apabila guru tenang balik, mereka akan lupa dan buat bising atau lalai kembali. Malah ada juga kanak-kanak yang jenis 'tidak makan saman'.
Ada yang datang mengaji waktu orang azan maghrib. Apabila ditanya pada mereka sudah solat ke belum, mereka jawab sudah huhu. Kemudian buat bising pula ketika guru sedang solat, macam mana guru tidak marah. Kalau sekali dua mungkin biasa, tetapi kalau hari-hari begitu, hilang sabar juga guru.
Ini menunjukkan sudah semakin kurang dan tipis rasa hormat murid terhadap guru, maka bagaimana untuk berkat belajar mengaji? Apakah ibubapa mereka tidak pesan agar JANGAN BUAT BISING, HORMAT GURU, perhati Al-Quran betul-betul apabila datang mengaji dan sebagainya?
- Waktu saya kecil dahulu (sekitar tahun 1980an), saya lihat dalam ramai-ramai kanak-kanak yang datang mengaji, ada lah seorang dua yang benak dan merangkak membaca, serta lambat faham.
Zaman ini pula, seramai kanak-kanak yang datang mengaji, ada lah seorang dua yang mahir dan mudah ingat. Dah terbalik terus.
Mungkin kerana pemakanan zaman moden yang banyak boleh menyebabkan lemah ingatan dan daya fikir. Ditambah lagi dengan kurang keberkatan kerana menyebabkan guru marah selalu kerana bising dan seumpamanya.
- Zaman dahulu, biasa kita dengar ada murid yang bantu kerja-kerja rumah guru. Ibarat seseorang yang mahu menuntut ilmu persilatan, mesti bersusah-payah membantu kerja-kerja guru (untuk melatih ketahanan mental dan fizikal murid sebenarnya).
Tetapi zaman sekarang, murid-murid pula yang menyebabkan guru bertambah kerja rumah. Dengan membuat pecah barang, mengotorkan tempat dan seumpamanya. Aiyya! :)
- Dulu kita mengulang bacaan banyak kali juga, mungkin lebih dari 3. Tetapi sekarang, mengulang bacaan 2 kali itu sudah tersangat banyak dirasakan mereka. Sudah lah waktu sekarang sudah dirasakan semakin singkat, waktu membaca mereka pun mahu dipendekkan lagi.
Begitulah sedikit contoh berkenaan apa yang berlaku di sekitar tempat tinggal saya, mungkin berlainan dengan apa yang berlaku di tempat anda.
Penutup
Ibubapa yang menghantar anak-anak mereka mengaji pun sepatutnya monitor atau cek balik bacaan anak-anak mereka di rumah. Ini untuk memastikan bahawa anak-anak betul-betul dapat mengikuti perjalanan pengajian. Jangan sampai mereka sudah besar, tiba-tiba baru tahu bahawa mereka sebenarnya tidak pandai mengaji lagi, tetapi cuma ingat berdasarkan hafalan yang diulang-ulang ketika belajar mengaji dulu saja.
Dan yang paling penting, bukan kanak-kanak itu pandai membaca semata-mata, tetapi mesti belajar juga agar faham apa yang Allah nak sampaikan melalui Al-Quran , agar nanti dia dapat patuh dan laksanakan perintah-perintah dan menjauhi larangan-larangan dari Allah S.w.t. Wallahu a'laa a'lam .......
Tiada ulasan:
Catat Ulasan